Showing posts with label gajah. Show all posts
Showing posts with label gajah. Show all posts

Sunday, May 10, 2020

Guna gajah untuk sampaikan bantuan kepada Orang Asli


Guna gajah untuk sampaikan bantuan kepada Orang Asli

SEPANJANG enam tahun bergelar penggembala gajah atau ‘mahut’, tidak pernah sekali pun Faridzul Mohd Fadzli menjangkakan beliau akan mengemudi haiwan itu dalam operasi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke kampung Orang Asli.

Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Faridzul, 35, yang bertugas di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Temerloh, Pahang berkata, beliau hanya pernah mengemudi gajah dalam operasi menjinakkan gajah liar selain sesekali digunakan dalam acara perarakan rasmi.

“Rasa berdebar juga bila diberitahu gajah saya bernama Alam yang berusia 21 tahun terpilih untuk membawa barang keperluan asas seperti beras dan makanan dalam tin yang dimasukkan ke dalam guni sebelum diikat di kiri dan kanan badan untuk dihantar ke kampung Orang Asli.

“Disebabkan kali pertama berjalan dalam keadaan barang bergantung di badan, Alam mengambil masa lebih lama untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan kerana ada masanya kami tersilap mengagak jarak menyebabkan guni yang dibawa tersangkut di celah pokok,” katanya semasa dihubungi Bernama.
Faridzul yang merupakan anak jati Setiu, Terengganu berkata, disebabkan terdapat empat kampung yang terlibat dalam operasi itu beliau perlu memastikan Alam berada dalam keadaan baik kerana jarak kampung yang paling jauh mengambil masa selama lapan jam perjalanan.

Mereka bertolak pada 18 April lalu untuk ke destinasi pertama iaitu Kampung Baek yang mengambil masa dua jam dari PKGK Kuala Gandah sebelum ke kampung paling jauh, Kampung Senil dan bermalam di situ untuk membolehkan gajah berehat sebelum pulang ke pusat konservasi pada hari ketiga.

“Saya perlu peka dengan keadaan Alam untuk melihat jika ia sudah letih. Selalunya, dalam keadaan begitu, tempo perjalanan Alam semakin perlahan dan apabila melalui sungai, ia akan berhenti untuk minum dan menyimbah air ke badan.

“Habis basah saya yang berada di atas gajah… yang paling saya bimbang ialah barang bantuan yang dibawa. Tidak manis pula jika diberi dalam keadaan basah. Alhamdulillah, semua barangan apabila diperiksa masih elok kerana dibalut kemas,” katanya.

Faridzul menambah ada masanya bimbang jika penduduk kampung yang hendak dituju melarikan diri apabila mendengar bunyi gajah kerana beranggapan ia adalah gajah liar, namun perasaan itu hilang apabila dimaklumkan penduduk sudah sedia maklum dengan kehadiran mereka.

Ini kerana, beberapa pekerja di PKGK Kuala Gandah merupakan Orang Asli dari suku kaum Che Wong telah terlebih dahulu ke kampung terlibat yang juga dihuni suku kaum sama, dengan tiga daripada mereka turut mengemudi gajah yang digunakan dalam operasi.

“Operasi berjalan dengan baik, cuma yang kelakarnya perjalanan pulang kami lebih perlahan kerana gajah yang terlibat sudah terlebih makan daun dan pucuk tumbuhan hutan liar kerana mereka dikelilingi sumber makanan yang banyak,” katanya.
Ketua PKGK Kuala Gandah Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata penggunaan gajah itu diketahui umum selepas gambar operasi dikongsikan di laman sosial kelmarin dan melibatkan empat kampung dalam kawasan Hutan Rizab Hidupan Liar Krau di bawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Selain Kampung Baek dan Kampung Senil, dua kampung lagi ialah Kampung Asli Serluh dan Kampung Lata Tujuh yang didiami kira-kira 20 keluarga Orang Asli Che Wong dan secara keseluruhan lima ekor gajah digunakan iaitu Alam, Sanum, Timur, Kala dan Kasturi dengan dikawal sembilan mahut.

“Barangan yang dihantar merupakan sumbangan daripada pelawat yang pernah mengunjungi PKGK sebelum ini. Penggunaan gajah adalah perlu memandangkan kampung berkenaan hanya boleh diakses menggunakan motosikal atau berjalan kaki sahaja sedangkan barang yang hendak dihantar banyak.

“Kami mendapat tahu Orang Asli dari kampung itu ada keluar untuk membeli barang di kedai kecil sekitar Kuala Gandah, namun kedai ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mereka tidak tahu ke mana hendak dituju lalu pulang semula ke kampung,” katanya.

Muhammad Khairul Adha menyifatkan penggunaan gajah dalam operasi itu juga sebagai ‘serampang dua mata’ kerana mengikut jadual bulanan, gajah di PKGK perlu melaksanakan rutin Operasi Rondaan Bergajah bagi mengekalkan kecergasan gajah selain meningkatkan keserasian dengan mahut.

Rondaan bulanan itu juga merupakan inisiatif Jabatan Perhilitan menerusi PKGK Kuala Gandah melindungi khazanah alam dalam rizab hutan dan memastikan tiada aktiviti pencerobohan, pemburuan dan pengambilan hasil hutan secara haram berlaku.
 
BERNAMA

Tuesday, March 31, 2015

Bayi lahir dengan belalai dipuja seperti tuhan

Bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 7.00 pagi dan merupakan anak keempat daripada keluarga yang sihat dan tidak mempunyai sejarah kecacatan sebelum ini. -Foto Mirror.uk.

INDIA, 31 Mac:

Seorang bayi perempuan dipuja seperti tuhan di India selepas dilahirkan dengan kecacatan pada wajah iaitu mempunyai hidung yang menyerupai belalai gajah.

Penduduk setempat berpusu-pusu ke kampung di Aligard di sini, di mana bayi tersebut dilahirkan untuk melihatnya secara dekat kerana percaya bahawa bayi berkenaan adalah jelmaan kepada Dewa Ganesha.

Asian News International melaporkan, walaupun doktor mengesahkan keadaan bayi berkenaan adalah disebabkan oleh mutasi genetik, namun penduduk kampung berkenaan tetap mempercayai bahawa bayi berkenaan adalah jelmaan kepada tuhan mereka.

Sementara itu, ibu saudara bayi berkenaan berkata, anak saudaranya itu mirip tuhan Ganesha.

“Semua orang percaya, dia adalah jelmaan kepada tuhan.

“Sebab itu, sesiapa yang mendengar tentang dia akan datang ke sini untuk melihat bayi ini secara dekat,” katanya seperti yang dipetik dari Mirror.uk.

Bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 7.00 pagi dan merupakan anak keempat daripada keluarga yang sihat dan tidak mempunyai sejarah kecacatan sebelum ini.

Menurut laporan tersebut, doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas bayi perempuan itu untuk mengetahui keadaan kesihatannya, sama ada dia perlu menjalani pembedahan.

Memetik laporan ANI, mutasi genetik yang dialami bayi tersebut dicetuskan oleh kekurangan zat makanan dan pencemaran.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/global/2015/03/31/bayi-lahir-dengan-belalai-dipuja-seperti-tuhan/#ixzz3VyefUHw2

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-