Showing posts with label Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Show all posts
Showing posts with label Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Show all posts

Sunday, January 6, 2019

Yang di-Pertuan Agong letak jawatan

Diterbitkan Hari ini 6:32 petang 


Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara hari ini.

Dalam kenyataan itu, turut dinyatakan bahawa baginda berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

Berikut merupakan kenyataan penuh Istana Negara:

"Bagi menjujung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini lstana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

"Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

"KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016.

"Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini.

"Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni."

[Berita lanjut menyusul]

Friday, August 31, 2018

Dua acara rasmi sempena ulangtahun Agong dibatalkan

Diterbitkan 30 Ogs 2018, 9:25 malam 


Istana negara membatalkan dua acara rasmi bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang dijadual pada 9 Sept depan iaitu istiadat hari keputeraan rasmi dan jamuan teh diraja.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, Sultan Muhammad V juga menitahkan agar peruntukan perbelanjaan untuk kedua-dua acara berkenaan dikembalikan semula kepada kerajaan untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

"Manakala acara-acara rasmi sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang lain tetap diteruskan seperti mana yang telah dirancang.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang telah merancang acara-acara rasmi sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi baginda bagi tahun 2018," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Maahthir Mohamad dilaporkan berkata kutipan Tabung Harapan akan dihentikan bulan depan.

Tabung berkenaan dilancarkan pada 30 Mei bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara.

Sehingga kini tabung berkenaan berjaya mengumpulkan sebanyak RM179.9 juta setakat jam 3 petang hari ini.

Tuesday, July 17, 2018

Agong rasmi pembukaan Parlimen

Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
SULTAN Muhammad V memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat tiba di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur untuk merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-14, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Hadir sama menyambut keberangkatan baginda , Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Muhammad V menerima sembah 'Hormat Diraja' daripada Mejar Mohd Izham Mohd Rashidi yang mengetuai barisan kawalan keselamatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ia diikuti lagu 'Negaraku' dimainkan oleh pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Diraja yang diketuai Mohd Izham.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 10:29 AM

Tuesday, May 15, 2018

Rabu prosiding Lembaga Pengampunan DiRaja

Bernama
Diterbitkan 14 Mei 2018, 11:10 malam


Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan agar semua prosedur berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan Diraja untuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dimuktamadkan pada Rabu.

Datuk Pengelola Dijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan malam ini berkata Yang di-Pertuan Agong telah berkenan dan berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding oleh Lembaga Pengampunan Diraja mengenai perkara itu yang sepatutnya ditetapkan pada esok (Selasa) pukul 11 pagi.

“Walau bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri telah memohon supaya mesyuarat tersebut ditangguhkan pada Rabu (16 Mei) pukul 11 pagi.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada Rabu menjelang Ramadan,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana petang ini berkata pembebasan Anwar ‘sedikit lewat’ berikutan proses pengampunan yang perlu diikuti secara undang-undang.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata beliau telah dimaklumkan oleh Dr Mahathir pagi tadi bahawa kesemua persiapan berkaitan dokumentasi telah dilakukan.

"Hanya sebelah petang diberitahu ada penundaan dan selepas itu Dr Mahathir bercakap melalui telefon dengan Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar, memberi jaminan mesyuarat akan bersidang pada Rabu," katanya kepada pemberita selepas melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras, lewat petang ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata parti itu akan mengadakan program sambutan sebaik sahaja Lembaga Pengampunan bersetuju dengan syor pengampunan dan pembebasan Anwar.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Sunday, February 26, 2017

Mereka datang bukan kerana persahabatan, kata Mahathir

Alyaa Azhar
Ada pemimpin negara asing datang ke Malaysia bukan atas dasar persahabatan tetapi kerana sesuatu yang 'diberikan' oleh perdana menteri kepada mereka, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Meskipun tidak menyebut nama pemimpin berkenaan, beliau dipercayai merujuk kedatangan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dari Arab Saudi bersama delegasi 600 anggota yang terdiri daripada kerabat diraja dan jemaah menteri dari negara itu.

Mahathir dalam satu majlis anjuran BERSATU di Sungai Buloh malam tadi, seperti biasa menyerang musuh nombor satu beliau, Datuk Seri Najib Razak dengan menyentuh isu derma yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya.

"Saya belum jumpa manusia yang apabila kita cakap dia pencuri dia ‘eheheh’. Orang semua cakap kamu pencuri. Pemimpin negara lain datang melawat anggap ini menghalalkan perbuatan haram.

"Tapi kita tahu sebab-sebab yang orang asing membuat lawatan ke Malaysia. Saya tak perlu nak sebut di sini. Tapi mereka datang bukan kerana persahabatan tapi kerana ada sesuatu yang Najib boleh bagi kepada mereka.

"Inilah sebabnya mereka berada di sini," kata Mahathir.

Mahathir berkata, pemimpin negara berkenaan sepatutnya memberi penjelasan mengenai wang derma berkenaan.

"Kita berasa amat malang kerana mereka ini sepatutnya menjelaskan bahawa derma yang diberi oleh mereka itu tak benar- tak ada dokumen yang menunjuk bahawa wang itu diberi secara percuma.

"Tetapi demikianlah mereka sanggup berbohong sama-sama dengan Najib," kata Mahathir dalam ucapannya kepada kira-kira 1,000 hadirin yang terdiri daripada anggota BERSATU dan penyokong.

Ditanya oleh media kemudian sama ada beliau merujuk kepada Raja Arab Saudi, Mahathir berkata, "Saya tidak berkata apa-apa, anda menyebutnya."

Tujuh bulan selepas The Wall Street Journal pada Julai 2015 mendedahkan bahawa RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun bank Najib, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengisytiharkan wang itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Apandi juga mendakwa siasatan menunjukkan sebahagian wang itu telah dikembalikan kepada penderma berkenaan.

Sementara itu, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan ke Malaysia dari 26 Februari hingga 1 Mac bagi memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang berkaitan, termasuk isu kuota haji yang akan menjadi agenda utama.

Lawatan sulung Raja Salman yang menaiki takhta pada 23 Januari 2015, adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-