Showing posts with label Takiyuddin Hassan. Show all posts
Showing posts with label Takiyuddin Hassan. Show all posts

Wednesday, September 18, 2024

PN mahu draf baharu, tubuh jawatankuasa khusus bincang MoU

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-18 Sep 2024, 04:11 PM

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata tiada ruang perbincangan dengan kerajaan berhubung draf MoU itu, kecuali syarat terbabit dipatuhi.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata PN akan mencari jalan supaya Ahli Parlimennya mendapat sumber kewangan walaupun sedikit bagi meneruskan khidmat kepada rakyat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan mahu kerajaan menyediakan draf baharu dan menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.

Ini kerana, katanya, tiada ruang perbincangan dengan kerajaan berhubung draf MoU itu, kecuali syarat terbabit dipatuhi.

“Sekiranya perbincangan berasaskan MoU yang ini, kami rasa tiada ruang untuk kami sumbang apa-apa alternatif atau perbincangan.

“Ini disebabkan semua yang terkandung dalam draf MoU ini tidak boleh diterima, melainkan perbincangan dibuat untuk mewujudkan draf MoU baharu dengan perbincangan dilakukan kedua-dua pihak".

Sepatutnya tubuh jawatankuasa dahulu sebelum kedua-dua pihak membincangkan MoU apa yang perlu dan apa yang tidak perlu, katanya menurut Berita Harian pada sidang media di Pejabat PAS Kota Bharu.

Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin mengumumkan PN menolak draf MoU peruntukan itu atas dakwaan ia bertentangan Perlembagaan kerana beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau juga mendakwa draf itu mengandungi syarat dilihat bertentangan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta tempatan, selain dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata, pihaknya merasakan tiada keperluan menghantar surat rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berhubung penolakan MoU itu.

"Mereka hantar MoU kepada kita pun tanpa mengambil pandangan kita. Jadi, kita tidak perlu menghantar surat secara rasmi, cukuplah kami maklumkan kepada rakyat Malaysia kami menolak MoU berkenaan".

Ahad lalu, Fadillah dilaporkan berkata, beliau akan merujuk semula keputusan sebulat suara Ahli Parlimen PN menolak draf MoU peruntukan selepas mendapat maklum balas rasmi secara bertulis.

Beliau menekankan MoU itu draf dan PN tidak menyatakan cadangan balas bagi pertimbangan untuk dibawa kepada perundingan.

Takiyuddin berkata, PN akan mencari jalan supaya Ahli Parlimen mereka mendapat sumber kewangan walaupun sedikit bagi meneruskan khidmat kepada rakyat.

"Sekarang ini pun kami menggunakan elaun kami sendiri dan tiada langsung bantuan daripada kerajaan pusat".

Tuesday, August 30, 2022

Negeri PAS tak akan bubar DUN lebih awal dari Mac 2023

malaysiakini.com

Diterbitkan: Aug 30, 2022 1:56 PM

Negeri-negeri diterajui PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal daripada Mac tahun depan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata buat masa ini penumpuan lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan kehidupan rakyat terutama dalam bidang perekonomian dan kesihatan.

[Berita penuh menyusul]

Tuesday, August 3, 2021

Agong kirim sejambak bunga kepada Takiyuddin di hospital

MalaysiaNow
Aug 3, 2021 

Hadiah itu muncul ketika suhu politik dipanaskan apabila istana menegur pemimpin PAS itu minggu lalu.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. 
Gambar: Facebook

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menerima kejutan dari istana hari ini berbentuk hadiah sempena mendoakan kesembuhan kesihatan dari Yang di-Pertuan Agong, MalaysiaNow dimaklumkan.

Difahamkan, Istana Negara mengirim sejambak bunga kepada Takiyuddin, yang kini beransur pulih setelah menjalani pembedahan jantung minggu ini di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Kiriman bunga dari istana itu tampil selepas suhu politik menjadi panas di Dewan Rakyat minggu lalu berikutan teguran Istana Negara berhubung pembatalan ordinan darurat yang diumumkan Takiyuddin.

Dewan Rakyat kini ditangguhkan selepas beberapa kes Covid-19 dikesan di sekitar kawasan Parlimen.

Kenyataan istana minggu lalu antara lain mengkritik Takiyuddin kerana mendahulukan pengumuman sebelum mendapat perkenan Agong berkenaan pembatalan semua ordinan darurat.

Disebabkab itu, tercetus gesaan daripada pembangkang supaya beliau meletakkan jawatan, menuduh pemimpin PAS itu menderhaka terhadap Agong.

Semalam, sejumlah ahli Parlimen pembangkang diketuai Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berarak dari Dataran Merdeka ke bangunan Parlimen, menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan juga kerana didakwa menderhaka terhadap Agong.

Friday, June 18, 2021

KPN sahkan Takiyuddin sedang disiasat

malaysiakini.com
Diterbitkan 18 Jun 2021, 6:06 pm
Dikemaskini 6:07 pm

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Acryl berkata siasatan itu dijalankan selepas pihak polis menerima laporan terhadap Takiyuddin.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Sekiranya diperlukan, individu-individu yang berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata bahawa pihak polis sedang menyiasat laporan terhadap Takiyuddin berhubung kenyataannya yang didakwa derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut laporan media, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur sebelum ini bagi meminta polis menyiasat kenyataan Takiyuddin yang didakwa memperlekeh pandangan Agonh untuk menyegerakan sidang Parlimen.

Pada Rabu, Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Susulan itu, Takiyuddin dilaporkan berkata pandangan Seri Paduka berhubung persidangan Parlimen itu tidak memperincikan tarikh parlimen perlu bersidang.

Wednesday, August 5, 2020

Menteri: SPRM boleh buka semula kes banglo Guan Eng jika ada bukti baru


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk membuka semula siasatan berhubung pembelian banglo bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng jika ada bukti baru.

Dalam jawapan bertulis parlimen, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata tidak ada halangan bagi SPRM untuk melakukannya kerana ia adalah badan penguatkuasaan yang bebas.

"SPRM adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat fresh evidence (bukti baru) di dalam kes tersebut," katanya sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Takiyuddin berkata, peguam negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tommy Thomas pada awalnya telah memohon ke mahkamah untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes berkenaan.

"DNAA bermaksud tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dan bukan bermaksud pelepasan sepenuhnya.

"Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak peguam

negara terdapat new lead (petunjuk baru), mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh.

"Selepas itu peguam negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah," katanya.

Ahli parlimen PAS itu bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk membuka semula siasatan kes rasuah yang melibatkan Lim itu.

Pemimpin Umno, terutama yang dituduh dengan berbagai tuduhan jenayah, menggesa keajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin harus bertindak adil dengan mengadili pemimpin pembangkang.

Gesaan itu termasuk dari bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan atas semua tuduhan yang melibatkan SRC International Sdn Bhd dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor, yang didakwa kerana menerima rasuah.

Lim sebelum ini dituduh dengan dua tuduhan - satu kerana dituduh meminta sogokan atas pertukaran tanah dari status pertanian menjadi kediaman, dan satu lagi, untuk pembelian sebuah banglo dengan harga di bawah pasaran.

Selain itu, Lim juga dipanggil oleh SPRM berkaitan dengan projek terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Setakat ini, SPRM telah menangkap seorang pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan menyerbu tiga syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengaitkan siasatan dengan pengubahan wang haram.

Projek itu dirancang semasa Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Sunday, February 2, 2020

'Kenyataan sinis Saifuddin gambaran sikap kurang ajar pada Dr M'

BERITA

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyifatkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution bersikap kurang ajar terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Bersatu dan PH.

Ia susulan kenyataan sinis Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang hanya menyokong Mahathir selepas "pemimpin kleptokrat kesayangannya" - merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak - kalah dalam PRU ke-14.

"Kenyataan sinis beliau yang juga seorang menteri kabinet terhadap Mahathir, iaitu perdana menteri, adalah gambaran suatu perbuatan 'kurang ajar' seorang yang dilantik terhadap orang yang dilantiknya.

"PAS yang mempunyai 18 anggota parlimen berhak membuat pendirian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal dan dalam masa sama menolak sebarang usaha dan cita-cita individu tertentu yang berhasrat menjadi perdana menteri kelapan dalam penggal ini," katanya dalam kenyataan.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, namun beliau dipercayai merujuk kepada Presiden PKR Anwar brahim.

Mahathir telah berjanji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, seperti dipersetujui PH sebelum PRU ke-14, tetapi tidak memberikan garis masa yang khusus untuk peralihan itu.

Terdahulu, Hadi menegaskan PAS tetap dengan pendirian agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal PRU ke-14, meskipun terus menerus diasak untuk melepaskan jawatannya.

Kata Takiyuddin lagi, Saifuddin wajar meletakkan jawatannya dalam kabinet jika tidak sekata dengan perdana menteri.

Terdahulu hari ini, Saifuddin diminta mengulas langkah PAS yang menyuarakan sokongan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal ini.

Dalam jawapannya, beliau berkata semua pemimpin PH telah menyokong Mahathir sejak sebelum PRU ke-14, di saat PAS menyerang pengerusi Bersatu itu.
"Berbeza dengan Hadi, hanya nampak kelebihan Tun (Dr Mahathir Mohamad) selepas pemimpin kleptokrat kesayangannya sudah hilang kuasa. Bahkan Hadi waktu itu anggap Tun hanya layak uruskan klinik, bukan negara.

"Hadi tidak perlu tunjuk jaguh untuk mengajar pemimpin PH berenang," katanya dalam kenyataan media kepada Malaysiakini, hari ini.

Saifuddin juga berkata perpaduan dan persefahaman dalam PH "begitu padu", dengan sebarang isu dibincang dengan baik, tanpa "tekan-menekan seperti membawa undi tak percaya yang dicadangkan oleh Hadi."

Takiyuddin bagaimanapun menyifatkan kenyataan itu sebagai melucukan dan berkata semua pihak dapat melihat perebutan kuasa dalam PKR yang kian memburuk.

"Beliau sepatutnya menumpukan usaha menyelesaikan segala ribut dan taufan di dalam partinya daripada bertindak menyerang parti pembangkang yang bukan menjadi urusannya," katanya lagi.

Wednesday, January 22, 2020

PAS anggap PKR, Amanah macam 'anjing dengan bayang-bayang'

BERITA

PAS menganggap kenyataan dibuat pemimpin PKR dan Amanah mengenai parti itu akhir-akhir ini seumpama "anjing" yang "takutkan bayang-bayang".

Justeru, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, partinya mengambil sikap untuk membiarkan PH - yang dianggotai PKR serta Amanah - "terjun dengan labu-labunya".

Bidalan digunakan Takiyuddin itu merujuk kepada diua kisah dongeng rakyat yang popular, Anjing Dengan Bayang-Bayang serta Si Luncai.

"Selama ini PAS tidak pernah terfikir - apatah lagi memohon - untuk menyertai PH, sebaliknya akan mengukuhkan lagi kerjasama politik dengan Umno/BN melalui Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

"Oleh itu, kenyataan penuh bimbang pimpinan PKR dan juga Amanah terhadap PAS akhir-akhir ini adalah ibarat anjing takut bayang-bayang, dan kami menyatakan: Biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beredar sekeping gambar menunjukkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan itu turut dihadiri isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, serta seorang tokoh yang dekat dengan perdana menteri, Khairuddin Abu Hassan.

Semak dan imbang

Untuk rekod Ahmad Samsuri ialah bekas setiausaha politik Abdul Hadi dan kini menjadi naib presiden PAS.

Beberapa hari lalu Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata parti itu menolak sebarang gerakan atau cadangan membawa masuk PAS menyertai PH.

Pada 20 Jan lalu media melaporkan Salahuddin sebagai berkata, tiada keperluan untuk "menyerap" PAS ke Putrajaya atas alasan menarik sokongan kepada kerajaan.

“Bagi AMANAH, kita tetap dengan keputusan sebelum ini. Apa yang ada ketika ini adalah PH. Sekarang kita selesa dengan PH, itu persetujuan dan kerjasama yang kita janjikan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata PH sudah utuh dan tidak memerlukan parti seperti PAS sebagai rakan sekutu.

Katanya, PH ditubuhkan atas prinsip kepercayaan dan hormat menghormati, justeru sebarang usaha membawa masuk parti lain seperti PAS mesti berasaskan konsensus.

“Saya tengok buat masa sekarang, cubaan memasukkan PAS itu kekal sebagai satu khabar politik biasa dan saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima anggota baru,” katanya.

Baca Hadi: Dr M bak kelapa, makin tua makin menjadi

Takiyuddin berkata kenyataan dibuat Saifuddin itu bersifat penuh kebimbangan dan menggambarkan keadaannya yang tertekan.

"Kenyataan beliau yang juga dipetik sebagai berkata PH tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu menunjukkan kedudukan PH yang tidak stabil dan dalam keadaan berkrisis sesama komponennya," kata beliau.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menambah, PAS akan terus bersama Umno dan BN untuk menjadi pembangkang yang konstruktif untuk berperanan sebagai unsur semak dan imbang terhadap kerajaan.

"Lebih-lebih lagi berikutan pertambahan anggota blok pembangkang dengan kemenangan calon BN di pilihan raya kecil parlimen Kimanis, Mohamad Alamin," katanya.

Untuk rekod, kerusi Kimanis asalnya dimenangi oleh Anifah Aman, seorang pemimpin kanan Umno yang kemudian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli parlimen bebas selepas PH berjaya membentuk kerajaan pusat dan Sabah.

Dalam PRK lalu Anifah turut berkempen untuk memenangkan BN.

Friday, May 17, 2019

Pengampunan Diraja tidak membatalkan sabitan jenayah

WAN ROHIMI WAN DAUD 
17 MAY 2019


KENYATAAN Setiausaha Agong PAS, YB Dato’ Takiyudin Hassan pada 10 Mei 2019 sewaktu berucap dalam ceramah bagi kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, yang melabelkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang “bekas banduan” adalah tepat dan berlandaskan undang-undang.

Secara faktanya, DSAI telah mempunyai 2 sabitan kesalahan jenayah sebagaimana berikut:-

(a) SABITAN PERTAMA:-
Pada 4 April 1999, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Hakim Augustine Paul telah mensabitkan DSAI atas 4 pertuduhan melakukan perbuatan rasuah (corrupt practices) sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, dengan mengarahkan Dato’ Mohd Said Bin Awang (Pengarah Cawang Khas) dan Amir Bin Junus (Timbalan Pengarah Cawangan Khas II PDRM) untuk memperolehi pengakuan bertulis daripada Azizan Bin Abu Bakar bagi menafikan salah laku seks dan liwat, yang mana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat, 1970.

Untuk sabitan tersebut, DSAI telah dihukum selama 6 tahun penjara. Rayuan DSAI ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak, sabitan dan hukuman penjara dikekalkan.

(b) SABITAN KEDUA:
Pada 11 April 2014, Mahkamah Rayuan melalui Hakim Mahkamah Rayuan (HMR) Balia Yusuf Wahi, Aziah Ali dan Mohd Zawawi Salleh telah membenarkan rayuan Pendakwaraya (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelumnya membebaskan DSAI) dan mensabitkan DSAI atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii (liwat) dibawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Untuk sabitan ini, DSAI telah dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun. Rayuan DSAI ke Mahkamah Persekutuan telah ditolak, sabitan dan hukuman dikekalkan.

DSAI telah menjalani keseluruhan hukuman penjara bagi Sabitan Pertama, dan sebahagian hukuman penjara bagi Sabitan Kedua kerana telah diberikan Pengampunan DiRaja oleh YDPA pada 16.5.2018. Justeru dengan sabitan undang-undang dan proses hukuman penjara tersebut, adalah jelas bahawa DSAI adalah seorang “bekas banduan” pada kacamata perundangan.

Pengampunan DiRaja di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada kuasa YDPA untuk memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieve) dan lega hukum (respite) bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang telah disabitkan. Manakala berdasarkan Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan pula, YDPA juga diberikuasa tambahan untuk menggugurkan sekatan ketidaklayakan bagi seseorang yang telah disabitkan jenayah, untuk menyertai pilihanraya bagi tujuan dilantik sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Penelitian lanjut kepada Seksyen 300 dan 301 Kanun Acara Jenayah, akan merujuk kepada kuasa YDPA/Sultan untuk menggantung perlaksanaan hukuman, meringankan dan/atau mengurangkan sesuatu hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah. Bahkan di bawah Seksyen 300(2) Kanun Acara Jenayah, apabila sesuatu permohonan pengampunan dibuat, YDPA/Sultan boleh (may) meminta Hakim/Majistret yang telah mensabitkan banduan tersebut untuk memberikan pendapatnya tentang samada sesuatu permohonan pengampunan itu layak dibenarkan atau sebaliknya.

Justeru penelitian penuh kepada semua peruntukan Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah, Pengampunan DiRaja (Royal Pardon) samada yang disebut sebagai full pardon atau free pardon hanyalah merujuk kepada pengampunan dalam konteks perlaksanaan hukuman semata-mata. Ia hanya merujuk kepada sama ada sesuatu hukuman yang sedang dijalani (atau akan dijalani) tersebut akan dilegakan, diringankan (digantikan dengan hukuman yang lebih ringan) atau ditamatkan serta merta.

Pengampunan DiRaja samada oleh YDPA atau Sultan, tidak akan membatalkan sabitan jenayah (criminal conviction). Tiada mana-mana peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang yang memberi kuasa kepada YDPA / Sultan untuk mengenepikan sesuatu sabitan jenayah. Sabitan jenayah itu akan terus kekal, selagimana ia tidak diketepi dan dibatalkan oleh sebuah mahkamah yang kompeten.

Dalam hal ini, tafsiran perundangan yang jelas telah diberikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad melalui satu Artikel bertarikh 7.10.2018 yang bertajuk: Pengampunan dan Pembatalan Kehilangan Kelayakan Untuk Menjadi Ahli Parlimen, dimana beliau menegaskan sebagaimana berikut:-

“Pemberian pardon, reprieve dan respite itu tidak bererti sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu di mansuhkan atau dipadamkan daripada rekod mahkamah. Perintah itu kekal, cuma pesalah itu diampunkan atau dimaafkan daripada menjalani hukumannya.

Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside (mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal). Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu”

Justeru, kenyataan-kenyataan balas pimpinan Pakatan Harapan, khususnya dari Setiausaha Agung PKR yang menyanggah terma “bekas banduan” dan menyatakan “ia tidak lagi timbul kerana DSAI diberi pengampunan penuh (full pardon) oleh YDPA” adalah merupakan satu pembiasan politik yang sangat terdesak, untuk mengelirukan fakta sebenar seolah-olah sabitan jenayah DSAI telah dibatalkan sepenuhnya.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"


WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-undang (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
17 Mei 2019 | 12 Ramadhan 1440 

– HARAKAHDAILY 17/5/2019

Tuesday, May 14, 2019

Selepas isu ‘kartel dedak’, PAS tegah ahli bercakap pada media

Adam Abu Bakar
-May 14, 2019 11:38 AM

PAS menegah ahlinya untuk tidak membawa, membincangkan dan membahaskan isu melibatkan parti di media.

PETALING JAYA: PAS mengeluarkan perintah tegah siar berkuatkuasa serta-merta kepada ahlinya untuk tidak membawa, membincangkan dan membahaskan isu melibatkan parti di media, susulan seorang ahlinya membangkitkan isu “kartel dedak”, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berkata, menjadi kesalahan sekiranya ahli tidak taat dan patuh kepada arahan parti, berdasarkan kepada perlembagaan dan peraturan parti.

“Sebarang pandangan, pendapat, cadangan mahupun kritikan mesti disalurkan melalui saluran parti di pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, larangan itu dibuat bagi menjamin kebebasan bersuara dan pada masa yang sama mengawal serta memelihara kerahsiaan organisasi.

“PAS mengingatkan ahli-ahli menjadi kesalahan tatatertib sekiranya seseorang ahli melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

“Sebarang keengkaran terhadap perintah ini membolehkan seseorang ahli dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib parti,” katanya.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menyatakan apakah sebab tindakan itu diambil, namun dipercayai disebabkan kenyataan menantu Presiden PAS, Zaharuddin Muhammad mendedahkan kewujudan “kartel dedak” dalam parti.

Abdul Hadi Awang bagaimanapun menafikan kenyataan Zaharudin bahawa wujud “kartel dedak” dalam PAS. Bahkan menolak dakwaan Zaharudin bahawa tindakannya itu mendapat restu dari Hadi.

Hadi menjelaskan isu pendedahan itu “kes lama” dan sudah selesai di mahkamah dan pimpinan PAS maklum akan perkembangan terbaru isu itu.

Zaharudin sebelum ini membangkitkan isu rakaman audio Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz bercakap mengenai dakwaan Umno memberi dana kepada PAS dan mengkritik kumpulan yang digelar “kartel dedak”.

Monday, May 13, 2019

Takiyuddin sedia dipanggil polis

By Muhammad Azizul Osman
- 13 Mei 2019

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media khas pimpinan PAS di De Palma Hotel, Ampang, Selangor.
 foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Takiyuddin Hassan yakin polis akan memanggil beliau dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan selepas mengelar Datuk Seri Anwar sebagai bekas banduan.

Lantaran itu, sehingga dipanggil polis, Setiausaha Agung Pas itu tidak boleh memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut.

“Saya tidak boleh sebut sebab sudah 10 laporan polis dibuat ke atas saya, jadi saya pasti akan dipanggil oleh pihak polis untuk berikan keterangan,” katanya.

Beliau hadir dalam sidang media bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Program Dialog dan Berbuka Puasa Pimpinan Pas Pusat bersama media di ibu negara hari ini.

Kenyataan Takiyuddin itu telah mendapat perhatian Abdul Hadi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media khas pimpinan PAS di De Palma Hotel, Ampang, Selangor.
 foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2019

Menurut Abdul Hadi, terpulang kepada rakyat untuk menilai sama ada Anwar layak dilantik sebagai perdana menteri dek kerana status banduan atau tidak.

“Terpulang kepada masyarakat untuk menilai adakah dia (Anwar) banduan atau tidak.

“Bukan saya yang akan nilai, orang ramai akan nilai,” katanya dalam sidang media sama.

Untuk rekod, kira-kira 10 laporan polis telah dibuat terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu itu selepas mengaitkan status Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Antaranya, Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Muhammad Arif Mukhtar.

Dalam satu ceramah di Taman Indah, Sandakan, Rabu lalu, Takiyuddin dilaporkan melontarkan persoalan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Pensabitan kesalahan ke atas Anwar dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan ia tidak lagi boleh dipersoalkan.

Takiyuddin merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan tidak bersalah Anwar dalam kes liwat II oleh Mahkamah Tinggi.

Presiden PKR itu dihukum penjara lima tahun pada 2015.

 – MalaysiaGazette

Sunday, May 12, 2019

Takiyuddin pertahan gelar Anwar 'bekas banduan'

Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 9:01 pagi


Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mempertahankan tindakannya menggelarkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Takiyuddin menyarankan pihak yang menggesanya memohon maaf berhubung kenyataannya itu menyemak fakta kes mahkamah yang melibatkan Anwar.

"Saya (bercakap) berdasarkan fakta dan (saya) minta orang yang menyeru saya supaya minta maaf itu agar semak pada fakta dan undang-undang, sebab kes ini adalah diputuskan di mahkamah.

"Dan negara kita ada undang-undang yang jelas mengenai kedudukan orang yang disabitkan oleh mahkamah, dia kena semaklah.

"Saya sudah semak, kalau tak, saya tak sebutlah," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa sempena sambutan ulang tahun Umno ke-73 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditanya sama ada beliau benar-benar pasti dengan kenyataannya itu, Takiyuddin secara ringkas berkata: "Ya, saya sudah amat pasti".

Perlekeh pengampunan diraja

Ketika berucap pada kempen PRK Sandakan Rabu lalu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Jelas Takiyuddin, pensabitan kesalahan ke atas Anwar dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak lagi boleh dipersoalkan.

Takiyuddin merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan tidak bersalah Anwar dalam kes liwat II oleh Mahkamah Tinggi.

Presiden PKR itu dihukum penjara lima tahun pada 2015.

Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan pusat melalui kemenangan PH pada pilihan raya umum tahun lalu, Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Kenyataan Takiyuddin itu mengundang kritikan pemimpin PH yang menyifatkan ia sebagai memperlekeh pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar, selain menggesa agar pemimpin PAS itu memohon maaf.

Mengulas isu sama di Twitter, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar sudah membersihkan rekod jenayah pemimpin PKR itu.

Lim juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai "melawan" keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

"Anwar bukanlah banduan lagi. Takkan seorang peguam tak faham (perkara ini).

"Siapa yg lawan raja sekarang? PAS hanya nak aibkan dan fitnahkan yang tak bersalah," katanya.

Friday, March 1, 2019

Tiada rampasan, pembekuan akaun - Takiyuddin

WAN AINA HUSNA
28 FEBRUARY 2019


KUALA LUMPUR:  Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menafikan laporan kononnya beberapa akaun bank dibekukan manakala kenderaan mewah, kedai dan wang tunai dirampas pihak berkuasa, berhubung siasatan dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.

Kata Takiyuddin, laporan beberapa portal berita sejak petang tadi berhubung isu itu tidak berasas.

Malah beliau meminta agensi media terbabit mengkaji semula penyiaran artikel berkenaan.

Beliau menegaskan, pihaknya baru menghubungi pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegasnya, apa yang dilaporkan beberapa portal berhubung rampasan dikatakan mempunyai kaitan dengan siasatan kes PAS adalah tidak benar.

Takiyuddin seterusnya mendesak portal yang melaporkan mengkaji balik artikel berkenaan atau berdepam tindakan undang-undang.

Katanya, pihak beliau telah ‘print screen’ (tangkap layar) artikel berkenaan sebagai bukti.

Beberapa portal berita melaporkan, SPRM kononnya merampas beberapa kenderaan mewah, sebuah rumah kedai dan wang tunai selain membekukan beberapa akaun bank berhubung siasatannya mengenai dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Umno. 

HARAKAHDAILY 
   28/2/2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-