Showing posts with label Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din. Show all posts
Showing posts with label Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din. Show all posts

Friday, September 16, 2016

HARON DIN MENINGGAL DUNIA

 Berita Utama
BANGI, Jumaat – Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din meninggal dunia ketika menjalani rawatan akibat kompilasi jantung di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford San Francisco, California, pagi ini.

Kenyataan sedih itu dimuat naik dalam laman Facebook rasmi ‘Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (Official)’ sebentar tadi.

Kenyataan itu menyebut:

“Assalamualaikum. Sesungguhnya Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat syurga yang kekal abadi.”

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, turut memuat naik pengumuman sama dalam laman Facebook beliau.

Allahyarham Haron Din terpaksa dipakaikan alat bantuan pernafasan sejak beberapa jam lalu selepas berlaku pendarahan di dalam badan ketika pihak hospital melakukan angiogram dan berada dalam keadaan ‘brain death’.

Pada April 2012 lalu, Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital sama.

Mac lalu, Allahyarham turut mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

BELASUNGKAWA

Biodata Datuk Dr Haron Din (Dipetik dari www.darussyifa.org)

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 (Tarikh Hijrah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang Isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan.

Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat. Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adikberadik.Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan.

Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatanpengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepadaseorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965).

Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa
Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperoleh Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadapkecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali
• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor
• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)
• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – University Al-Azhar (1966-1968)
• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)
• Ph.D Syariah – Universiti Darul – Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)
• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
• Ketua Penerangan PAS Pusat
• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS
• Timbalan Mursidur Am PAS

Pilihan raya

Dalam pilihan raya umum 2004 , Ustaz Haron Din yang mewakili Parti Islam SeMalaysia mendapat undi 14,124 di kawasan Parlimen Arau. Pencabarnya , Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mewakili Barisan Nasionalmendapat undi: 17,367 . Syed Razlan telah diisytiharkan menang pilihan raya tahun 2004 . Majoriti-diperolehi: 3,243 , Jumlah Undi: 32,024, Undi Rosak : 533; Peratus Mengundi: 84.23%

Dr. Haron Din kritikal, koma

OLEH MANZAIDI MOHD AMIN
Dr. Haron Din
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din kini dilaporkan koma dan bergantung kepada sistem sokongan hayat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford San Francisco, California.

Menurut anaknya, Hamdi Harun, ayahnya yang dipanggil Baba, turut mengalami pendarahan teruk dan keadaannya agak kritikal.

“Baba dlm keadaan koma, tolong sampaikan pada TG (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan pimpinan Pas, Dr (doktor) kata sudah tiada harapan, bleeding teruk, now on life support, hanya tunggu masa utk cabut mesin dan biar Baba pegi menemui Rabbul Alamin dgn aman,” kata Hamdi menerusi aplikasi whasap kepada Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hasan.

Sementara itu, menurut Nasruddin, beliau menerima berita itu kira-kira jam 2.45 pagi tadi.

“(Dr. Haron) Masih koma… saya masih menunggu makluman terkini dari Hamdi yang berada di California. Mereka kata, jika cabut sistem sokongan hayat, memang meninggal,” katanya.

Mac lalu, Dr. Haron menjalani rawatan jantung di Institusi Jantung Negara (IJN) dan menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford pada 2 April lalu.

Dua anaknya kini berada bersama doktor, manakala ahli keluarga yang lain menunggu di luar.

Bagaimanapun, berita kematian Dr. Haron sudah tersebar, yang memaklumkan Mursyidul Am Pas itu meninggal pada jam 1.50 pagi tadi.

Berita itu kemudian dinafikan Nasruddin.

- MalaysiaGazette

Thursday, June 23, 2016

Dr Mahathir sanggup gadai prinsip sendiri - Haron Din

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini akan me­ngundang banyak perkara negatif.

“Bersahabat baik dengan musuh Islam, kita akan jadi seperti mereka juga.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita balik mempertahankan syariat Islam dengan mengutamakan ukhuwah atau persaudaraan yang berteraskan kepada hukum-hukum syarak dan menjauhi diri daripada tindakan yang mengundang kemurkaan Allah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memberi amaran bahawa tindakan Dr. Mahathir bersekongkol dengan DAP dan PAN akan membawa kemudaratan lebih besar kepada orang Melayu.

Haron yang juga Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) berpandangan, Dr. Mahathir mungkin bersikap emosional kerana hasratnya untuk menukar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berjaya.

Beliau memberitahu, hasrat Dr. Mahathir sebelum ini dikatakan semuanya dapat dicapai.

“Apabila hasratnya untuk menukar Perdana Menteri tidak berhasil, maka semuanya telah berubah,” jelasnya.

Menurut Haron, sebagai seorang ahli politik veteran yang matang, Dr. Mahathir sepatutnya tahu apa yang beliau lakukan.

“Perjuangan untuk memartabatkan Islam melalui perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan Dr. Mahathir dalam umur yang begitu lanjut,” katanya.

Utusan

Friday, March 25, 2016

Kesihatan Datuk Dr Haron Din belum stabil tapi terkawal

Mohamad Fadli | March 25, 2016
Umat Islam diminta membuat solat hajat mendoakan agar Haron cepat sembuh.
PETALING JAYA: Kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dilaporkan masih belum stabil.

PAS Kawasan Subang menerusi akaun Facebook memaklumkan, walaupun tidak menentu tetapi kesihatan Haron masih terkawal.

Perkembangan kesihatan Haron dimaklumkan oleh salah seorang menantunya yang tidak dinyatakan nama menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS).

“Keadaan Baba (Haron Din) masih tidak menentu namun terkawal. Semalaman sakit dan tidak dapat tido. Setelah beri ubat tido yang agak kuat baru dapat lelap sebentar tadi. Doktor masih memantau dan mencari solution yang terbaik buat Baba,” tulis menantu Haron seperti dimuatnaik di Facebook itu.

Pengendali akaun Facebook PAS Kawasan Subang meminta jasa baik orang ramai membuat solat hajat mendoakan agar Haron cepat sembuh.

“Mohon doakan tuan guru (Haron Din) kita. Solat hajat. Moga sembuh,” katanya.

Saturday, September 19, 2015

PM santuni Mursyidul Am PAS

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din hari ini menerima kunjungan tetamu amat istimewa di wad tempat beliau dirawat sekarang - di Institut Jantung Negara (IJN).

Pelawat itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gambar pertemuan mesra kedua-dua tokoh itu dimuat naik Ketua Penerangan Umno yang juga Timbalan Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, di Twitter beliau.

Haron menjalani proses angiogram di IJN pada 10 September lalu.

Berdasarkan kenyataan di Facebook beliau, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu sedang beransur pulih.

Sejak beberapa tahun lalu Haron dilaporkan keluar masuk IJN beberapa kali.

Najib dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menziarahi Haron ketika tokoh terbabit ditempatkan di unit rawatan rapi IJN tahun lalu.

Sebelum ini Haron pernah menyatakan keraguannya terhadap dakwaan Najib memasukkan dana ke akaun persendiriannya seperti dilaporkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan segera menjelaskan kenyataan Haron itu tidak bertujuan mempertahankan Najib, sebaliknya tetap mahu siasatan dibuat terhadap laporan WSJ itu.

Tindakan Najib meluangkan masa melawat pemimpin PAS bukan sesuatu yang baru.

Pada Jun tahun lalu Najib turut muncul menziarahi Datuk Seri Abdul Hadi Awang di IJN dan meluangkan masa hampir sejam bersama-sama.

"Menziarahi Tuan Hj Hadi di hospital baru tadi. Moga cepat pulih, Insya-Allah," kata Najib dalam catatan di laman Twitternya.

Thursday, June 4, 2015

PAS tidak diperlukan lagi dalam Pakatan Rakyat......?

Masanya untuk DAP, PKR singkirkan PAS dan mulakan perjuangan baru
oleh Robin Stanley Augustin

KOMEN: Perhubungan perlu dibina di atas tapak yang kukuh, tanpanya, perhubungan itu pasti menemui kehancuran.

Ketika ini muktamar PAS sedang berlangsung, komentar-komentar pemerhati politik dan berita-berita yang tersebar menjadi petanda kehancuran Pakatan Rakyat semakin hampir.

Satu usul tergempar dikeluarkan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah diluluskan sebulat suara oleh delagasi Dewan Ulama pada muktamarnya di Shah Alam, 3 Jun lepas.
Kemudian menurut laporan The Star, Mursyidul Am PAS Dr Haron Din (kiri) berkata yang parti itu tidak perlu melibatkan PKR dan DAP dalam proses membuat keputusan.

Tahaluf siyasi (pakatan politik) mereka, katanya, hanyalah penyelesaian sementara dalam perjuangan menentang musuh politik bersama, Barisan Nasional.

Dia berkata yang PAS berhak untuk mengangkat perjuangan Islamnya dan ini termasuklah melaksanakan Kanun Keseksaan Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 di Kelantan.

“Sebelum kita memutuskan untuk melakukan perjanjian dengan PKR dan DAP, kita telah merujuk kepada Majlis Syura samada pakatan ini mematuhi Syariah dan majlis diberikan kuasa untuk melakukan penilaian semula daripada semasa ke semasa.

“Kemudian mereka mengeluarkan kertas cadangan yang pakatan ini ialah tindakan sementara,” katanya.

Kelulusan resolusi dan kenyataan Haron Din tidaklah mengejutkan.

Hudud versi PAS sudah lama menjadi agenda, menjadi salah satu sebab yang membimbangkan tentang masa depan sekiranya Pakatan memenangi PRU 13, sama bimbangnya dengan kejayaan BN mempertahankan kuasa.

Mana-mana gabungan politik perlu dibina di atas asas yang kukuh dan persefahaman bersama. Pakatan tidak terkecuali.

Jelas yang PAS dan DAP tidak akan meraih persefahaman bersama dalam hal pentadbiran negara.

Seperti yang diucapkan oleh Haron Din, pakatan mereka berasaskan penentangan kepada musuh bersama.

Pastinya, kedua-dua PAS dan DAP mengetahui yang kerjasama mereka berisiko besar yang boleh membawa kepada bencana sekiranya Pakatan memenangi PRU 13.

Seperti perkahwinan, kerjasama Pakatan perlu dibina di atas harapan bersama bagi membentuk Malaysia yang lebih baik, bukan setakat hendak menumbangkan kerajaan Umno-BN.

Jika mereka berhasrat memandu Malaysia ke arah yang lebih baik, ia perlu selari dengan Perlembangaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Pakatan pada masa sekarang ibarat sebuah perkahwinan yang tidak bahagia.

Mereka berjaya dalam memastikan penentangan berterusan dan menafikan majoriti dua-pertiga BN, tetapi kini masalah asas hudud PAS menjadi ancaman yang boleh memecah belahkan Pakatan, malah menghancurkan negara.

Memandangkan sentiment penentangan kepada kerajaan, disebabkan oleh masalah bertahun lamanya wujud kerana kepimpinan lemah, salah tadbir, korupsi, skandal, ketidakcekapan, selain masalah kebertanggungjawaban dan ketelusan, masanya sudah tiba untuk gabungan DAP-PKR-PAS mencapai kemenangan.

Malangnya, ia tidak berlaku. Tiada jalan singkat atau salah tindak dalam menentukan masa depan negara.

Jika DAP, PKR serta pihak yang melihat diri mereka sebagai pihak sederhana dan pelindung perlembagaan yang mahu ‘menyelamatkan Malaysia”, sudah sampai masanya untuk mereka menjauhkan dan memisahkan diri daripada PAS dan memulakan perjuangan baru.

Mereka perlu meletakkan batu asas untuk Pakatan yang lebih kuat dan membiarkan harapan bersama memandu parti dan tidak menggadaikan prinsip kerana mahu menjaga masa depan pakatan.

Mereka perlu fokus untuk menjadi pilihan parti yang lebih baik daripada BN, dan menyingkirkan mereka yang tidak boleh berkongsi matlamat bersama Pakatan.

Ini mungkin bermakna yang DAP dan PKR, sekiranya PKR mahu terus bersama DAP, berhenti seketika untuk memikirkan kembali aspirasi bentuk kerajaan yang mereka mahukan.

Mereka mungkin hilang beberapa kerusi dan kuasa di beberapa negeri, tetapi situasi ini lebih bagus.

Mereka akan mengambil masa untuk kembali meraih kepercayaan rakyat, tetapi ini juga bermakna sekiranya mereka menang, ia disebabkan oleh kekuatan mereka sendiri dan tiada kaitan dengan PAS.

Lebih baik untuk DAP dan PKR berhenti seketika merenung perjuangan sendiri, supaya mereka boleh melangkah lebih jauh.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Masanya-untuk-DAP-PKR-singkirkan-PAS-dan-mulakan-perjuangan-baru#sthash.4o27rTrN.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-