Showing posts with label G25. Show all posts
Showing posts with label G25. Show all posts

Tuesday, February 18, 2020

G25 buat laporan polis terhadap Hadi esok

FMT Reporters
-February 18, 2020 12:46 PM

Hadi Awang.

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 akan membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi Awang esok berhubung kenyataan presiden PAS itu, yang pernah mengatakan mereka lebih bahaya daripada militan Al Maunah.

Setiausaha Eksekutif Jasmin Zulkifli dalam satu pemberitahuan hari ini memaklumkan G25 akan ke Balai Polis Dang Wangi pada pagi esok “atas kenyataan yang dibuat terhadap kumpulan itu oleh Hadi”.

G25 menjadi sasaran presiden parti Melayu-Islam terbesar itu susulan penerbitan laporan “Administration of Matters Pertaining to Islam” oleh kumpulan itu pada 11 Jan lalu, untuk menangani isu-isu berkaitan pentadbiran Islam, terutama untuk mencerahkan undang-undang kurang jelas yang memberi kesan dalam penerapan syariat dalam dasar pentadbiran awam.

Laporan itu menarik perhatian kepada isu undang-undang menghukum murtad yang menurutnya tidak konsisten dengan Perlembagaan, penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, dan penubuhan Majlis Tanah Negara walaupun tanah bawah bidang kuasa negeri, dan mencadangkan pindaan-pindaan berkaitan.

Hadi bagaimanapun membidas G25 dan pengikutnya lebih berbahaya daripada Al Maunah dan memberi ancaman kepada akidah umat Islam kerana pemikiran mereka tidak berpandukan syariat daripada ajaran dan kitab suci agama itu.

Presiden PAS itu kesal pihak berkuasa membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang “bodoh dan bebal” berhubung hal ehwal Islam, dan perbincangan mengenai Islam tidak boleh dibiarkan kepada kumpulan itu, yang disifatkan sebagai “makhluk perosak”.

Saturday, January 11, 2020

G25: Jika mahu tinggalkan Islam, itu antara dia dan Tuhan

Diterbitkan Hari ini 12:50 tengahari

BERITA

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Demikian menurut kertas laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga merupakan wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”

Jelas G25 dalam laporan tersebut, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat jumaat misalnya adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.

Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, 3 hak yang berbeza, iaitu, hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

“Tidak ada asas yang dibenarkan perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang,” katanya.

Selain itu, G25 berpendapat tiada orang boleh dipaksa mempercayai Tuhan dan tiada mana-mana orang boleh dipaksa kekal dalam Islam.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata meninggalkan Islam adalah sesuatu yang dikesali.

“Bagaimanapun sekiranya dia tetap mahu meninggalkan Islam, maka itu antaranya dengan Tuhan. Tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran,” katanya lagi.
G25 juga memaklumkan Malaysia pernah ada undang-undang yang mengesahkan seorang itu sudah murtad.

“Undang-undang itu sudah dimansuh dan digantikan dengan peruntukan undang-undang yang tidak jelas di “kebanyakan negeri” yang membolehkan Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi seorang Islam,” katanya.

Turut hadir pada perbincangan laporan ini adalah, Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Noor Azimah Rahim, pemikir terkemuka Chandra Muzaffar dan Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF)Dr Ahmad Farouk Musa.

'Penubuhan MKI, Jakim tak ikut perlembagaan'

Sementara itu, G25 mendakwa penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengikut perlembagaan.

Kumpulan itu berkata, tiada peruntukan dalam perlembagaan untuk penubuhan organisasi berkenaan.

“Perkara-perkara berkaitan agama orang Islam dan adat Melayu adalah bidang kuasa eksklusif badan perundangan negeri dan majlis eksekutif negeri,” kata laporan itu.

"G25 juga maklum bahawa kuasa Majlis Raja-raja, yang dihadkan kepada perkara-perkara yang ditetapkan dalam Perkara 38 Perlembagaan, tidak termasuk menubuhkan sebuah agensi persekutuan seperti MKI atau Jakim.

“Bagaimanapun, kami menghargai tujuan menubuhkan MKI adalah untuk mempunyai suatu agensi persekutuan untuk menyelaras dan mengalakkan penyeragaman dalam pentadbiran undang-undang Islam dalam kalangan negeri.

“Perlembagaan perlu dipinda jika ada keperluan untuk suatu agensi seperti itu”, jelas laporan berkenaan.

Selain itu, G25 juga menjelaskan Jakim, di samping berkhidmat sebagai sekretariat MKI, juga diamanahkan dengan fungsi-fungsi seperti kemajuan Islam dan kegiatan dakwah.

“Isi fungsi-fungsi itu, boleh dikatakan, melebihi kuasa eksekutif persekutuan (yang boleh dijalankan Kabinet), memandangkan kuasa eksekutif persekutuan tidak termasuk agama orang Islam kecuali di Wilayah Persekutuan sahaja.

“Kabinet mengamanahkan fungsi-fungsi khusus itu kepada Jakim dan oleh itu tidak konsisten dengan perlembagaan,” katanya.

MKI ditubuhkan sebagai pihak berkuasa tertinggi kebangsaan untuk menjadi platform tertinggi sebagai badan penyelaras pentadbiran agama Islam seluruh Negara. Jakim merupakan sekretariat kepada MKI.

Untuk rekod, G25 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan perspektif wasatiyyah dalam hal keagamaan, memperkukuh institusi perundangan serta mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pemerintahan negara.

Wednesday, January 2, 2019

G25: Malaysia akan gagal, miskin jika ikut model 'negara Islam' ala Isma

Diterbitkan pada 02 January 2019
Oleh Yiswaree Palansamy

Pemimpin dan penggerak kempen 'Malaysia negara Islam' menunjukkan simbol jari berbentuk 'C' sebagai lambang bulan sabit. ― Foto ihsan Twitter/ Malaysia Negara Islam

KUALA LUMPUR, 2 Jan ― Kumpulan tokoh progresif G25 memberi amaran Malaysia akan menjadi negara miskin dan gagal jika mengikut model "negara Islam" Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

"Pandangan kami dalam G25, apa yang dikempenkan oleh Isma akan menyebabkan negara ini menjadi gagal dengan kemiskinan dan kesengsaraan untuk rakyatnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Isma harus menjelaskan sama ada sistem sedemikian boleh menjadikan ekonomi negara ini kuat untuk meningkatkan taraf hidup dan memberi keyakinan terhadap masa depannya.

Kumpulan itu juga yakin Sabah dan Sarawak tidak boleh menerima apa-apa ideologi seumpama itu yang disifatkannya dalam kategori "aliran sangat kanan."

"Isma mungkin boleh mendapat satu juta tandatangan tetapi Malaysia arus perdana, yang mewakili majoriti, tidak akan menerima pakai agenda Islamnya," kata G25 lagi.

Hujung bulan lalu, badan Islam itu melancarkan kempen untuk mendesak Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam dengan hujah perlembagaan dan kedudukan agama di negara ini.

Ingin mengutip sejuta tanda tangan dalam tempoh lima bulan, kempen tersebut menggunakan simbol jari berbentuk huruf "C," yang melambangkan bulan sabit.

Lapan mesej kempen itu termasuklah menolak Malaysia sebagai negara sekular dan menegaskan ia asalnya tanah Melayu dan bangsa itu penduduk asalnya.

Mereka juga mahu rakyat melaksanakan kewajipan Islam, memperkasa undang-undang Islam dalam sistem kehakiman dan mengukuhkan peranan bahasa Melayu.

Bahan kempen mereka menggunakan huruf jawi, bukan huruf rumi, yang ditujukan khas kepada orang Melayu yang boleh membacanya.

Baca seterusnya di Malay Mail

Tuesday, July 31, 2018

Ketua setiausaha negara digesa berundur cara terhormat


Kumpulan bekas penjawat awam tersohor G25 mendesak Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa meletakkan jawatan.

Gesaan itu dibuat selepas timbul siri publisiti buruk dan kritikan kepimpinan baru terhadap perkhidmatan awam negara.

“Kami rasa KSN tidak patut tidak pedulikan kenyataan keras daripada pemimpin kita dan sebaliknya, beliau patut mengaku pada diri sendiri bahawa beliau bertanggungjawab bertindak demi kepentingan seluruh perkhidmatan awam dengan meletakkan jawatan.

“Kami dengan ini mendesak KSN mengambil langkah terhormat dengan menawarkan peletakan jawatannya tanpa teragak-agak bagi menyelamatkan perkhidmatan awam daripada terus menanggung malu dan berdepan publisiti buruk.

“Tawaran peletakan jawatannya akan membolehkan perdana menteri membuat keputusan betul terhadap pentadbiran negara,” kata G25 dalam kenyataan hari ini.

Semua kakitangan kerajaan, kata mereka, akan menghargai “pengorbanan” peribadi Ali bagi memberi laluan kepada KSN baru mengembalikan semula reputasi perkhidmatan awam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata terdapat penjawat awam tidak memberikan komitmen kepada agenda reformasi kabinet kerana masih setia pada pemimpin lama.

Perkara itu, kata Mahathir, menyebabkan sukar untuk pentadbiran baru mempercayai mereka untuk melaksanakan dasar-dasar pembaharuan yang mahu diperkenalka

Monday, December 7, 2015

Khalwat tidak boleh dianggap jenayah - G25

Noor Farida mendakwa tiada negara Islam lain yang mempunyai undang-undang khalwat. Foto TRP/ Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 6 Disember:

Kumpulan pesara kerajaan Melayu berorientasi sederhana G25 mendakwa `dosa peribadi’ seseorang itu tidak sepatutnya dihukum oleh negeri.

Jurucakapnya, Datuk Noor Farida Arif, berkata dosa seseorang seperti khalwat tidak sepatutnya dihukum oleh pihak berkuasa negeri.

“Itu dosa peribadi. Dosanya dengan tuhan. Antara orang itu dengan tuhan.

“Mengapa harus dijadikannya sebagai satu jenayah?

“Islam kata kita tidak boleh kacau ruang peribadi,” katanya pada sidang media selepas Forum G25 Mengenai Islam Dalam Demokrasi Berperlembagaan.

Beliau berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengenakan hukuman terhadap kesalahan khalwat.

“Tiada negara Islam lain yang mempunyai undang-undang khalwat.

“Ini bertentangan dengan Islam. Kamu tidak boleh mengetuk pintu rumah orang pada jam 3 pagi dan menangkap mereka.”

Noor Farida berkata, undang-undang syariah lain akan turut dikaji tetapi hanya akan dipilih kemudian.

“Terma rujukan akan dilihat di setiap lapisan.

“Mana-mana yang mengganggu Perlembagaan Persekutuan akan dikaji semula.”

Beliau berkata, mereka yang bukan Islam akan turut terkesan dengan undang-undang syariah.

“Jika kita kaji semula mengenai perebutan jenazah dan hak penjagaan kanak-kanak apabila pasangan menukar agama memasuki Islam, ketidakadilan seperti ini yang kita mahu elakkan.”

Noor Farida berkata, Islam adalah agama yang adil, penuh rahmat dan belas kasihan.

“Cara Islam dilaksanakan di bawah Undang-Undang Syariah mengakibatkan banyak ketidakadilan kepada orang Islam dan bukan Islam.

“Kerana itu, ramai mengatakan Islam dirampas oleh pihak berkuasa negeri.”

Noor Farida berkata, objektif utama forum itu adalah untuk mengkaji Undang-Undang Syariah dan sempadannya selain penubuhan Jawatankuasa Perundingan Pakar bagi menasihatkan kerajaan untuk memudahkan pindaan kepada undang-undang syariah negeri.

Beliau berkata, pindaan itu haruslah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Ahli G25 yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Sheriff Kassim, berkata Jawatankuasa Perundingan harus dimulakan oleh G25 tetapi kemudian akan dilampirkan kepada kerajaan.

“Ia tidak boleh dilakukan oleh G25 sendirian tetapi perlu diletakkan di bawah payung organisasi negeri,” katanya pada sidang media.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/uncategorized/2015/12/06/khalwat-tidak-boleh-dianggap-jenayah-g25/#ixzz3tYY4N96E

Monday, November 9, 2015

G25 jumpa Mahathir, Muhyiddin, tapi akui berkecuali

Kumpulan tokoh Melayu terkemuka (G25) menjarakkan diri daripada dakwaan seorang ahlinya yang menyokong Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri dengan berkata kumpulan itu kekal berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

G25 dalam satu kenyataan malam semalam merujuk kepada kenyataan Mohamed Tawfik Ismail diThe Star bahawa Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ada berjumpa dengan mereka pada Oktober lalu berhubung rancangan menolak Najib tetapi kumpulan itu dikatakan tidak bersetuju.

Tawfik juga memberitahu akhbar harian berbahasa Inggeris itu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis yang berasingan juga meminta G25 melakukan perkara yang sama.

"Kami percaya bahawa walaupun kuasa politik boleh berubah dari semasa ke semasa, namun, badan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan agensi kawal selia dan perkhidmatan awam mesti kekal bebas untuk mewujudkan keyakinan dalam profesionalisme dan kesinambungan sistem pentadbiran.

"Kami membuat kenyataan ini dengan jelas kepada pemimpin-pemimpin berpengaruh bahawa kami telah berjumpa dengan raja-raja Melayu, Dr Mahathir dan Muhyiddin," kata G25 dalam satu kenyataan.

"Oleh itu, kami ingin menegaskan bahawa kami ingin kekal di atas jurang politik supaya boleh menawarkan nasihat yang membina mengenai pembaharuan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik dan dihormati di tanah air dan di peringkat antarabangsa bagi tadbir urus yang baik."

G25 berkata matlamatnya tetap sama - melihat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk - dan bahawa ia telah menemui kedua-dua belah jurang politik ke arah matlamat tersebut.

Objektif ini boleh dicapai melalui melalui pembaharuan dalam pentadbiran agama dan tadbir urus keseluruhan, kata G25 lagi.

[Baca berita penuh]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-