Monday, July 2, 2018

Lepas hampir 9 jam di SPRM, esok Zahid datang lagi

Faisal Asyraf | Diterbitkan 2 Jul 2018, 7:06 petang


Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hampir sembilan jam berada di dalam bangunan agensi penguat kuasa terbabit hari ini.

Bercakap kepada media selepas itu Ahmad Zahid berkata SPRM hanya merekodkan keterangan beliau berhubung pertemuannya dengan anggota keluarga diraja Arab Saudi yang didakwa menderma sejumlah besar wang kepada Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod bekas timbalan perdana menteri itu tiba di bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 9.50 pagi tadi ditemani seorang pengawal.

Tiada peguam dilihat menyertai pertemuan berkenaan. Beliau kemudian keluar dari bangunan itu kira-kira jam 6.30 petang.

Bercakap kepada media, Ahmad Zahid yang baru saja disahkan sebagai pengganti Najib bagi mengepalai Umno berkata pegawai SPRM menjalankan tugas mereka secara profesional.

Katanya pegawai penyiasat juga memberikan ruang kepada beliau untuk memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

"Saya amat yakin isu-isu yang berkaitan dengan menyebabkan persepsi negatif kepada masyarakat akan dapat dirungkaikan di SPRM pada waktu yang mereka akan tentukan," katanya.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu dijangka kembali sekali lagi ke SPRM esok.

Kali ini Ahmad Zahid akan diambil keterangan berhubung tuduhan beliau menyalahgunakan dana sebuah badan - dikenali sebagai Yayasan Akal Budi - yang dimiliki keluarganya.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-