Showing posts with label Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP). Show all posts
Showing posts with label Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP). Show all posts

Wednesday, August 30, 2017

PH akan kalah tanpa sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam

DR MOHD ZUHDI MARZUKI 
PUSAT Penyelidikan PAS (PPP), mengikuti pembentangan hasil tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) petang semalam. PPP menghormati dapatan kajian IDE tersebut, walaupun kami mempunyai pandangan yang agak berbeza. Pada pandangan PPP, 89 kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu, adalah jumlah yang paling maksimum yang mampu dicapai oleh Pakatan Harapan (PH) sekiranya bergabung dengan PAS, apatah lagi jika PAS tidak bersama-sama pakatan tersebut.

Kami berpandangan, tiada kerusi lagi yang mampu ditambah oleh PH+PAS setelah sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu-Muslim telah sampai ke tahap yang paling maksimum. Hanya satu cara sahaja lagi untuk PH+PAS boleh memecah angka maksimum itu, iaitu dengan memperolehi majoriti sokongan pengundi-pengundi Melayu-Muslim. Bagaimanapun sokongan mereka tidak mungkin boleh dicapai jika DAP dan PAN bersama gabungan itu. Kedua-dua parti itu dilihat oleh masyarakat Melayu-Muslim sebagai anti Melayu dan menentang agenda Islam.

Kemasukan PPBM ke dalam PH sememangnya boleh menambahkan peratus sokongan pengundi-pengundi Melayu-Muslim, tetapi peratusnya sangat kecil. PPP menganggarkan peratus pengundi Melayu-Muslim yang mampu ditarik oleh PPBM sekitar 7%. Sebaliknya kemasukan parti tersebut, yang dibarisi oleh golongan ultra-nasionalis Melayu termasuk ahli-ahli PERKASA, akan menyebabkan pengundi bukan Melayu-Muslim lari dari PH untuk mengundi BN semula. Hasilnya kemasukan PPBM tidak akan memberi nilai tambah untuk kemenangan PH.

Fenomena pengundi-pengundi bukan Melayu-Muslim khususnya pengundi Cina, lari dari PH setelah kemasukan golongan ultra-nasionalis Melayu PPBM, adalah suatu realiti yang sedang berlaku sekarang. Peralihan ini mulai dapat dilihat dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Berdasarkan tinjauan PPP, peratusan pengundi Cina yang lari dari PH sekarang adalah sekitar 25%. Oleh sebab itu, BN telah meraih sekitar 35% pengundi Cina, dan ini merupakan satu lagi berita buruk kepada PH, setelah mereka kehilangan pengundi-pengundi PAS.

Selain daripada itu, gabungan ini PH+PAS adalah hampir mustahil boleh berlaku pada masa kini, kerana PAS sendiri sekarang mensasarkan untuk menafikan peluang DAP memerintah semula Pulau Pinang dan mengalahkan DAP di beberapa kerusi parlimen dan DUN yang mereka tandingi di Pahang, Perak dan Selangor. Oleh yang demikian, sekiranya DAP dan PAN terus berada dalam PH, tidak mungkin akan berlaku 'electoral pack' dengan PAS. Malah PAS pula telah lama bersedia untuk bertanding tiga penjuru, dengan perancangan strategi dan kemantapan jentera.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

- HARAKAHDAILY

Thursday, May 26, 2016

Zuhdi: Pertandingan tiga penjuru beri peluang pada PAS di Sg Besar

Shakira Buang
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS pusat, Dr Zuhdi Marzuki menyifatkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar bakal memberikan kelebihan kepada parti itu.

Berucap dalam satu ceramah perdana di Taman Melewar, Gombak malam tadi, Zuhdi berkata pandangan itu dibuat berdasarkan peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta trend sokongan pengundi Cina yang semakin kembali kepada BN.

Zuhdi yang juga AJK PAS pusat berkata, pertembungan dua penjuru antara PAS dan BN menyaksikan pengundi Cina berpihak kepada BN manakala pengundi Melayu berpecah antara dua parti itu.

Katanya lagi, pertembungan dua penjuru antara Pakatan dan BN pula menyaksikan situasi sama seperti pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu di mana majoriti pengundi Cina mengundi Pakatan dan majoriti pengundi Melayu mengundi BN.

"Kalau bertanding tiga penjuru, sejumlah pengundi Cina tidak akan pergi kepada Pakatan Harapan. Jadi peluang kita lebih besar kerana sokongan pengundi Melayu terhadap PAS sekarang lebih kurang sama dengan BN," kata Zuhdi.

Berdasarkan perangkaan terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Sungai Besar mempunyai 67.18 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina (31 peratus), pengundi India (1.91 peratus dan kaum lain (0.23 peratus).

Mengulas lanjut Zuhdi yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata kajian pusat penyelidikan parti itu mendapati PAS hanya ketinggalan 399 undi sahaja kepada BN di Sungai Besar.

"Perubahan boleh berlaku jika kita kerja keras. Dengan sokongan pengundi Melayu dan sedikit lonjakan sokongan pengundi India, kita ada peluang," katanya lagi.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu kosong berikutan anggota parlimennya terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pilihan raya kecil untuk kedua-dua kawasan itu akan diadakan pada 18 Jun depan. PAS bakal mengumumkan calonnya bagi PRK Sungai Besar esok.

Sementara itu, siri ceramah perdana itu sepatutnya menampilkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi sebagai penceramah utama selain Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Exco negeri Selangor Dr Zaidy Abdul Talip serta Dr Zuhdi.

Ceramah yang dijadual bermula sekitar jam 9 malam itu hanya bermula pada 10 malam di mana pengerusi majlis memaklumkan Abdul Hadi dalam perjalanan ke lokasi ceramah.

Bagaimanapun, selepas beberapa pemimpin berucap sekitar jam 11.30 malam hadirin dimaklumkan Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen awal pagi ini.

Tuesday, December 1, 2015

PAS bidas Mat Sabu yang 'keliru dan celaru'

PAS memulangkan 'paku buah keras' dengan membidas Parti Amanah Nasional (AMANAH) yang menyerang parti itu dengan mengaitkan PAS dengan pemikiran kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), menyebabkan Amanah ditubuhkan.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Mohd Zuhdi Marzuki berkata tuduhan terbaru Presiden Amanah Mohamad Sabu itu bertentangan momokan mereka sebelum itu bahawa PAS mahu bekerjasama dengan Umno membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, tuduhan cuba membentuk kerajaan perpaduan dan ISIS yang bersikap melampau terhadap pemerintah Muslim yang tidak sealiran serta mengangkat senjata tanpa jalan perdamaian, adalah paradoks.

"Jika PAS dituduh diserapi pemikiran ISIS, mengapa pula PAS dituduh mahu berkerjasama dengan pemerintah kerana pendekatan ini jauh berbeza dengan ISIS.

"Berdasarkan paradoks kedua-dua tuduhan itu, PPP melihat kepimpinan AMANAH lah sebenarnya yang semakin keliru dan celaru," katanya dalam satu kenyataan.

"Mereka tidak tahu, peluru mana yang mahu diguna untuk menyerang PAS. Mereka juga sedang mencari alasan memberikan jawapan kepada ahli-ahli mereka yang 'pening' bagi mewajarkan mengapa mereka keluar dari PAS."

Sehubungan, Mohd Zuhdi yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat menasihatkan pemimpin Amanah menyelesaikan terdahulu kecelaruan mereka dan mencari titik persamaan supaya pelbagai aliran dalam parti itu dapat disetarakan pemikirannya.

Hari ini portal berita The Malaysian Insider melaporkan Mohamad sebagai berkata mendedahkan di antara punca Amanah ditubuhkan kerana PAS sudah diresapi pemikiran ISIS.

Beliau juga dilapor menuntut supaya siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran kumpulan itu yang menyebabkan suburnya budaya "takfiri". dalam PAS.

Laporan itu juga menyebut, budaya takfiri merujuk kepada tindakan mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan dan menghalal pertumpahan darah.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-