Showing posts with label klip video. Show all posts
Showing posts with label klip video. Show all posts

Monday, April 26, 2021

Bukit Aman panggil Anwar berhubung klip audio tular

freemalaysiatoday.com
K. Parkaran
-April 26, 2021 10:15 PM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim diminta hadir di Bukit Aman pada 10 pagi esok.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung klip audio dikatakan antara beliau dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.

Sumber berkata, ketua pembangkang itu diminta hadir pada 10 pagi esok dan akan ditemani peguamnya, Sankara N Nair.

“Kemungkinan besar ia berkaitan dakwaan perbualan antara dua pemimpin itu mengenai hal Umno yang dirakam dan ditularkan secara misteri,” kata sumber.

Sankara ketika dihubungi mengesahkan beliau akan menemani Anwar ke Bukit Aman, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan klip audio tersebut.

Awal bulan ini, satu rakaman audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada akhir Mac lalu.

Bagaimanapun, Zahid dan Anwar menafikan dakwaan itu.

Zahid berkata, tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas PAU tersebut.

Dalam kenyataannya, Zahid berkata, rakaman audio yang disebarkan itu adalah “usaha berterusan” untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Anwar, dalam kenyataan berasingan, turut menafikan beliau adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon tersebut.

Pada 10 April lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis akan mengambil keterangan Zahid dan Anwar berhubung klip audio itu.

Kata beliau, kertas siasatan telah dibuka dan salinan audio itu dihantar ke makmal forensik untuk menentukan ketulenannya.

Susulan itu, Sankara mempersoalkan keputusan memulakan siasatan kerana mendakwa tiada asas perundangan untuk berbuat demikian.

Kata beliau, polis tiada kuasa untuk menyiasat kerana klip audio tular yang didakwa membabitkan dua pemimpin berkenaan bukan “kesalahan boleh ditangkap”.

“Ada satu, dan hanya satu, peruntukan bawah Seksyen 110 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada ketua polis negara untuk menggunakan kuasanya memulakan siasatan jenayah.

“Dan ini berlaku selepas polis menerima laporan mendedahkan kesalahan boleh ditangkap,” kata beliau dalam kenyataan pada 11 April lalu.

Thursday, January 9, 2020

Kenapa tak dakwa Haziq mengaku lakukan seks gay, Haniff tanya peguam negara

FMT Reporters
-January 9, 2020 6:56 PM
Haniff Khatri Abdulla berkata, individu yang merakam dan menyebarkan video seks gay itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PETALING JAYA: Peguam Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan keputusan peguam negara tidak mendakwa seorang daripada lelaki mengaku terbabit dalam mengadakan hubungan seks sejenis dalam klip video yang tersebar tahun lalu.

Tanpa menamakan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz, Haniff berkata, individu terbabit merakamkan pengakuan itu yang dimuat naik ke media sosial pada Jun tahun lalu dan menamakan pasangannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 377A, 377B atau 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii, serta Seksyen 120A, 499 dan 500 akta sama atas kesalahan jenayah konspirasi serta fitnah.

Beliau turut mempersoalkan jika individu yang merakam dan menyebarkan video seks itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Namun persoalan yang ditampilkan juga wajib diselesaikan dan dijawab supaya isu video seks sejenis ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan muktamad, agar tidak menampilkan mana-mana persoalan lanjutan mahupun persepsi negatif di kalangan rakyat Malaysia,” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Thomas mengumumkan tiada pendakwaan dalam kes itu kerana pihak berkuasa gagal mengenal pasti individu yang terbabit dalam klip video berkenaan.

Katanya, hasil analisa CyberSecurity Malaysia mendapati video itu tulen, tetapi pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video rendah.

Beliau berkata, hasil analisa video itu oleh pakar forensik di Amerika Syarikat dan yang dibuat seorang individu secara sukarela turut mengesahkan dapatan CyberSecurity Malaysia yang gagal mengenal pasti individu dalam video itu kerana resolusi rendah serta kualiti dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas.

Sementara itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan setiausaha politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menghormati keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Keputusan ini saya lihat sebagai melindungi rakyat mengikut kuasa Perlembagaan. Kita harus elak daripada membuat spekulasi terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Wednesday, June 19, 2019

Mengingati semula isu klip video Lingam

Malaysiakini 
Diterbitkan Hari ini 8:23 pagi 


LAPORAN KHAS | Pada 1995, DAP kalah di parlimen Bukit Bintang buat kali pertama sejak kerusi itu dipertandingkan pada 1986.

Namun, kekalahan DAP bukan melalui peti undi. Sebaliknya, parti itu kalah melalui pengisytiharan oleh seorang hakim, yang sedekad kemudian, dikaitkan dengan skandal kehakiman paling serius pernah disaksikan oleh rakyat negara ini.

Pada 2 Ogos 1995, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Fairuz Abdul Halim, dalam menghakimi petisyen pilihan raya Bukit Bintang, mengisytiharkan Wee Choo Keong hilang kelayakan sebagai ahli parlimen kerana pensabitan kes di mahkamah. Wee merupakan wakil rakyat DAP ketika itu.

Ahmad Fairuz kemudian membuat satu lagi keputusan yang mengejutkan dengan mengisytiharkan calon MCA Kee Chong Meng yang tewas kepada Wee sebelum ini, sebagai pemenang, tanpa memberikan arahan untuk pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Ketua hakim negara ketika itu merupakan Eusoff Chin.

Dua belas tahun kemudian, pada 2007, ketika YouTube baru diperkenalkan, sejumlah klip rakaman perbualan antara Fairuz dan seorang peguam dimuat naik di laman web itu, seterusnya mencetuskan kekecohan di laman maya.

Dalam klip rakaman video itu, peguam berkenaan, antara lain, mendedahkan peranannya dalam memastikan Ahmad Fairuz menjadi hakim besar Malaya, yang merupakan jawatan ketiga paling kanan dalam kehakiman. Peguam itu juga didengar berjanji untuk menjadikan Ahmad Fairuz sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Peguam berkenaan adalah VK Lingam.

Meskipun klip video itu hanya didedahkan kepada umum pada 19 Sept 2007, perbualan berkenaan berlaku pada 2002. Beberapa bulan selepas perbualan itu berlangsung, Ahmad Fairuz menjadi presiden Mahkamah Rayuan pada Disember 2002. Pada 2003, Ahmad Fairuz menjadi ketua hakim negara.

Lingam mendakwa dia sudah berunding dengan Eusoff berhubung pelantikan hakim.

Dia juga mendakwa sudah menyuruh ahli perniagaan Vincent Tan dan Tengku Adanan Tengku Mansor yang merupakan timbalan menteri ketika itu "berbisik" kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Butir percakapan Lingam yang mengandungi perkataan "correct, correct, correct" (betul, betul, betul) mungkin merupakan parodi internet atau memes pertama rakyat Malaysia.
Namun, bagi pemerhati perundangan, kandungan klip video itu sangat membimbangkan. Mereka melihat ada campur tangan dalam memutuskan individu yang menjadi hakim dan berkemungkinan mengawal keputusan penghakiman.

"Tidak, jangan bimbang, Datuk, saya tahu berapa banyak anda bersusah payah untuk Eusoff Chin. Dan Tun kata Datuk Ahmad Fairuz setia 110 peratus. Kita mahu pastikan kawan-kawan kita ada demi perdana menteri dan demi negara ini...

"Anda sudah banyak bersusah payah, banyak yang anda lakukan - untuk petisyen pilihan raya, Wee Choo Keong, semuanya. Betapa banyak, tak ada sesiapa yang akan lakukan semua ini," kata Lingam kepada Ahmad Fairuz dalam rakaman itu.

Perbualan itu yang menyentuh tentang petisyen pilihan raya Bukit Bintang menambahkan lagi keraguan tentang keputusan mahkamah dan menimbulkan persoalan dengan kes-kes sebelum ini.

Enam hari selepas klip video Lingam didedahkan, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal berkenaan.

Kaitan di masa lalu

Nama Lingam, Eusoff dan Vincent yang terlibat dalam rakaman berkenaan bukanlah kali pertama saling dikaitkan.

Pada 1994, ketika Eusoff dilantik menjadi ketua hakim, dia bercuti dengan keluarga Lingam dan Tan Chong Paw, yang merupakan pengawal peribadi Vincent, di New Zealand.
Perkara itu diperincikan dalam laporan pada 2000 oleh firma siasatan Bowman Investigations. Lingam dan Eusoff kemudian mendakwa percutian berkenaan hanya kebetulan.

Namun RCI berhubung klip video Lingam, yang turut meneliti percutian itu, kemudian menyatakan: "Dengan mengambil kira dakwaan kebetulan yang banyak... Dengan logik akal saja kami boleh kesan kesangsian dalam dakwaan itu. Dalam situasi ini, kami tidak dapat menerima penafian berkenaan."

Pemerhatian itu penting kerana Lingam dan Eusoff pada tahun berikutnya, hadir di mahkamah yang sama. Dalam situasi seperti itu, hakim biasanya akan menarik diri kerana konflik kepentingan.

Pada 1996, Lingam tampil sebagai peguam Vincent dalam saman fitnah terhadap wartawan MGG Pillai dan yang lain, yang menyaksikan ahli perniagaan mencipta rekod sendiri apabila diberikan pampasan RM10 juta.

Pillai membuat rayuan kes itu sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Ia dibawa ke hadapan panel tiga ahli yang diterajui oleh Eusoff yang mengekalkan keputusan kes.

Dua belas tahun kemudian pada 2008, bekas setiausaha Lingam, G Jayanti memberi keterangan kepada RCI bahawa Lingam menulis penghakiman untuk saman RM10 juta itu. Jayanti juga memaklumkan bahawa dia dan dua setiausaha lain terlibat dalam kerja "menaip dokumen rahsia".

Pillai meninggal dunia pada 2006.

Mengatur panel Mahkamah Persekutuan

Dalam kes lebih awal melibatkan pertikaian komersial antara Ayer Molek Rubber Company dan Insas Bhd pada April 1995, Mahkamah Tinggi mengarahkan Ayer Molek untuk memindahkan saham kepada Insas dalam tempoh 48 jam.

Ayer Molek kemudian memohon untuk mengenepikan arahan itu namun hakim Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh pendengaran kes melebihi tempoh 48 jam dan enggan meluluskan untuk penangguhan sementara.

Ia menyebabkan Ayer Molek tidak mempunyai pilihan selain memindahkan saham kepada Insas. Insas ketika itu diwakili Lingam.

Selepas saham itu dipindahkan, Ayer Molek masih membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan, yang menyaksikan panel mahkamah yang diketuai hakim Mahkamah Rayuan NH Chan memutuskan bahawa ketidakadilan "dilakukan oleh mahkamah".

Panel mahkamah itu berkata, meskipun tidak lagi dapat memberi kebenaran kepada Ayer Molek untuk mengenepikan arahan kerana saham berkenaan sudah dipindahkan, Insas tidak boleh melakukan apa-apa dengan saham yang baru diperoleh, dengan menegaskan bahawa ketidakadilan perlu "dibetulkan".

Dalam keputusan penghakiman 31 Julai 1995, Chan memetik Shakespeare dalam karya Hamlet: "Ada sesuatu yang busuk di Denmark", sebagai merujuk Denmark House di Kuala Lumpur, yang menempatkan Mahkamah Tinggi ketika itu.

Panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Eusoff menolak keputusan Mahkamah rayuan 12 hari kemudian dan membuang beberapa bahagian dalam keputusan Mahkamah Rayuan, termasuk keputusan bahawa pasukan hakim Insas termasuk Lingam menyalahgunakan proses mahkamah.

Bagaimanapun, panel mahkamah yang terdiri daripada tiga ahli yang dibariskan oleh Eusoff itu menimbulkan persoalan kerana turut terdiri daripada hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan boleh dimasukkan dalam panel Mahkamah Persekutuan, namun seorang hakim Mahkamah Tinggi tidak boleh duduk dalam mahkamah persekutuan, yang merupakan mahkamah paling tinggi di Malaysia.

Adik Lingam, K Thirunama kemudian memberi keterangan kepada RCI bahawa selepas dua bulan keputusan itu, Lingam membawa Eusoff dan isteri melawat sebuah rumah di Petaling Jaya yang ditawarkan kepada pasangan itu.
Menurut Thirunama, yang menemani Lingam ketika mengunjungi rumah itu, pasangan berkenaan tidak begitu senang dengan rumah itu dan mahukan tanah yang lebih luas untuk membina rumah pilihan sendiri, yang seterusnya dipersetujui Lingam dan mengarahkan Thirunama untuk mencari tanah yang sesuai.

Thirunama juga memaklumkan bahawa dia menghantar hadiah bagi pihak Lingam kepada keluarga Eusoff pada 1996, termasuk beg tangan, dompet dan telefon bimbit.

Dua puluh tahun selepas kes Ayer Molek, hakim bersara Mahkamah Rayuan KC Vohrah, yang turut bersama dalam panel dengan Chan, mendedahkan bahawa Eusoff cuba campur tangan dalam keputusan mereka.

Ahli panel lain adalah hakim Mahkamah Rayuan Siti Norma Yaakob.

Hakim yang berani katakan tidak pada Lingam

Kes Pillai dan Ayer Molek mendapat perhatian dalam dan luar negara. Majalah International Commercial Litigation, dalam edisi Nov 1995, menyiarkan artikel bertajuk "Malaysian Justice on Trial" (Kehakiman Malaysia Diadili), menyatakan bahawa Lingam dan Vincent mempunyai hubungan dengan hakim.

Lingam memfailkan saman RM100 juta terhadap beberapa peguam, wartawan dan beberapa pihak lain susulan artikel itu.

Lingam berhujah bahawa penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek sudah diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Eusoff. Bagaimanapun, saman fitnah Lingam ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Hishamudin Mohd Yunus pada 2006.

Dalam keputusan yang tegas, Hishamudin memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek masih boleh diguna pakai dan perlu dipatuhi kerana panel Mahkamah Persekutuan hanya terdiri daripada dua hakim yang layak, sementara ahli panel ketiga tidak layak kerana merupakan hakim Mahkamah Tinggi.

Hishamudin, yang bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2015, dinafikan untuk naik pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan sebanyak tiga kali.

Dari kes petisyen pilihan raya Bukit Bintang sehingga kes saman fitnah Pillai dan Ayer Molek, klip video Lingam dan RCI susulan pada 2007 membantu untuk mendapatkan konteks beberapa kes meragukan yang terjadi dalam tempoh lebih sedekad lepas.

Meskipun RCI mencadangkan tindakan ke atas individu yang terlibat dalam rakaman video itu, tiada tindakan pernah diambil.

RCI dalam laporannya memutuskan bahawa bukan saja 'pesakit' perlu dirawat, 'penyakit' itu juga perlu dihapuskan.

"Dalam kata lain, usaha bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menangani akar permasalahan yang sudah didedahkan," katanya.

Dua tahun kemudian pada 2009, Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) berkuatkuasa dua bulan sebelum Abdullah Ahmad Badawi mengundur diri sebagai perdana menteri.

JAC berperanan untuk menyaring dan memastikan integriti serta kebebasan hakim, namun keputusan akhir masih di tangan perdana menteri. Persoalan tentang integriti kehakiman masih kekal.

Hari ini, ketika perdebatan tentang integriti dan kebebasan kehakiman, adakah akar kepada penyakit dalam sistem kehakiman negara sudah ditangani?

BACA LAPORAN INTERAKTIF DI SINI

Tuesday, June 11, 2019

Tersebar video aksi seks didakwa mirip menteri

Fadzil Zainol
11 Jun 2019 4:37 PM

Tangkap layar klip video menunjukkan pasangan sejenis didakwa mirip seorang menteri Kabinet yang tular dalam media sosial hari ini.

KUALA LUMPUR - Beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri Kabinet.

Sekitar pukul 1.30 pagi tadi, beberapa wartawan termasuk daripada Utusan Online dijemput oleh individu yang tidak dikenali menggunakan nama ‘Amin’ untuk menyertai kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Raya YB ***” di mana tiga klip video dikongsikan.

Setelah membawa seramai mungkin wartawan menyertai kumpulan tersebut, didapati individu tersebut tidak lagi mengakses akaun WhatsApp berdasarkan ‘last seen’ pada pukul 1.35 pagi.

Utusan Online tidak dapat mengesahkan kesahihan tiga klip video tersebut.

Dipercayai lebih daripada tiga kumpulan WhatsApp lagi diwujudkan bagi menyebarkan video-video tersebut beserta transaksi kewangan kononnya diterima oleh menteri berkenaan.

Dilaporkan beberapa pentadbir kumpulan WhatsApp yang lain menggunakan nama seakan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Saifuddin Abdullah, Tian Chua dan Zuraidah dipercayai untuk mengelirukan pemberita dan ahli-ahli kumpulan WhatsApp.

Sementara itu dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir turut diajukan soalan berhubung perkara tersebut namun beliau berkata dirinya tidak mengetahui mengenai penyebaran beberapa keping gambar dan video ‘intim’ mirip seorang menteri tersebut.

Kata Perdana Menteri, beliau baru mendengar mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu tau apa pun, saya baru dengar, saya kena bacalah dulu. Kalau awak boleh bagi taklimat, baguslah juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan semua orang harus kekal berpegang kepada prinsip Islam untuk mengelakkan diri daripada turut menyebarkan tular tersebut.

“Lebih membimbangkan jika video tersebut adalah palsu. Pastinya dosanya lebih besar dan laknat Allah yang lebih berat bakal menimpa kita,” katanya dalam akaun Facebook beliau. 

- UTUSAN ONLINE

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-