Showing posts with label tuhan. Show all posts
Showing posts with label tuhan. Show all posts

Saturday, January 11, 2020

G25: Jika mahu tinggalkan Islam, itu antara dia dan Tuhan

Diterbitkan Hari ini 12:50 tengahari

BERITA

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Demikian menurut kertas laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga merupakan wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”

Jelas G25 dalam laporan tersebut, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat jumaat misalnya adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.

Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

“Tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang,” katanya.

Selain itu, G25 berpendapat tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali.

“Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran,” katanya lagi.
G25 juga memaklumkan Malaysia pernah ada undang-undang yang mengesahkan seorang itu sudah murtad.

“Undang-undang itu sudah dimansuh dan digantikan dengan peruntukan undang-undang yang tidak jelas di “kebanyakan negeri” yang membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi seorang Islam,” katanya.

Turut hadir pada perbincangan laporan ini adalah, Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Noor Azimah Rahim, pemikir terkemuka Chandra Muzaffar dan Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF)Dr Ahmad Farouk Musa.

'Penubuhan MKI, Jakim tak ikut perlembagaan'

Sementara itu, G25 mendakwa penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengikut perlembagaan.

Kumpulan itu berkata, tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan organisasi berkenaan.

“Perkara-perkara berkaitan agama orang Islam dan adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan negeri dan majlis eksekutif negeri,” kata laporan itu.

"G25 juga maklum bahawa kuasa Majlis Raja-raja, yang dihadkan kepada perkara-perkara yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan, tidak termasuk menubuhkan sebuah agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim.

“Bagaimanapun, kami menghargai tujuan menubuhkan MKI adalah untuk mempunyai suatu agensi persekutuan untuk menyelaras dan mengalakkan penyeragaman dalam pentadbiran undang-undang Islam dalam kalangan negeri.

“Perlembagaan perlu dipinda jika ada keperluan untuk suatu agensi seperti itu”, jelas laporan berkenaan.

Selain itu, G25 juga menjelaskan Jakim, di samping berkhidmat sebagai sekretariat MKI, juga diamanahkan dengan fungsi-fungsi seperti kemajuan Islam dan kegiatan dakwah.

“Isi fungsi-fungsi itu, boleh dikatakan, melebihi kuasa eksekutif persekutuan (yang boleh dijalankan Kabinet), memandangkan kuasa eksekutif persekutuan tidak termasuk agama orang Islam kecuali di Wilayah Persekutuan sahaja.

“Kabinet mengamanahkan fungsi-fungsi khusus itu kepada Jakim dan oleh itu tidak konsisten dengan perlembagaan,” katanya.

MKI ditubuhkan sebagai pihak berkuasa tertinggi kebangsaan untuk menjadi platform tertinggi sebagai badan penyelaras pentadbiran agama Islam seluruh Negara. Jakim merupakan sekretariat kepada MKI.

Untuk rekod, G25 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan perspektif wasatiyyah dalam hal keagamaan, memperkukuh institusi perundangan serta mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pemerintahan negara.

Thursday, December 15, 2016

5,900 dibunuh dalam 5 bulan pemerintahan Duterte

Antara penagih, pengedar dan ahli sindiket dadah dan suspek yang dibunuh sepanjang pemerintahan lima bulan Rodrigo Duterte.

MANILA - FILIPINA. Perang terhadap dadah yang dilancarkan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kini mencecah 5,927 sejak lima bulan beliau dilantik.

Menurut laporan Dailymail, Duterte, 71 bukan sahaja tidak akan berhenti, malah menggertak 'musuh', pengedar dan pengguna dadah supaya berhenti mengedarkan 'najis' berkenaan.

"Mereka kata saya bunuh terlalu banyak. Anda mahu ia berhenti? Berhentilah gunakan dadah," kata Duterte.
Duterte menambah, selagi penyalahgunaan dan pengedaran dadah berleluasa, sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru 'tidak akan aman'.

Sebelum Duterte dilantik Mei lepas, beliau telahpun memasukkan operasi perang terhadap dadah dalam manifestonya.

Julai lalu, hampir 60,000 penagih dadah menyerah diri kepada kerajaan selepas Duterte 'menggalakkan rakyat Filipina membunuh pengedar dan penagih dadah'.

Setakat ini, 2,086 maut dalam operasi polis manakala 3,841 penagih, pengedar atau ahli sindiket dadah dibunuh oleh orang awam sendiri.
Orang awam yang disahkan membunuh suspek dadah pula akan diberikan ganjaran wang tunai.

Lebih 40,000 suspek telah ditahan dan masih disiasat.

Septembar lepas, Duterte 'dengan gembira' mengumumkan akan membunuh sendiri 3 juta penagih dadah di Filipina.
"Saya tak akan berikan alasan atau kemaafan. Saya akan jawab kepada Tuhan bila saya berhadapan dengan-NYA," kata Duterte.

Tuesday, March 31, 2015

Bayi lahir dengan belalai dipuja seperti tuhan

Bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 7.00 pagi dan merupakan anak keempat daripada keluarga yang sihat dan tidak mempunyai sejarah kecacatan sebelum ini. -Foto Mirror.uk.

INDIA, 31 Mac:

Seorang bayi perempuan dipuja seperti tuhan di India selepas dilahirkan dengan kecacatan pada wajah iaitu mempunyai hidung yang menyerupai belalai gajah.

Penduduk setempat berpusu-pusu ke kampung di Aligard di sini, di mana bayi tersebut dilahirkan untuk melihatnya secara dekat kerana percaya bahawa bayi berkenaan adalah jelmaan kepada Dewa Ganesha.

Asian News International melaporkan, walaupun doktor mengesahkan keadaan bayi berkenaan adalah disebabkan oleh mutasi genetik, namun penduduk kampung berkenaan tetap mempercayai bahawa bayi berkenaan adalah jelmaan kepada tuhan mereka.

Sementara itu, ibu saudara bayi berkenaan berkata, anak saudaranya itu mirip tuhan Ganesha.

“Semua orang percaya, dia adalah jelmaan kepada tuhan.

“Sebab itu, sesiapa yang mendengar tentang dia akan datang ke sini untuk melihat bayi ini secara dekat,” katanya seperti yang dipetik dari Mirror.uk.

Bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 7.00 pagi dan merupakan anak keempat daripada keluarga yang sihat dan tidak mempunyai sejarah kecacatan sebelum ini.

Menurut laporan tersebut, doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas bayi perempuan itu untuk mengetahui keadaan kesihatannya, sama ada dia perlu menjalani pembedahan.

Memetik laporan ANI, mutasi genetik yang dialami bayi tersebut dicetuskan oleh kekurangan zat makanan dan pencemaran.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/global/2015/03/31/bayi-lahir-dengan-belalai-dipuja-seperti-tuhan/#ixzz3VyefUHw2

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-