Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, May 30, 2020

Peralihan kerajaan mungkin sebelum sidang parlimen pada Julai - Salahuddin

Geraldine Tong
Diterbitkan Hari ini 10:35 pm

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub memberi gambaran bahawa Pakatan Harapan mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan parlimen akan datang, yang dijangka bermula pada Julai.

Salahuddin berkata demikian selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan dalam hantaran di Facebook bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat PH di Petaling Jaya petang tadi.

“Kita membincangkan beberapa agenda mengenai ... perjalanan ke Putrajaya, kita masih mempunyai peluang cerah untuk kembali ke Putrajaya.

"(Kita boleh) tunggu hingga parlimen bermula pada Julai atau kita boleh lakukannya sebelum tempoh tersebut.

"Saya rasa (mengambil alih kerajaan) di luar parlimen juga tidak mengapa, tidak bertentangan dengan perlembagaan," kata Salahuddin kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai mesyuarat tersebut hari ini.

Beliau berkata PH sudah memiliki jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baru, yang menyebabkan mereka mengadakan beberapa mesyuarat sebelum hari ini lagi.

"Kami sudah mempunyai jumlah (sokongan). Saya rasa kita hanya akan memaklumkan keadaan kami terhadap Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa kita boleh melakukannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mereka memiliki sokongan 129 ahli parlimen atau tidak, seperti yang disebut-sebut di media sosial beberapa hari lalu, beliau hanya tertawa dan mengatakan itu hanyalah "khabar angin".

Salahuddin berkata bahawa beliau merupakan seorang yang praktikal dan merasakan PH perlu menentukan jumlah yang mereka ada sekarang dan bagaimana untuk terus ke hadapan.

Ditanya adakah ia bermakna mereka akan bertemu dengan Agong tidak lama lagi, Salahuddin tidak memberikan jawapan yang jelas.

"Tunggu dan lihat, okey. Kita memerlukan masa,” katanya.

Semalam, Anwar mengatakan bahawa jumlah sokongan dari 129 ahli parlimen itu masih belum dimuktamadkan.

Anwar juga berkata bahawa perkara itu tidak dibincangkan ketika mesyuarat bersama ahli parlimen PKR sehari sebelumnya, yang tidak menumpukan pada mendapatkan jumlah sokongan tersebut.

Spekulasi tersebar mengatakan bahawa PH, melalui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Warisan didakwa telah memperoleh sokongan daripada 129 ahli parlimen untuk merampas semula Putrajaya daripada PN.

Bagaimanapun, pembantu Mahathir, menafikan bahawa bekas perdana menteri itu bertemu dengan Agong pada Khamis.

Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar dari PH, sementara Azmin Ali dan 10 yang lain keluar dari PKR, melalui gerakan politik yang digelar "Langkah Sheraton".

Muhyiddin dan kumpulan Azmin kemudian bersama-sama dengan Umno, BN dan PAS membentuk kerajaan PN.

Sementara itu dalam sesi dialog yang disiarkan secara langsung Facebook malam ini, Salahuddin berkata gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

"Mungkin bermula di Johor, saya cukup optimis.

"Kenapa tidak kita mulakan Johor sebagai negeri yang akan buat suatu gegaran skala richter 7.3 untuk gegarkan politik Malaysia.

"Jadi segala-galanya boleh berlaku di Johor dan kami sekarang tengah usaha ke arah itu... Tunggu dan lihat. Dari arus Selat Tebrau akan membawa perubahan besar di Putrajaya," katanya.

PN mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, sementara PH menguasai 27 kerusi lain. Hanya satu pertukaran sokongan akan menyaksikan dewan undangan negeri tergantung.

1 comment:

  1. Ko mimpi di siang harila ayub, mana ada 129, tapi 67 je ahli parlimen, tak percaya buat undi tak percaya. Ph akan kalah teruk!

    ReplyDelete

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-