Showing posts with label perhimpunan aman. Show all posts
Showing posts with label perhimpunan aman. Show all posts

Friday, January 31, 2025

Menteri cadang pinda undang-undang, mudahkan anjur himpunan aman

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 31, 2025 10:00 AM
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan pindaan undang-undang bagi membolehkan perhimpunan aman diadakan tanpa memerlukan proses kelulusan yang panjang.

"Saya cenderung untuk katakan, undang-undang ini sifatnya dinamik. Undang-undang berkaitan perhimpunan aman ini dibuat pada 2012. Barangkali (boleh dicadangkan) supaya tak perlu 'approval processs', jika ada satu kawasan yang dijadikan tempat untuk buat perhimpunan.

"Perlu juga untuk penganjur masih memaklumkan pihak polis mengenai perhimpunan yang akan diadakan dan polis pun buatlah kawalan di kawasan terbabit. Mungkin kaedah ini saya lihat, boleh legakan (pandangan ramai yang anggap ada sekatan berkaitan perhimpunan)," katanya dipetik Berita Harian.

Saifuddin dan pihak berkuasa, yang mendapat kecaman berhubung dakwaan cuba menyekat perhimpunan antirasuah 25 Jan yang dianjurkan pelajar di Kuala Lumpur, berkata hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun masih dipertahankan, tetapi terdapat "peraturan" yang munasabah ditetapkan untuk mengimbangi keperluan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Dia menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah menukar pendirian mengenai hak untuk berhimpun, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan hari ini kekal komited untuk mempertahankan dan menjunjung hak yang disebut dalam Perlembagaan termasuk dalam perkara kebebasan berhimpun sebagaimana termaktub dalam perkara 10 (1)(b) mengenai jaminan kebebasan berhimpun. Ini kerajaan tetap pertahankan," katanya lagi. .

Saifuddin berkata, apabila polis mengeluarkan kenyataan berhubung pematuhan peraturan, ia tidak bermakna kerajaan menentang perhimpunan yang diadakan.

"Bila pihak polis 'communicate', jangan anggap tak boleh berhimpun, ini seolah beri gambaran kerajaan tak bagi berhimpun. Sedangkan tak ada satu kalimah pun keluar dari saya, mengatakan tak boleh berhimpun.

"Contohnya apabila polis beritahu mengenai lokasi perhimpunan, jika lokasi itu misalnya ada ada tuan punya (premis milik orang lain), undang-undang memerlukan anda untuk dapatkan kebenaran dahulu," katanya lagi.

Wednesday, January 22, 2025

PKR datang dari jalanan, jangan halang rakyat berhimpun – Hassan Karim

ByJanatul Firdaus Yaacob
22/01/2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

Justeru PH khususnya PKR diingatkan supaya tidak sesekali lupa diri,” demikian peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

“Kerajaan PH khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

“Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri.

“Jangan lupa diri,” tegas beliau.


Kenyataan wakil rakyat PKR ini menyusul selepas polis menolak permohonan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan dianjurkan dari Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati notis pemberitahuan himpunan itu tidak lengkap.

“Tidak elok Kerajaan Madani susah-susahkan rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Lebih-lebih lagi tujuan mereka berhimpun untuk menyatakan hasrat mereka benci pada rasuah. Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?

“Tidakkah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu.

“Akta perhimpunan aman 2012 pada masa kerajaan BN memerintah digubal dengan tujuan untuk memudahkan rakyat berhimpun secara aman kerana kerajaan menghormati hak rakyat di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk berhimpun.

“Di bawah Perkara 10 yang sama dinyatakan hak rakyat untuk bebas bersuara dan menyatakan fikiran.Apa yang Kerajaan Madani sekarang takutkan? soal Hassan lagi.

Bukan cuma itu, beliau juga memaklumkan, Kerajaan PH 1.0 pada tahun 2019 telah meminda akta perhimpunan itu untuk memudahkan lagi rakyat berhimpun.

Malah katanya Kerajaan PH 1.0 telah menyediakan Padang Merbok tak jauh dari Bangunan Parlimen sebagai tempat untuk berhimpun.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu membantu para aktivis, NGO dan anggota masyarakat untuk berhimpun secara aman.Itu hak rakyat.

“Tujuan mereka hendak lawan rasuah.Ia selari dengan matlamat kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Menteri Dalam Negeri perlu bimbing pihak polis supaya menyedari zaman dulu-dulu sebelum 2012 memang kuasa Polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengeluarkan permit polis boleh atau tak boleh rakyat berhimpun.

“Sekarang kuasa Polis di bawah Akta Polis telah dibatalkan dan diganti dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu menasihati pihak Polis supaya menjadi fasalitator atau pemudah cara untuk orang ramai berhimpun secara aman.
Lihat perhimpunan aman pada 6 Januari lalu di Istana Kehakiman di Putrajaya berjalan dengan aman.Ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah rakyat yang aman bukannya perusuh.Polis harus hadir dalam perhimpunan aman benci rasuah ini sebagai pasukan pengaman yang bertujuan untuk mempermudahkan rakyat berhimpun,” jelas beliau.

Kata Hassan, di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 itu terdapat tempat-tempat atau lokasi yang perhimpunan aman tidak boleh diadakan seperti di kawasan stesen minyak misalnya.

“Jadi pihak polis boleh nasihatkan pihak penganjur supaya memilih tempat lain yang tidak dilarang oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut.

“Nama baik Kerajaan Madani akan jadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun,” tegas Hassan.

Monday, December 24, 2018

Peserta himpunan aman di Klang esok dinasihat patuhi arahan polis

Diterbitkan pada 24 December 2018

Peserta himpunan di masjid Putrajaya meminta keadilan terhadap kematian Muhammad Adib Mohd Kasim ditegakkan, 21 Dis 2018. 
Foto oleh Mukhriz Hazim

SHAH ALAM, 24 Dis Peserta perhimpunan aman bagi menuntut keadilan atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang akan dianjurkan di Klang dekat sini, petang esok dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata pihaknya akan menempatkan pegawai polis yang mencukupi bagi mengawal keselamatan sepanjang perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’.

“Kita sudah bersiap sedia dengan anggota polis yang mencukupi untuk mengawal keadaan termasuk lalu lintas di sekitar bandar Klang esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam Isnin lepas.

Mengulas mengenai permit perhimpunan berkenaan, Ab Rashid berkata pihaknya ada menerima notis pemberitahuan dari penganjur himpunan berkenaan, Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) tetapi ia diserahkan kepada pihak polis kurang dari tempoh yang ditetapkan.

Himpunan itu yang akan diadakan di Dataran Seni Klang, dekat sini, petang esok diadakan bagi menuntut keadilan atas kematian Muhammad Adib selain turut dijadikan platform bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan dan menuntut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat pemimpin Hindraf tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, lima persimpangan jalan akan ditutup esok bermula pukul 12 tengah hari berikutan perhimpunan itu.

“Lima persimpangan yang terlibat ialah Jalan Raja Hassan, Jalan Nangka, Jalan Nanas, Jalan Melayu dan Jalan Taiping.

“Pada masa sama, jalan yang terlibat dengan penutupan berperingkat bermula pukul 3 petang pula ialah Susur Jambatan Kota, Bulatan Kota, Bulatan 100, Persiaran Sultan Ibrahim, Jalan Pos Baru dan Jalan Pasar, laluan kontra turut akan dibuat di Jalan Batu 3 sekiranya penutupan penuh dibuat,” katanya. 

Bernama

Saturday, December 8, 2018

30,000 peserta dijangka hadir

MyMetro
Shafeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my

KEADAAN di sekitar Dataran Merdeka ketika tinjauan persediaan kawalan anggota penguat kuasa berikutan perhimpunan membantah ICERD, hari ini. FOTO Saddam Yusoff.

PERHIMPUNAN aman kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dijadualkan berlangsung di Jalan Raja, Kuala Lumpur, hari ini, berkemungkinan dihadiri lebih 30,000 peserta.

Berdasarkan maklumat sumber diterima, tempahan hotel kawasan sekitar Jalan Masjid India, Jalan Silang, Pasar Seni, Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) serta Jalan Pudu, tidak mencatatkan jumlah luar biasa.

Sebaliknya, jumlah tempahan bilik hotel masih berada pada tahap sama seperti hari sebelum ini.

Berkemungkinan sebahagian besar peserta tiba pada pagi ini dengan menaiki bas atau kenderaan disewa atau datang dari kawasan berhampiran sekitar Lembah Klang.

Sumber memaklumkan, antara lokasi titik pertemuan yang disarankan untuk peserta berkumpul sebelum bermulanya perhimpunan adalah di hadapan pusat beli-belah Sogo, kawasan pekarangan stesen LRT Masjid Jamek, Jalan Tun Perak serta Masjid Negara sebelum bergerak menuju ke hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menjelang jam 1 tengah hari.

Khamis lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya akan menutup enam jalan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur bermula jam 6 pagi hari ini, disebabkan perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, antara jalan berkenaan adalah Jalan Sultan Hishamuddin (sebelum terowong), Leboh Pasar, Jalan Tun Perak (bermula di stesen LRT Masjid Jamek), Jalan Tuanku Abdul Rahman (berhampiran Sogo), Jalan Raja Laut (berhampiran Summit Hotel) dan Bulatan Dato’ Onn (berhampiran Bank Negara).

Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan tunda dan saman kepada kenderaan yang dikesan melanggar peraturan jalan raya, undang-undang serta arahan pihak berkuasa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, IPD Brickfields di talian 03-22979268, dan pusat kawalan polis Kuala Lumpur di talian 03-21460532(sambungan 584/585) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 8:51 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-