Showing posts with label Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023. Show all posts
Showing posts with label Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023. Show all posts

Friday, June 9, 2023

PAU 202: Poster tuntut Najib dibebaskan tersebar

agendaily.com
09/06/2023

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula sejak kelmarin dicemari penyebaran poster berbaur provokasi yang menuntut pembebasan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Perwakilan dari Melaka, Osman Paiman berkata tindakan itu mampu mengganggu-gugat keharmonian antara ahli dan barisan kepimpinan parti.

“Memang tak patut, ini adalah perhimpunan besar untuk ahli parti mendengar mandat presiden, kalau ada budaya fitnah macam ini, saya syak ini satu sabotaj. Ini kerja orang munafik,” katanya, lapor FMT.

Sementara perwakilan dari Perak, Nazatul Syima berkata walaupun poster itu bertujuan menyatakan sokongan terhadap Najib namun cara digunakan salah dan boleh mengundang pelbagai persepsi negatif.

“Mereka mungkin nak kita bertindak tegas untuk bantu Najib tapi cara ini nampak kasar dengan tulisan berunsur provokasi, ini cara yang salah,” katanya.

Poster yang disebar itu menunjukkan gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said dengan mulut yang dizip selain tanda pagar#BEBASNAJIB.

“Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun.

“Mana janji-janji dulu? Najib masih dipenjara. Janji terus tinggal janji. Apa guna berjanji kalau tak ditepati,” mesej yang terdapat pada poster itu.

Difahamkan, poster berkenaan diletakkan dalam raga motosikal atau diselit pada cermin kereta di kawasan parkir sekitar Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang merupakan lokasi rasmi PAU 2023.

Najib kini sedang menjalani hukuan penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya termasuk denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Semalam, anak Najib, Datuk Mohamad Nizar berharap penyokong UMNO tidak akan melupakan perjuangan pembebasan ayahnya yang kini masih dipenjara.

Thursday, June 8, 2023

DAP harus mohon maaf: Biar dikata ‘biadab’ kerana ia suara akar umbi, tegas ketua Pemuda

freemalaysiatoday
Mohamad Fadli 
08 Jun 2023

Ketua Pemuda Akmal Saleh berkata beliau hanya menyuarakan suara akar umbi Umno.
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataan bahawa DAP perlu memohon maaf kepada partinya.

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno tidak kisah dicemuh kerana mahu DAP memohon maaf atas segala apa yang dikatakan ‘tohmahan’ terhadap parti itu.

Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh berkata beliau hanya menyuarakan suara akar umbi Umno.

“Biarlah orang kata Pemuda biadab, yang penting tahu kita bawa suara rakyat di bawah,” katanya ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 bagi sayap parti itu, petang tadi.

Akmal dalam ucapannya pagi tadi berkata DAP perlu memohon maaf jika mahu melembutkan hati penyokong Umno supaya memilih mereka pada PRN akan datang.

Pemuda Umno juga mahu DAP buktikan tohmahan bahawa ia anti-Melayu, anti-Islam, rasis, atau komunis tidak sama sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.

“Saya sebenarnya ada banyak nak cakap, tapi saya nak beritahu kenyataan yang telah dikeluarkan pagi tadi tidak akan sesekali kita akan tarik. Itu muktamad.”

Akmal mengingatkan pengkritik dalam parti bahawa mereka ahli yang setia selepas Umno tewas PRU15.

“Hari ini Pemuda di depan saya duduk dalam (dewan) ketika Umno ‘tiada maruah’. Kita kalah teruk, yang lain nak lari tempat lain tetapi yang di depan saya kekal setia.”

Terdahulu, Presiden Zahid Hamidi berkata isu DAP perlu mohon maaf tidak perlu ditimbulkan ketika ini, kerana kedua-dua parti sudah melupakan sengketa selepas mencapai persetujuan dalam rundingan membentuk kerajaan perpaduan.

Keluarga harap momentum bebaskan Najib akan berterusan

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jun 8, 2023 6:14 PM
Keluarga Najib Razak berharap momentum bagi membebaskan bekas perdana menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara tidak akan berhenti.

Hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini, anaknya, Mohd Nizar berkata bahawa ada penyokong parti melahirkan rasa merasa risau dengan keadaan ayahnya yang masih meringkuk di Penjara Kajang.

"Saya yakin Umno masih memperjuangkan pembebasan ayanda. Tapi, selaku ahli keluarga saya tidak mahu momentum itu jadi perlahan atau dihentikan ataupun orang mudah lupa.

"Jadi, kita kena sentiasa memperingati bahawasanya beliau masih di dalam (penjara) dan saya harap usaha-usaha untuk membebaskan dan membela beliau akan terus diadakan," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, pagi tadi Pergerakan Pemuda Umno memberikan anugerah Tokoh Pemuda Umno Malaysia kepada bekas presiden parti itu bagi menghargai pengorbanannya. Najib juga pernah memimpin Pemuda Umno bermula Mei 1988 sehingga 1993.

Trofi anugerah disampaikan oleh Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh kepada Najib yang diwakili oleh anaknya, Nizar dan adiknya Nazifuddi bagi pihak keluarga.

Pada majlis itu, kedua-dua mereka tidak dapat menahan diri daripada sebak dan menitiskan air mata.

Sebuah video turut ditayangkan kepada perwakilan Pemuda Umno yang menceritakan sejarah dan rekod khidmat Najib sepanjang berkecimpung dalam politik.

Dewan Tun Razak kemudiannya bergema dengan laungan Bossku yang sinonim dengan nama Najib.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Nizar berkata bahawa ahli keluarganya menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha membebaskan bekas ahli parlimen Pekan itu.

Katanya, ia termasuk membentangkan sebarang usul pada perhimpunan agung tahun ini atau menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadiri perhimpunan itu esok.
"Saya serah kepada kepimpinan parti melaksanakan kebijaksanaan mereka menentukan apakah langkah-langkah sewajarnya membantu ayanda dibebaskan.

"Sudah tentu selaku ahli keluarga saya sangat berharap suatu akan dilakukan agar beliau dapat pembelaan yang secukupnya dan dibebaskan dalam masa yang terdekat," katanya.

Pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International.

Keputusan itu selari dengan keputusan pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan.
Umno yang kini menjadi parti penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah memfailkan petisyen untuk memohon pengampunan terhadap Najib.

Tindakan itu memberi tekanan kepada Anwar yang turut berada dalam Lembaga Pengampunan - atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan - yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan itu.

Najib juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai - iaitu perbicaraan rasuah 1MDB , membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion.

Wednesday, June 7, 2023

PAU: Kerjasama dengan DAP bakal undang masalah besar

agendaily.com
07/06/2023
Wan Agyl berkata orang Melayu begitu sensitif terhadap perkara tertentu dan tindakan pemimpin parti itu menyeru akar umbi menyokong seteru tradisinya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Seorang pemimpin Pemuda UMNO menjangkakan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk dengan seterunya, DAP bakal mengundang masalah besar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini.

Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan akui masalah dihadapi parti itu untuk ‘mendidik’ akar umbi supaya faham bahawa kini parti Melayu itu dan DAP adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Sekarang kita bekerjasama, kita perlu memperhalusi (hubungan) dari segi bagaimana kita boleh bekerjasama dan menyelesaikan pertelingkahan sebelum ini.

“Isu-isu sebegini adalah yang perlu kepimpinan buat akar umbi faham,” katanya lapor FMT.

Mengulas lanjut, Wan Agyl berkata, orang Melayu begitu sensitif terhadap perkara tertentu dan tindakan pemimpin parti itu menyeru akar umbi menyokong seteru tradisinya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Malah katanya isu keengganan sayap parti yang enggan mengundang PH ke PAU itu perkara yang perlu diselesaikan segera supaya tidak berbangkit lagi.

“Isu-isu sebegini adalah yang perlu kepimpinan buat akar umbi faham,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan sayapnya tidak akan menjemput wakil mana-mana parti kerajaan perpaduan ke PAU 2023 yang bermula hari ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata kepimpinan UMNO perlu bijak memilih naratif pada PAU kali ini jika mahu memujuk akar umbi mengundi DAP pada pilihan raya akan datang.

Katanya, DAP masih menjadi subjek ‘pantang larang’ bagi kebanyakan ahli UMNO.

“Tiada gunanya kata DAP baik, DAP kawan UMNO untuk memujuk ahli (mengundi DAP) kerana permusuhan antara kedua-dua (parti itu) terlalu mendalam untuk naratif seperti itu,” katanya.

Sunday, June 4, 2023

Ahmad Maslan minta akar umbi lapang dada terima Anwar hadir PAU

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
04 Jun 2023

Ahli MKT Umno berkata kehadiran semua presiden parti kerajaan perpaduan pada PAU 2023 sebagai persediaan menjelang PRN enam negeri.
Ahmad Maslan berkata ahli Umno perlu menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.

PETALING JAYA: Akar umbi Umno perlu berlapang dada menerima kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), termasuk 18 presiden parti kerajaan perpaduan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 Khamis ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata ahli parti tidak perlu terpengaruh dengan hasrat sesetengah pihak enggan hadir persidangan, sebaliknya menerima dinamika politik baharu yang memerlukan keterbukaan minda.

Katanya, langkah menjemput semua pemimpin tertinggi parti membentuk kerajaan perpaduan adalah sebagai persediaan menjelang PRN di enam negeri.

“Ahli parti kena berlapang dada (dengan kehadiran Anwar). Dalam satu gabungan begini kita perlu menerima kehadiran pimpinan parti politik gabungan.

“Apatah lagi kita seangkatan dan perlu berhadapan perang politik yang lebih besar iaitu enam PRN tidak lama lagi, maka persediaan serta perpaduan yang lebih jitu perlu ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Veteran Umno Johor di Bangunan Umno Johor, Johor Bahru.

Jumaat lalu, PAU 2023 dilaporkan akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Anwar sebagai tetamu kehormat.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata perdana menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis.

Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri PAU selepas dipecat daripada parti itu pada 1998.

Selagi Zahid jadi Presiden, saya tidak akan hadir: Tun Faisal

agendaily.com
04/06/2023
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat UMNO sebelum ini kerana lantang mengkritik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun UMNO mengalu-alukan bekas ahli yang dipecatnya menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, namun Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan tidak berminat lagi.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang dipecat itu berkata tidak akan hadir ke sebarang penganjuran aktiviti parti itu selagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih menjadi Presiden parti.

“Selagi presidennya (Ahmad) Zahid. Saya tidak berminat untuk hadir,” katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu sedia menjemput bekas ahli yang dipecat, namun hanya perwakilan dibenar memasuki Dewan Merdeka WTC.

Beliau secara berseloroh mempelawa mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui ‘samping’ UMNO.

Selain itu, Zahid juga senada dengan Asyraf apabila turut mengalu-alukan bekas ahli parti yang dipecat parti untuk menghadiri persidangan tahunan parti itu.

Perhimpunan tahun ini dilihat berbeza daripada tahun sebelum ini, ia memandangkan buat julung kalinya UMNO akan menjemput pemimpin DAP dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi rakan politik mereka walaupun bermusuh sejak bertahun lamanya.

Untuk rekod, Zahid mengambil keputusan menyokong cikgunya, Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan juga melanggar ketetapan parti yang dibuat sebelum ini apabila membawa duduk bersama dalam kerajaan campuran bersama-sama dengan DAP.

UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Minta bekas ahli ke PAU, UMNO bimbang ramai pakai baju roket daripada baju Melayu?

agendaily.com
04/06/2023
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi gesa ahli yang dipecat dan dikenakan tindakan hadir ke PAU nanti.

Semalam, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa bekas ahli yang dipecat atau sedang digantung parti untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung minggu depan.

Gesaan Setiausaha Agung UMNO yang kalah tiga kali bertanding dalam pilihan raya itu seakan memujuk bekas ahli dan pemimpin yang dikenakan tindakan sebelum ini kerana menentang Presiden, namun ia dilihat memberi isyarat kebimbangan berlaku perpecahan dalaman yang semakin parah.

Persoalannya, sanggupkah ahli-ahli UMNO untuk duduk sebaris dengan ahli DAP dan PKR yang bakal dijemput buat kali pertama ke PAU nanti?

Asyraf cuba memujuk supaya ahli-ahli UMNO yang marah dengan parti untuk menghadiri PAU dan meminta mereka untuk bersama-sama dengan pemimpin DAP dan PKR yang akan hadir ke PAU nanti.

Sejak berlangsung konvensyen kerajaan campuran yang lalu dimana pemimpin Pakatan Harapan (PH) membanjiri dewan keramat UMNO, pergolakan dalaman parti semakin meruncing kerana ramai akar umbi yang tidak berpuas hati dengan tindakan menjemput musuh tradisi masih ke Dewan Merdeka.

Malah, gambar-gambar pemimpin UMNO terdahulu yang terdapat dapat Dewan Merdeka diturunkan dan digantikan dengan banner dan poster kerajaan campuran di setiap pelosok dewan.

Isu berhubung poster pemimpin UMNO yang diturunkan dalam dewan dibangkitkan bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Insiden itu memperlihatkan kelemahan pemimpin UMNO sendiri yang dilihat terlalu mahu menjaga hati parti DAP dan PKR sehingga mengikut telunjuk dan tidak menjaga hati akar umbi parti itu.

Bagaimanapun, Asyraf dilihat terdesak dengan mengeluarkan kenyataan meminta bekas pemimpin dan ahli yang dipecat supaya pulang ke pangkuan parti dan menghadiri PAU.

Atau adakah Asyraf sebenarnya bimbang dewan tersebut akan dipenuhi dengan pemimpin dan ahli berbaju PKR dan lambang roket lebih ramai daripada perwakilan berbaju roket atau baju Melayu pada PAU itu nanti?

Realitinya, akar umbi UMNO kini sudah merajuk dan tidak lagi sehaluan dengan pemimpin atasan yang dilihat terlalu membodek berlebihan parti lain dalam kerajaan campuran sehingga seakan mengadaikan prinsip dan perjuangan asal parti.

Lebih malang lagi, unsur Anwarinas kini sudah berjaya menembus masuk ke dalam UMNO dan menyaksikan parti itu dilihat dikawal oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika sebelum ini unsur Anwarinas didakwa menyusup masuk ke dalam PAS, kini nampaknya ia sudah berjaya menembus masuk dalam UMNO dan mengawal parti itu sama ada secara sedar atau tidak.

Lihat apa yang berlaku kepada PAS sebelum ini apabila unsur Anwarinas menyusup masuk, pemimpin utama parti Islam itu bertindak keluar parti hanya kerana terlalu mengidolakan Anwar dan menubuhkan sebuah parti baharu yang dinamakan Parti Amanah.

Senario sama dihadapi PAS sebelum ini sedang berlaku kepada UMNO, namun lebih teruk lagi ia meresapi ke dalam pemimpin atasan UMNO yang sanggup melakukan apa sahaja demi cikgu tercinta.

Adakah akar umbi UMNO mahu melihat Anwarinas terus menguasai parti mereka sehingga bakal tersungkur dalam Pilihan Raya Negeri nanti?

Saturday, June 3, 2023

Ubat kerinduan, bekas ahli Umno boleh datang PAU -Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 3, 2023 7:10 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid memaklumkan parti itu membuka pintunya kepada bekas ahli Umno dan ahli yang bukan perwakilan untuk hadir "sebagai pemerhati" Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 demi mengubat kerinduan mereka terhadap suasana majlis tersebut.

"Siapa-siapa nak datang ahli yang bukan perwakilan atau bekas ahli-ahli (Umno) yang mahu (datang), atau kerinduan mereka terhadap perhimpunan agung ini, sila datang.

"(Mereka) yang dari lain-lain parti juga boleh datang.

“Kita harapkan PAU 2023 ini adalah suatu titik permulaan bagi kita untuk menyelesaikan permasalahan atau isu yang ada sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Richard Engking, Sungai Amang di Kapit, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg, kerana telah mengesahkan kehadirannya ke PAU 2023 pada 7 hingga 10 Jun ini.

Zahid berkata pengesahan itu dibuat Abang Johari ketika dia berkunjung ke kediaman premier Sarawak itu di Kuching pada pagi hari ini.

Kata Zahid, pengesahan kehadiran itu satu manifestasi bermakna kepadanya, kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan juga akan hadir ke perhimpunan itu, selain Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Ahmad Zahid juga berharap supaya Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor, akan hadir ke perhimpunan itu kelak.

“19 presiden parti anggota kerajaan perpaduan akan hadir dan ini satu petanda baik dan penghargaan kepada Umno dam Barisan Nasional.

“Kita berusaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan ini, agar kerjasama yang dijalinkan akan lebih berstruktur,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerjasama kukuh anggota Kerajaan Perpaduan itu penting, bagi kestabilan politik lebih-lebih lagi dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri, yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

“Kita mengharapkan kemenangan akan memihak kepada komponen parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-