Tuesday, August 11, 2015

Pemimpin tak amanah punca masalah, kata Hadi

NORMAWATI ADNAN
11 OGOS 2015


Abdul Hadi bersama kepimpinan Dewan Himpunan Penyokong Pas Perak sempena Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan 5.0 di Manjoi, kelmarin.

IPOH – Malaysia kini bukan sahaja dihimpit masalah jenayah dan keruntuhan akhlak, tetapi yang lebih besar adalah masalah pemimpin yang tidak amanah apabila dipalit dengan pelbagai skandal.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selagi setiap pemimpin tidak memahami amanah sebenar yang dipukul, segala masalah tidak akan selesai termasuklah tindakan memecat pemimpin.

“Pecat timbalan perdana menteri tidak selesai juga masalah. Di mana silapnya? Pimpinan tidak tunai amanah dengan betul, jadi fahamilah amanah ini. Banyak skandal yang sudah kita lupa, ketika ini 1MDB, dahulunya skandal KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan sebagainya yang hampir kita lupa. Semuanya mencapai angka bilion.

“Kerana itu pentingnya kita kembali kepada amanah yang disebut dalam al-Quran dan Hadis, amanah memerintah negara itulah amanah paling besar,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan 5.0 di Jalan Pemimpin, Manjoi, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Nasaruddin Daud dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Beliau berkata, masyarakat Islam ketika ini khususnya orang Melayu melihat sifat amanah hanya berkisarkan kepada perkara-perkara tertentu, sedangkan amanah paling besar adalah amanah dalam memerintah negara dan ia melebihi segala-galanya.

“Semua kerajaan di seluruh dunia termasuklah negara ini tidak akan kekal selama-lamanya dan apabila sampai masanya mereka akan tumbang.

“BN tidak akan kekal dan semua kerajaan tidak akan kekal. Kerajaan di Indonesia, Jepun, India dan Amerika sendiri, kuasa pemerintahan silih berganti.

“Kita mahukan satu perubahan ke arah kerajaan yang amanah dan baik iaitu perubahan dengan Islam.

“Malangnya orang Melayu hanya melihat amanah itu berkaitan simpan duit dan kirim barang sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-