Showing posts with label bangsa. Show all posts
Showing posts with label bangsa. Show all posts

Sunday, January 26, 2025

Pelbagai kaum makan budu dalam pinggan sama

harakahdaily
January 26, 2025
Di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan terus menjadi contoh negeri yang memupuk perpaduan harmoni antara kaum apabila mereka seumpama ‘bersaudara’.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejarah membuktikan tidak pernah berlaku perbalahan kaum di Kelantan sehingga berlaku perkara tidak diingini sebagaimana berlaku di negeri lain.

“Ini adalah keistimewaan yang kita miliki, dan ia bukan sekadar kata-kata,” tegasnya ketika berucap merasmikan Majlis Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2025 di AEON Mall Kota Bharu malam tadi.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Antara Kaum Negeri, Zamakhshari Muhamad

Menurut beliau, kemakmuran masyarakat pelbagai kaum di Kelantan bukan sahaja dapat dilihat dalam kehidupan harian, tetapi juga dalam tradisi sambutan perayaan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa.

“Di Kelantan, kita tidak melihat perbezaan kaum, agama, atau tradisi sebagai punca perpecahan. Sebaliknya, ia menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara semua,” katanya.

Beliau menambah bahawa perpaduan erat ini menjadikan masyarakat Kelantan hidup sebagai sebuah keluarga besar, tidak kira bangsa dan agama.

“Bahkan, sambutan Aidilfitri di negeri ini sering dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum yang mempunyai masyarakat Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain bangsa sebagai tanda perpaduan sejati,” katanya.

Sambungnya, kehidupan bermasyarakat terus ditonjol ketika makan tengahari bersama-sama terutama ketika menikmati menu masakan kampung.

“Nak cari di negeri mana seperti di Kelantan, orang Melayu, Cina, India dan Siam petak budu dalam pinggan yang sama ketika menikmati hidangan tengah hari.

“Saya rasa tidak jumpa di negeri lain, tetapi di Kelantan inilah yang berlaku, mu (kau) picit lada dalam budu, aku petak sama dan makan,” ujarnya sambil disambut sorakan para hadirin yang hadir.

Dato’ Nassuruddin turut menyeru agar budaya harmoni ini terus dipertahankan.

“Hidupkan budaya yang berbeza ini, dan saya yakin Kelantan akan menjadi lebih makmur. Kita mahu perpaduan ini kekal dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menekankan bahawa hubungan erat antara kaum di Kelantan adalah asas utama untuk membina negeri yang lebih sejahtera dan bersatu. 

– HARAKAHDAILY 26/1/2025

Friday, May 31, 2019

Iftar pelbagai agama di Masjid Kg. Tunku

Azman Ibrahim
31 Mei 2019 8:18 PM

LIM Yi Wei bergambar bersama sebahagian daripada wakil-wakil rumah ibadat dan wakil persatuan keagamaan sempena Majlis Berbuka Puasa Muhibbah Ramadan di Masjid Kampung Tunku Petaling Jaya di sini hari ini.
 - UTUSAN ONLINE / FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Buat pertama kali, buka puasa membabitkan pelbagai agama dan bangsa dijalankan di Masjid Kampung Tunku, SS1 Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Majlis yang dinamakan Ramadan Muhibah itu menarik kira -kira 50 hadirin jemputan khas yang terdiri dalam kalangan pemimpin-pemimpin masjid kawasan sekitar Kampung Tunku serta beberapa buah rumah ibadat bukan Islam.

Program ini juga menarik kehadiran pemimpin bukan Islam dari Tokong Fo Guang Sham SS3 dan Gabungan Persatuan Cina Petaling Jaya.

Ia merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Yi Wei ketika ditemui pemberita berkata, program berkenaan bertujuan merapatkan pemimpin pelbagai agama dan memupuk perpaduan antara kaum.

Katanya, ini merupakan inisiatif pertama kali dijalankan di masjid dalam kawasan jagaannya.

“Program ini adalah merupakan sambungan projek komuniti yang bermula pada tahun lalu.

“Walaupun pemimpin-pemimpin dari agama Kristian dan Hindu tidak datang kerana mempunyai hal yang tidak dapat dielakkan, program ini tetap berjalan lancar,” katanya.

Yi Wei turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Masjid Kampung Tunku yang sudi 'membuka pintu' untuk melancarkan lagi program berkenaan.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Masjid Kampung Tunku, Wan Huzaini Wan Hussin.

Kampung Tunku mempunyai taburan penduduk kira-kira 60 peratus Cina, 20 peratus Melayu dan 20 peratus lagi India serta lain-lain kaum.

 - UTUSAN ONLINE

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-