Showing posts with label Sultan Johor. Show all posts
Showing posts with label Sultan Johor. Show all posts

Wednesday, June 3, 2020

Kami pegang prinsip demokrasi, kata PH Johor selepas amaran Sultan bubar DUN

FMT Reporters
-June 3, 2020 4:58 PM

(Dari kiri) Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong.

PETALING JAYA: Selepas peringatan keras Sultan Johor bahawa Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat, Pakatan Harapan (PH) negeri berkata pihaknya berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen.

Menerusi kenyataan bersama, gabungan itu berkata mereka bersedia mendepani situasi politik semasa yang sedang berlaku.

“PH Johor juga menyatakan komitmen terhadap amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi tulang belakang kepada negeri serta negara kita.

“PH Johor akan sentiasa berpegang teguh prinsip-prinsip tersebut dalam mendepani apa jua isu serta situasi politik semasa,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong, gabungan pembangkang itu mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Terdahulu Sultan Johor mengingatkan Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Sultan Ibrahim kecewa perebutan kuasa berlaku dalam keadaan rakyat sedang susah.

“Mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat. Saya tidak boleh tengok rakyat menderita, dan tidak akan biarkan negeri dikucar-kacirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim berkata rakyatnya akan diberi peluang untuk memilih wakil rakyat baru jika Dewan Negeri bubar.

“Saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” katanya.

Saturday, April 11, 2020

Sultan Ibrahim kurnia 42 ventilator kepada hospital di Johor


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital-hospital di negeri itu.

Menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu.

"Saya amat memahami pada situasi masa kini, hospital-hospital amat memerlukan peralatan ini khususnya bagi kegunaan pesakit.

"Ini merupakan kerjasama di antara saya, rakan-rakan, dermawan dan juga kerajaan negeri bagi bersama-sama mengurangkan beban kerajaan," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan negeri, Azmi Rohani.
Sultan Ibrahim bertitah, ventilator berkenan akan diagihkan kepada hospital-hospital kerajaan di seluruh Johor mengikut keperluan oleh pengarah kesihatan negeri.

"Bukan mudah untuk mendapatkan peralatan ini lebih-lebih lagi ketika musim penularan wabak Covid-19. Kita berusaha keras untuk mendapatkannya.

"Jika ada lagi pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada YSIJ (Yayasan Sultan Ibrahim), kita mungkin dapat mengusahakan lebih banyak untuk kegunaan hospital-hospital," titah baginda.

Setakat semalam, sebanyak 523 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di Johor.

Tiga daerah di Johor diletakkan dalam zon merah iaitu Johor Bahru, Kluang dan Batu Pahat.

Friday, May 24, 2019

Mukhriz mohon maaf kepada Sultan Johor


Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana tidak bersalam dengan baginda, semalam.

Setiausaha akhbar Mukhriz dalam kenyataan memaklumkan permohonan maaf itu disampaikan menerusi surat yang diutuskan kepada Sultan Ibrahim hari ini.

"Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini telah mengutus surat kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

"(Ia) bagi memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan beliau tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang semalam.

"Menteri besar telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaannya sendiri, dan tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman," kata kenyataan itu.

[Berita lanjut menyusul]

Sunday, May 19, 2019

Ahli Parlimen Labis mahu saman pentadbir FB selepas digelar anjing

Minderjeet Kaur
-May 19, 2019 1:35 PM

Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong ketika membuat ucapan di dalam Masjid Jamek Tenang Stesen.
 (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:  Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menyaman pentadbir laman Facebook “Ops Johor” kerana menggelarnya anjing sedangkan beliau hanya menjalankan tugas.

Kiriman Facebook itu menulis “Adun Tenang Bawak Masuk Anjing Dalam Masjid” selepas Pang memasuki Masjid Jamek Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Pang kemudian menjelaskan beliau dijemput ke masjid itu atas kapasiti beliau sebagai ahli Parlimen. Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1,000 untuk setiap masjid dan RM500 untuk setiap surau di kawasannya sempena dengan Ramadan.

Pang memberitahu FMT, beliau memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat dan dimaklumkan beberapa laporan dibuat terhadap laman Facebook tersebut.

“Bagaimana pentadbir itu boleh panggil saya anjing ketika saya menunaikan tugas sebagai ahli Parlimen di kawasan saya?” soalnya.

Beliau berkata polis belum mengenal pasti pentadbir laman sosial itu.

“Saya harap mereka akan mengesan pentadbir itu tidak lama lagi dan menyiasat mereka kerana melakukan fitnah jenayah.

“Saya mungkin menyaman pentadbir itu,” katanya.

Pang juga berkata insiden itu menjadi isu perkauman yang menyebabkan kegelisahan dalam kalangan orang ramai.

Dalam satu kenyataan selepas peristiwa itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata “ucapan” Pang itu mencabul kesucian masjid dan menggugat kedudukan Islam di negeri itu.

“Ia merupakan pelanggaran sempadan saya sebagai ketua agama Islam Johor yang sudah gariskan sebelum ini, apatah lagi larangan ini baru sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor,” katanya, sambil menambah tindakan itu biadap dan tidak beretika.

Sebelum ini, gambar ahli Parlimen veteran di dalam masjid tersebar di media sosial.

Thursday, May 16, 2019

Sheikh Omar kecam orang bukan Islam dilabel anjing


Tindakan melabel orang bukan Islam yang masuk masjid sebagai anjing merupakan perbuatan dangkal, maklum Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Omar Ali.

"Saya tidak setuju dan mengecam perbuatan menggelar bukan Islam yang masuk ke dalam masjid sebagai anjing kerana sangat dangkal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sheikh Omar yang juga anggota lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mengulas suatu hantaran di media sosial yang mempertikaikan kehadiran Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Masjid Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Hantaran media sosial itu berjudul "Adun Tenang bawa masuk anjing dalam masjid?"

"Adoi apa nak jadi ni, apa kejadahnya bawa masuk apek ni dalam masjid? Dia nak bagi tazkirah ke? Atau ceramah agama?

"Kita yang Islam ni nak masuk masjid pun kena bersihkan badan, apek ni dah mandi wajib ke? Dah la tak sunat!

"Hello Pang Hok Liong, jangan ingat lu (kamu) Ahli Parlimen Labis (DAP) lu boleh berucap sesuka hati dalam masjid," kata hantaran itu.

Sultan Johor murka

Menurut Sheikh Omar pendekatan sebegini akan menimbulkan kekeliruan terhadap Islam, selain menyukarkan usaha dakwah kepada bukan Islam.

"Pendekatan (hantaran media sosial tersebut) pada hemat saya, akan menimbulkan kekeliruan imej Islam.

"Pada masa akan datang, saya muslim bawa seorang bukan muslim masuk masjid untuk berdakwah kepada dia, sebagai contohnya untuk tunjuk keindahan Islam.

"Kemudian orang non-muslim akan takut nak ikut saya, kerana dia akan katakan bukan Islam tidak dibenarkan masuk masjid kerana dia akan jadi anjing dan sebagainya," katanya lagi.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyatakan rasa murka terhadap tindakan seorang ahli politik DAP yang dianggap mencabul kesucian Islam apabila berpolitik dalam masjid.

"Semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Johor hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi," titah baginda.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama kenyataan tersebut diyakini merujuk kepada kehadiran MP Labis.

Pang dikhabarkan hadir ke masjid untuk menyampaikan sumbangan.

Gambar Pang berucap kemudian menjadi tular dan dia didakwa memberi ucapan politik di situ.

Sementara itu Pang ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia tidak membangkitkan sebarang isu politik semasa berucap di majlis berkenaan.

Katanya dia datang ke situ hanya untuk menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau dalam kawasan berkenaan sempena Ramadan.

Thursday, April 25, 2019

Demi kebaikan rakyat, Sultan Johor saran bersemuka

News | Diterbitkan Hari ini 12:56 tengahari

Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan semua pihak agar bersemuka dan berbincang sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham, terutamanya yang melibatkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Titah baginda sebarang perbezaan sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham perlu diketepikan demi kebaikan semua, khususnya rakyat.

“Sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham, terutamanya yang melibatkan hubungan antara negeri Johor dan kerajaan pusat, saya sarankan kita ketepikan sebarang perbezaan.

“Sebaliknya, eloklah berjumpa dan saling berbincang dengan matang demi kebaikan semua, khususnya rakyat,” titah baginda di laman Facebook.

.Hubungan Putrajaya dengan Istana Johor dilaporkan tegang susulan luahan rasa tidak puas hati Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan dakwaan campur tangan istana dalam rombakan exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Mahathir dikatakan begitu kecewa dan terkejut kerana menteri besar baru Dr Sahruddin Jamal tidak mematuhi nasihatnya dan tidak mengekalkan barisan exco.

Pada 13 April lalu, Sultan Johor Sultan dilaporkan bertitah bahawa menteri besar baru yang menggantikan Osman Sapian, yang meletak jawatan selepas 11 bulan menerajui negeri itu perlu juga merombak barisan exco.

Dalam kenyataannya, Sultan Johor juga berharap tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan negeri itu.

“Negeri Johor baru sahaja menyempurnakan pelantikan menteri besar dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).

“Saya harap selepas ini tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan Johor. Justeru, kepimpinan baru harus bersatu hati dan melipat gandakan usaha agar kebajikan serta kepentingan rakyat Johor ditambah baik dan sentiasa terbela.

“Pada masa yang sama, saya harap semua pihak dapat memberi kerjasama penuh agar pentadbiran dan pengurusan negeri Johor berjalan lancar,” kata baginda.

Sumber: Berang dengan rombakan exco Johor, Dr M terfikir mahu bersara

Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 12:02 tengahari


Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang dilaporkan berang dengan rombakan majlis eksekutif exco kerajaan negeri Johor dan dikatakan terfikir mahu meletak jawatan, menurut sumber.

Sumber itu berkata pengerusi Bersatu mendedahkan perkara berkenaan semasa mesyuarat kecemasan majlis tertinggi parti pada malam Isnin lalu.

"Beliau begitu kecewa dan terkejut kerana menteri besar baru (Dr Sahruddin Jamal) tidak mematuhi nasihatnya untuk mengekalkan barisan exco," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut sumber, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga ketua Pemuda Bersatu, berjaya meyakinkan Mahathir supaya tidak melepaskan jawatannya.
Malaysiakini gagal menghubungi Syed Saddiq untuk mendapatkan ulasannya tetapi sumber yang rapat dengannya mengesahkan perkara itu.

Menurut sumber, Mahathir pada mesyuarat itu memberitahu bahawa beliau begitu kecewa pada pagi itu - apabila tiga ahli exco baru mengangkat sumpah jawatan - dan bercadang mahu melepaskan jawatannya.

Anggota majlis tertinggi yang lain kemudian meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keingkaran menteri besar itu.

"Bagaimanapun, semasa mesyuarat baru bermula, Mahathir kembali tenang,” kata sumber itu, sekali gus menafikan dakwaan yang disebarkan di media sosial kononnya perdana menteri mengancam untuk meletak jawatan pada mesyuarat itu.

Pada 13 April lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan bertitah bahawa menteri besar baru yang menggantikan Osman Sapian, yang meletak jawatan selepas 11 bulan menerajui negeri itu perlu juga merombak barisan exco.
Mahathir, yang sering tidak sehaluan dengan istana Johor dalam pelbagai isu, berkata Sultan tidak mempunyai pengaruh dalam perkara berkenaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata menteri besar baru mungkin tunduk terhadap desakan sultan selepas berunding dengan presiden Bersatu dan pemimpin Bersatu Johor, Muhyiddin Yassin.

"Muhyiddin memberitahu mesyuarat bahawa semasa kejaddian itu, beliau berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan tidak menyedari keputusan parti itu.

"Jadi apabila Shahruddin merujuk kepada Muhyiddin (semasa beliau di luar negara), nasihatnya adalah menteri besar harus memilih (exco) yang selesa bekerja dengannya," kata sumber itu.
Sumber itu mendakwa bahawa apa yang berlaku adalah kes salah faham.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Muhyiddin telah memohon maaf kepada Mahathir dan menjelaskan peristiwa yang membawa kepada rombakan exco semasa mesyuarat itu.

Tuesday, April 23, 2019

Mesyuarat isu rombakan exco Johor tegang, PPBM bersolidariti dengan Dr M

FMT Reporters
-April 23, 2019 6:53 PM

Pimpinan kanan PPBM menyokong Dr Mahathir Mohamad dalam pertengkaran kecil dengan Istana Johor tentang jemaah exco negeri.
 (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:  Pimpinan kanan PPBM bersolidariti dengan Dr Mahathir Mohamad disebalik ketegangan antara perdana menteri dan kerabat diraja Johor mengenai pemilihan jemaah exco.

FMT mendapat tahu daripada sumber boleh dipercayai bahawa sokongan disuarakan selepas mesyuarat tergempar majlis tertinggi parti malam tadi, untuk membincangkan barisan exco baru Johor yang mengangkat sumpah di depan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam.

Mesyuarat itu, yang disifatkan sumber sebagai “sangat panas dan tegang”, dipanggil bersidang dengan notis yang singkat ekoran kebimbangan bahawa barisan exco yang diumumkan semalam tidak pernah mendapat kelulusan pimpinan PPBM.

Mereka juga mempersoalkan tindakan menteri besar Johor yang baru dilantik, Dr Sahruddin Jamal yang dikatakan tidak mengikut pendirian jemaah menteri untuk tidak merombak barisan exco sedia ada.

“Tetapi menteri besar teruskan juga rombakan itu walaupun dia sudah dimaklumkan tentang pendirian jemaah menteri dalam pertemuannya dengan perdana menteri sebelum mengangkat sumpah,” katanya.

FMT juga mendapat tahu tindakan Sahruddin itu dikritik Mahathir.

Sunday, April 14, 2019

'Pihak luar usah sibuk melompat-lompat tak tentu arah'

News | Diterbitkan Hari ini 11:47 tengahari


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah negeri Johor tidak memerlukan orang lain "melompat-lompat" mencampuri urusan pentadbiran negeri tersebut.

Titah sultan Johor itu negeri terbabit mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri sejak ia wujud.

"Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Johor," titahnya hari ini.

Kenyataan itu dibuat mengiringi pengesahan pelantikan Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar baru Johor pagi tadi.

Sahruddin yang juga Adun Bersatu yang mewakili kawasan Bukit Kepong dilantik menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu.

Titah Sultan Ibrahim pihak terbabit tidak perlu membuang masa dengan bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah dengan menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, titah baginda, mereka wajar menumpukan perhatian untuk membantu kehidupan "rakyat yang susah" dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

"Kedaulatan Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia," titahnya.

Isu pelantikan menteri besar Johor menjadi perhatian ramai sejak beberapa minggu lalu apabila tersebar khabar Osman akan digantikan.

Apabila peletakan jawatan Osman diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad beberapa perkembangan menarik dan 'panas' berlaku.

Antaranya penegasan Mahathir bahawa parti pemerintah berhak memilih mana-mana Adun yang dirasakan sesuai bagi mengisi jawatan menteri besar.

Kenyataan Mahathir dibuat susulan ciapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap PH dalam isu berkenaan.

Tunku Ismail berkata kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan dan meminta pihak kerajaan supaya menghentikan politicking.

Wednesday, April 10, 2019

Muhyiddin: Nama MB diserah selepas sultan terima Osman letak jawatan

FMT Reporters
-April 10, 2019 10:19 PM

Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata Pakatan Harapan akan menyerahkan nama bakal pengganti menteri besar selepas Sultan Johor menerima peletakan jawatan Adun Kempas, Osman Sapian.

Muhyiddin berkata surat peletakan jawatan Osman diserahkan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 8 April.

“Saya berharap proses penggantian menteri besar Johor akan berlangsung dengan teratur dan sempurna agar pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau seterusnya meminta ahli-ahli parti PH, terutama PPBM agar bertenang, rapatkan saf “serta patuh dengan keputusan kepimpinan parti”.

“Adalah penting usaha memacu kemajuan Johor tidak terganggu dengan peralihan kepimpinan ini,” katanya.

Terdahulu, Sultan Johor berkata keputusan terbaik akan dibuat apabila tiba masanya nanti.

Sumber peringkat tertinggi PPBM memberitahu, Adun Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal, dijangka dinamakan sebagai menteri besar Johor.

Sahruddin mendahului nama beberapa orang lain untuk jawatan itu kerana beliau dilihat pilihan paling berwibawa.

PM: Jika raja yang pilih MB, M'sia bukan lagi negara demokrasi

Geraldine Tong
Diterbitkan Hari ini 6:31 petang


Jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah agar "pihak-pihak tertentu" berhenti mencampuri urusan negeri itu.

"Saya berpendapat kalau kita anggap yang akan memilih perdana menteri dan menteri besar ialah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi," katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata rakyat telah memilih parti dalam pilihan raya dan parti seterusnya ada hak untuk melantik menteri besar.

"...Tetapi (apabila) hak ini dinafikan maka kita bukan (lagi) demokrasi. Kita sudah jadi negara (dengan sistem) raja berkuasa mutlak," katanya lagi.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook hari ini, Sultan Ibrahim juga menyarankan "pihak tertentu" itu menumpukan usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan," titahnya.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, January 10, 2019

'Saya dan baginda setuju terus terang, tak sembunyi-sembunyi'

Diterbitkan Hari ini 7:11 malam 


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan dirinya bersetuju untuk bercakap terus terang antara satu sama lain.

“Saya boleh berkomunikasi dengan dia. Kita bersetuju supaya kita frank, cakap secara terus terang, tak ada sembunyi-sembunyi.

“Dia bagi dia punya pandangan, saya beri saya punya pandangan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungannya yang tegang dengan Istana Johor sebelum ini.

Terdahulu, Mahathir mengadap Sultan Johor di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Selepas pertemuan itu, Sultan Johor mencemar duli dengan menghantar Mahathir Mohamad ke lapangan terbang antarabangsa Senai.

Baginda bahkan memandu sendiri kereta Proton Saga biru dengan nombor pendaftaran Proton 1 keluaran pertama yang dinaiki Mahathir.

Wednesday, January 9, 2019

Ahli majlis DAP celupar letak jawatan

MyMetro
Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


ISU berhubung kenyataan kurang sopan dimuat naik Ahli Majlis Daerah Pontian yang memperlekeh Institusi Raja Berperlembagaan dalam laman sosial Facebook (FB), dianggap selesai selepas individu berkenaan meletakkan jawatannya, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Ping berkata peletakan jawatan itu dibuat Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah berhubung kenyataan kontroversi dikongsi pada 4 Januari lalu.

“Dia semalam letak jawatan dan isu ini kira sudah selesai. Dia sudahpun meminta maaf kepada Tunku Ismail (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan meletakkan jawatan sebagai ahli majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pertandingan golf amal di Forest City Golf Resort di Gelang Patah di Iskandar Puteri, hari ini.

Katanya, DAP juga akan mengadakan mesyuarat bagi mencari pengganti ahli majlis berkenaan.

“Surat peletakan jawatan diserahkan kepada saya dan juga Datuk (Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian),” katanya.

Beliau juga ada bertemu dengan Menteri Besar termasuk membincangkan mengenai perkembangan terkini itu.

Ditanya mengenai perlukah ada prosedur operasi standard (SOP) baru sebagai ahli majlis, katanya, tidak perlu kerana semua ahli majlis sudah diberi penerangan mengenainya.

“Saya tidak rasa ia perlu kerana kami sudah pun memaklumkan mengenai pelbagai perkara termasuk protokol dan etika. Kami sudah memberi penerangan,” katanya.

Terdahulu, Mohammad Kamarul Ariffin membuat kenyataan memperlekeh Tunku Ismail dalam akaun FB miliknya pada Jumaat lalu sebelum dipadamkan.

Susulan itu, beliau memohon maaf kepada seluruh kerabat diraja Johor menerusi laman sama atas kenyataan dibuatnya sebelum ini.

Berikutan itu DAP Johor merafak sembah dan memohon keampunan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kenyataan tidak sopan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 3:29 PM

Friday, December 7, 2018

Sultan Selangor, Johor nafi sertai himpunan esok

Diterbitkan 7 Dis 2018, 6:56 petang


Dua sultan hari ini menyatakan rasa dukacita apabila nama mereka dikaitkan kononnya akan hadir menyertai himpunan di Kuala Lumpur esok.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan khabar angin yang mendakwa baginda akan menyertai perhimpunan bantahan terhadap cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) itu.

Justeru Sultan Sharafuddin yang dukacita dengan penularan berita tidak benar itu menitahkan semua pihak agar tidak melibatkan nama baginda dengan mana-mana perhimpunan yang dianjurkan parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perkara itu dimaklumkan oleh setiausaha sulit baginda, Mohamad Munir Bani.

“Sultan Selangor menitahkan supaya mana-mana pihak tidak melibatkan nama baginda dengan mana-mana perhimpunan yang dianjurkan oleh parti poliltik atau NGO.

“Kenyataan seperti ini boleh mengelirukan masyarakat.

"Sultan Selangor sebagai sultan yang memerintah negeri tidak seharusnya dilibatkan dengan sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak,” kata Mohamad Munir.

Semak baru percaya

Semalam, terdapat sebaran di Twitter yang mendakwa baginda dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, serta pemangku Sultan Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan turun bersama orang ramai dalam himpunan tersebut.

Melalui ciapan tersebut disertakan sekeping gambar menunjukkan DAP mahu menjatuhkan institusi yang memayungi orang Melayu.

Sementara itu Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sesuatu berita yang tular di media sosial.

Malah baginda juga mengingatkan pada waktu ini banyak berita palsi disebarkan.

"Jangan mudah mempercayainya atau terpengaruh dengan apa saja berita palsu yang anda baca, sebaliknya sentiasa menyemak terlebih dahulu faktanya," titah baginda.

Sultan Ibrahim kini berada di Jepun kerana melakukan lawatan peribadi.
LAPORAN KHAS
Penolakan ICERD

Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi ICERD.

Tuesday, September 25, 2018

Sultan Johor Murka Ahli MBIP Guna Bahasa Cina Dalam Urusan Surat Rasmi

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
September 25, 2018
Abdul Mursyid


KUALA LUMPUR — Sultan Johor murka terhadap seorang ahli Majlis Bandar Raya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sebarang surat-menyurat rasmi melibatkan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.

“Apa sahaja urusan surat-menyurat membabitkan kerajaan negeri atau ahli majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu,” titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

“[Ini] kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat. Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa.”

Baginda mengulas tindakan seorang ahli MBIP menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi PBT, yang tersebar di media sosial, berhubung makluman mengenai satu majlis dialog.

Sultan Ibrahim juga bertitah semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi dan amalan itu diguna pakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada ahli majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titah baginda. 

– MalayMail

Monday, October 16, 2017

Selepas bebas, Zamihan diangkat sebagai 'pejuang', bantah pesta arak di Johor

FMT Reporters
October 16, 2017

Pegawai Jakim itu menghantar mesej 'perjuangan' di samping diangkat sebagai pejuang kebenaran oleh penyokongnya walaupun dilabel 'angkuh' oleh Sultan Johor.
PETALING JAYA: Walaupun dibidas Sultan Johor sebagai “angkuh” dan “tin kosong”, Zamihan Mat Zin kembali aktif dengan pelbagai muat naik di Facebook beliau, termasuk membantah penganjuran pesta arak di Johor, sambil diangkat sebagai “pejuang Islam” oleh penyokongnya.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baru-baru ini disiasat berhubung kritikannya terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memuat naik pelbagai mesej “perjuangan” selepas dibebaskan Sabtu lalu.

Zamihan, 41, yang mengetuai NGO beliau, Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), ditahan berhubung ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam pada 7 Oktober, yang menyelar Sultan Ibrahim kerana menghalang dasar sebuah kedai dobi di Muar, Johor untuk hanya berurusan dengan orang Islam.

Zamihan juga mengundang kecaman kerana menyifatkan orang bukan Islam tidak bersih sehinggakan pakaian mereka tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian penganut Islam.

“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan seperti dipetik rakan video ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Selepas klip tersebut viral di Youtube, Zamihan menuduh beberapa media memutar belit ucapannya, walapun memohon ampun kepada Sultan Johor beberapa jam sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim membidas pegawai Jakim itu dan mengarahkan pihak berkuasa agama negeri tidak berurusan dengan Jakim.

“Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak,” menurut ucapan Sultan Ibrahim di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat pada Sabtu.

“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” tambahnya, merujuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Kenyataan keras Sultan Johor itu bagaimanapun tidak menghalang pelbagai muat naik di Facebook Zamihan, mengangkat penceramah agama yang terkenal dengan gayanya menghentam tokoh agama lain itu sebagai “pejuang akidah” yang difitnah.

Bantah pesta arak Johor

Pada hari sama dibebaskan, Facebook Zamihan memuat naik sokongan terhadap usaha membantah sebuah pesta arak di Johor.

“Kita akan bersatu mempertahankan Islam. Inilah isu yang besar wajib kita tangani, selamat berjuang kepada pertubuhan Islam yang menegakkan kebenaran,” menurut kiriman yang didahului dengan perkataan “[Admin]”.

Ia merujuk laporan sebuah portal berita mengenai memorandum dikemukakan sebuah kumpulan dikenali Majlis Ayahanda Johor, membantah penganjuran pesta arak secara tertutup di sebuah hotel di Johor Bahru, hujung minggu lalu.

Ia menerima sokongan penyokong Zamihan yang meninggalkan pelbagai komen, termasuk beberapa kenyataan dilihat mempersoalkan pendirian Sultan Johor berhubung kedai dobi “mesra Islam”. Mereka mempersoalkan mengapa layanan berbeza kepada pesta arak tesebut, yang sebelum ini dibantah PAS dan kumpulan Islam lain, dan dibatalkan permitnya oleh polis atas alasan keselamatan.

“Pesta arak takpe kerana utk perpaduan… dobi mesra Muslim tak bleh kerana boleh rosakkan perpaduan rakyat… kena fhm dan hadam elok-elok wahai umat Islam,” tulis pengguna Facebook Mohd Noor Bin Idris.

“Tin kosong takda arak. Tin tak kosong ada arak,” tulis seorang lagi, Subri Mohamad.

Selasa lalu, Majlis Raja-Raja mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk kontroversi dobi “mesra Muslim” sebagai tindakan yang bersifat keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian, dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

‘Cekal berjuang’

Sejurus selepas pembebasannya, muat naik pertama Zamihan melahirkan dukacita atas kematian seorang tokoh guru agama di Kelantan.

“Insyallah Ayahanda, ana (saya) tetap cekal menyambung delegasi perjuangan akidah ini!” tulisnya.

Ia disusuli dengan amaran Zamihan untuk melawan kumpulan berfahaman Ahmadiah, yang difatwakan sesat dan di luar ajaran Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Awas, akan dibanteras sehabisnya golongan liberal dan ‘kelompok’ yang sentiasa bersama mereka,” katanya, sambil memuat naik poster perhimpunan tahunan Jemaah Ahmadiah Muslim Malaysia, dan mengajak orang ramai “sebarkan bantahan” terhadap program tersebut.

Petang semalam, sasarannya dihalakan terhadap golongan LGBT, walaupun tidak menyebut secara khusus siapa dimaksudkannya.

“Umat Islam kena peka tentang keadaan isu semasa berkaitan ancaman budaya barat. Mari kita bersama memberikan kesedaran kepada umat Islam di Malaysia,” katanya dalam muat naik yang juga didahului perkataan “[Admin]”.

Monday, April 3, 2017

Kembalikan kuasa Agong, Raja untuk perkenan RUU - Sultan Ibrahim

by MT Webmaster
(Bernama) – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mengembalikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja untuk meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang.

Baginda bertitah, langkah itu adalah perlu kerana tidak wajar sekiranya kuasa itu dihadkan atau dihapuskan.

Sultan Ibrahim bertitah, ia akan menjadikan peranan Agong atau Raja hanya sebagai ‘rubber stamp’ untuk menurunkan cap mohor terhadap undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya tahu perkara ini berlaku di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri tetapi tidak di Johor.

“Saya berharap perkara ini dapat diperbetulkan,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia, di sini hari ini.

Baginda merujuk kepada Perkara 40 (1A) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan yang dibuat oleh Parlimen yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat kerajaan.

Pindaan itu turut membabitkan Fasal (3) Perkara 43A; memotong Fasal (6) Perkara 55; Perkara 65; dan Perkara 66 mengenai kuasa memperkenan Yang di-Pertuan Agong mengenai rang undang-undang yang sudah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pada Mei 1994, sebanyak 44 perkara termasuk tiga jadual dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Berangkat sama ke perasmian persidangan itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S.A. Vigneswaran dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

Sultan Ibrahim bertitah, sesuatu undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri hanya boleh berkuat kuasa selepas diperkenan Raja dan oleh yang demikian, tidak boleh tidak, hubungan antara Raja, Badan Perundangan dan Badan Eksekutif adalah saling melengkapi antara satu sama lain dalam membentuk sesebuah pentadbiran kerajaan negeri yang cekap dan berkesan.

Baginda bertitah, peranan Raja dalam hal ehwal negeri juga adalah penting selain daripada peranan yang dimainkan oleh Badan Eksekutif, Speaker dan ahli Dewan sendiri.

Sultan Ibrahim bertitah, bahawa Yang Dipertua atau Speaker mesti mempunyai ilmu pengetahuan mendalam mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh sesebuah negeri dan bukan sekadar mahir mengenai peraturan-peraturan mesyuarat sahaja.

Titah Sultan Johor, baginda percaya, walaupun Yang Dipertua atau Speaker mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sama, namun mereka berhadapan dengan suasana persekitaran dan anggota Dewan yang berbeza.

Menurut baginda, peranan Yang Dipertua atau Speaker dalam menguruskan persidangan Parlimen atau DUN bukanlah tugas mudah kerana ia tidak dinyatakan dengan terperinci di dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Tambahan pula, apabila berhadapan dengan anggota Dewan yang berbeza parti politik, Speaker Dewan mestilah bersikap adil dan neutral dalam memberi peluang kepada anggota Dewan menyerati perbahasan,” titah baginda sambil mengingatkan anggota Dewan supaya menjaga imej dan menggunakan tutur kata sopan ketika berbahas.

Thursday, November 3, 2016

Parti politik baharu adalah 'virus' perpecahan - Sultan Ibrahim

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah ‘virus’ perpecahan yang datang ke negeri ini berpunca dari parti politik baharu dan ahlinya yang menjadi penyebar sehingga menghentam kerajaan serta menghasut rakyat membenci pemimpin.

Titah baginda, apabila rakyat dijangkiti virus itu kehidupan rakyat dan kemakmuran negara akan musnah kerana ia amat merbahaya dan sukar diubati.

“Ingin saya ingatkan mengenai satu penyakit sedang datang ke Johor akibat sejenis virus yang amat merbahaya, lebih teruk daripada Zika kerana tiada penawarnya. Virus yang saya maksudkan adalah virus perpecahan.

“Virus ini datang daripada parti politik baharu dan ahlinya menjadi penyebarnya. Oleh itu, saya berharap rakyat menjauhkan diri daripada virus ini.

“Gunakan akal fikiran dan jangan menyesal kemudian hari. Pembawa virus ini akan menghentam kerajaan setiap hari dan menghasut rakyat supaya membenci pemimpin, tetapi kebaikan yang dibuat kerajaan semua mereka tak nampak,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika menghadiri majlis Himpunan Bangsa Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, apabila agenda atau hasrat mereka (parti politik baharu) tidak tercapai, mereka akan biarkan masyarakat hidup dalam keadaan yang menderita.

“Saya bercakap sebagai orang tua atau seorang bapa yang cintakan perpaduan dan mahu rakyat saya hidup dengan aman dan damai. Saya tidak mahu melihat rakyat saya berpecah.

“Saya benci kepada individu yang mempunyai agenda tersendiri, menghasut rakyat untuk bergaduh sesama sendiri. Apabila perpecahan berlaku, kehidupan rakyat akan menjadi susah dan pada waktu itu, janganlah toleh kepada saya,” titah baginda.

Berita Harian

Sultan Johor haram perhimpunan jalanan

SHAFIQ TINO : 
PASIR GUDANG - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengharamkan sebarang demonstrasi jalanan berhubung situasi politik negara diadakan di Johor.

Menurut baginda, tindakan melibatkan diri dalam demonstrasi berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan mampu menjurus kepada perpecahan kaum di dalam negara.

"Kelakuan seperti menghina pemimpin dan individu tertentu dalam demonstrasi tersebut adalah begitu tidak bertanggungjawab dan bukan daripada tabiat orang kita.

"Jadi ingin saya menegaskan bahawa saya tidak akan membenarkan sebarang aktiviti demonstrasi jalanan untuk diadakan di negeri ini.

"Ini adalah kerana demonstrasi seperti itu hanya akan mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkam kekecohan dikalangan masyarakat," titahnya ketika berucap pada Majlis Himpunan Bangsa Johor, di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, semalam.

Sultan Ibrahim juga mahu kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat di negeri ini untuk tidak melibatkan kan diri dalam aktiviti berkenaan sekali gus menyokong budaya sesat berkenaan.

"Jika ada sebarang bantahan dan perasaan tidak puas hati adalah lebih elok jika disalurakan ke jalan yang betul iaitu menerusi wakil rakyat atau sebagainya.

"Dan jika wakil-wakil rakyat yang telah dipilih gagal membawa suara hati rakyat pilih lah pemimpin yang betul ketika menjelang pilihanraya nanti," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-