Showing posts with label surat akujanji. Show all posts
Showing posts with label surat akujanji. Show all posts

Thursday, November 3, 2022

'BN bukan macam PH, sejurus menang terus gugurkan kes'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 3, 2022 4:02 PM
Ahmad Zahid Hamidi membidas seteru politiknya yang didakwa terus menabur fitnah berhubung surat aku janji yang kononnya wajib ditandatangani oleh semua calon Umno dan BN.

“Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka,” kata presiden Umno itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini tanpa menyebut Pakatan Harapan (PH).

Namun adalah jelas kenyataan itu merujuk kepada pengerusi DAP Lim Guan Eng, yang dibebaskan sepenuhnya pada September 2018 daripada dua pertuduhan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dengan pembelian sebuah banglo pada nilai di bawah pasaran.

Pada 2020, selepas kejatuhan kerajaan PH, Lim diheret ke mahkamah sekali lagi berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Kes itu sedang dibicarakan.

Sementara itu, Zahid, yang juga berdepan pertuduhan rasuah, berkata selepas pertukaran kerajaan pada 2018, pemimpin BN yang setia mempertahankan parti "dizalimi" manakala mereka yang tunduk serta patuh kepada PH “dibelai”.

“Sebab itu kita percaya lawan BN sedang takutkan bayang-bayang sendiri. Cemas kerana overthinking selepas apa mereka lakukan.

“Bimbang what you give you get back. Hentikanlah politik menipu dan merapu seperti ini,” katanya.

Menurut surat aku janji itu, calon BN diwajibkan berjanji untuk menyokong Zahid sebagai calon perdana menteri, menyokong pakatan dengan parti lain untuk membentuk kerajaan, dan menyokong pengguguran pertuduhan dan siasatan terhadap pemimpin Umno.
Pemimpin Umno menafikan kewujudan dokumen yang tular itu dan mendakwa sekalipun jika ada ia adalah palsu.

Sementara itu, Zahid menggesa musuhnya untuk menamatkan “politik menipu dan merapu" ini.

“Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini.

“Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka membaca pembohongan itu.

“Fitnah terbaru lawan BN ini menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak mereka dan pastikan mereka ini tidak menang apatah menjadi kerajaan semula,” katanya.

Dia turut mengingatkan supaya jangan membenarkan negara ini ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan atas dasar fitnah dan penipuan kerana hampir pasti rakyat juga akan sekali lagi difitnah dan dibohongi.

Friday, July 3, 2020

Surat akujanji Anwar sokong Muhyiddin palsu - Saifuddin

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 1:31 pm

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan surat akujanji yang menggambarkan presiden partinya, Anwar Ibrahim menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia.

"Palsu," kata Saifuddin rmenerusi pesanan ringkas ketika menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai perkara itu.

Surat akujanji bertarikh 16 Mei yang ditularkan itu mendakwa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak menyokong sebarang usaha dan cubaan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Surat itu dikatakan pernah disebarkan sehari sebelum sidang parlimen 18 Mei lalu, sebelum tular semula di media sosial sejak semalam.
Pada 8 Mei Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof mengesahkan menerima usul Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

"Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.

"...usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak," katanya.

Bagaimanapun, persidangan pada 18 Mei sebelum ini hanya diadakan selama satu hari kerana negara masih terkesan dengan Covid-19 dengan satu agenda iaitu titah diraja pada pembukaan sidang oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia sekaligus menyaksikan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional tidak akan berlaku.

Persidangan Dewan Rakyat berjadual pada 13 Julai ini kemungkinan menyaksikan undi tidak percaya tidak akan berlaku selepas usul perdana menteri untuk menukar speaker Mohamad Ariff dan timbalannya Nga Kor Ming.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-