Showing posts with label seks sejenis. Show all posts
Showing posts with label seks sejenis. Show all posts

Thursday, January 9, 2020

Kenapa tak dakwa Haziq mengaku lakukan seks gay, Haniff tanya peguam negara

FMT Reporters
-January 9, 2020 6:56 PM
Haniff Khatri Abdulla berkata, individu yang merakam dan menyebarkan video seks gay itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PETALING JAYA: Peguam Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan keputusan peguam negara tidak mendakwa seorang daripada lelaki mengaku terbabit dalam mengadakan hubungan seks sejenis dalam klip video yang tersebar tahun lalu.

Tanpa menamakan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz, Haniff berkata, individu terbabit merakamkan pengakuan itu yang dimuat naik ke media sosial pada Jun tahun lalu dan menamakan pasangannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 377A, 377B atau 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii, serta Seksyen 120A, 499 dan 500 akta sama atas kesalahan jenayah konspirasi serta fitnah.

Beliau turut mempersoalkan jika individu yang merakam dan menyebarkan video seks itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Namun persoalan yang ditampilkan juga wajib diselesaikan dan dijawab supaya isu video seks sejenis ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan muktamad, agar tidak menampilkan mana-mana persoalan lanjutan mahupun persepsi negatif di kalangan rakyat Malaysia,” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Thomas mengumumkan tiada pendakwaan dalam kes itu kerana pihak berkuasa gagal mengenal pasti individu yang terbabit dalam klip video berkenaan.

Katanya, hasil analisa CyberSecurity Malaysia mendapati video itu tulen, tetapi pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video rendah.

Beliau berkata, hasil analisa video itu oleh pakar forensik di Amerika Syarikat dan yang dibuat seorang individu secara sukarela turut mengesahkan dapatan CyberSecurity Malaysia yang gagal mengenal pasti individu dalam video itu kerana resolusi rendah serta kualiti dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas.

Sementara itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan setiausaha politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menghormati keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Keputusan ini saya lihat sebagai melindungi rakyat mengikut kuasa Perlembagaan. Kita harus elak daripada membuat spekulasi terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Friday, June 28, 2019

Pelik, bila PKR tidak bertindak terhadap Haziq, kata penganalisis

Robin Augustin
-June 28, 2019 9:18 AM

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz yang membuat pengakuan di Facebook bahawa beliau adalah seorang daripada 2 lelaki yang didakwa terlibat dalam hubungan seks sejenis.

PETALING JAYA:   Seorang penganalisis mengingatkan bahawa keengganan PKR mendisplinkan ketua pemuda Haziq Aziz boleh menghakis sokongan kepada parti itu dan juga Pakatan Harapan (PH).

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, beliau dapati adalah pelik apabila PKR tidak mengambil tindakan terhadap Haziq berhubung dakwaannya mengadakan hubungan seks dengan timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

“Orang ramai mungkin melihat tindakan Haziq seolah-olah dibenarkan oleh parti atau satu kumpulan berpengaruh di dalam parti,” katanya kepada FMT.

“Mesej yang terhasil ialah mereka yang dilindungi akan selamat, biar betapa berat isu disiplin yang dihadapi.”

Sesetengah pemimpin PKR seperti naib presiden Zuraida Kamaruddin dan naib ketua sayap pemudanya Mohd Nazree Mohd Yunus menggesa Haziq dipecat berikutan dakwaan bahawa beliau dan Azmin adalah 2 lelaki dalam klip video yang tular sebelum itu.

PKR memberikan Haziq satu surat tunjuk sebab dan menghendaki beliau menjawabnya dalam tempoh 14 hari.

Azmi berkata, kegagalan bertindak terhadap Haziq boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penyokong PKR dan PH yang tidak bersetuju dengan perbuatannya.

“Jika tiada tindakan diambil atau jika tindakan disipilin yang lemah ke atas Haziq tidak dijelaskan, saya fikir sokongan kepada PH akan terhakis,” katanya.

Haziq merupakan ketua Pemuda PKR Santubong. Jika dipecat, beliau akan menyertai ramai bekas pemimpin dan anggota PKR lain, antaranya yang paling ternama ialah bekas menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim.

Khalid dipecat pada 2014 selepas enggan mengosongkan kerusi menteri besar bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada waktu itu merupakan presiden PKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang yang baru dipilih. Istana Selangor kemudiannya melantik Azmin sebagai pengganti Khalid.

Sebelum Khalid dipecat, PKR menggantung keahlian bekas ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan 7 yang lain berikutan penyiasatan berhubug dakwaan bahawa mereka menipu dalam pemilihan parti dan mengkritik parti secara terbuka.

Pada 2016, bekas ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shahrin dipecat kerana “merosakkan imej parti dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli” dengan tidak mematuhi arahan parti.

Pada 2017, Pemuda PKR Kelantan berjaya mendesak parti supaya memecat ketuanya Mohd Haridz Rizal Amran.

Tahun lepas, PKR memecat ketua bahagian Pasir Salak, Noor Azwan Ramli, kerana didakwa melanggar disiplin parti pada pilihan raya umum ke-14. Enam yang lain digantung keahlian parti selama 2 tahun.

PKR mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang didapati salah merosakkan imej parti.

Thursday, June 13, 2019

Kementerian gantung Haziq Aziz selepas isu video seks

Adam Abu Bakar
-June 13, 2019 3:24 PM

Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kementeriannya tidak teragak-agak menamatkan kontrak perkhidmatan Haziq Aziz, jika tiada maklum balas diterima dalam masa 3 hari.

PUTRAJAYA:   Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan setiausaha sulitnya, Muhammad Haziq Aziz digantung tugas serta-merta, selepas mendakwa seorang menteri kanan terbabit dalam hubungan seks sejenis dengannya.

“Beliau diarah menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh 3 hari daripada tarikh 12 Jun,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya tidak teragak-agak menamatkan kontrak perkhidmatan Haziq, jika tiada maklum balas diterima dalam masa 3 hari.

Katanya, pelantikan Haziq sebagai kakitangan kementeriannya dibuat berdasarkan penilaian dalam soal jawab ketika sesi temuduga, kelayakan akademik serta pengalaman kerja yang dilihat sesuai dengan skop tugas ditawarkan.

“Justeru, tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga.”

Semalam, Haziq menggemparkan negara dengan rakaman video 30 saat di Facebook yang mengaku beliau terbabit dalam klip video seks sejenis.

Beliau menamakan Azmin Ali sebagai pasangannya dalam klip video seks itu yang didakwa dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq.

Penggantungan Haziq menyusul beberapa jam selepas beliau hari ini mempersoalkan kejujuran kerajaan Pakatan Harapan, ekoran pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya semalam.

Haziq berkata, hubungan seks yang didakwa dilakukannya dengan Azmin bukan kejadian pertama dan menuduh Hilman Idham yang merupakan setiausaha politik Azmin dan timbalan ketua Pemuda PKR, memaksanya menarik balik tuduhan ke atas Azmin.

Beliau menyifatkan Azmin sebagai “lelaki sakit” dan menuduhnya merakam video itu untuk dijadikan “koleksi peribadi”.

Hari ini, Shamsul berkata, beliau tidak nampak perwatakan pelik dalam Haziq sepanjang bertugas dengannya di Kementerian Industri Utama.

“Saya ‘blur’. Hal ini kerana di sosial media macam-macam yang diperkatakan, tetapi sebagai orang yang melantik dia, sudah tentu saya bingung kerana tidak ada perwatakan seperti itu sepanjang 6 bulan ini.”

Beliau berkata, Haziq tidak datang ke pejabat sejak Selasa lalu tanpa memberikan sebarang alasan atau memohon cuti.

Katanya, beliau sudah bertanya kepada ahli keluarga Haziq, tetapi mereka juga gagal menghubunginya.

“Saya sendiri teks melalui WhatsApp memintanya datang ke pejabat agar wujud perbincangan, tetapi tidak ada balasan pada Selasa lalu.

“Mereka (ibu bapa) tidak tahu Haziq ada di mana dan sudah tentu mereka sedih dan saya sebagai majikan, saya minta pegawai saya untuk tenangkan keadaan.”

Shamsul berkata, Haziq pernah mengikutnya ke lawatan kementeriannya di Jeddah, Arab Saudi, tetapi tiada apa-apa berlaku antara mereka.

“Semua ‘alright’, tidak ada sebarang masalah di sana.”

Beliau turut menyeru semua pihak bertenang dan bersikap “tabayyun”, iaitu menyiasat untuk mencari kebenaran tanpa menuding jari atau menghukum mana-mana pihak terlebih dahulu.

Katanya, beliau juga menolak sebarang bentuk politik kotor dan memualkan untuk merosakkan imej mana-mana individu.

“Saya mengambil sikap untuk bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa perkara ini ada kaitan dengan pihak-pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

“Permainan politik kotor sebegini tidak perlu ada ataupun diberikan ruang di dalam Malaysia.”

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-