Utama
HM Digital

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, hari ini, memohon maaf dan menarik semula kenyataan yang kurang sesuai yang dibuat ketika sidang media selepas pertemuan dengan wakil transgender, Nisha Ayub pada Jumaat lalu.
Mujahid dalam satu kenyataan berkata, kenyataan terbabit dibuat secara spontan dan ia bukanlah kenyataan muktamad mahupun arahan.
“Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah “maybe..” dan “if… kerana ia boleh membabitkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan,” katanya.
Mujahid berkata, beliau sentiasa terbuka untuk membincangkan isu yang sensitif termasuk isu LGBT.
“Saya berpandangan kita boleh dekati isu LGBT dengan dua cara pendekatan iaitu sama ada secara 'engagement' atau 'confrontational’.
“Kedua-dua bentuk pendekatan itu bagaimanapun mempunyai manfaat dan mudaratnya yang tersendiri, namun sebagai menteri dan mewakili institusi agama bagi kerajaan persekutuan, pada hemat saya pendekatan secara ‘engagement’ yang lebih lunak dan lembut lebih sesuai dan ‘rahmah’, malah ia bukan satu perkara baru dalam teknik-teknik berdakwah yang boleh berubah dengan penilaian situasi, tempat dan masa,” katanya.
Mujahid turut menegaskan, pendekatan ‘engagement’ bukan bermakna beliau atau kerajaan menyokong perlakuan LGBT.
“Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pendirian saya selaku menteri, kekal bahawa kita langsung tidak bersetuju tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis.
“Tiada sama sekali pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut,” katanya.
Menurut Mujahid, berdasarkan kajian dan kesimpulan yang dibuat Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sejak lapan lalu mendapati, golongan transgender merasa dipinggirkan berikutan golongan itu sukar mendapat pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan, serta adat dan budaya sehingga mendorong mereka untuk menjadi pekerja seks.
“ Kita tidak boleh menafikan hak asas pelaku selaku manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan yang sesuai, mendapat pelanggan bagi perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tidak dihina dan dikutuk ketika ingin mendapatkan hak asas yang disebut di atas hingga akhirnya terus membenci agama dan manusia lain. Itulah hak asas yang wajar dinikmati oleh seluruh warganegara.
“Apapun, semua hal tersebut sesuai dibicarakan lanjut kelak oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik,” katanya.
Kenyataan Mujahid pada sidang media terbabit menimbulkan keraguan dan mendapat kecaman daripada netizen apabila beliau dianggap bersetuju jika golongan transgender berkongsi tandas dengan wanita.
Rata-rata netizen terutamanya wanita, tidak bersetuju dan bimbang berkongsi tandas dengan golongan terbabit yang bukan mahram mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 9:55 AM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.