Thursday, January 24, 2019

Peneroka adu belacan lebih mahal dari sawit kepada Najib

Diterbitkan Hari ini 12:43 tengahari


PRK CAMERON l  Kesal dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini, seorang peneroka Felda tampil mengadu nasib kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Melalui perkongsian video yang dimuat naik di Facebook Najib, wanita itu mendakwa ramai peneroka kini hidup menderita.

Malah, katanya, harga belacan hari ini lebih tinggi berbanding harga sawit.

"RM175 setan nak makan apa? Belacan mahal daripada kelapa sawit. Betul tok. Sebelum ini masa zaman BN, RM800 setan pun ada (harga sawit).

"(Sekarang ini) RM175 setan, dapatlah tiga tan, apa nak beli? Ikan masin pun tak boleh nak beli," katanya kepada Najib.

Menurut peneroka yang tidak dikenali itu, kesusahannya semakin terserlah apabila gagal membayar segala keperluannya.

"Nak bayar api (bil elektrik) pun RM120 (tak dapat), sampai surat merah (amaran) nak potong. Duit tak ada. Api, air kalau lambat sikit kena potong itu yang seksanya kita masa ini.

"Kita pendapatan lain tak ada, harap sawit saja. Sekarang nak beli barang bercinta dahulu," kata peneroka berkenaan kepada Najib.

Katanya, dia sangat berharap agar Najib dapat membantu mereka.

"Kita minta tolong macam itulah tok, kalau dapat lagi di masa akan datang (PRU15), kita minta tolong, sebab dulu pun tok dah buat macam itu," katanya.

Dalam video itu, Najib turut dilihat sebagai berkata bahawa dirinya akan bantu jika BN masih memerintah.

"Kalau BN memerintah saya akan tolong," kata Najib ringkas.

Najib turut menyatakan rasa kesalnya dengan apa yang didakwa sebagai penipuan kerajaan Pakatan Harapan.

"Peneroka ini dah kena tipu pasal dia kata nak hapuskan hutang peneroka kononnya, " kata Najib

Sementara itu, Najib dalam hantaran sama turut melontarkan pertanyaan ke mana perginya pejuang Felda yang sebelum ini begitu prihatin dengan nasib peneroka.

"Dulu ada seorang pejuang Felda yang sembang kencang. Seolah-olah prihatin nak bantu pekebun kecil.

"Apa nama dia? Dia di mana sekarang? Dah selesa saya dengar. Dengarlah sendiri apa yang rakyat kata," kata Najib tanpa menyebut nama individu itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-