Showing posts with label UiTM. Show all posts
Showing posts with label UiTM. Show all posts

Friday, October 25, 2024

Pesakit mental 'kalis' undang-undang, bebas hukuman?

bharian.com.my
Bernama 
- Oktober 25, 2024 @ 9:17am
Pemandu wanita yang melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun 9 Oktober 2024 didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, di Dungun sini pada 15 Oktober 2024. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Insiden tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut akibat dirempuh kereta yang dipandu oleh seorang pemandu wanita baru-baru ini begitu menyentuh hati ramai pihak selain tidak kurang juga berasa terkilan dengan apa yang berlaku.

Pemandu wanita yang menyebabkan kemalangan itu didakwa tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental dan alasan sedemikian bukanlah satu perkara baharu kerana banyak kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini, bahkan turut melibatkan kes pembunuhan.

Apa yang mencetuskan kebimbangan masyarakat ialah apabila berlaku sesuatu jenayah melibatkan mereka yang didakwa mengalami masalah kesihatan mental, ia berkemungkinan menjurus kepada tiada pembelaan wajar terhadap mangsa dan keluarga, atas alasan, pelaku tidak berada dalam keadaan mental yang waras.

Benarkah dakwaan bahawa individu yang tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental ini 'kalis' undang-undang dan bebas daripada dikenakan hukuman?

Merungkai isu ini, peguam Dr Mahmud Abdul Jumaat berkata, isu pelaku dengan status demikian dalam kes jenayah adalah satu perkara yang kompleks, namun secara asasnya, seseorang yang didapati tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental, tidak secara automatik bebas daripada tindakan undang-undang.

Menurut Mahmud, mengikut perundangan Malaysia, terdapat beberapa prinsip dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah yang digunapakai bagi menangani isu pelaku yang tidak siuman atau mengalami gangguan mental.

"Seksyen 84 Kanun Keseksaan menjelaskan bahawa seseorang individu tidak bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan, jika pada masa kejadian dia tidak mampu memahami sifat perbuatannya disebabkan oleh ketidakwarasan.

"Bagaimanapun, sebelum seseorang disahkan tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental, mahkamah akan merujuk kepada pakar psikiatri untuk membuat penilaian. Biasanya, pelaku akan dihantar ke hospital psikiatri untuk menjalani penilaian mental oleh doktor bertauliah.

"Proses ini adalah penting untuk menentukan sama ada pelaku benar-benar tidak berupaya secara mental pada masa kejadian. Setelah penilaian mental dilakukan, laporan psikiatri akan diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah akan menilai laporan tersebut bersama-sama dengan bukti-bukti lain untuk menentukan sama ada pelaku layak untuk mendapatkan perlindungan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mahmud yang berpengalaman kira-kira 12 tahun sebagai pengamal undang-undang berkata, dalam kes pelaku didapati tidak siuman, mahkamah boleh memerintahkan pelaku dihantar ke hospital psikiatri untuk rawatan dan bukannya dikenakan hukuman penjara.

"Bagaimanapun, individu tersebut tidak semestinya dibebaskan. Pelaku mungkin akan ditempatkan di hospital psikiatri untuk suatu tempoh sehingga mereka pulih dan tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat.

"Dalam hal ini, Akta Kesihatan Mental 2001 memainkan peranan penting dalam menangani isu kesihatan mental di Malaysia. Akta ini menetapkan prosedur berkaitan penjagaan, rawatan, kawalan dan pemulihan individu yang mempunyai masalah mental. Di bawah akta ini, individu yang didapati mempunyai masalah kesihatan mental boleh dihantar untuk rawatan, sama ada secara sukarela atau melalui perintah mahkamah," katanya.

BEBAN PEMBUKTIAN

Berkongsi contoh kes sebelum ini, Mahmud berkata, dalam kes Othman A Aziz pada tahun 2013, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Ratna Suffizahriyanti Omar.

Beliau berkata, dalam kes itu, isu pembelaan ketaksempurnaan akal dikemukakan, yang juga berkait rapat dengan persoalan sama ada seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental atau tidak siuman boleh dikecualikan daripada tanggungjawab jenayah.

"Tertuduh mengaku membunuh si mati dan mengaku perbuatannya kepada saksi utama sebanyak dua kali. Walaupun pengakuan dibuat, tertuduh memberikan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh bahawa dia tidak sedar apa yang berlaku setelah si mati memaklumkan kepadanya bahawa perkahwinan mereka tidak akan diteruskan, yang menyebabkan tertuduh hilang pertimbangan.

"Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh gagal membuktikan pembelaan ketaksempurnaan akal. Laporan psikiatri yang mengesahkan tertuduh waras pada masa kejadian juga diperoleh walaupun tidak dikemukakan sebagai ekshibit (barang kes). Selain itu, mahkamah juga menilai tingkah laku tertuduh sepanjang perbicaraan dan mendapati tertuduh sentiasa berada dalam keadaan waras dan mampu memahami perbicaraan.

"Dalam kes ini, mahkamah merujuk kepada Seksyen 84 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan bahawa seseorang yang melakukan kesalahan semasa dia tidak siuman atau tidak mampu mengetahui tindakan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang, boleh dikecualikan daripada tanggungjawab jenayah. Namun begitu, beban untuk membuktikan ketaksempurnaan akal terletak pada tertuduh, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 105 Akta Keterangan 1950. Dalam kes ini, tertuduh gagal untuk menunjukkan bukti yang mencukupi bahawa dia tidak siuman pada masa kejadian," katanya.

Mahmud berkata, dalam undang-undang jenayah Malaysia, prinsip ketaksempurnaan akal boleh menjadi pembelaan dalam kes jenayah, termasuk pembunuhan.

Selain itu, Seksyen 84 Kanun Keseksaan melindungi individu yang benar-benar tidak dapat memahami perbuatannya kerana ketidaksiuman. Namun, seperti dalam kes ini, mahkamah akan menilai laporan psikiatri dan bukti sokongan lain sebelum membuat keputusan.

"Pembelaan ketaksempurnaan akal tidak bermaksud pelaku secara automatik akan dibebaskan. Mahkamah akan menilai sama ada tertuduh benar-benar tidak waras atau tidak menyedari tindakan yang dilakukan pada masa kejadian, berdasarkan bukti yang kukuh seperti laporan psikiatri dan tingkah laku tertuduh semasa perbicaraan.

"Dalam kes ini, tertuduh gagal untuk membuktikan ketaksempurnaan akal, dan mahkamah mendapati pengakuannya serta bukti lain cukup kuat untuk mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati," katanya.

Memberikan contoh kes lain, Mahmud berkata, berbeza dengan kes Sahifful Filzuad Sa'Don pada tahun 2018, mahkamah mendapati tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh isterinya, Norini Abd Rahim, pada 20 Mac 2016, tidak siuman dan tertuduh ditahan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Tertuduh dikatakan menikam isterinya beberapa kali serta mencekik lehernya sehingga menyebabkan kematian. Beberapa saksi termasuk anak-anak tertuduh, jiran, serta pakar forensik memberikan keterangan yang menyokong kes pendakwaan.

"Walau bagaimanapun, Sahifful Filzuad membangkitkan pembelaan tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan, dengan mendakwa bahawa beliau mengalami gangguan mental ketika kejadian berlaku.

"Beliau didiagnosis menghidap gangguan bipolar dan mengalami delusi serta halusinasi yang mendorongnya untuk melakukan pembunuhan tersebut. Penilaian psikiatri mengesahkan ketidakstabilan mentalnya, dan bukti menunjukkan bahawa tindakan pembunuhan itu dilakukan di bawah pengaruh delusi yang dialaminya. Selepas menilai pembelaan tidak siuman, mahkamah mendapati bahawa Sahifful Filzuad berada dalam keadaan tidak siuman dari segi undang-undang pada masa kejadian dan tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.

"Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk membebaskan tertuduh di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan atas alasan gangguan mental. Walau bagaimanapun, dia diperintahkan untuk ditahan di Hospital Permai mengikut perkenan Sultan Johor, selaras dengan Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

PINDA AKTA KESIHATAN MENTAL 2001

Tidak menolak persepsi masyarakat bahawa pembelaan tidak siuman ini mungkin menimbulkan rasa ketidakpuasan hati kepada mangsa dan keluarga kerana tertuduh tidak dihukum dengan cara yang sama seperti penjenayah biasa, Mahmud bagaimanapun berkata, undang-undang ini bertujuan memastikan keadilan yang lebih luas yang bukan sahaja melindungi mangsa, tetapi juga mempertimbangkan keadaan mental tertuduh pada masa kejadian.

"Mahkamah tidak membebaskan tertuduh tanpa tindakan lanjut sebaliknya tertuduh diletakkan di bawah pengawasan dan rawatan psikiatri yang ketat. Oleh itu, walaupun kelihatan tertuduh "terlepas" daripada hukuman penjara atau hukuman mati, undang-undang bertindak berdasarkan bukti perubatan yang menunjukkan tertuduh tidak mempunyai kemampuan mental untuk memahami atau mengawal perbuatannya.

"Keputusan ini juga melindungi masyarakat dengan memastikan tertuduh menerima rawatan yang sewajarnya dan berada di bawah pengawasan. Maka, pembelaan tidak siuman bukanlah "tiket" untuk terlepas daripada hukuman, tetapi satu mekanisme undang-undang yang adil bagi menangani kes-kes di mana tertuduh tidak mempunyai kesedaran mental yang mencukupi," jelasnya.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang yang mungkin boleh dikenakan kepada ahli keluarga pelaku atas faktor pengabaian dan kecuaian sehingga mengakibatkan jenayah, Mahmud mencadangkan pindaan Akta Kesihatan Mental 2001 untuk memperkenalkan tanggungjawab khusus kepada ahli keluarga atau penjaga pesakit mental yang berisiko dengan memperincikan mekanisme pelaporan, kewajipan pengawasan dan hukuman bagi kecuaian atau pengabaian yang membawa kepada kejadian jenayah.

Sebagai contoh, katanya, perundangan boleh dipertingkatkan dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada ahli keluarga atau penjaga yang menjaga individu yang tidak siuman selain ahli keluarga boleh diwajibkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan atau polis sekiranya mereka menyedari seseorang dalam keluarga mereka menunjukkan tanda-tanda tingkah laku berbahaya.

"Sekiranya ahli keluarga gagal mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti memastikan rawatan berterusan atau pengawasan yang memadai, ahli keluarga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Kerajaan juga boleh melaksanakan program pendidikan dan sokongan kepada ahli keluarga yang menjaga pesakit mental termasuk memberi panduan tentang cara menguruskan individu yang berisiko serta memudahkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan kesihatan mental. Tanggungjawab ahli keluarga dalam situasi ini akan lebih berkesan sekiranya mereka diberikan pengetahuan dan bantuan yang mencukupi, '' jelasnya.

Beliau menambah, dalam kes tertentu, institusi kesihatan atau pihak berkuasa kesihatan mental juga perlu lebih proaktif untuk memastikan pesakit mental dengan risiko tinggi dipantau secara berterusan.

Kewajipan ini, katanya, boleh dikukuhkan melalui undang-undang yang mewajibkan hospital atau klinik kesihatan mental melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya pesakit menolak rawatan atau tidak mematuhi pelan rawatan.

Mahmud pada masa sama berkata, pendekatan oleh beberapa negara wajar dijadikan contoh untuk dipertimbangkan pelaksanaannya di Malaysia terutama yang melibatkan tanggungjawab keluarga serta pelaksanaan hukuman yang lebih adil.

"Di United Kingdom, Mental Health Act 1983 membenarkan pihak berkuasa untuk menahan individu yang mengalami gangguan mental yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain, dan memastikan mereka menjalani rawatan yang diperlukan.

"Undang-undang ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan untuk memastikan pesakit mental dipantau dengan lebih ketat. Selain itu, Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 memperuntukkan hukuman kepada organisasi (termasuk penjaga) sekiranya terbukti bahawa terdapat kecuaian serius yang menyebabkan kematian akibat kegagalan memastikan individu tertentu, termasuk mereka yang memerlukan penjagaan khas, diuruskan dengan betul," katanya.

Tambah beliau, di Australia, ahli keluarga yang menjaga pesakit mental mempunyai duty of care yang lebih jelas di bawah sistem kesihatan mental negara tersebut dan sekiranya mereka mengabaikan atau gagal menjaga individu yang berisiko membahayakan orang lain, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah akta berkaitan kecuaian.

"Pindaan Akta Kesihatan Mental 2001 harus dilakukan dan mengkaji semula takrifan "ketidaksiuman", dan kriteria yang membenarkan pelaku terlepas daripada hukuman. Mahkamah perlu memastikan bahawa pesakit mental yang terlibat dalam jenayah serius dikehendaki menjalani rawatan psikiatri di hospital selama tempoh yang ditetapkan.

"Di samping itu, sistem pengawasan untuk pesakit mental perlu diperkukuhkan, terutama bagi mereka yang pernah terlibat dalam kes jenayah. Penubuhan sistem pemantauan kesihatan mental yang berpusat dan melibatkan kerjasama antara hospital psikiatri, pihak berkuasa tempatan dan ahli keluarga dapat membantu mengurangkan risiko pesakit mental melakukan jenayah berulang," katanya.

PROSES PENILAIAN RAPI

Sementara itu, Ketua dan Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menegaskan, status kesihatan mental individu hanya boleh disahkan melalui pemeriksaan atau penilaian kesihatan mental.

Beliau berkata, rakaman video, gambar atau kenyataan di media sosial tidak mencukupi dalam menentukan seseorang itu berkemungkinan mempunyai gangguan mental yang serius yang boleh menjejaskan kebolehan mereka membuat keputusan.

Malah katanya, ramai yang menghidap penyakit mental seperti kemurungan dan kerisauan tidak sama sekali mengurangkan kebolehan mereka untuk melaksanakan pekerjaan harian termasuklah kebolehan atau kompetensi untuk memandu.

"Seseorang yang disahkan menghidap penyakit mental dan kemudian melakukan perbuatan melanggar undang-undang, terdapat kebarangkalian perbuatan tersebut berkait dengan atau disumbangkan oleh penyakit mental yang dialami. Seperti orang yang kena serangan jantung semasa memandu dan terlibat kemalangan, ia bukanlah dilakukan dengan niat dan sengaja.

"Begitu juga dengan seseorang yang mengalami penyakit mental, mereka sendiri tidak mahu (penyakit tersebut) dan apa-apa pelanggaran undang-undang yang berkaitan semasa mereka mengalami gejala atau simptom penyakit tersebut.

"Oleh itu, selepas melalui proses penilaian yang rapi, sekiranya insiden itu sah disebabkan oleh penyakit mental yang dialami, mereka akan dikecualikan daripada tanggungan jenayah atas perbuatan yang dilakukan. Ini kerana individu tersebut tidak berniat tetapi sebaliknya penyakit mental yang dialami mendorongnya melakukan perbuatan tersebut," katanya.

Menjelaskan bagaimana proses diagnosis kesihatan mental dijalankan, beliau berkata, dalam situasi biasa, pesakit atau keluarga akan datang atau membawa pesakit ke klinik untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, mengikut Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001, beberapa pihak boleh membantu membawa pesakit untuk mendapatkan penilaian dan rawatan seperti pihak polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan dari sini, pesakit mungkin dirujuk kepada jabatan kecemasan di hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatri dengan cepat.

"Proses penilaian pesakit termasuklah pengambilan sejarah pesakit yang komprehensif serta penilaian status mental pada ketika itu juga. Pemeriksaan penyakit fizikal yang lain seperti darah tinggi, status hormon seperti tiroid, penyakit saraf serta lain-lain penyakit juga perlu dibuat.

"Selepas itu, pesakit dan keluarga akan diberi maklumat berhubung apakah kemungkinan penyakit mental yang dihidapi. Terdapat juga situasi di mana pengesahan penyakit mengambil masa yang lebih panjang," katanya menambah, rawatan berbentuk ubat-ubatan dan psikoterapi akan dipreskripsi kepada pesakit.

Menurut Dr Muhammad Muhsin, dalam kes melibatkan pelanggaran undang-undang seperti jenayah, permohonan bagi menentusahkan status pesakit dibuat oleh polis melalui borang Pol 59 selain mahkamah boleh memerintahkan seseorang menjalani pemeriksaan mental seperti Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

REKOD KESIHATAN, DOKTOR BERTAULIAH

Turut menekankan kepentingan rekod kesihatan mental bagi individu yang berisiko, beliau mendedahkan, kerap kali berlaku pesakit yang menghidap penyakit mental selama bertahun-tahun lamanya namun tidak mendapatkan rawatan perubatan daripada pakar bertauliah.

Dalam kes melibatkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun, Terengganu itu, tertuduh wanita berusia 49 tahun berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan di negeri itu.

"Jadi tidak mustahil seseorang itu mengalami penyakit mental dalam tempoh yang lama tetapi tidak menerima rawatan . Di samping itu, biasa juga kita dapati, mereka ini ataupun ahli keluarga memilih untuk mendapatkan rawatan seperti berjumpa bomoh dan menjalankan rawatan secara tradisional untuk jangka masa lama.

"Ada juga yang tidak mendapatkan rawatan secara profesional di peringkat awal kerana stigma masyarakat yang menebal berhubung sakit mental ini adalah semata-mata gila, takut akan dilabelkan dengan perkara negatif, takut maruah individu dan keluarga akan tergugat.

"Selain itu kepercayaan seperti penyakit disebabkan oleh makhluk halus, gangguan mistik dan lain-lain masih sangat kuat bagi segelintir masyarakat. Rawatan perubatan psikiatri konvensional di peringkat awal sangat efektif dan boleh mencegah tahap penyakit menjadi lebih serius," katanya menambah, tragis apabila pesakit semakin kronik dan menunjukkan perlakuan berbahaya, barulah timbul kesedaran untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Dr Muhammad Muhsin berkata, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 simptom kemurungan dalam kalangan dewasa adalah sebanyak 4.6 peratus, iaitu meningkat hampir dua kali ganda dalam masa empat tahun manakala masalah kesihatan mental bagi kanak-kanak dan remaja (berumur lima hingga 15 tahun) adalah sebanyak 16.5 peratus.

"Ini merupakan cabaran bagi kita semua untuk memastikan peningkatan penyakit mental dalam masyarakat mendapat intervensi sewajarnya. Pandangan atau stigma negatif perlu diatasi supaya mereka yang berdepan dengan masalah kesihatan mental boleh mendapat rawatan di peringkat awal," katanya.

Tuesday, June 14, 2022

Seri Paduka: Semua agama kecam rasuah, ia bagai barah

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jun 14, 2022 5:27 PM
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun.

Memetik sebagaimana catatan sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’, titah Seri Paduka, Tun Sri Lanang meriwayatkan bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka yang terbina ratusan tahun lamanya akibat perbuatan rasuah Bendahara Maharaja.

“Justeru, para mahasiswa hari ini yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di Shah Alam hari ini.
Jelas baginda, pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat bermula daripada bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.

Al-Sultan Abdullah yang adalah Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah usaha untuk memperkukuh integriti nasional dan etika amalan kerja yang baik oleh setiap warganegara hendaklah dipupuk dan dibentuk di setiap bilik dan dewan syarahan IPT di seluruh negara.

“Sesungguhnya prasyarat bagi kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada masyarakat dan tenaga kerja yang jujur, amanah dan berintegriti,” titah baginda lagi seperti yang dipetik oleh Bernama.

Seri Paduka memberi amaran bahawa arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan bukan hanya membawa kesan kepada ekonomi tetapi juga membawa pelbagai impak dari segi sosiobudaya yang tanpa disedari turut meninggalkan kesan kepada sifat-sifat terpuji dan nilai-nilai moral sesuatu masyarakat.
“Justeru, para mahasiswa hari ini yang bakal mewarisi tamadun negara hendaklah ditanam dan dibentuk dengan nilai jati diri yang tinggi serta karakter individu yang sentiasa jujur dan amanah,” titah baginda.

Sultan Abdullah turut memuji memuji pencapaian graduan UiTM yang telah berjaya mencipta nama di persada dunia menerusi pencapaian akademik yang cemerlang, khususnya para graduan daripada bidang perakaunan.

“Beta juga berasa sukacita dengan prestasi dan pencapaian UiTM yang kini berada pada kedudukan yang membanggakan dalam senarai penarafan universiti di Asia dan dunia pada 2021 dan 2022.

“Beta turut berbangga dengan kejayaan 26 atlet UiTM yang terpilih untuk mewakili negara ke Temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini,” titahnya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.
Titah baginda mengenai rasuah dibuat ketika spekulasi bertiup kencang bahawa bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan berkaitan rasuah,mungkin memohon pengampunan diraja.

Seteru politik mendakwa Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga terlibat dalam perbicaraan rasuah, mendesak supaya pilihan raya umum awal diadakan untuk menjamin kebebasan mereka.

Najib telah diberikan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan selesai.

Baru-baru ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan melahirkan rasa kesal kerana bekas perdana menteri itu diundang ke istana.

Friday, September 7, 2018

Ibrahim Ali terkilan bekas KPN kata Melayu penakut

Adam Abu Bakar
-September 7, 2018

Ibrahim berkata orang Melayu perlu mengawal perasaan agar keadaan tidak bertukar buruk.

KUALA LUMPUR: Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali terkilan dengan kenyataan bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang menyatakan orang Melayu kini sudah menjadi penakut.

Ibrahim, yang sering memperjuangkan isu Melayu berkata, orang Melayu bukan penakut sebaliknya diajar untuk tidak bertindak sewenang-wenangnya.

“Sekiranya Islam diperkotak-katikkan dan kita tidak buat apa-apa, kita dikatakan bangsa penakut, tetapi kita diajar tidak bertindak sewenang-wenangnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Semalam, Hanif di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata orang Melayu kini tidak berani mempertahankan hak mereka.

Hanif mengambil contoh peristiwa siaran akhbar berbahasa Cina daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang disifatkannya satu kesalahan dan wajar diprotes.

Ibrahim bagaimanapun berkata sememangnya ada isu yang menguji tetapi masyarakat Melayu mengawal perasaan agar keadaan tidak bertukar buruk.

Beliau memberi contoh sikap prejudis terhadap Islam seperti pertikaian dalam soal hukuman terhadap kes lesbian di Terengganu baru-baru ini.

“Soal sebatan syariah ini katanya zalim tetapi sebatan mengikut cara sivil sudah lama dilakukan dan tidak ada yang bising. Prejudis terhadap Islam tebal sekali.

“Cumanya, nasib baik orang Melayu memahami dan dapat kawal perasan, tidak bertindak balas dengan cara yang boleh gugat keselamatan negara,” katanya.

Dalam isu lain, Ibrahim merayu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pendaftaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan segera.

“PPBM sebelum ini diluluskan dalam tempoh sebulan maka saya jangka dengan kerajaan baru ia akan jadi lebih cepat daripada kerajaan BN kerana kerajaan ini terbuka,” katanya.

Thursday, May 31, 2018

Menteri elak jawab gesaan UiTM dibuka pada bukan bumiputera

Koh Jun Lin
Diterbitkan 31 Mei 2018, 1:19 petang


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengelak daripada mengulas isu tuntutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera.

Dalam sidang media di Putrajaya, beliau ditanya tentang gesaan itu yang dibuat kumpulan yang digelarkan sebagai Hindraf 2.0, serta petisyen atas talian membantah cadangan itu yang mendapat 100,000 tandatangan dalam masa 24 jam.

Maszlee pada mula bertanya bagaimana petisyen itu boleh muncul.

Selepas diberitahu ia sebagai respons kepada Hindraf 2.0, beliau berkata: Saya tidak begitu pasti kerana satu-satunya Hindraf yang kita kenal dan kebanyakan kita iktiraf adalah (yang dipimpin) P Waythamoorthy, dan beliau tidak mencadang apa-apa berkaitan UiTM.

"Jadi lebih baik kita kekal dengan fakta dan bukan berita palsu," katanya.

Selepas diminta menjelaskan isu itu tanpa mengambil kira Hindraf 2.0, beliau berkata, "Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari."

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, May 30, 2018

Cubaan buli Melayu

Safina Ramli
pengarang@utusan.com.my
30 Mei 2018 3:00 AM

Tuntutan Hindraf usaha nafikan hak kaum majoriti

IBRAHIM ABU SHAH

KUALA LUMPUR 29 Mei - Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mendesak kemasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum merupakan satu cubaan untuk membuli dan menafikan hak orang Melayu yang me­rupakan kaum majoriti negara ini.

Sehu­bu­ngan itu, be­kas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah menggesa seluruh alumni dan mahasiswa UiTM serta orang Melayu untuk menentang tuntutan tersebut.

“Suasana Malaysia pada masa ini menjadikan kumpulan majoriti akan dibuli dan dizalimi haknya tanpa segan silu oleh kumpulan minoriti.

“Bukan sahaja warga UiTM malah orang Melayu kena bangkit, satu persatu hak kita diambil, apa yang tinggal pada kita akhirnya nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) de­ngan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

Menurut Ibrahim kerajaan Pakatan Harapan mesti bertindak tegas dengan tidak melayan sebarang tuntutan seperti yang disuarakan Hindraf.

“Tuntutan ini hanya permulaan, tidak mustahil selepas ini ada lagi tuntutan lain yang mempersoalkan hak istimewa orang Melayu dan juga institusi raja-raja Melayu,” katanya.

Ibrahim menambah, orang Me­layu bukan merupakan kaum yang tamak tetapi apa yang dipertahankan itu merupakan hak-hak dan keistimewaan mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak-hak orang Melayu yang termaktub dan dipersetujui di dalam Perlembagaan Persekutuan jangan diungkit malah banyak lagi universiti yang membuka peluang mereka kepada semua kaum di negara ini, kenapa UiTM juga ingin disentuh,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said menerusi Twitter berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) membantah tuntutan Hindraf yang mendesak kemasukan UiTM dibuka kepada semua kaum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/cubaan-buli-melayu-1.681835#ixzz5GwpVX1t9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, May 29, 2018

ARMADA PPBM tolak tuntutan HINDRAF 2.0

MyMetro
Mutakhir
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my
MOHD Ashraf Mustaqim. FOTO arkib NSTP

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak sekeras-sekerasnya tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) supaya kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum.

EXCO ARMADA (Pendidikan), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata, HINDRAF 2.0 tidak wajar menyentuh isu yang mampu membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Beliau berkata, jika mereka ikhlas untuk membina negara bangsa, wajib dimulakan dengan menutup sekolah pelbagai aliran yang mungkin dapat memberi perubahan kepada demografi di UiTM kelak.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tuntutan itu kerana menyentuh hak dan kepentingan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

“Negara kini menuju ke arah Malaysia Baharu di bawah kerajaan Pakatan Harapan dengan teras utamanya adalah integrasi nasional, menuju asimilasi setiap kaum dalam suasana rukun dan harmoni.

“Pun begitu, isu terkait UiTM adalah hak eksekutif yang terlalu awal dibincangkan atau dituntut khususnya oleh HINDRAF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, pihaknya berpendapat belum masanya UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera kerana ia satu-satunya institusi ditubuhkan untuk memberi pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan Bumiputera secara eksklusif.

Beliau berkata, pihaknya senada dengan Biro Jalur Pribumi ARMADA PPBM menolak tuntutan HINDRAF 2.0 melalui Ketua Umumnya, P Uthayakumar semalam yang tidak releven dalam keadaan semasa.

“Perkara terkait dengan UiTM adalah sesuatu yang tidak wajar disentuh oleh mana-mana pihak kerana ia dinaungi Perlembagaan iaitu teras negara khususnya melalui artikel 153 berkenaan Hak Keistimewaan Orang Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, HINDRAF atau mana-mana pihak yang terus mempersoalkan perkara itu perlu memperhalusi asas Rukun Negara yang menjadi nadi Perlembagaan dan memahami konsep Melayu sebagai tiang seri dalam membina negara.

Dalam pada itu, Mohd Ashraf Mustaqim mengingatkan orang Melayu supaya tidak bersikap sambil lewa dan bermalasan atas keistimewaan diberikan dan bersedia dikritik kerana bangsa itu jauh ketinggalan dalam banyak perkara.

“Jangan akhirnya tiang seri yang sepatutnya memakmurkan pelbagai kaum di Malaysia ini akhirnya rosak dimakan anai-anai disebabkan sikap orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 1:35 PM

Alumni UiTM bantah tuntutan Hindraf


KUALA LUMPUR 28 Mei - Persatuan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) membantah tuntutan Hindraf supaya kemasukan ke pusat pengajian tempatan itu dibuka kepada semua kaum.

Persatuan tersebut berkata, kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, dan berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"PAUiTM bimbang kenyataan Hindraf seperti ‘menuang minyak ke api’ itu akan mencetuskan kemarahan umat Melayu Bumiputera di negara ini.

"Sehubungan itu kami mahu kenyataan berbau hasutan seperti itu dihentikan sama sekali oleh mana-mana pihak sekali pun," kata persatuan tersebut dalam satu kenyataan di laman sesawangnya, hari ini.

Persatuan tersebut turut mencadangkan supaya institusi seperti UiTM ini diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu bagi mengelakkan ia tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Monday, May 28, 2018

Kerajaan pertimbang tuntutan HINDRAF

MyMetro
Mutakhir
Manirajan Ramasamy; Fairul Asmaini Mohd Pilus;
Nasarudin Parzi dan Farhana Syed Nokman
cnews@nstp.com.my

Ketua Umum HINDRAF, P Uthayakumar.
FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

KERAJAAN akan mempertimbangkan 25 tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) termasuk mengenai isu tanah rancangan FELDA dan kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, tuntutan itu akan diteliti dan dipertimbangkan.

“Kita akan mempertimbangkan tuntutan (HINDRAF2.0) berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Dr Mahathir mengulas tuntutan HINDRAF 2.0 supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan tanah seperti rancangan FELDA kepada kaum India yang berpendapatan rendah selain membuka kemasukan UiTM kepada semua kaum.

Ketua Umum HINDRAF, P Uthayakumar berkata, mereka menuntut supaya UiTM yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu supaya dibuka untuk semua kaum terutama untuk kaum India dari golongan B75.

“Kita mahu 20,000 lot tanah seperti FELDA seluas dua hektar setiap satu lot yang ditanam sawit dan ternakan lembu liar, peluang skim pemilikan tanah dilengkapi rumah serta kemudahan asas.

“Kami juga menuntut kerajaan PH memberikan hak milik 20,000 lot tanah seluas 0.8 hektar bagi tujuan ternakan lembu atau kambing berserta rumah dan kemudahan.

“Ia termasuk peluang 15 peratus untuk golongan B75 bagi tawaran kemasukan ke universiti awam, politeknik, UiTM dan Tadika Permata setiap tahun,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan kepada kerajaan menerusi Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 8:55 PM

HINDRAF tuntut tanah, UiTM semua kaum

MyMetro
Mutakhir
Mohd Anwar Patho Rohman dan
Mahanum Abdul Aziz dan 
Zarina Zakaria
cnews@nstp.com.my
KETUA Umum Hindraf, Kumar Hashimah (tengah) ketika ditemuramah media selepas menyampaikan memorandum hak orang India di Menara Ilham. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR

BARISAN Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan tanah seperti rancangan FELDA kepada kaum India yang berpendapatan rendah.

Ketua Umum HINDRAF, P Uthayakumar berkata, HINDRAF 2.0 turut menuntut supaya Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu supaya dibuka untuk semua kaum terutama untuk kaum India dari golongan B75.

“Kita mahu 20,000 lot tanah seperti FELDA seluas dua hektar setiap satu lot yang ditanam sawit dan ternakan lembu liar, peluang skim pemilikan tanah dilengkapi rumah serta kemudahan asas.

“Kami juga menuntut kerajaan PH memberikan hak milik 20,000 lot tanah seluas 0.8 hektar bagi tujuan ternakan lembu atau kambing berserta rumah dan kemudahan.

“Ia termasuk peluang 15 peratus untuk golongan B75 bagi tawaran kemasukan ke universiti awam, politeknik, UiTM dan Tadika Permata setiap tahun,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan kepada kerajaan menerusi Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.

Memorandum itu diterima Sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, Zawiyah Mohd Yusof.

Tuntutan lain HINDRAF 2.0 ialah 20,000 lesen dan permit kerja bagi projek kerajaan, lesen penjaja kecil, memberikan taraf warganegara kepada warga India tidak memiliki dokumen diri.

Ia termasuk menangani isu kemiskinan golongan B75, isu pengsngguran, masalah jenayah, mengurangkan pengambilan pekerja warga asing, pemberian tanah seluas 0.8 hektar kepads kuil dan tanah seluas empat hektar bagi tanah perkuburan Hindu.

Uthayakumar berkata, kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad wajar menimbang dan mengambil kira tuntutan HINDRAF 2.0 selepas 80 peratus pengundi India menyokong PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 4:13 PM

Tuesday, November 28, 2017

Pemimpin perlu cermat dalam ucapan, jangan jadi gurauan rakyat

DR RIDUAN MOHD NOR

UCAPAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu program semalam di Majlis Anugerah Nadi negara 2017 semalam yang mengaitkan pelajar UiTM sebagai ‘slow learner’ (tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran), sememangnya melucukan. Pastinya kenyatan beliau menjadi bola tanggung buat sesiapa sahaja khususnya bekas pelajar UiTM untuk ‘membelasah’ beliau secukupnya. Biarpun beliau menafikan dengan mendakwa kenyataannya disalahtafsirkan, namun hakikatnya beliau telah menyebut perkataan itu, dan kini perlu bersedia menerima apa juga kritikan mahupun kutukan.

Sememangnya kenyataan bodoh dan kurang matang seperti ini ditunggu buat ahli politik atau seteru politik, lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Sikap pandir atau bendol dalam kenyataan memang akan menjadi mangsa belasahan awam, sama ada daripada netizen mahupun para pemimpin sendiri. Jadi usah menyesal jika kenyataan beliau menjadi bahan kempen jenaka dan kritikan pedas daripada mana-mana pihak buat beberapa hari dan minggu ini.

Sebagai pemimpin besar Umno dan berstatus menteri, Datuk Seri Tengku Adnan seharusnya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa ucapan atau kenyataan. Jika tidak mahu kenyataannya disalah tafsir, jangan memberi kenyataan yang bersifat kontroversi atau menimbulkan persoalan dan polemik. Beliau perlu menjaga air muka Perdana Menteri yang teruk dihentam ekoran kata-kata kesat ‘Kepala Bapak Kau’ beberapa minggu yang lalu yang mengundang kemarahan rakyat.

Umum melihat kenyataan beliau dan pemimpin Umno langsung tidak mencerminkan sikap profesional, bijak, matang dan cerdik, berjiwa besar dan berstatus negarawan. Malah, rakyat mengaitkan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno sekarang sebagai golongan yang begitu emosional dan bercakap tanpa berfikir. Ia menggambarkan betapa buruk dan busuknya hati mereka yang suka bercakap kasar dan kesat di hadapan media.

Meskipun mungkin ucapannya bernada gurau, berjenaka atau sinikal kepada pihak tertentu, atau mungkin tersalah cakap dan disalahtafsir media. Namun rakyat melihat ucapan beliau mengandungi unsur penghinaan. Bagaimana perasaan ribuan bekas graduan UiTM yang kini berjaya dalam pelbagai lapangan termasuk usahawan, teknokrat, profesional, mahupun pemimpin negara tatkala membaca atau menghayati ucapan beliau. Janganlah kerana beliau dan beberapa kerat pemimpin besar belajar di institusi pendidikan terkenal dalam dan luar negara, graduan UiTM pula diperkecilkan. Sedangkan UiTM begitu banyak jasanya kepada rakyat terutama anak-anak Melayu. Tanpa UiTM, betapa ramai anak Melayu tercicir dalam pelajaran, dan mungkin tidak mendapat kedudukan seperti sekarang.

Bagi pemimpin berjiwa besar, ucapan salah maksud atau tersalah cakap seperti ini tidak harus dijadikan modal politik dalam mengharungi PRU ke 14. Namun pendidikan dan pengajaran perlu disampaikan, agar pemimpin negara berhati-hati dalam menyampaikan ucapan. Jangan kerana ‘nila setitik, habis rosak susu sebelanga’ atau kerana satu dua kerat pemimpin yang tidak menjaga mulut, habis rosak Umno dan pemimpinnya dijatuhkan rakyat.

Sebaiknya, dalam waktu-waktu kritikal ini, pemimpin Umno perlu banyak belajar menghormati dan menghargai rakyat. Sekalipun jika tidak mampu memuji rakyat atas jasa dan pengorbanan mereka, jangan pula mengeji mereka. Jika tidak mampu menyenangkan rakyat, jangan pula menyusahkan rakyat dengan pelbagai bebanan dan tekanan. Jika tidak mampu memberi bahagia, jangan menjadikan rakyat menderita.

– HARAKAHDAILY
   28/11/2017

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-