Showing posts with label Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022. Show all posts
Showing posts with label Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022. Show all posts

Sunday, February 2, 2025

‘Serah pada takdir’, Zahid ulas tempoh pegang jawatan presiden Umno

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
02 Feb 2025, 12:32 PM

Zahid Hamidi berkata beliau tidak dapat meramal perjalanan politiknya termasuk bila akan lepas jawatan presiden Umno disandang sejak 2018.
Zahid Hamidi mula menjadi presiden Umno sejak 2018 selepas menewaskan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

PETALING JAYA: “Saya serah kepada takdir Allah.” Itu kata Zahid Hamidi mengulas tempoh beliau akan melepaskan jawatan presiden Umno bagi memberi laluan kepada pemimpin lain dalam parti itu.

Bercakap dalam program audio siar TV3, Zahid yang mengepalai Umno sejak 2018 berkata beliau tidak boleh membuat ramalan kepada perjalanan politiknya pada masa depan.

“Ustaz agama saya pernah beri bayangan yang semua orang tahu tarikh lahir tetapi bukan tarikh mati…begitu juga dalam politik yang kita tak akan tahu bila tarikh akhir.

“Untuk buat spekulasi apa akan berlaku 10 tahun akan datang pada diri seseorang itu, saya fikir eloklah kita berbalik (serah) kepada takdir Allah,” katanya mengulas pertanyaan berhubung kedudukannya selepas ini termasuk sama ada akan melepaskan jawatannya kepada pemimpin lain, terutamanya orang muda.

Bagaimanapun beliau menjelaskan Umno tetap berusaha mencungkil bakat baharu untuk pemimpin pelapis pada masa depan.

“Sekolah patriotik bukan hanya satu jalan tetapi banyak perkara lain… dalam majlis kerja tertinggi (MKT) 50% orang baharu, 30% pemimpin Wanita pun pemimpin baharu manakala 85% Pemuda dan 97% Puteri.

“Itu adalah proses pengenerasian baru untuk pemimpin politik… dan kita tak boleh lari untuk mencari pemimpin baru.

“Mesti ada komunikasi baik antara pemimpin lama dan baru…yang baharu mesti disayangi manakala lama dihormati,” katanya.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri mula duduk di kerusi Presiden Umno selepas mengambil alih daripada Najib Razak, selepas parti yang menaungi Barisan Nasional (BN) itu tewas pada PRU14.

Beliau kemudian menewaskan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan Umno penggal 2018-2021.

Zahid mempertahankan kedudukannya itu dalam pemilihan parti pada Mac 2023, namun kali ini tanpa dicabar susulan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Mohamad Hasan yang menjadi timbalan Zahid sejak 2018 turut menang tanpa bertanding.

Monday, January 23, 2023

Zahid: Terserah ROS putuskan keabsahan PAU 2022

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 23, 2023 8:15 PM
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menentukan keabsahan usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 berkaitan jawatan tertinggi parti itu.

Beliau berkata laporan mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti akan datang perlu diabsahkan agar dapat menghentikan segala spekulasi dalam kalangan segelintir ahli yang tidak berpuas hati.

"Kita ikuti semua proses mengikut Perlembagaan Umno dan peraturan mesyuarat telah diikuti oleh pengerusi persidangan. Semua langkah itu adalah mengikut peraturan.

“Jika ada sebarang aduan yang dibuat pada ROS, Umno sangat terbuka untuk mereka kemukakannya,” katanya kepada pemberita di tapak projek pembinaan laluan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop di Bagan Datuk hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata sepertimana termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966, sudah menjadi ketetapan kepada mana-mana pertubuhan berdaftar untuk mengemukakan laporan persidangan kepada ROS.

Bagaimanapun, timbalan perdana menteri itu berkata laporan berkenaan bukanlah bagi tujuan kelulusan sebaliknya untuk pemakluman.

Pada Jumaat lepas, dua ahli Umno menghantar aduan kepada ROS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti akan datang.

Ahli Umno Bahagian Kuala Nerus Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli Umno Seremban Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom meminta ROS menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.
Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Umno serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Pada 14 Jan lepas, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil Umno Negeri Sembilan Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding dalam pemilihan parti akan datang.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-