Showing posts with label hukuman penjara. Show all posts
Showing posts with label hukuman penjara. Show all posts

Wednesday, July 10, 2019

Aktivis berhimpun depan Penjara Kajang tuntut pembebasan Wan Ji

Wong Kai Hui 
Diterbitkan Hari ini 9:52 pagi


Susulan bermulanya hukuman penjara terhadap Wan Ji Wan Hussin di Penjara Kajang semalam, sekumpulan aktivis berhimpun secara aman di luar bangunan penjara untuk menuntut pembebasan pendakwah bebas itu dan pemansuhan Akta Hasutan, malam tadi.

Kira-kira 30 orang berkumpul bermula jam 8.40 malam, memegang lilin putih sambil melaungkan, "Bebas Wan Ji!" dan "Mansuh Akta Hasutan".

“Malam ni, kami sedih dan kecewa. Kebebasan bersuara sangat penting dan wajar dipertahankan oleh rakyat dan masyarakat kita,” kata pengarah eksekutif Saudara.org Lim Hong Siang, yang merupakan rakan kepada Wan Ji.

Wan Ji ialah anggota PKR dan bekas penasihat agama kepada ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini Lim Guan Eng. Kini, dia adalah pengarah akademik di Saudara.org, sebuah pusat pengajian yang menumpukan bidang sosio-budaya dan keagamaan di Malaysia.

“Kami semua tahu Wan Ji ini seorang yang mempunyai idea-idea pelilk. Ideanya ada masanya progresif, ada masanya (dianggap) terlalu berlebihan untuk diterima masyarakat,” kata Lim.

Bagaimanapun, beliau berkata perbezaan dan kepelbagaian pendapat adalah perkara biasa dalam masyarakat dan perkara itu dapat menggerakkan masyarakat ke hadapan selain menyumbang kepada pembangunan sosial dengan idea-idea baru.

“Harapan saya, satu hari nanti tiada orang akan didenda, dihukum atau dipenjara hanya kerana dia mempunyai idea yang tak disenangi oleh orang lain,” katanya lagi.

Pada 2014, Wan Ji dihadapkan ke mahkamah berikutan satu hantaran Facebook yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dua tahun sebelumnya.
Wan Ji Wan Hussin
Dia disabitkan bersalah pada April 2018 dan dihukum penjara sembilan bulan, namun diberikan penangguhan sementara menunggu rayuan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji dan menambah hukuman penjaranya kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Beberapa aktivis pelajar, aktivis sosial dari Suaram dan Bersih, beberapa pemimpin dari PSM turut hadir di perhimpunan malam tadi.

Sementara itu Pengerusi Bersih Thomas Fann mendesak Pakatan Harapan (PH) untuk mengotakan janjinya agar undang-undang yang dilihat zalim seperti Akta Hasutan dimansuhkan segera.

“Akta Hasutan ialah undang-undang penjajah drakonian yang digunakan untuk mengekang kebebasan bersuara dan selalunya digunakan kerajaan sebagai alat untuk mendiamkan suara rakyat.

“PH dilihat tak membuat sebarang usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan ini dan menjunjung kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selepas menyanyikan lagu bertemakan kebebasan, himpunan kecil itu besurai secara aman pada jam sepuluh malam. 

Saturday, June 1, 2019

'Abang Botak hentak cermin kereta raya di penjara': Majistret khilaf - Peguam


Peguam Syahredzan Johan yang juga setiausaha politik kepada MP Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa hukuman khidmat masyarakat terhadap kesalahan setimpal.

Ini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Danial Abdullah Tan, 31 tahun selepas mengaku bersalah menghentak cermin kereta menggunakan topi keledar. Ia kesalahan pertama Danial.

Dia dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dan mengakibatkan kerosakan berjumlah RM25.

Kesalahan itu asalnya memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali tetapi parlimen memindanya pada hujung 2014 bagi mengehadkan budi bicara hakim dalam mempertimbangkan tempoh hukuman penjara, menjadikan minimum penjara selama setahun dan sehingga lima tahun, manakala hukuman denda sebagai pilihan masih dikekalkan.

Syahredzan, dalam kenyataan bersama Setiausaha Pemuda Dapsy Damansara Farhan Hazir Mohamed, berkata mereka mengecam tindakan Danial dan pembuli jalan raya perlu ditangani undang-undang.

"Kami merujuk kepada laporan media mengenai Daniel Abdullah Tan, atau lebih dikenali sebagai 'Abang Botak' melalui klip video yang tular, yang telah dikenakan hukuman atas kesalahannya memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, mereka percaya majistret terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman.

"Kami mengecam perbuatan tertuduh dan menyokong penggunaan undang-undang ke atas mereka yang melakukan kesalahan 'road bully' seperti yang terjadi di dalam kes ini.

"Pada masa yang sama, kami dengan segala hormatnya berpendapat bahawa terdapat kekhilafan pada keputusan puan majistret dalam mengenakan hukuman penjara tersebut.

"... tetapi kami merasakan bahawa adalah lebih sesuai sekiranya tertuduh dikenakan hukuman denda dan bukannya penjara, mengambilkira beberapa faktor mitigasi termasuklah pengakuan salah dan keinsafan yang dilaporkan ditunjukkan oleh tertuduh," kata mereka.

Tangguh hukuman, merayu

Semalam, dilaporkan Daniel yang bekerja sebagai pembantu stor kilang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Majistret di Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atasnya.

Danial didakwa melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada bahagian cermin hadapan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58, dengan cara mengetuk menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, pada 5.30 petang 28 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Syahredzan dan Farhan berkata Daniel boleh memohon untuk menangguhkan hukuman sehingga selesai rayuan, mengambil maklum Daniel telah melantik peguam ketika lelaki itu dijatuhkan hukuman.

Mereka berkata walaupun hukuman penjara sepadan dengan kesalahan itu, namun ia bukan penyelesaian yang sesuai dalam sistem keadilan jenayah negara.

Oleh itu, mereka menggesa pengembangan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan khidmat masyarakat sebagai hukuman, malahan menyebut bekas ketua hakim negara Richard Malanjum juga pernah mengutarakan cadangan ini.

"Kerajaan wajar meluaskan pemakaian hukuman khidmat masyarakat melangkaui peruntukkan Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah sahaja.

"Untuk makluman, Seksyen 293 membenarkan Mahkamah mengenakan hukuman khidmat masyarkat kepada ‘pesalah muda’, iaitu mereka yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 21 tahun.

"Hukuman khidmat masyarakat ini bukanlah asing dalam sistem keadilan jenayah tanahir, tetapi ia perlu diperluaskan kepada pesalah-pesalah lain mengikut kesesuaian melalui pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah.

"Kami bersetuju dengan mantan ketua hakim negara, Richard Malanjum yang sebelum ini yang mencadangkan hukuman khidmat masyarakat sebagai usaha alternatif kepada hukuman pemenjaraan," kata mereka.

Rakaman kamera menunjukkan Daniel memecahkan cermin kereta itu tular selepas dimuatnaik ke dalam talian.

Thursday, November 15, 2018

Rosmah mengaku tak salah, bebas dengan jaminan RM1 juta

Diterbitkan 15 Nov 2018, 3:41 petang


Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah, 66, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya melalui Rizal Mansor, 44, suatu suapan, iaitu, wang sejumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, di Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,500,000 daripada Saidi bagi tujuan sama berkaitan projek serupa di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di Kuala Lumpur pada 7 Sept 2017.

Rosmah, 66, yang berbaju kurung berona kuning, hijau dan biru membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan itu selesai dibacakan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta terhadap isteri bekas perdana menteri itu dengan RM500,000 perlu dibayar hari ini dan bakinya dilunaskan dalam tempoh tujuh hari.

Kes akan disebut semula pada 10 Disember ini.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala barisan pembelaan diketuai peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

- Bernama

Tuesday, September 29, 2015

Berhati-hati dalam politik - pesan Khir Toyo

Budiman berharap Dr Khir tabah menghadapi dugaan itu dan akan mengenangnya sebagai 'abang' yang banyak memberi nasihat. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 29 September:

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo selalu memberi nasihat supaya berhati-hati dalam politik.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Dr Khir selalu mengingatkan beliau, sebagai ahli politik, jangan sesekali terlupa asal usul, disebabkan terlalu mengejar jawatan dan harta.

“Musuh datang dan pergi, kekadang kawan rapat itulah musuh yang paling bahaya dengan kita.

“Saya selalu mengingatkan diri dan kawan-kawan. Hidup ini bukan hanya untuk jawatan dan kebendaan. Persahabatan itu lebih penting,” kata Mohd Razlan di laman sosial Facebooknya.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Dr Khir, berkuat kuasa hari ini.

Mahkamah juga menolak rayuannya untuk menawarkan perkhidmatan pergigian percuma kepada golongan miskin, selama tiga hari seminggu antara satu hingga dua tahun, sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berjanji akan menjaga kawasan yang pernah dimenangi Dr Khir, ketika beliau menjadi Menteri Besar, dengan baik.

“Moga beliau tabah hadapi dugaan ini. Beliau akan tetap saya kenang sebagai ‘abang’ yang banyak memberi nasihat. Sungai Panjang akan tetap saya jaga dengan sehabis upaya,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/29/berhati-hati-dalam-politik-pesan-khir-toyo/#ixzz3n8HioSTH

Khir Toyo dihukum penjara setahun, harta disita

OLEH V.ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Permintaan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo supaya beliau dibenarkan membuat khidmat masyarakat bagi mengelak hukuman penjara ditolak hakim Mahkamah Persekutuan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 September, 2015.

Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula hari ini kerana menyalahgunakan pengaruhnya ketika mentadbir negeri itu untuk membeli sebidang tanah dan banglo pada 2007.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang menyampaikan keputusan itu juga mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah melucutkan hak terhadap hartanah berenaan.

Hakim berkata, khidmat masyarakat seperti dicadangkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sesuai dalam kes ini.

“Hukuman seumpama itu akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Zulkefli berkata Dr Khir sebagai penjawat awam menyalahgunakan kedudukannya untuk mengambil hartanah tanpa pertimbangan secukupnya.

Dr Khir boleh memohon mendapatkan pengampunan daripada Sultan Selangor.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dr Khir selepas panel hakim mengekalkan sabitan yang dibuat mahkamah rendah.

Hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel 5 hakim berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu.

“Semua perkara dalam pertuduhan sudah dibuktikan, termasuk sama ada beliau penjawat awam atau tidak,” katanya ketika menyampaikan keputusan.

Dr Khir tenang ketika penghakiman hukuman dibacakan dalam mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga, penyokong dan media.

Beliau akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Dr Khir sebelum ini diikat jamin RM750,000 sehingga rayuannya selesai.

Shafee ketika ditemui wartawan berkata Dr Khir mungkin kehilangan pencennya sebagai bekas menteri besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.

Undang-undang menyatakan mana-mana wakil rakyat atau bekas wakil rakyat yang didenda RM2,000, atau dipenjarakan minimum 12 bulan akan hilang ganjaran mereka.

Shafee berkata pengampunan adalah satu pilihan tetapi pihak pembelaan sedang melihat kemungkinan lain yang masih belum boleh didedahkan.

Difahamkan pilihan lain ialah memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan berasaskan kepada ketidakadilan kepada tertuduh.

“Kami terkejut dengan sabitan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana kami mengharapkan beliau dibebaskan. Kami juga berharap hukuman lebih ringan selepas mahkamah ini pada minggu lalu mengekalkan sabitan,” katanya.

Shafee berkata, beliau diarahkan anak guamnya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap akhbar The Sun kerana menyiarkan 2 artikel bertujuan mempengaruhi hakim.

Dalam penghakiman hari ini, Zulkefli berkata rasuah dalam apa juga cara dan bentuk tidak boleh diterima dan denda saja tidak akan memberikan pengajaran.

“Begitu juga khidmat masyarakat. Dalam apa juga keadaan, khidmat masyarakat hanya pilihan dalam kes membabitkan pesalah muda dan tidak terpakai kepada perayu (Dr Khir),” katanya.

Hakim berkata, penjara adalah hukuman yang tepat dan sesuai walaupun pihak pendakwa tidak merayu untuk hukuman lebih berat. – 29 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khir-toyo-dihukum-penjara-setahun-harta-disita#sthash.QT1QjQi0.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-