Showing posts with label anggota parlimen Islam. Show all posts
Showing posts with label anggota parlimen Islam. Show all posts

Wednesday, December 5, 2018

Kenyataan Hadi 'lebih ramai MP bukan Islam' provokatif - Lim

Diterbitkan 5 Dis 2018, 6:22 petang 


Kenyataan Abdul Hadi Awang bahawa lebih ramai bilangan anggota parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat disifatkan sangat provokatif, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim mengulas kenyataan presiden PAS itu yang bimbang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) akan tetap diratifikasi memandangkan komposisi anggota parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat lebih ramai.

"Daripada menyebarkan perpaduan nasional di kalangan semua rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang etnik dan agama, Hadi terus mencuba dan memecahbelahkan rakyat Malaysia, dengan membuatkan orang Islam menentang orang bukan Islam."

"Pertama, angka yang dipetik oleh Hadi tidak tepat. Beliau berkata terdapat 66 anggota Parlimen bukan Islam dan 58 anggota Parlimen Muslim dalam Harapan. Sebenarnya, ada 62 orang anggota Parlimen Muslim dalam Harapan.

"Anggota Parlimen Bumiputera, termasuk Bumiputera bukan Islam, melebihi jumlah bukan bumiputera. Adakah Hadi menganggap Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak tidak sama, hanya kerana mereka bukan Islam?" kata Lim yang juga menteri kewangan.

Ahad lalu Abdul Hadi dilapor berkata pembangkang akan meneruskan himpunan kejayaan bantahan Icerd yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini di ibu negara.

“Dalam kerajaan Pakatan Harapan, 66 kerusi Parlimen dipegang orang bukan Islam dan hanya 58 milik orang Islam. Entah di mana silapnya jadi begini.

“Namun, jangan salah gunakan bilangan ini untuk luluskan Icerd dan sebab itu juga kita akan teruskan himpunan kejayaan membantah Icerd. Kita bukan nak buat huru-hara, tapi nak tunjuk protes,” kata Hadi seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas lanjut Lim berkata daripada 28 anggota kabinet, termasuk senator, 17 daripada mereka beragama Islam, manakala hanya 11 orang bukan Muslim, dan di kalangan timbalan menteri, 18 beragama Islam dan hanya sembilan bukan Muslim.
Tambah beliau, daripada 222 anggota Parlimen, 140 daripadanya adalah Muslim, dengan hanya 82 dari mereka yang bukan beragama Islam.

"Bagaimanakah hak-hak orang Islam boleh terancam apabila anggota parlimen Muslim terdiri daripada 63 peratus anggota parlimen di Parlimen? Dengan menggunakan logik Hadi, tidakkah orang bukan Islam merasa terancam oleh 63 peratus anggota parlimen Muslim di Parlimen? "Katanya.

Lim berkata desakan PAS untuk menyertai perhimpunan anti-Icerd pada Sabtu ini hanya demi memenuhi survival dan kepentingan politik parti Islam itu meskipun kerajaan sudah berjanji Icerd tidak akan ditandatangani.

Beliau berkata adalah lebih baik PAS mengadakan protes terhadap semua skandal kewangan yang berlaku di bawah pentadbiran Umno BN daripada berhimpun bagi membantah Icerd yang sudah tidak lagi relevan.

"Ini akan menjadi perkara yang baik untuk semua rakyat Malaysia, baik untuk orang Islam mahupun untuk orang bukan Islam," katanya.

Monday, May 22, 2017

Tiada guna MP Islam kuasai 2/3 parlimen jika bisu soal rasuah - Amanah

Posted By: Pentadbir

PAS diperingatkan bahawa, tiada makna anggota parlimen Islam menguasai dua pertiga Dewan Rakyat jika mereka tidak bersuara apabila ada isu rasuah dan skandal besar.

Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, juga berkata sebelum menguasai majoriti besar itu, PAS perlu terlebih dulu meyakinkan pengundi untuk memilih mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau ada dua pertiga sekali pun, tapi tak mahu bersuara apabila ada rasuah, salah guna kuasa dan skandal besar macam isu 1MDB, buat apa?” katanya melalui Facebook hari ini.

Hanipa yang pernah menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PAS mengulas kenyataan Nasrudin Hassan yang disiarkan Malaysiakini semalam.

Kata Nasrudin, umat Islam perlu bersatu dan memastikan dua pertiga anggota parlimen di Dewan Rakyat beragama Islam bagi mengukuhkan kuasa politik mereka.

Kata ketua penerangan PAS itu walaupun Islam menjadi agama persekutuan dan majoriti penduduk negara ini adalah muslim, masyarakat Islam di negara ini masih lemah, hina dan “bangsat di atas tanah air sendiri.”

Nasrudin yang juga anggota parlimen Temerloh itu berkata, umat Islam perlu bangkit dari lena yang panjang dan keluar dari zon selesa mereka.

Ketika ini daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, 135 daripadanya – atau 61 peratus – adalah wakil beragama Islam.

Hanipa berkata dalam keadaan Umno yang tidak memiliki dua pertiga kerusi Dewan Rakyat pun pelbagai skandal dikaitkan dengan parti itu, keadaan mungkin menjadi lebih buruk jika keadaan adalah sebaliknya.

“Yang lebih teruk lagi, ada juga anggota parlimen Islam yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam tapi tidak bersuara lantang melawan Umno di parlimen walaupun rasuah dan kezaliman berlaku di depan mata,” katanya.

Hanipa juga mengecam perubahan sikap PAS yang didakwanya melupakan janji bahawa parti itu berjuang untuk semua rakyat Malaysia.

Sebaliknya, kata beliau, PAS menuduh pihak tidak sehaluan dengannya sebagai pengkhianat.

“Hangpa (kalian) ingat apa yang hangpa buat sekarang ni, pengundi semua kaum dan agama tak nampak ke?

“Apa hangpa ingat pengundi negara ini bebal macam ramai cyber trooper (tentera siber) di alam maya ke?” katanya lagi. 

– Mkini

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-