Showing posts with label wakil rakyat. Show all posts
Showing posts with label wakil rakyat. Show all posts

Monday, April 12, 2021

Rais Yatim: Kenapa wakil rakyat tak digantung tugas jika ada kes mahkamah?

malaysiakini.com
M Fakhrull Halim
Diterbitkan 12 Apr 2021

Jika penjawat awam harus digantung tugasnya apabila berhadapan kes di mahkamah, mengapa hal sama tidak turut berlaku kepada wakil rakyat?

Begitu persoalan dibangkitkan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim.

Sedangkan, katanya, menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat harus mendapat hak sama rata.

Oleh hal yang demikian, usulnya, satu kaedah harus difikirkan bagi mengenakan satu bentuk hukuman ke atas wakil rakyat yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Sekarang ini kita lihat, seseorang penjawat awam apabila didakwa di mahkamah, semua khidmatnya digantung, tak boleh bergerak.

"Tetapi bagi wakil rakyat atau parlimen misalnya, mereka terus boleh bergiat, waima telah dikenakan beberapa syarat termasuk jamin, ataupun termasuk hukuman (bersalah) lantaran mereka membuat rayuan. Tetapi dalam dunia penjawat awam ini tidak berlaku.

"Jelasnya (untuk) wakil rakyat wajar difikirkan apakah struktur pascahukuman yang perlu dilalui, yang sekarang ini tidak ada jawapannya, seperti yang kita lihat di sekitar.

"[...] (Berbeza dengan penjawat awam) Mereka (wakil rakyat) masih terus boleh berkhidmat dan menjalankan tugas yang ada padanya dan dianggap adalah sah," katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) hari ini.

Dia berkata demikian semasa menekankan aspek budi (virtue), yang katanya turut perlu ada di dalam diri para pemimpin.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan itu tidak menyebut nama mana-mana wakil rakyat yang dimaksudkan.

Perkara 8 yang dipetik Rais menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Beberapa pemimpin politik yang juga wakil rakyat telah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah atas kesalahan rasuah, seperti bekas presiden Umno Najib Razak (ahli parlimen Pekan) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (ahli parlimen Putrajaya).
Sementara Tengku Adnan masih menunggu rayuan, permohonan Najib di Mahkamah Rayuan berhubung rayuan sabitan kesalahan rasuah kes SRC International sedang berjalan.

Beberapa lagi pula berdepan pertuduhan di mahkamah, antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (ahli parlimen Bagan Datuk) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (ahli parlimen Baling), dan Ahmad Maslan (ahli parlimen Pontian).

Dalam pada itu, Rais turut bersetuju dengan saranan agar ahli politik melakukan gencatan senjata sempena menjelangnya Ramadan.

Katanya, bulan Ramadan harus dihormati, bukan dicemarkan dengan fitnah, kata sinis dan tohmahan yang boleh memecah belahkan.

"Orang berkata bahawa dalam bulan Ramadan, semuanya aman damai malah dikatakan dianggap sebagai syaitan dan tidak dibenarkan berinteraksi dengan mereka. Ini kan pula manusia?

"[...] Dan sebahagian besar daripada perpecahan ini saya lihat dalam kalangan ahli politik Melayu, bukan dalam kalangan pihak lain. Dan Melayu merupakan Muslim.

"Kenapa tidak hormat dengan tuntutan agama dan jika itu dapat dilaksanakan, rakan bukan Melayu pun akan hormat dengan kita sebab Melayu adalah golongan majoriti di negara ini," katanya.

Wednesday, November 20, 2019

Kerajaan harus kajisemula pencen berganda diterima Ahli Parlimen, Adun, Exco

MOHD ALI HASHIM

Skim pencen bagi wakil rakyat bagi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Exco Kerajaan Negeri maupun jawatan lebih tinggi harus dikaji semula.

Ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk meminimakan kos dan perbelanjaan sepertimana yang sering diperkatakan sejak Pakatan Harapan menerajui kepimpinan selepas memenangi pilihan raya umum yang lalu.

Demikian disarankan oleh aktivis masyarakat Noor Hasni Saad ketika ditemui di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, semalam.
Noor Hasni Mohamad
Jelas beliau, pencen melampau yang diterima oleh wakil rakyat adalah tidak wajar kerana ia sudah melebihi apa yang diperolehi oleh penjawat awam yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun sebelum pencen.

“Berdasarkan kepada pertemuan dan perjumpaan dengan begitu ramai penjawat awam, mereka mengeluh dan menzahirkan rasa ketidakadilan yang berlakui.

“Majoriti dari mereka telah pun berkhidmat begitu lama, namun begitu pencen yang diterima selepas perkhidmatan yang menjangkau puluhan tahun hanya sekadar cukup makan sahaja.

“Walau bagaimana pun pencen melampau yang diterima oleh wakil rakyat amat tidak wajar dipraktikkan dalam usaha kerajaan mengurangkan kos dan perbelanjaan,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan bekas tentera tidak berpencen turut berkata, ramai lagi lagi bekas tentera dan golongan marhaen yang hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Namun begitu tegasnya, majoriti dari wakil rakyat yang hanya berkhidmat dalam tempoh yang singkat sepenggal sudah boleh menikmati pencen yang begitu lumayan jika dibezakan dengan penjawat awam yang lain.

“Sekiranya wakil rakyat tersebut adalah Ahli Parlimen dan juga Adun sudah pasti ia akan menerima pencen bagi kedua-dua jawatan beliau selepas tamat sepenggal berkhidmat.

“Apa lagi seandainya ia juga adalah menteri kabinet ataupun timbalan menteri, tidak dapat dinafikan pencennya akan turut berganda.

“Manakala Adun negeri yang dilantik menjadi exco kerajaan negeri akan turut menerima imbuhan yang berganda sedangkan pemberian yang berganda itu boleh menjimatkan wang negara sepertimana yang sering dilaung-laungkan.

“Sehubungan itu kerajaan harus peka dan peduli dengan serius isu pencen berganda yang diterima oleh wakil rakyat dan ahli politik, ” tambah beliau.

Sejajar dengan itu kata Noor Hasni, cara terbaik ialah memberi hanya satu pencen tertinggi sahaja seandainya kerajaan benar-benar serius untuk melaksanakan penjimatan sepertimana yang kerap diwar-warkan.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/kerajaan-harus-kajisemula-pencen-berganda-diterima-ahli-parlimen-adun-exco/

Tuesday, March 19, 2019

Umno tetap akan saman semua wakil rakyat lompat parti

B Nantha Kumar


Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini mengesahkan akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang keluar parti selepas gabungan BN ditumpaskan pada PRU14.

Mengulas lanjut laporan bahawa Umno kemungkinan tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya, Annuar berkata laporan tersebut sebagai tidak tepat.

“Laporan itu tidak tepat. Saya baca di Malaysiakini tulis sesuatu pasal Umno tidak saman.

“Saya ingin mengesahkan adalah tidak benar laporan Umno menarik balik saman terhadap bekas wakil rakyat parti tersebut kerana kos yang tinggi,” katanya menjawab soalan pemberita di lobi parlimen.
Annuar Musa
Malaysiakini semalam memetik laporan The Malaysian Insight yang menyatakan sumber Umno memberitahu bahawa parti itu tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya.

Memetik sumber, portal itu melaporkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilapor berpendapat adalah lebih baik parti itu menumpukan usaha untuk mengukuhkan parti, selain faktor kos menjadi pertimbangan.

Sementara itu, Annuar yang juga MP kawasan parlimen Ketereh berkata Umno akan menyaman kesemua ADUN dan MP yang bertindak keluar daripada Umno.

“Saya boleh pastikan hari ini kesemua ADUN dan MP yang meninggalkan parti akan disaman.

“Lebih kurang 30 daripadanya, 20 dari Sabah dan lagi 10 ADUN dan MP dari semenanjung masing dua ADUN di Johor dan Perak serta satu di Kedah akan diheret,” jelasnya.

“Jadi tiada sesiapa tertinggal,” katanya sambil menambah bahawa partinya tidak akan berkongsi maklumat kos guaman kepada awam.

Tambahnya, beliau telah berbincang dengan Mohamad dan bendahari Umno dan juga peguam yang mengendalikan kes ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Tuesday, July 21, 2015

Nik Abduh: YB PAS tak boleh langgar bai'ah

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz mengingatkan wakil rakyat PAS bahawa mereka tidak boleh melanggar bai'ah (sumpah janji setia) jika berhasrat mahu meninggalkan atau keluar parti.

Katanya, calon atau wakil rakyat tersebut "menerima amanah" daripada parti sebagai wakil rakyat dengan janji setia memegang amanah bersama PAS.

"Bai'ah ini tidak boleh dilanggar. Mereka telah mengambil daripada PAS, bukan memberi kepada PAS.

"Jika mahu langgar, hantar balik apa yang mereka ambil daripada PAS. Selepas itu, urusan mereka adalah dengan Allah," tulis beliau dalam Facebooknya hari ini.

Kenyataan Nik Abduh itu dibuat di kala rancangan kumpulan progresif dalam PAS - sebahagian mereka menjadi wakil rakyat - yang tekad mahu menubuhkan parti baru selepas disingkirkan pada muktamar bulan lalu.

Sehubungan itu, Nik Abduh mencabar wakil rakyat parti itu yang mahu melanggar sumpah itu supaya mencari fatwa yang membenarkan pelanggaran bai'ah itu dilakukan.

"Carilah fatwa dari serata dunia untuk membenarkan perlanggaran bai'ah oleh wakil rakyat PAS dan laksanakan jika berani.. No hal," katanya yang juga anak lelaki Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun Nik Abduh berkata bai'ah ahli PAS kepada parti itu boleh ditarik balik jika mereka mahu keluar parti.

"Ia bermaksud ahli memberi kesetiaan mereka kepada PAS," kata anggota parlimen Pasir Mas itu.

"Bai'ah ini boleh ditarik balik jika ahli itu mahu keluar PAS. Itu hak ahli. Caranya, tanyalah ahli ilmu," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-