Showing posts with label Institut Jantung Negara (IJN). Show all posts
Showing posts with label Institut Jantung Negara (IJN). Show all posts

Friday, March 1, 2024

Rafidah dakwa hantarannya di Facebook disekat

malaysiakini.com
Ili Aqilah
Diterbitkan: Mar 1, 2024 4:00 PM
Bekas menteri Rafidah Aziz mendakwa media sosialnya ditapis selepas salah satu catatan Facebooknya mengenai layanan terhadap pesara kerajaan di Institut Jantung Negara (IJN) "disekat" daripada khalayak di Malaysia.

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh rakannya bahawa catatan itu tidak kelihatan di laman Facebooknya. Ini kemudiannya disahkan oleh anak perempuan Rafidah, yang mengatakan bahawa siaran itu hanya boleh dilihat melalui Rangkaian Peribadi Maya (VPN).

Ketika dihubungi, dia berkata bahawa siaran itu dilihat oleh dirinya sendiri, sebagai pemilik laman Facebook "Rafidah Malaysian Citizen", tetapi tidak dapat dilihat oleh pengikutnya.

“Saya berasa jijik dengan kejadian ini.

"Sekarang kita tidak boleh menyuarakan pandangan yang memberi kesan kepada rakyat, dalam kes ini, pesara. Kerajaan tidak boleh dibiarkan dibuai oleh pujian manis, (dan) statistik yang nampak cantik dengan hampir tidak ada kelayakan terperinci," tulisnya di Facebook hari ini.

Dalam "hantaran yang disekat" bertarikh 27 Feb, Rafidah menulis mengenai discaj "tidak adil" pesara kerajaan daripada IJN, ketika mereka masih memerlukan penjagaan khusus yang hanya boleh diberikan oleh institut itu.

Dia mengulas surat yang disiarkan portal kesihatan Codeblue, mengenai seorang pesara yang tidak disebutkan namanya mendakwa dia didiscaj selepas menerima penjagaan rapi di IJN, menurutnya berikutan arahan kerajaan agar semua penjawat awam dan pesara perlu dihantar ke pusat jantung Kementerian Kesihatan yang terdekat dengan rumah mereka.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad kemudian menjelaskan bahawa IJN tidak menolak pesara.

Sebaliknya, pesakit dibenarkan discaj apabila keadaan mereka stabil ke pusat jantung Kementerian Kesihatan yang lain, bagi memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke IJN.

Hari ini, Rafidah turut berkongsi dengan Malaysia tangkap layar mesej dari Facebook mengenai hantarannya.

Mesej itu berbunyi: "Orang ramai di Malaysia tidak akan melihat siaran anda, kerana kami menerima permintaan undang-undang daripada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk menyekat akses kepada hantaran anda kerana melanggar undang-undang tempatan. Kami mematuhi permintaan itu selepas menjalankan penilaian undang-undang dan hak asasi manusia. Kandungan anda masih boleh dilihat oleh orang di lokasi lain."

Malaysiakini telah menghubungi SKMM, Facebook, dan pejabat Menteri Perhubungan Fahmi Fadzil untuk respons.

[Laporan penuh menyusul]

Tuesday, February 27, 2024

KKM akan perjelas isu discaj penjawat awam, pesara kerajaan dari IJN

bharian.com.my
Oleh Luqman Hakim 
bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjelaskan laporan yang mendakwa Institut Jantung Negara (IJN) kini dalam proses discaj semua pesakit dari kalangan penjawat awam dan pesara berikutan langkah penjimatan kos kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan ketika dihubungi, berkata KKM akan menjelaskan perkara itu tidak lama lagi.

"Kementerian, (atau) Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) akan beri maklum balas tidak lama lagi. Tak lama lagi, Insya-Allah," katanya kepada NST.

Beliau diminta ulas laporan oleh portal Code Blue yang ditulis oleh seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

"Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos.

"Saya juga mendapat tahu pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara, beberapa bulan lalu turut mengalami nasib yang sama.

"Jadi, saya pulang ke rumah dan membuat persediaan untuk berjumpa doktor di pusat jantung KKM berhampiran rumah saya. Ini bukan mudah kerana saya terpaksa membuat janji temu dan klinik sibuk," katanya.

Pesara itu berkata, selepas lebih dua bulan beliau berjaya berjumpa doktor namun bimbang akan kehabisan ubat tidak lama lagi.

Lebih membimbangkan, pusat jantung yang berhampiran rumah pesara itu menyatakan, mereka tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan kes beliau dan bilangan ubat yang terhad.

"Pakar kardiologi KKM kemudiannya berkata, dia akan menulis rujukan baharu untuk saya kembali ke IJN, dan saya perlu membuat janji temu dengan IJN sebagai pesakit baharu dan berharap mendapatkan kembali pakar kardiologi kanan yang sama.

"Ini akan menjadi satu lagi kerumitan dan mungkin menunggu dua hingga tiga bulan, atau lebih lama," katanya.

Bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat selama 35 tahun itu meluahkan rasa kecewa terpaksa melalui kesusahan untuk rawatan perubatan.

Sementara itu, jurucakap IJN ketika dihubungi merujuk kepada pekeliling pada September tahun lalu mengatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memerlukan rujukan daripada kerajaan, hospital atau klinik swasta untuk mendapatkan rawatan di IJN.

"Rujukan hendaklah dikeluarkan oleh pakar perubatan, pakar kardiologi atau pakar perubatan kecemasan. Pesakit dengan Insurans Hayat Berkelompok (GL) kerajaan boleh merujuk kepada pekeliling JPA Lampiran SR. 2.1.1 (G), yang disediakan dalam portal rasmi MyPPSM, atau berunding jabatan sumber manusia mereka untuk langkah-langkah yang perlu.

"Setiap agensi kerajaan mempunyai terma dan syarat untuk kelayakan dan perlindungan pekerja apabila mendapatkan rawatan di IJN," katanya.

Berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan 12/2002 Garis Panduan Rawatan Susulan di IJN untuk Pesakit Dibiayai Kerajaan, pesakit dibenar mendapatkan rujukan semula ke hospital 12 bulan selepas menjalani prosedur ataupembedahan.

"Ini dilakukan apabila pesakit memerlukan rawatan dan pengurusan susulan yang berterusan.

"IJN mematuhi garis panduan ini yang dikawal ketat oleh Kementerian Kesihatan. IJN kekal komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang kepada kakitangan kerajaan dan pesara," katanya.

Tuesday, April 2, 2019

Abdul Hadi dimasukkan ke IJN, doktor arah rehat

Haspaizi Zain 
Diterbitkan Hari ini 10:52 pagi 


Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kini berada di Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan rawatan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbarnya, Abdul Malik Ab Razak yang memaklumkan Abdul Hadi dimasukkan ke IJN semalam.

Beliau berkata, doktor di IJN mengarahkan anggota Parlimen Marang itu supaya berehat.

"Betul (Abdul Hadi masuk IJN), semalam," katanya kepada Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp pagi tadi.

"Doktor nasihat untuk tuan guru (Abdul Hadi) berehat," tambah beliau.

Pada 16 Mei 2017, Abdul Hadi selamat menjalani pembedahan penggantian injap jantung di IJN.

Beliau dilaporkan terharu dengan khidmat cemerlang yang ditunjukkan oleh pasukan perubatan di IJN sepanjang menjalani rawatan di sana.

Menurutnya, khidmat profesional yang ditawarkan IJN membolehkan institusi perubatan itu disenaraikan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sunday, December 16, 2018

Adib kritikal, doa rakyat Malaysia diperlukan

Published on December 16, 2018


KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah selepas diserang dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu, dilaporkan semakin merosot dan membimbangkan.

Hal demikian, doa seluruh rakyat Malaysia sangat diperlukan ketika ini untuk menstabilkan semula tahap kesihatannya.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, fungsi paru-paru Muhammad Adib mengalami kemerosotan yang progresif.

“Selepas menjalani pemerikasaan, paru-paru Muhammad Adib menunjukkan tanda-tanda penyatuan dan pengerasan pada tisu paru-paru. Kondisi itu menyebabkan pertukaran gas tidak efektif.

“Bukan itu sahaja, fungsi buah pinggangnya juga bertambah buruk, sehingga menyebabkan dia memerlukan semula sokongan dialisis,” kata IJN.

Hal demikian, IJN telah mengadakan sesi perbincangan dengan beberapa disiplin perubatan memutuskan untuk menggunakan semula mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (vv-ECMO) pada jam 9 malam semalam bagi membantu paru-parunya berfungsi.

“Dalam situasi ini, penerimaan lawatan sangat terhad.

“Kami (IJN) sangat mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia untuk mengembalikan kesihatan Muhammad Adib,” ujarnya.

Source: SH Nasional

Saturday, February 10, 2018

Mahathir masuk IJN


Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat IJN, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mengalami jangkitan di dada susulan masalah batuk.

"Pada masa ini, Dr Mahathir ditempatkan di wad umum. Beliau akan dirawat selama beberapa hari bagi rawatan dan pemantauan," kata kenyataan itu.

Lawatan hanya untuk anggota keluarga terdekat, kata kenyataan itu.

Datin Paduka Marina Mahathir berkata bapanya dalam keadaan baik walaupun perlu ditahan di wad.

"Pagi ini saya melawat bapa. (Keadaan) Beliau baik, cuma perlukan rehat. Beliau akan kembali seperti biasa tak lama lagi," katanya menerusi Twitter.

Sebagai calon perdana menteri HARAPAN, Mahathir, 93, semakin giat turun padang dalam program ceramah dan lawatan.

Beliau pada asalnya dijadual ke Bentong, Pahang, hari ini bagi program walkabout dan ceramah, namun HARAPAN Bentong semalam mengumumkan ia dibatalkan atas nasihat doktor.

Seorang pembantu Mahathir memberitahu Malaysiakini bahawa jadualnya untuk minggu depan juga telah dikosongkan, termasuk mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN pada Selasa ini.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN beberapa kali, dengan kali terakhir pada Ogos 2016 atas sebab yang sama.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/411778#iUUxBOcJjz9kCvo4.99

Monday, May 15, 2017

Tuan Ibrahim pangku tugas presiden PAS

Tuan Ibrahim pangku tugas presiden PAS
Anne Muhammad
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan dirinya akan memangku tugas-tugas presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga beliau selesai menjalani rawatan insentif berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

“Saya pangku tugas presiden buat sementara sampai sihat. Pentadbiran dan pengurusan parti berjalan macam biasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu kenyataan hari ini berkata pemimpin berusia 69 tahun itu dijadualkan akan menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di ibu negara, bermula esok.

Katanya, kepimpinan PAS mengajak ahli dan penyokong parti itu supaya berdoa dan menunaikan solat hajat agar Abdul Hadi selamat menjalani rawatan berkenaan.

Tuan Ibrahim dalam pertemuannya dengan Abdul Hadi pagi tadi, berkata, ahli parlimen Marang itu kelihatan ceria dan sempat bergurau dengannya.

“Saya jumpa dia pagi tadi keadaan dia sangat baik, sihat dan ceria dan sempat bergurau,” katanya.

PAS bagaimanapun enggan menamakan hospital mana rawatan akan dijalankan.

Tuan Ibrahim turut berkata parti itu akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa.

“Status kesihatan dia akan dimaklumkan setiap hari dan parti akan buat kenyataan rasmi pada 18 hari bulan ini,” katanya.

Abdul Hadi dilaporkan semakin uzur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Oktober tahun lalu, akibat jadualnya yang ketat, beliau terpaksa dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan susulan biasa dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, sebulan kemudian, iaitu pada November lalu, beliau dimasukkan pula ke sebuah hospital di Terengganu selepas mengadu keletihan.

Pada Mei 2015, Abdul Hadi dirawat di sebuah hospital di Istanbul selepas mengadu sesak nafas semasa lawatan beliau ke Turki.

Beliau juga dilaporkan terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital pada bulan April 2008 kerana diserang strok yang ringan.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memberitahu media beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS itu berhubung tindakan parti Islam untuk memutuskan hubungannya dengan PKR kerana Abdul Hadi dijadual menjalani pembedahan.

Friday, March 25, 2016

Kesihatan Datuk Dr Haron Din belum stabil tapi terkawal

Mohamad Fadli | March 25, 2016
Umat Islam diminta membuat solat hajat mendoakan agar Haron cepat sembuh.
PETALING JAYA: Kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dilaporkan masih belum stabil.

PAS Kawasan Subang menerusi akaun Facebook memaklumkan, walaupun tidak menentu tetapi kesihatan Haron masih terkawal.

Perkembangan kesihatan Haron dimaklumkan oleh salah seorang menantunya yang tidak dinyatakan nama menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS).

“Keadaan Baba (Haron Din) masih tidak menentu namun terkawal. Semalaman sakit dan tidak dapat tido. Setelah beri ubat tido yang agak kuat baru dapat lelap sebentar tadi. Doktor masih memantau dan mencari solution yang terbaik buat Baba,” tulis menantu Haron seperti dimuatnaik di Facebook itu.

Pengendali akaun Facebook PAS Kawasan Subang meminta jasa baik orang ramai membuat solat hajat mendoakan agar Haron cepat sembuh.

“Mohon doakan tuan guru (Haron Din) kita. Solat hajat. Moga sembuh,” katanya.

Friday, October 23, 2015

Perdana Menteri lawat Yang di-Pertuan Agong di IJN

NASIONAL
DI KUALA LUMPUR - 23 OCT 2015 (1 HOUR AGO)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menziarahi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Najib tiba di Blok A, lobi utama IJN pada pukul 6.30 petang selepas beliau selesai membentangkan Bajet 2016 di Parlimen.

Perdana Menteri tiba bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan disambut beberapa pegawai istana dan pegawai perubatan IJN.

Tuanku Abdul Halim kini menjalani rawatan berkala di IJN.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wira Awang Kechik Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 88, berangkat ke IJN pada 10.30 malam tadi bagi menjalani pemeriksaan kesihatan berkala seperti yang dijadualkan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedang berehat dan dijangka kembali bertugas secepat mungkin," katanya.

-- BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-