Monday, July 9, 2018

NGO Islam sokong keputusan kerajaan tidak hantar pulang Dr. Zakir

Abdul Yazid Alias
09 Julai 2018 7:51 PM

SHAH ALAM 9 Julai - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong pendirian kerajaan tidak menghantar pulang penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik ke India meskipun terdapat permohonan rasmi daripada kerajaan negara itu.

Pengerusi Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, pendirian kerajaan itu tepat yang mana ia bukan sahaja menunjukkan pentadbiran negara mempertahankan individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan Islam, tetapi melindungi hak asasi mana-mana pihak yang tinggal di negara ini.

Pada masa sama, keputusan kerajaan itu turut selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi termasuklah menjamin pihak-pihak yang berusaha menegak serta menyebarluaskan syiar agama itu mengikut lunas undang-undang.

"Kita menyokong pendirian kerajaan dalam isu Dr. Zakir kerana beliau bertanggungjawab mengembangkan serta menjenamakan Islam sebagai agama perdamaian berlandaskan kepada ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang perbandingan agama.

"Jika beliau (Dr. Zakir) dihantar pulang, kita tidak tahu apa nasibnya dan apakah beliau akan dilayan dengan adil. Maka dengan keputusan kerajaan itu, ia melegakan banyak pihak khususnya umat Islam di negara ini kerana sumbangan Dr. Zakir kepada Islam bukanlah kecil," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) Selangor, Nik Mohd. Yusof Nik Ismail menyifatkan hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan India tidak terjejas di sebalik pendirian Malaysia berhubung isu Dr. Zakir.

Menurutnya, isu Dr. Zakir itu melibatkan soal kecil sahaja dalam hubungan kedua-dua negara dan tidak harus diperbesar-besarkan oleh mana-mana pihak.

Malah Dr. Zakir katanya merupakan seorang cendikiawan Islam yang pakar dalam disiplin ilmu perbandingan agama yang mana ia aktiviti penceramah itu harus dilihat dari sudut yang lebih luas sebagai cadang akademik.

"Saya fikir keputusan kerajaan memahami dalam isu Dr. Zakir ini yang jelas melibatkan soal hak asasi individu yang termaktub dalam undang-undang negara. Apa yang dilakukan oleh Dr. Zakir selama ini adalah melibatkan soal ilmu, bukan mencetuskan kebencian antara agama.

"Sepatutnya semua pihak perlu menghormati kebebasan untuk bersuara, memilih dan mendengar lebih-lebih lagi dalam soal pengembangan ilmu," ujarnya.

Pada 6 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan pendirian kerajaan tidak akan menghantar pulang Dr. Zakir selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

Malah, penceramah yang berasal dari India itu tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan status penduduk tetap negara ini. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-