Wednesday, October 7, 2015

Adakah Umno masih disokong ahli-ahli pengasasnya?

oleh Lokman Mustafa
KOMEN: Semasa kanak-kanak, setiap kali saya melawat arwah datuk, saya sentiasa melihat sijil keahlian Umno yang tergantung di dinding rumah kayunya.

Sebagai ketua kampung dalam kawasan Kuala Lipis, Pahang, datuk saya mungkin antara salah seorang ahli pengasas parti politik tersebut di kampung kami.
Berdasarkan sejarah penentangan pejuang Melayu terhadap sistem residen British di negeri itu, saya merasakan yang datuk saya berkemungkinan besar menyertai Umno kerana perjuangan anti penjajahnya semasa tahun-tahun menjelang kemerdekaan.

Selain itu, terdapat juga sekeping gambar datuk bersama Najib Razak yang diambil di stesyen keretapi Kampung Mela pada awal 1980-an, ketika Najib menjadi menteri besar Pahang.

Sebelum 1990-an, penduduk di Pahang jarang sekali menyertai parti politik lain, termasuklah PAS.

Umno dilihat sebagai satu-satunya organisasi politik yang memperjuangkan orang Melayu dan mempertahankan pemerintah Melayu.

Hari ini, sekiranya datuk saya masih hidup- dia meninggal pada awal 1990-an- saya tidak pasti samada dia masih akan menyokong Umno atau Najib.

Setahu saya, tiada seorangpun anaknya merupakan ahli berdaftar parti.

Dalam media arus perdana, Najib disanjung sebagai pemimpin berkaliber yang menghadiri Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York baru-baru ini, sebelum berlepas ke Itali untuk lawatan rasmi.

Dia juga seringkali digambarkan sebagai pemimpin yang disayangi oleh pengundi di Pekan, yang kebetulan merupakan tempat lahirnya.

Tetapi selain daripada itu, saya tidak berapa pasti sejauh manakah penduduk Pahang kini menyokong presiden Umno sekarang.

Di Temerloh misalnya, ada beberapa orang lagi pemimpin yang dihormati seperti Saifuddin Abdullah (Umno) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS)

Sebaliknya di Raub, menyaksikan kebangkitan Mohd Ariff Sabri (DAP), sementara di Kuantan pula, ada Fuziah Salleh (PKR).

Malah hakikat yang wujud, populariti Najib di Pekan mengalami ujian berat sewaktu pilihanraya umum 1999.

Ketika itu, dia hanya mampu meraih 13,148 undi berbanding calon PAS Ramli Mohamed, dengan 12,907 undi.

Bagaimanapun, selepas bekerja keras untuk mengubah nasibnya, Najib berjaya memperolehi majoriti 22,922 undi dalam pilihanraya umum 2004.

Dalam PRU 13, Fariz Musa dari PKR berjaya mendapatkan 15,665 undi menentang Najib yang memperolehi 51,287 undi.

Maka, kemenangan besar dengan majoriti 35,613 untuk perdana menteri.

Bagaimanapun pada Feb 2015, laman berita Selangorku melaporkan Kajian Bebas Merdeka Centre yang mengatakan penerimaan rakyat Malaysia kepada Najib menurun kepada 44 peratus, berbanding 48 peratus pada Oktober 2014.

Kajian itu juga mendapati yang tahap penerima Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib kekal pada tahap 38 peratus.

“Sekiranya anda lihat tahun 1999, situasi yang sangat pelik. Majoriti undi untuk saya jatuh mendadak, saya rasa, sehingga 214 undi,” Najib dipetik berkata dalam laporan berita pada tahun 2010, bertajuk “PRU 1999: Saya mangsa konflik Mahathir-Anwar”.

“Hayat dalam politik boleh menjadi singkat sekiranya anda berada dalam kumpulan yang salah,” katanya dalam laporan The Malaysia Insider.

Arwah datuk saya Ahmad Bek meninggal pada usia 77 tahun. Walaupun pengikut Umno yang setia, dia tidak pernah terlibat langsung dalam politik.

Rumah di kampung yang saya lawati semasa kecil sudah lama ditinggalkan. Sijil Umno yang tergantung di dinding mungkin sudah menjadi debu.

Selain itu, kenangan saya tentang kampung kecil di Kuala Lipis juga menjadi semakin kabur.

Tetapi buat saya, ianya bukanlah tragedi sebenar.

Kerana tragedi sebenar ialah ketika Umno tidak lagi menerima sokongan, walaupun daripada ahli-ahli terawalnya sendiri.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Adakah-Umno-masih-disokong-oleh-ahli-ahli-pengasasnya#sthash.a02arHaT.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-