Friday, November 14, 2014

Pemulangan Bible, permulaan untuk Malaysia yang sederhana -- Kit Siang


KUALA LUMPUR, 14 NOV: DAP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang akhirnya berjaya menyelesaikan isu rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban yang telah berlanjutan hampir setahun.

Dalam satu majlis sempena kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) Rev. Archbishop Datuk Bolly Lapok di Istana Shah Alam pagi tadi, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memulangkan kembali 351 naskah kitab itu kepada ACS.

Memuji langkah itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berharap ia akan menjadi titik permulaan ke arah Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kesederhanaan.

“Tahniah kepada Azmin kerana berjaya menyelesaikan kemelut ini.

“Berita ini, serta tibanya negara kita sebagai Pengerusi Asean pada tahun hadapan adalah perkembangan yang amat dialu-alukan dan seharusnya dijadikan titik mula kepada Malaysia yang sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut menyaksikan penyerahan pagi tadi selain Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Azmin adalah Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Rev Dr Herman Shastri; Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengerusi MAIS Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi JAIS Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Pada 2 Januari lalu, JAIS merampas kitab Bible bahasa Melayu dan Iban di pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) kerana didakwa melanggar seksyen 9 (1) (a) Enakmen Agama Bukan Islam (Pengawalan penyebaran ke atas orang-orang Islam) 1988 hanya kerana mengandungi kalimah ‘Allah’.

Namun Pada 11 Jun lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata tiada pendakwaan yang akan dibuat kepada BSM. Walaubagaimanapun, kitab yang dirampas itu tetap tidak akan dipulangkan.

Dalam pada itu, tokoh veteran DAP itu menegaskan kembali seruan menamatkan ketegangan kaum dan agama yang telah menyekat pembangunan negara selama ini.

“Ada keperluan mendesak untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama dan politik, mengelakkan perkauman sempit yang bertentangan dengan prinsip Malaysia.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengambil langkah pro-aktif untuk menghentikan polarisasi kaum dan agama yang telah menimbulkan perpecahan dan perbalahan di negara kita ini,” kata Kit Siang lagi.- Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-