Friday, December 14, 2018

Zahid berdepan satu lagi tuduhan pecah amanah babitkan RM10 juta

Adam Abu Bakar
-December 14, 2018 10:50 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR:  Satu pertuduhan tambahan dikenakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan dikenakan terhadapnya sebanyak 46 pertuduhan.

Presiden Umno itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, termasuk pertuduhan tambahan yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Kes berkenaan bagaimanapun ditangguh ke 20 Feb 2019 untuk sambung perbicaraan dan wang jaminan sedia ada dilanjutkan untuk turut meliputi pertuduhan terbaru.

Pertuduhan tambahan itu adalah pertuduhan ke-19 yang membabitkan Yayasan Akalbudi, dengan Zahid didakwa melakukan kesalahan pecah amanah jenayah harta sebanyak RM10 juta milik yayasan berkenaan.

Dalam pertuduhan berkenaan, Zahid didakwa secara curang memberi pinjaman wang kepada sebuah syarikat dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, iaitu penjara tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan dan juga denda.

Manakala itu, 10 pertuduhan asal pula dibacakan di hadapan Zahid sebagai pertuduhan pindaan, yang kesemuanya membabitkan pertuduhan pecah amanah jenayah.

Pada 19 Oktober lalu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit.

Ketika itu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Baki 27 pertuduhan lagi adalah berkaitan pengubahan wang haram yang berjumlah RM72 juta, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pertuduhan pecah amanah didakwa dilakukan antara Jan 2014 hingga Mac 2018, kesalahan di bawah Akta SPRM itu antara Julai 2016 dan Mac 2018, manakala pengubahan wang haram sejak 27 Mac 2016.

Zahid yang dipilih menerajui Umno Jun lalu, ialah individu pertama dihadapkan ke mahkamah kerana pertuduhan jenayah ketika menjadi presiden parti itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-