Showing posts with label Palestin. Show all posts
Showing posts with label Palestin. Show all posts

Tuesday, January 21, 2025

Boikot diteruskan sehingga Palestin merdeka! – Afnan

harakahdaily
January 21, 2025
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia memandang serius kenyataan dikeluarkan pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang menyatakan tiada keperluan memboikot Starbuck kerana Gaza sudah aman.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan itu menunjukkan tiada langsung sifat empati terhadap umat Islam di Gaza yang dibantai Israel selama hampir 500 hari sehingga menyebabkan lebih 46,899 terkorban lebih 110,725 cedera.

“Terkini, biarpun perjanjian gencatan senjata telah termeterai, namun tiada jaminan ianya akan terlaksana dan akan kekal selama-lamanya berdasarkan ‘track record’ Israel sebelum ini yang sentiasa licik melanggar perjanjian.

“Tambahan pula, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menyatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk melancarkan serangan terhadap Gaza selepas berakhirnya gencatan senjata,” ujarnya Ahli Parlimen Alor Setar itu.

Oleh itu beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa solidariti boikot dilakukan itu bukan bersifat ‘one-off’, sebaliknya merupakan usaha berterusan dalam melumpuhkan mana-mana syarikat yang memberi keuntungan ekonomi kepada Israel untuk meneruskan jenayahnya.

“Justeru, Pemuda PAS Malaysia sekali lagi menolak dengan tegas akan kenyataan tersebut dan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar meneruskan usaha boikot ini sebagai satu usaha untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis laknatullah,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Vincent Tan menyatakan tiada keperluan untuk memboikot rangkaian Starbucks kerana gencatan senjata di Gaza yang membawa harapan keamanan bakal dikuatkuasakan.

Beliau juga menegaskan bahawa memboikot jenama itu hanya akan merugikan rakyat Malaysia, memandangkan majoriti pekerja Starbucks di negara ini adalah Muslim.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad dalam pada itu berkata, kenyataan Tan Sri Vincent Tan yang merayu untuk membeli Starbucks membuktikan bahawa boikot rakyat Malaysia berkesan.

“Tahniah kepada mereka yang masih memboikot produk-produk syarikat pro-Israel. Walaupun perjanjian gencatan senjata termeterai, namun Gaza belum sepenuhnya aman. Sehingga sekarang rakyat Gaza masih dihimpit kemusnahan dan hidup dalam ketidakpastian.

“Boikot tetap boikot. Tidak perlu kita bersimpati kepada tauke-tauke yang tiada empati. Jangan pernah kita lupa penderitaan dan nyawa rakyat Gaza yang terkorban.

“Di Selangor ini sahaja ada banyak kopi lokal yang jauh lebih sedap dengan harga yang lebih masuk akal. Teruskan boikot menentang kezaliman. 

HARAKAHDAILY 21/1/2025

Sunday, August 4, 2024

Hassan: Tak elok sangka buruk, dengar dulu ucapan Anwar malam ini

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Aug 4, 2024 4:50 PM
Wakil rakyat PKR Hassan Abdul Karim tampil membela Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas kerajaan pimpinannya dituduh "tidak jujur" dalam membela Palestin.

Penganjur gerakan solidariti global pembebasan Palestin malam tadi menggesa Anwar untuk menamatkan kepura-puraan kerana perdana menteri masih belum membatalkan perjanjian mengambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) walaupun lantang mengenai pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim memberitahu Malaysiakini keyakinannya terhadap pendirian dan komitmen Anwar dalam menentang pencerobohan tentera Israel terhadap Palestin sejak awal lagi.

“Biar dia bercakap (di perhimpunan ‘Himpunan Pembebasan Palestin’) malam ini sebagai pemimpin kita.
"Tak elok buat sangkaan (buruk) terhadap dia," katanya kepada Malaysiakini.

Anwar juga akan menyampaikan ucapan pada perhimpunan “Himpunan Pembebasan Palestin” yang diadakan di Axiata Arena di Bukit Jalil malam ini.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa penyokong pro-Palestin memboikot perhimpunan kerajaan pada malam ini.

"Kerana mereka buat lain cakap lain," katanya.
Menurut ahli parlimen Machang itu kerajaan hipokrit menunjukkan solidariti dengan Palestin apabila ia masih meneruskan penjualan MAHBshares kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Sementara itu, Hassan berkata perhimpunan malam ini menunjukkan sokongan progresif dan tidak berbelah bahagi Anwar terhadap Palestin.

Bagaimanapun Hassan mengingatkan Anwar bahawa "tindakan konkrit bercakap lebih kuat daripada kata-kata, slogan, teriakan atau perhimpunan politik."

“Saat kebenaran bagi Anwar, jika beliau serius untuk membela Palestin - terutamanya selepas pembunuhan Ismail - adalah untuk membatalkan penjualan saham MAHB kepada GIP, yang dikawal oleh Blackrock.
“Sila buat pengumuman penting malam ini kepada dunia kerana rakyat Malaysia bersolidariti dengan perjuangan Palestin,” tambahnya.

Pengambilalihan itu merujuk kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas Blackrock yang dianggap sebagai sebuah syarikat berkait dengan Israel, sedang mengambil alih GIP.

GIP akan mempunyai kepentingan berkesan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu berjaya.

Anwar sebelum ini mempertahankan keputusan itu, berkata ekonomi Malaysia akan terjejas jika ia membatalkan hubungan dengan semua syarikat yang didakwa berkaitan Israel.

Tuesday, June 29, 2021

Ebit Lew tubuh rumah anak yatim di Gaza

malaysiakini.com
Diterbitkan 29 Jun 2021, 12:14 pm
Pendakwah bebas, Ebit Lew menubuhkan Rumah Kasih Umat di Gaza, Palestin untuk dijadikan tempat tinggal dan aktiviti bagi anak-anak yatim.

Bagi tujuan itu, Ebit menyewa dua buah rumah yang sehingga kini telah menempatkan 10 anak-anak yatim.

"Menangis melihat anak-anak ini. Kecil lagi setiap hari hidup dengan peperangan. Saya tidur malam di sini terfikir risau juga.

"Inikan pula anak-anak ini sepanjang hidup diuji begini," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Ebit yang tiba di Gaza semalam turut memaklumkan dia dan pasukannya menziarah seorang ibu tunggal bersama tujuh anak kecil termasuk bayi.
Menurutnya, suami wanita itu syahid baru-baru ini akibat serangan bom.

"Masa mula sampai semua sedih saja. Saya tengok anak kecil ini hati jadi tak tahan nak menangis.

"Saya dah sebulan belum jumpa anak isteri dan keluarga dah terasa sayu. Inikan pula anak kecil ini kehilangan ayah mereka. Tapi masih boleh tersenyum.

"Seronok bila bawa hadiah. Terus semua senyum. Sempat bermain-main terbang dengan anak-anak ini," katanya lagi.

Ebit juga turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu dan memberi sokongan kepadanya menjayakan misi itu.

Thursday, January 31, 2019

Zionis guna dadah hapuskan pemuda Palestin

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

MOHD Azmi (tengah) menyampaikan taklimat awal kepada peserta Bengkel Khas 360 Masjid al-Aqsa. (Gambar kecil) Dr Sameer. 
FOTO Ihsan MAPIM

BUKAN saja dikenakan pelbagai sekatan dan tekanan, rejim Zionis juga menggunakan bahan khayal untuk melemahkan generasi muda Palestin di Baitulmaqdis bagi 'menghapuskan' mereka secara senyap.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga diberikan wang untuk membeli bekalan dadah jika kehabisan stok dan taktik itu sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu.

Mendedahkan perkara itu, aktivis Ummet Vakfi Turkey Dr Sameer Saed al-Quds berkata, menyasarkan golongan remaja dan pemuda, ia menjadi senjata paling berkesan dalam memastikan generasi muda tidak mampu melawan dan menemui maut secara perlahan-lahan.

"Tindakan ini dilakukan secara senyap, tidak perlu bertempur, baling batu atau bertindak kasar, hanya menggunakan dadah, remaja Palestin akhirnya akan tunduk kepada tentera tanpa paksaan.

"Sehingga kini puluhan ribu remaja di sekitar Kompleks al-Aqsa dan Palestin terbabit dengan penyalahgunaan dadah yang dirancang rapi tanpa disedari banyak pihak.

"Ketika banyak pihak menyatakan kebimbangan mengenai masa depan Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya, tentera pula sudah membunuh remaja Palestin, kumpulan yang diharapkan dapat menyambung perjuangan generasi awal," katanya ketika menjadi pembentang Bengkel Khas 360 Masjid al-Aqsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia dianjurkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang turut dihadiri presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Waqaf al-Aqsa Johan Ariff Ismail.

Dr Sameer turut berkongsi keadaan terkini di tempat ketiga suci bagi umat Islam itu sambil menambah, inisiatif segera perlu diambil bagi membantu penduduk Palestin mempertahankan kawasan berkenaan daripada diceroboh Israel.

"Kita perlu pertahankan kerana ia tanah bagi semua umat Islam yang kini berada dalam kawalan Yahudi. Penghapusan identiti bagi negara dan penduduk Palestin sedang berlaku.

"Saya percaya usaha berterusan daripada rakan seperti MAPIM akan membuahkan hasil, setidak-tidaknya kesedaran mengenai perlunya Masjid al-Aqsa dipertahankan," katanya yang berasal dari kawasan pesisir pantai di Palestin.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, bengkel berkenaan bertujuan memberikan maklumat kepada aktivis daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai status terkini di sana.

Katanya, ia sebagai persediaan untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan bermaklumat yang bukan saja prihatin dengan nasib saudara seagama, tetapi tahu sejarah mengenai Islam itu sendiri.

"Selepas ini kita akan adakan lebih banyak program sebegini bagi memberi pencerahan kepada seluruh umat Islam di Malaysia," katanya.

MAPIM turut mengaktifkan tabung wakaf dan orang ramai yang ingin turut serta boleh menyumbang menerusi akaun CIMB 8602715930 atau secara dalam talian di www.wakafaqsa.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:55 PM

Tuesday, January 22, 2019

Dr M: Israel penjenayah, M'sia tak mahu ada urusan

Ahmad Shukran Shaharudin 
 Diterbitkan Hari ini 10:33 malam


Perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak dapat menerima atlet Israel oleh kerana mereka datang dari sebuah negara penjenayah.

Dr Mahathir berkata orang yang tidak diingini di negara kita mestilah dihalang masuk dan ini termasuk mereka yang disyaki menjadi pengganas dan sebagainya.

"Kita tidak mahu mengadakan sebarang urusan dengan mereka (Israel) termasuk rakyatnya. Jika mereka ingin bertanding dalam sukan mereka boleh pergi ke negara lain.

“Tetapi bagi Malaysia, mereka datang dari sebuah negara penjenayah, kita tidak dapat menerima mereka.

"Setiap negara mempunyai hak menerima atau menolak kedatangan orang lain.

"Kita punya hak itu dan kita mesti kuatkuasakan hak itu,” kata beliau kepada pemberita Malaysia dan wartawan asing selepas menyampaikan ucaptama persidangan Pertubuhan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) di Vienna International Centre (VIC) di Austria pada Selasa.

Usir penduduk

Beliau berkata para atlet ini datang dari sebuah negara yang melakukan apa saja yang mereka suka termasuk membina penempatan di negara orang dan mengusir penduduk dari negara itu sendiri.

"Mereka telah menyerang kapal kita yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza.

“Terlalu banyak perkara lain dilakukan Israel yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan moraliti," katanya.

Sementara itu, mengenai rasuah, Dr Mahathir berkata pemimpin mestilah dipilih dengan bijak dan bila ada tanda-tanda seseorang pemimpin itu rasuah, tindakan mesti diambil bagi menyingkirkannya.

Dr Mahathir menyuarakan hal yang sama semasa menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai Kebangkitan Afrika (ICEA-III) di Dakar, Senegal minggu lepas.

Israel membantah tindakan Malaysia melarang pasukan renangnya dari menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dijadualkan berlangsung di Kuching pada Julai.

Malaysia merupakan pengkritik lantang terhadap Israel yang melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

- Bernama

Friday, July 11, 2014

Gerakan Israel menghapuskan rakyat Palestin

Israel guna senjata haram bunuh anak Palestin

HARAKAHDAILY | 10 Julai 2014.


GAZA: Penelitian pasukan doktor terhadap mayat rakyat Palestin yang syahid dalam serangan udara tentera zionis didapati ditembak dengan senjata yang diharamkan pihak antarabangsa.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin Ashraf al-Qodra berkata, Israel telah menggunakan senjata pemusnah yang mengakibatkan kebanyakan anggota badan mangsa terbakar dan ada yang hancur sepenuhnya.

"Israel menggunakan senjata yang diharamkan antarabangsa dalam dua peperangan sebelumnya ke atas Gaza.

"Senjata-senjata yang sama sedang digunakan sekarang," kata al-Qodra.


Beliau menggesa organisasi hak asasi antarabangsa untuk mengheret Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa atas pelanggaran yang berterusan, terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, beberapa saksi memberitahu, tentera isreal menggunakan peluru berpandu yang memusnahkan badan mangsa dan juga menyebabkan anggota badan mangsa terpotong seperti kepingan.

Ada juga beberapa aktivis mendakwa, keadaan badan mangsa yang bertukar menjadi arang menunjukkan seolah-olah senjata kimia turut digunakan.

Israel telah melancarkan serangan udara terhadap Gaza tidak henti-henti sejak Selasa, di mana 53 rakyat Palestin terbunuh setakat ini.

Lebih kejam, mereka turut mensasarkan orang awan termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.

 - HARAKAHDAILY 10/7/2014

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-