Showing posts with label tahalluf siyasi. Show all posts
Showing posts with label tahalluf siyasi. Show all posts

Friday, April 28, 2017

PAS tiada maruah jika masih bersama Kerajaan Selangor

Foto RABBANI JAMIAN
28 APRIL: Sebagai parti Islam yang bermaruah, PAS perlu membuat keputusan memutuskan ‘tahalluf siyasi ‘ dengan PKR dalam kadar segera melalui muktamar partinya yang bermula semalam sehingga Ahad di Kedah

Desakan oleh akar umbinya terutama di Selangor sejak dua bulan lalu jelas satu cadangan yang perlu diikuti oleh parti itu demi mengembalikan kepercayaan ahli parti terhadap PAS dalam menghadapi PRU-14.
Dalam keadaan genting, pimpinan tertinggi parti itu perlu membuat keputusan tepat sama ada meneruskan atau putus hubungan dengan PKR.

Keputusan putus bermakna PAS perlu keluar dari Kerajaan Selangor selepas hampir 10 tahun bersama DAP dan PKR.

Ini bermakna tiga EXCO PAS dalam kerajaan negeri iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi perlu meletak jawatan.

Langkah itu juga perlu diikuti oleh akar umbi di negeri itu yang memegang jawatan seperti Ahli Majlis serta jawatan-jawatan lain yang menawarkan gaji serta elaun bulanan sejak mereka menjadi sebahagian Kerajaan Selangor.

Pada ketika ini, negeri itu diperintah hasil daripada kombinasi kerusi DAP (15), PKR dengan 13 kerusi, PAS (13 kerusi) dan PAN (2).

Manakala baki kerusi dipegang oleh Barisan Nasional (BN) sebanyak 12 kerusi dan kerusi bebas oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pada masa yang sama, penganalisis politik melihat BN sedang mengintai peluang untuk menawan negeri itu kembali pada pilihanraya umum jika perpecahan Kerajaan Selangor benar-benar berlaku.

Lontaran cabaran meninggalkan kerajaan negeri juga diberikan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (foto) dalam satu kenyataan pada Jumaat mendesak parti itu memuktamadkan keputusan.
“Jika PAS memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam Kerajaan Selangor perlu meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan,” katanya.

Keputusan yang bakal dibuat oleh PAS sama ada putus atau tidak, dijangka menjadi titik permulaan kepada perpecahan kerajaan Selangor serta boleh menyebabkan pembangkang hilang ‘undi kesetiaan’ daripada rakyat negeri itu pada PRU-14

Bagaimanapun keputusan sama ada Muktmar PAS ke-63 memutuskan perhubungan dengan PKR hanya akan diketahui selepas usul oleh perwakilan itu diteliti oleh pimpinan tertinggi parti itu pada 1 Mei depan.

PAS digesa muktamad segera kedudukan dalam kerajaan Selangor

PAS perlu membuat keputusan muktamad tentang tahalluf siyasi dan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Saya memantau perjalanan Muktamar PAS terkini memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14.

"Tambahan pula, sebarang keputusan PAS mengenai tahalluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan PAS dalam Kerajaan Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama PAS dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS pada hari ini.

"Saya juga kesal serangan dan kritikan kasar terhadap YAB Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor yang dibuat oleh perwakilan Dewan Ulama PAS semasa perbahasan semalam," tegasnya lagi.

PAS juga, katanya, telah menzahirkan secara jelas tanpa berselindung untuk memimpin beberapa negeri termasuk Selangor yang kini diterajui PKR.

"Sebarang keputusan PAS yang bakal diambil adalah hak PAS dan PKR saya ulangi akan menghormatinya," katanys.

Pun begitu, tambahnya, adalah lebih molek sebarang keputusan dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan.

"Kerana jika PAS memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam Kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan.

"Sebarang tindakan yang lain dari itu akan memualkan rakyat kerana ruang politik pembangkang akan dilihat banyak berkisar kepada serangan kepada kawan sendiri (termasuk mengisytiharkan bertanding di kerusi-kerusi KEADILAN) sedangkan pada masa yang sama masih mahu menerima habuan dari jawatan yang disandang di Selangor.

"Di mana logiknya memutuskan hubungan dengan AMANAH dan DAP (sebelum ini) dan kini mahu memutuskan hubungan dengan PKR, tetapi pada masa yang sama terus duduk bekerjasama sebagai sebuah kerajaan di Selangor?

"Oleh itu, saya menunggu keputusan muktamad dari Muktamar PAS dan PKR akan terus menggarap kekuatan semua pihak yang mahu menamatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak," tegasnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-