Sunday, April 16, 2017

Jentera BN di setiap negeri sudah digerakkan

Hakimi Ismail
16 April 2017
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan sijil penghargaan kepada murid terbaik SPM 2016 murid sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), Mohd Aiman Mat Sukor antara murid terbaik keseluruhan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2016, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

PUTRAJAYA 16 April- Jentera Barisan Nasional (BN) di setiap negeri sudah digerakkan dalam usaha mendekati rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jentera tersebut bersedia sepenuhnya dan hanya menanti pengumuman tarikh PRU-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN.

“Sekarang kita sudah minta jentera setiap negeri menggerakkan usaha mendekati rakyat dan saya percaya BN bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menghadapi PRU-14 seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Untuk UMNO pula, kita juga telah bersedia untuk berdepan PRU-14. Bagaimanapun kita akan menunggu segala arahan daripada Presiden UMNO terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Tengku Adnan menghadiri hari anugerah kecemerlangan akademik sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri membayangkan PRU-14 akan diadakan bila-bila masa apabila meminta semua jentera parti bersedia dan memastikan kemenangan tetap milik BN.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sama ada PRU-14 diadakan pada tahun ini atau tahun depan, beliau meletakkan keyakinan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan di atas satu semangat kerjasama konsensus kukuh dalam BN.

Mengulas mengenai persiapan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71, Tengku Adnan berkata, elemen keagamaan akan diterapkan dalam majlis sambutan ulang tahun terbesar dalam sejarah parti yang akan berlangsung pada 11 Mei depan di Stadium Nasional Bukit Jalil

“Program ini akan diisi dengan program keagamaan terlebih dahulu sebelum Presiden parti tiba dan kita juga akan mengadakan lintas langsung dari tapak acara yang akan dibangunkan di Pusat Dagangan Dunia KL Putra , di mana kita akan tunjukkan acara pecah tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sempena hari anugerah kecemerlangan akademik hari ini, pihaknya telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada 25 buah sekolah rendah dan menengah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Setiap sekolah menerima sumbangan sebanyak RM20,000 sekaligus boleh dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan pelajar masing-masing,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/jentera-bn-di-setiap-negeri-sudah-digerakkan-1.470071#ixzz4ePRKinb0
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-