Friday, April 28, 2017

PAS tiada maruah jika masih bersama Kerajaan Selangor

Foto RABBANI JAMIAN
28 APRIL: Sebagai parti Islam yang bermaruah, PAS perlu membuat keputusan memutuskan ‘tahalluf siyasi ‘ dengan PKR dalam kadar segera melalui muktamar partinya yang bermula semalam sehingga Ahad di Kedah

Desakan oleh akar umbinya terutama di Selangor sejak dua bulan lalu jelas satu cadangan yang perlu diikuti oleh parti itu demi mengembalikan kepercayaan ahli parti terhadap PAS dalam menghadapi PRU-14.
Dalam keadaan genting, pimpinan tertinggi parti itu perlu membuat keputusan tepat sama ada meneruskan atau putus hubungan dengan PKR.

Keputusan putus bermakna PAS perlu keluar dari Kerajaan Selangor selepas hampir 10 tahun bersama DAP dan PKR.

Ini bermakna tiga EXCO PAS dalam kerajaan negeri iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi perlu meletak jawatan.

Langkah itu juga perlu diikuti oleh akar umbi di negeri itu yang memegang jawatan seperti Ahli Majlis serta jawatan-jawatan lain yang menawarkan gaji serta elaun bulanan sejak mereka menjadi sebahagian Kerajaan Selangor.

Pada ketika ini, negeri itu diperintah hasil daripada kombinasi kerusi DAP (15), PKR dengan 13 kerusi, PAS (13 kerusi) dan PAN (2).

Manakala baki kerusi dipegang oleh Barisan Nasional (BN) sebanyak 12 kerusi dan kerusi bebas oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pada masa yang sama, penganalisis politik melihat BN sedang mengintai peluang untuk menawan negeri itu kembali pada pilihanraya umum jika perpecahan Kerajaan Selangor benar-benar berlaku.

Lontaran cabaran meninggalkan kerajaan negeri juga diberikan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (foto) dalam satu kenyataan pada Jumaat mendesak parti itu memuktamadkan keputusan.
“Jika PAS memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam Kerajaan Selangor perlu meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan,” katanya.

Keputusan yang bakal dibuat oleh PAS sama ada putus atau tidak, dijangka menjadi titik permulaan kepada perpecahan kerajaan Selangor serta boleh menyebabkan pembangkang hilang ‘undi kesetiaan’ daripada rakyat negeri itu pada PRU-14

Bagaimanapun keputusan sama ada Muktmar PAS ke-63 memutuskan perhubungan dengan PKR hanya akan diketahui selepas usul oleh perwakilan itu diteliti oleh pimpinan tertinggi parti itu pada 1 Mei depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-