Selamat Iduli Fitri

Selamat Iduli Fitri

Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, April 27, 2018

‘Masa makin suntuk untuk cetuskan tsunami Melayu’

Setakat hari ini, Pakatan Harapan, di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohmad, dikatakan berjaya menimbulkan “kocakan” di kalangan masyarakat Melayu, namun janjinya untuk mencetuskan “tsunami” masih sukar dilihat lagi.

Dengan berbaki 12 hari menjelang pilihan raya umum 9 Mei, HARAPAN perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 hingga 14 peratus lagi sokongan Melayu di Semenanjung Malaysia jika mahu peluang realistik menawan Putrajaya, menurut satu kajian Merdeka Center.

Kajian itu mendapati bahawa di Semenanjung Malaysia, sokongan Melayu terhadap BN semakin terhakis, terutamanya di pantai barat berbanding dengan pilihan raya umum ke-13.

Kira-kira 7.9 peratus pengundi Melayu dikatakan telah beralih dan meninggalkan gabungan pemerintah itu pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, peralihan sokongan Melayu itu tidak mencukupi untuk menumbangkan BN kerana perpecahan dalam pembangkang dengan kedua-dua, HARAPAN dan PAS menentang BN secara berasingan.

Bagi HARAPAN, untuk memenangi 100 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, dan 12 kerusi lagi dari Sabah dan Sarawak untuk mengambil-alih Putrajaya, mereka memerlukan tambahan sokongan 14 peratus pengundi Melayu.

Setakat 9 April, kajian itu mendapati sokongan Melayu ke atas HARAPAN di Semenanjung Malaysia berada pada tahap 20 peratus, diikuti oleh PAS pada 27 peratus dan BN pada 53 peratus.

Walau bagaimanapun, HARAPAN dibantu dengan sokongan pengundi Cina dan India yang tinggi masing-masing pada 85 peratus dan 54 peratus. Ini diterjemahkan kepada undi popular sebanyak 50.5 peratus.

Sementara itu, sokongan Cina dan India kepada BN masing-masing berjumlah 15 peratus dan 41 peratus manakala sokongan Cina terhadap PAS hampir boleh diabaikan manakala sokongan India berada pada tahap lima peratus.

Ini boleh diterjemahkan sebagai undi popular sebanyak 37.8 peratus untuk BN dan 24.5 peratus untuk PAS di Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua angka itu jauh lebih rendah daripada sokongan terhadap HARAPAN yang berada pada tahap 50.5 peratus tetapi mengikut sistem First Past The Post (FPTP) dan gerrymandering, undi popular tidak menjamin kemenangan.

Andaian semasa, jika corak berkenaan tetap sama pada hari mengundi, BN dijangka akan kehilangan lebih banyak kerusi di Semenanjung Malaysia tetapi tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Menurut kajian itu, PAS mungkin kehilangan mana-mana kerusi yang mempunyai kurang 80 peratus pengundi Melayu.

Berbanding di pantai barat, sokongan pengundi Melayu di pantai timur yang dikatakan menjadi kubu PAS mula berpindah kepada BN.

Menurut kajian itu lagi, bagi PAS untuk mengekalkan 20 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, parti itu perlu meningkatkan sokongan orang Melayu dari 27 peratus kepada hampir 40 peratus, satu perkara yang sukar dilakukan oleh parti tersebut.

Di sebalik pandangan suram itu, PAS memutuskan untuk bertanding di lebih 160 kerusi parlimen. Tindakan itu dilihat berpotensi menggagalkan usaha HARAPAN untuk menawan Putrajaya.

HARAPAN kini hanya mempunyai 12 hari lagi untuk mencuba dan mencetuskan tsunami Melayu, yang diperlukan untuk mengatasi 'gelombang hijau' PAS sebelum dapat mengusir BN dari Putrajaya.