Showing posts with label restoran. Show all posts
Showing posts with label restoran. Show all posts

Friday, September 6, 2024

'Wajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, malukan negara'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 6, 2024 6:15 PM
Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

"Apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada perniaga kecil.

“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal. Ini termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.

"Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran. Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

“Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda.

“Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” katanya.

Pilihan pengguna

Mengulas lanjut, Teresa berkata pengguna berhak memilih sama ada untuk mengunjungi restoran yang telah disahkan halal atau tidak.

"Pensijilan halal secara mandatori akan menghadkan fleksibiliti perniagaan dan mempengaruhi kebebasan pilihan pengguna.
"Pengawalan yang berlebihan ini bukan sahaja mengekang kebebasan pengurusan perniagaan tetapi juga tidak menghormati kehendak pengguna," tambahnya.

Katanya, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai undang-undang sedemikian dan pelaksanaan mandatori ini bercanggah dengan undang-undang sedia ada serta mungkin memerlukan pindaan kepada pelbagai undang-undang.

“Lebih penting lagi, campur tangan ini bertentangan dengan semangat kebebasan ekonomi dan autonomi perniagaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan, dan akan memberi kesan negatif kepada kerajaan perpaduan.

“Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa," katanya.

Tuesday, January 24, 2023

Harga ayam turun ‘sikit’ tapi kos operasi, barang lain melambung, pengusaha restoran anggap Rafizi tak realistik

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad dan Shahrul Shahabudin
-January 24, 2023 8:00 AM
Peniaga berkata tidak adil menteri menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke kedai makan yang tidak menurunkan harga atas alasan harga bahan mentah, sedangkan banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pengusaha.

PETALING JAYA: Beberapa pengusaha restoran tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli, berhubung harga makanan kerana ia tidak menggambarkan situasi peniaga secara menyeluruh.

Bella Muhd, yang mengusahakan perniagaan makanan Kelantan dan asam pedas, berkata sejak beberapa hari lalu harga ikan, sayur, dan bahan kering naik mendadak ketika harga ayam turun kepada RM9.20 sekilogram.

“Bagaimana nak kurangkan harga makanan? Ayam turun RM0.20 tapi barangan lain naik harga,” katanya kepada FMT.

Selain harga bahan mentah bukan ayam, Rafizi juga perlu ambil kira keperluan lain seperti gaji minimum untuk pekerja.

“Sekarang ni untuk sektor makanan, jika kami tawarkan RM1,500 tiada pekerja yang mahu bekerja. Jadi perlu tawarkan gaji RM1,800 ke atas dengan faedah-faedah lain untuk mereka,” katanya, yang berniaga di medan selera di ibu negara.

Senada dengan Bella, Desonny Tuzan berkata menteri hal ehwal ekonomi perlu teliti keadaan pengusaha secara menyeluruh, dan bukan hanya berpandu kepada harga bahan mentah.

Peniaga di Taman Desa, Kuala Lumpur ini seterusnya menyenaraikan faktor lain yang dipertimbangkan apabila menentukan harga jualan, seperti sewa kedai, kos operasi, dan harga barangan import yang tidak menurun.

“Harga mentega, mayonis, dan rempah ratus yang diimport saban tahun meningkat,” katanya.

Justeru, Desonny merasakan tidak adil menteri menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke kedai makan yang tidak menurunkan harga atas alasan harga bahan mentah, sedangkan banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pengusaha.

Di Melaka, seorang pengusaha restoran nasi lemak, Suardi Muhammad, berkata harga bahan mentah seperti daging tidak menurun dengan banyak.

“Susah kami nak turunkan harga makanan tanpa menjejaskan untung yang kami perolehi,” katanya, yang sudah berniaga lebih 20 tahun di Ujong Pasir.

Beliau berkata peniaga pun tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan harga baharu.

“Dulu waktu harga barang naik pun saya tak naikkan sangat.”

Rafizi baru-baru ini menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

Katanya lagi, sesetengah peniaga masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan,

Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

Beberapa ahli ekonomi yang dihubungi FMT berkata pandangan Rafizi bahawa restoran harus menurunkan harga sejajar kejatuhan kos bahan mentah adalah “tidak tepat”.

Monday, December 13, 2021

Restoran terkenal di Ipoh disahkan JAIPk tiada sijil halal

mykmu.net
December 13, 2021

Sebaran :


Restoran terkenal di Ipoh disahkan JAIPk tiada sijil halal

KALAU ramai yang singgah makan di sebuah restoran terkenal di Ipoh, Perak, New Hollywood, mesti rasa nak termuntah kerana dikhabarkan bahawa restoran berkenaan tidak mempunyai sijil Halal.

Satu perkongsian di laman sosial Facebook, ditulis oleh individu yang menggunakan nama Nadia Ghafar, ramai yang akan menyerbu restoran ini dan pada sebelah pagi, untuk sarapan, memang penuh.

Itulah sebabnya, kena bangun tidur awal jika teringin nak bersarapan pagi di Restoren New Hollywood.

Walau bagaimanapun, ramai yang mempersoalkan sama ada pihak pengurusan restoran ini ada mempunyai sijil Halal atau pun tidak?

Kalau ada rasa was-was, lebih baik jangan makan di situ tetapi pihak penguatkuasa perlu melakukan siasatan supaya pengunjung beragama Islam, tahu dan jelas dengan status Halal restoren berkenaan.

Menurut catan penulis, Nadia, ekoran ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah pun mengeluarkan kenyataan yang menjadi kekeliruan orang ramai selama ini.

JAIPk telah pun mengesahkan bahawa restoran New Hollywood ini bukanlah pemegang sijil halal Malaysia.

Selain itu, JAIPk turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan sesuatu premis itu mempunyai Sijil Pengesahan Halal terlebih dahulu dan jangan makan sekiranya was-was.

“Jangan cepat terpengaruh dengan kehadiran ramai orang Islam ke kedai berkenaan jika masih tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Ini kerana tanda HALAL sesebuah premis itu diperoleh jika operasi dan bahan makanan yang dijual adalah menepati syariat,” jelasnya.

Bagaimanapun, sebelum ini menerusi The Star pemilik restoran ini ada memberitahu bahawa proses untuk mendapatkan sijil halal bukanlah mudah.

Jadi, bagi mengekalkan kredibiliti restorannya ini, pemilik restoran yang dikenali dengan nama Chan telah memastikan segala bahan masakan yang digunakan diperolehi daripada pembekal yang mempunyai sijil halal.

 SM

Tuesday, November 17, 2020

2 pekerja positif Covid-19, Nasi Kandar Jamal Mohamed Butterworth tutup operasi

FMT Reporters
-November 17, 2020 
Pegawai kesihatan daerah Seberang Perai Utara melakukan saringan terhadap pekerja di restoran. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Restoran Nasi Kandar Jamal Mohamed di Jalan Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang ditutup selepas 2 pekerjanya dilaporkan positif Covid-19 semalam.

Pihak pengurusan restoran itu berkata, hasil maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), seorang pelanggan yang disahkan positif Covid-19 ke restoran itu 4 November lalu.

“Semalam, 2 daripada 7 pekerja yang menjalani saringan dan kuarantin pada 13 November lalu disahkan positif oleh KKM dipercayai dijangkiti oleh pelanggan itu.

“Lanjutan perkara itu, premis kami ditutup sementara waktu bagi memberi laluan saringan kontak rapat dan proses sanitasi serta nyahkuman. Penutupan bermula semalam hingga tarikh akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihak pengurusan restoran itu berkata penutupan hanya melibatkan cawangan di Butterworth dan tidak melibatkan cawangan lain.

“Pihak kami melakukan yang terbaik dan mengikut SOP ditetapkan KKM. Keselamatan pelanggan dan pekerja kami menjadi keutamaan.

“Ini kali pertama kami diuji dengan situasi ini,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-