Showing posts with label Umno.. Show all posts
Showing posts with label Umno.. Show all posts

Monday, August 12, 2024

Zahid bukan hero, tak perlu dabik dada selamatkan Umno - Dr M

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 12, 2024
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menempelak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mengaku berjasa menyelamatkan parti itu daripada diharamkan ketika era pentadbiran PH selepas PRU14.

Mahathir menafikan dakwaan Zahid bahawa dia telah cuba untuk mengharamkan Umno, sebaliknya mengingatkan bagaimana parti itu mengalami kekalahan pilihan raya yang paling buruk dan buat kali pertama tersingkir dari Putrajaya.

"Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat Umno.

"Zahid bukan hero. Dia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat Umno, iaitu DAP, supaya jadi timbalan perdana menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya," kata Mahathir merujuk ucapan Zahid ketika mesyuarat bahagian Umno Cameron Highlands baru-baru ini.
Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan rasuah yang berkaitan dengan berjuta-juta ringgit dari Yayasan Akalbudi pada 2018, dan diperintahkan untuk membela diri pada Januari 2022.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023, memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan penuh (DNAA).

Sementara itu, Mahathir juga mengingatkan presiden Umno itu pada sekurang-kurangnya dua pertemuan peribadi, dia telah menasihatkan Zahid bahawa parti itu telah menyimpang dari perjuangan asalnya.

"Oleh kerana perjuangan tidak sama dengan perjuangan asal Umno, hak untuk dikenali sebagai parti Umno sudah hilang.
"Oleh itu adalah lebih baik bagi nama Umno tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama Umno.

"Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna Umno," kata Mahathir.

"Saya tidak boleh dijatuh oleh Zahid atau Umno (pimpinan)nya. Parti yang kalah tidak berhak jatuh parti yang menang.

"Selepas berjumpa Zahid kali kedua, beliau cuba jelaskan yang dia tidak bersalah dalam tuduhan rasuah yang disebar umum. Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau," katanya lagi
Selanjutnya, Mahathir menegaskan dia telah meletakkan jawatan perdana menteri pada Februari 2020 selepas Bersatu - parti yang diasaskannya selepas keluar Umno - enggan mengikut nasihatnya.

"Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan.

"Dan itulah yang saya lakukan," kata Mahathir yang mencapai usia 99 tahun pada bulan lalu.

Peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri dan peristiwa seterusnya yang berkaitan dengan ‘Langkah Sheraton’ akhirnya menyaksikan pembentukan kerajaan PN di bawah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang pada masa itu bekerjasama dengan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Star.

Thursday, October 7, 2021

Siapa menang sekiranya MN terkubur?

freemalaysiatoday.com
Imran Ariff
-October 7, 2021 11:00 AM

Penganalisis sukar meramalkan sama ada perpecahan itu akan menguntungkan Umno atau Bersatu, namun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

PETALING JAYA: Siapa akan menang sekiranya Muafakat Nasional (MN) yang menjadi pakatan antara Umno dan PAS, terkubur sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan?

Perpecahan itu mungkin berlaku sebelum pilihan raya, namun penganalisis sukar meramalkan sama ada ia akan menguntungkan Umno atau Bersatu.

Bagaimanapun, mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

Selasa lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata mungkin sudah tiba masanya untuk “beralih” daripada pakatan yang dibentuk dua parti itu pada 2019 kerana Umno tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan MN dalam persiapannya berdepan PRU15.

PAS juga adalah sebahagian daripada gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu namun pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, Umno telah membuat ketetapan bahawa tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

Ketika tersepit di tengah-tengah, PAS berkata ia akan menyokong penyandang di kawasan yang mana menyaksikan pertembungan antara Umno dan Bersatu.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir memberitahu FMT bahawa beliau percaya sekiranya Umno lebih sensitif terhadap sentimen rakyat, ia tidak lagi memerlukan sokongan daripada parti Islam.

“Pada 2019, apabila mereka mengadakan pakatan selepas PRU14, persepsi rakyat terhadap Umno tidak begitu baik,” katanya.

Jeniri Amir.
“Tetapi ia berubah. Kedudukan parti itu lebih baik sekiranya memutuskan untuk berdepan pilihanraya umum tanpa PAS.

“Secara peribadinya, saya tidak melihat alasan PAS di sebalik sokongannya terhadap Bersatu memandangkan ia tidak mempunyai jumlah kerusi yang sama atau jentera yang kuat, seperti dibina Umno selama ini.”

Katanya, perpecahan secara rasmi akan memudahkan Ismail Sabri Yaakob dan pentadbirannya memandangkan mereka tidak perlu lagi memenuhi kehendak PAS.

“Umno ialah parti nasionalis, manakala PAS pula parti Islam. Perpecahan akan membantu Umno apabila pada masa itu ia mungkin dilihat sebagai lebih sederhana,” katanya.

Bagaimanapun, bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata perpecahan itu akan lebih menguntungkan Bersatu.

“PAS dan Umno akan rugi besar jika MN tidak dipertahankan memandangkan ia terbukti berhasil berdasarkan apa yang dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya.
Azmi Hassan.
Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Kecil dan Cameron Highlands pada 2019 apabila jentera gabungan dua parti itu berjaya memberi kemenangan kepada calon sekutu mereka.

“Bersatu akan menang daripada semua keadaan ini memandangkan ia amat memerlukan sokongan PAS sekiranya calon parti itu berdepan dengan Umno,” kata Azmi.

Namun, katanya ia tidak mungkin memberi kesan kepada pembangkang “memandangkan Umno, PAS dan Bersatu mempunyai banyak pertindihan penyokong” dan mereka tidak mungkin berpecah daripada ketiga-tiga parti itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-