Showing posts with label Haziq Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Haziq Abdullah. Show all posts

Tuesday, July 16, 2019

Jangan munafik, kata Azmin pada Shamsul

M Fakhrull Halim
Diterbitkan Hari ini 8:00 malam


Pergeseran dalaman PKR terus menyaksikan pertembungan antara pemimpinnya, dengan yang terbaru, Mohamed Azmin Ali mengingatkan Shamsul Iskandar Md Akin agar tidak menjadi "munafik".

“Jangan jadi munafik,” kata Azmin ringkas diiringi ketawa kecil.

Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR berkata demikian selepas ditanya pemberita berhubung cadangan Shamsul agar pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku supaya bercuti.

Azmin kemudiannya berlalu pergi meninggalkan lobi parlimen tanpa mengulas lanjut berkenaan hal tersebut.

Dalam kenyataan media sebelum itu, Shamsul yang merupakan ketua penerangan PKR menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“Contohnya, jika seseorang pegawai kerajaan berhadapan siasatan pihak berkuasa, beliau akan dilepaskan daripada tugas hakiki buat sementara waktu dan jika didakwa di mahkamah, beliau akan digantung tugasan serta merta.

“[...] Saya menyeru agar pemimpin-pemimpin yang didakwa terlibat dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan dijalankan secara sepenuhnya,” kata Shamsul dalam kenyataan itu.

Jangan bersembunyi di belakang PM

Tambah Shamsul, tindakan itu penting bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

"...serta menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin ini tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, kedudukan di dalam parti apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai pertahanan mereka," katanya.

Shamsul juga menegaskan bahawa jasa bakti serta kedudukan seseorang itu tidak boleh mengaburi kedaulatan undang-undang.

"Undang-undang harus 'buta' dari ketidakadilan apatah lagi memilih bulu.

"Atas sebab-sebab tersebut serta bagi memastikan integriti pihak PDRM dan SPRM sentiasa terpelihara, sudah tiba masanya untuk anggota pentadbiran untuk berpegang kepada prinsip yang dilaungkan mereka," katanya.

Azmin dikaitkan skandal seks sejenis dengan Haziq setelah beberapa rakaman video seks yang didakwa mirip wajahnya tersebar sejak sebulan lalu.

Haziq mengaku merupakan individu dalam video tersebut manakala Azmin menafikan dirinya terlibat dan mendakwa ia adalah komplot untuk memusnahkan karier politiknya.

Semalam, Haziq bersama lima orang lagi direman bagi membantu siasatan kes video seks tersebut.

Keenam-enam mereka direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Monday, July 15, 2019

Video seks: Haziq,lima individu lagi direman enam hari

MALAYSIADATELINE
July 15, 2019 3:00 pm

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima individu lain direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video intim yang tular sejak Jun lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi di sekitar Lembah Klang bermula jam 6 petang hingga 10 malam tadi oleh Unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan perkara ini kepada Astro AWANI tengah hari Isnin.

Haziq dan lima individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/video-seks-haziqlima-individu-lagi-direman-enam-hari/

Wednesday, July 3, 2019

PKR pecat Haziq Abdullah

Yasmin Ramlan
Diterbitkan Hari ini 9:52 malam


Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, dipecat daripada parti itu hari ini.

Mengumumkan keputusan tersebut, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim, berkata pemecatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan dalam mesyuarat biro politik parti itu sebentar tadi.

Menurut Ahmad, Lembaga Disiplin PKR meneliti surat jawapan yang dihantar Haziq bertarikh 2 Jul 2019.

Selepas dibincangkan, katanya, lembaga menyerahkan cadangan agar dia dipecat kepada Biro Politik PKR.

"Antara alasannya ialah, beliau membuat tuduhan secara terbuka terhadap pemimpin parti membabitkan salah laku rasuah tanpa bukti," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam ini.

Ahmad juga berkata PKR memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan mengenai isu berkenaan.

[Berita lanjut menyusul]

Wednesday, June 26, 2019

Video seks terbaru di laman porno masih siasatan sama - DIGP

Faisal Asyraf 
Diterbitkan Hari ini 2:45 tengahari


Pihak polis tidak akan membuka kertas siasatan baru terhadap video terbaru yang didakwa memaparkan Haziq Abdullah Abdul Aziz terlibat dalam perlakuan seksual dengan seorang lelaki yang mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata sebarang video terbaru berkaitan dakwaan skandal itu akan disiasat di bawah kertas penyiasatan (IP) yang sama.

"Tidak ada (siasatan terbaru video).

"Semua ini berlaku setiap hari, apa pun, semuanya dibawa ke satu IP (kertas penyiasatan)," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Beliau mengulas klip video terkini yang dimuat naik ke Youtbe semalam, manakala versi penuh lebih sembilan minit dimuat naik di laman web lucah Pornhub.

Sementara itu, kata Mazlan, selain Haziq tiada tangkapan lain dibuat berkaitan kes ini.

Jelasnya, pasukan forensik polis masih dalam proses menentukan kesahihan video berkenaan.

Selepas penyebaran pertama klip video itu dua minggu dahulu, Hazq yang juga ketua pemuda PKR (AMK) Santubong mengakui dirinya individu dalam video berkenaan.

Haziq yang juga mendakwa lelaki lain dalam video itu sebagai Azmin dan berkata kejadian berlaku di hotel di Sandakan pada bulan lalu.

Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun dan dibebaskan dengan ikat jamin polis pada hari berikutnya.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

[Baca berita penuh]

Tuesday, June 25, 2019

Tindakan pada Zuraida? ‘Akan dibincang jika dibangkitkan’

Kow Gah Chie
Diterbitkan Hari ini 1:47 tengahari

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dinasihatkan menghormati keputusan bersama berkaitan tindakan parti terhadap pemimpin akar umbinya Haziq Abdullah Abdul Haziz.

“Kita telah buat satu keputusan dan keputusan itu keputusan kolektif.

“Dan itu sudah tentu lebih baik, lebih molek adalah menghormati keputusan yang telah dibuat secara kolektif,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Zuraida Kamaruddin 
Beliau diminta mengulas desakan Zuraida supaya parti memecat Haziq yang mendakwa terlibat dalam aksi seks bersama menteri ekonomi Azmin Ali.

Azmin menafikan dan mengugut mengambil tindakan undang-undang.

PKR minggu lalu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq, yang juga bekas pegawai menteri di kementerian.

Ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil kepada Zuraida, Saifuddin berkata ia akan dibincangkan jika berbangkit.

“Kita akan ada mesyuarat biro politik seperti biasa.

“Perkara itu jika dibangkit akan dibincanglah,” katanya.

[Baca berita asal]

Monday, June 24, 2019

Keluarga gagal hubungi Haziq

News | Diterbitkan Hari ini 9:20 pagi


Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang menggemparkan negara kerana mengaku terlibat dalam hubungan sejenis bersama seorang menteri gagal dihubungi keluarganya sehingga kini.

Menurut laporan sebuah portal berita, bapa Haziq, Abdul Aziz Ibrahim berkata keluarganya tidak tahu di mana ketua pemuda PKR (AMK) Santubong itu berada.

“Kami tidak berhubung dengan anak kami sejak itu. Kami juga tidak tahu di mana dia berada.

“Kami hanya mendengar berita daripada (pelbagai) media,” kata lelaki berusia 53 tahun itu sambil menambah Haziq sendiri langsung tidak memberitahu apa-apa kepada keluarganya," katanya seperti dilaporkan The Malaysia Insight.

Jelasnya, ahli keluarganya di Kuching, Sarawak gagal menghubungi Haziq sejak 11 Jun lalu, sehari sebelum video seks berkenaan tular.

Menurut Abdul Aziz, keluarganya kini tinggal di rumah ayahnya di sebuah kampung Melayu di Kuching bagi mengelakkan malu dan publisiti.

Keluarga itu berpindah sementara dari rumah mereka di Petra Jaya bagi mengelak ditanya jiran tentang isu tersebut.

“Saya tidak bersedia. Isteri saya juga tidak sihat,” katanya sambil meminta maaf kerana terpaksa menghentikan perbualan.

Sebelum ini, Haziq membuat kejutan apabila mengaku dia adalah lelaki dalam video intim yang didakwanya bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Bagaimanapun Mohamed Azmin menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu fitnah jahat.

Susulan kontroversi itu, minggu lepas, Haziq dipecat sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Haziq yang juga ketua Pemuda PKR Santubong, kemudiannya mencabar Mohamed Azmin untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kali terakhir dia dihubungi Haziq pada 1 Jun apabila memberitahu akan mengikuti lawatan ke Paris bersama Shamsul.

Ditanya sama ada Haziq memutuskan hubungan dengan keluarga kerana malu untuk berdepan dengan mereka, Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu.

“Saya juga ada soalan sama seperti kamu. (Saya tidak tahu) kerana kami tidak berhubung dengannya," jelasnya.

Sunday, June 23, 2019

Haziq cabar Azmin saman

News | Diterbitkan Hari ini 9:46 pagi


Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mencabar Azmin Ali mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika isu klip video seks dan dakwaan hubungan sejenis adalah fitnah.

Haziq yang sebelum ini mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam video seksberkenaan, juga mencabar Azmin membuat laporan polis terhadapnya.

"Dia mesti melakukannya sendiri. Biarkan semua bukti dan butiran terbuka,"katanya dalam wawancara eksklusif bersama The Star.

Haziq berkata, polis telah mengambil keterangan Azmin dan laporan polis pula hanya dibuat oleh setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham.

Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR menafikan terlibat dalam video seks itu dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Bagaimanapun, Haziq menegaskan sekali lagi bahawa dia dan Azmin dalam klip video berkenaan.

Klip itu yang disebarkan melalui WhatsApp pada 11 Jun lalu menggegarkan Malaysia dan menjadi tajuk utama dalam media tempatan.

Susulan itu Haziq yang merupakan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin dipecat daripada jawatan itu pada 20 Jun lalu.

"Saya bukan pembohong. Saya mahu perkara itu dibawa di mahkamah terbuka agar rakyat Malaysia dapat lihat sendiri bukti itu. Rakyat Malaysia akan dapatlihat siapa yang mengatakan kebenaran," kata Haziq yang merupakan seorang peguam.

Dalam wawancara itu, Haziq juga berkata Azmin telah membuat tuduhan salah terhadapnya.

"Malah, saya menjadi mangsa keadaan. Jika saya memfitnahnya, dia mempunyai hak untuk mendakwa saya di mahkamah.

"Pada mulanya saya tidak ada apa-apa untuk menentang Azmin kerana saya fikir kami berdua menjadi mangsa dalam kes itu.

"Saya terkejut apabila Hilman cuba mendiamkan saya dan Azmin menuduh saya diperalatkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya tidak pernah mengatakan apa-apa yang buruk tentang Azmin. Dia harus membuat laporan polis dan mendakwa saya jika saya memfitnahnya," jelasnya yang turut menggesa polis menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Semalam Penyelaras Parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan berkata Azmin tidak perlu membuang masa dan wang untuk melayan semua fitnah dalam isu video seks yang dikaitkan dengannya.

Khairuddin Abu Hassan berkata adalah lebih berfaedah bagi Azmin menumpukan kerja ke arah membina semula negara demi kepentingan rakyat.

"Kalau hendak ikut untuk ambil tindakan undang-undang; hampir setiap hari kita kena lakukannya kerana kalangan ini akan terus melakukan pelbagai fitnah secara berterusan.

"Seandainya setiap hari sepuluh fitnah daripada kalangan yang tidak bertanggungjawab terhadap kita; apakah hari-hari kita hendak ambil 10 tindakan undang-undang ke atas mereka?" soal Khairuddin.

Wednesday, June 19, 2019

Zuraida bawa usul pecat Haziq petang ini

Shakira Buang
Diterbitkan Hari ini 1:02 tengahari


Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mahu kepemimpinan parti segera memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana telah memalukan serta mencemar nama baik parti susulan pengakuannya terbukanya yang terbabit dalam video seks dengan seorang lelaki yang didakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, desakan supaya ketua pemuda PKR (AMK) Santubong itu dipecat akan dibawa pada mesyuarat Biro Politik PKR petang ini.

“Ya (saya akan desak parti pecat Haziq).

"Sepatutnya, tindakan pecat harus dikenakan kepada anggota terlibat kerana ia memalukan parti, mencemarkan parti dan juga mencemarkan kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas sambutan hari raya kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika mengulas tindakan parti yang tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas Haziq meskipun dia mengaku terlibat dalam perbuatan songsang itu.

Mesyuarat biro politik PKR biasanya dipengerusikan oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

Zuraida turut menyifatkan kepemimpinan parti sebagai kurang bijak apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Haziq susulan pengakuannnya terlibat dalam video seks.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ada beberapa perkara yang asas pada saya, yang pada prinsipnya tindakan parti PKR itu sendiri saya rasa kurang kebijaksanaannya apabila dia (Haziq) sudah mengaku kesalahan secara terbuka.

“Kelakuan (seks) luar tabii adalah jenayah dalam negara,” katanya.

Mengulas dakwaan Azmin yang yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalaman’, Zuraida berkata beliau menyerahkan semuanya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Kalau Azmin yang dianggap pesalah tetapi menafikan pembabitan beliau, maka kita serah kepada polis untuk siasat,” katanya.

Azmin semalam dilaporkan berkata, beliau yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun dilaporkan berkata dakwaan Azmin bahawa penularan video terbabit mungkin didalangi ahli parti, tidak boleh membaiki tuduhan yang lain.

Saifuddin dilaporkan berkata, dakwaan mengenai pembabitan ‘orang dalam’ di sebalik penularan video berkenaan adalah ‘tuduhan yang biasa’ dan berharap polis diberi ruang menjalankan tugas mereka.

Tuesday, June 18, 2019

Haziq: Saya pun mangsa, aksi intim dirakam dan dibocorkan

News | Diterbitkan Hari ini 12:11 tengahari


Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang terpalit dalam skandal seks berprofil tinggi, menegaskan bahawa dia juga adalah mangsa dalam kejadian itu.

"Semua orang lupa bahawa saya pun adalah mangsa kerana ada orang yang merakam dan membocorkan apa yang sepatutnya menjadi saat intim," katanya kepada akhbar The Sun.

Ketua Pemuda PKR Santubong juga mendakwa tidak tahu mengenai dalang di sebalik rakaman itu ketika ditanya sama ada dia telah mendedahkan butiran kejadian kepada polis.

Haziq, 27, juga memuji polis kerana melayannya dengan baik semasa dalam tahanan berikutan penangkapannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lalu.

"Mereka layan saya dengan baik. Polis yang jaga saya sangat profesional dan mereka kekal berkecuali," katanya.

Haziq, yang dibebaskan dengan jaminan polis pada hari berikutnya, turut mendedahkan bahawa keluarganya sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Mereka (ibu bapanya dan adik-beradik) tahu saya memerlukan semua sokongan yang boleh mereka berikan sekarang... Ini mungkin mengambil sedikit masa untuk sembuh tetapi saya selalu ada keluarga saya bersama," katanya.

Minggu lalu, beberapa individu yang tidak diketahui telah membocorkan klip video seks melalui kumpulan Whatsapp.

Haziq, dalam "pengakuan" yang disiarkan di Facebooknya, mendakwa bahawa dia adalah individu dalam klip tersebut yang melakukan aksi atas ranjang itu bersama seorang lagi individu yang menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Dia juga mendakwa bahawa Azmin terbabit dalam klip berkenaan dan aksi hubungan sejenis mereka itu dirakamkan di sebuah bilik hotel di Sandakan semasa pilihan raya kecil bulan lalu.

Azmin menyifatkan video itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pihak polis sedang menyiasat video berkenaan bagi menentukan sama ada klip itu adalah sahih.

[Baca berita penuh]

Monday, June 17, 2019

Tiada tindakan terhadap Haziq sehingga siasatan polis selesai - Anwar

Oleh Goh Pei Pei
bhnews@bh.com.my


KUCHING:   PKR tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pemuda Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, berhubung pengakuannya terbabit dalam video lucah, sehingga siasatan polis selesai.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sedar terdapat beberapa keperluan untuk parti itu membuka siasatan terhadap Haziq dan dakwaan mereka yang membocorkan data pemimpin serta ahli parti.

“Kami menolak politik kotor tetapi saya tidak akan menghukumnya (Haziq) sebelum polis menyelesaikan siasatan mereka,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Semarak Aidilfitri dan sambutan Gawai Dayak PKR di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Anwar percaya siasatan kes video seks itu akan dijalankan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard polis.

“Kami hanya boleh menentukan apa yang perlu dilakukan apabila ada hasil (siasatan) daripada polis atau beberapa jenis bukti,” katanya.

Beliau berkata PKR akan menunggu siasatan polis terlebih dahulu dan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru untuk menghukum sehinggalah Haziq terbukti bersalah.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mahu PKR mengambil tindakan disiplin terhadap dalang yang menyebarkan maklumat nombor telefon ketua cabang dan pegawai rendah cabang, Anwar berkata jalan terbaik ialah menyerahkannya kepada siasatan polis.

Bagaimanapun, Anwar berkata data ahli PKR diberikan kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Beliau berkata Biro Politik PKR memutuskan untuk memberikan data kepada mana-mana calon, yang bertanding atas tiket PKR untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada 900,000 ahli di seluruh negara, untuk lebih bersedia dalam pilihan raya.

“Saya akan mengatakan terdapat ratusan atau bahkan ribuan akses (kepada data ahli) sejak tahun 2018.

“Jadi, (seperti yang saya katakan) adalah yang terbaik untuk menyerahkannya kepada polis,” katanya.
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama orang ramai pada Majlis Sambutan Semarak Aidilfitri dan sambutan Gawai Dayak PKR di Kompleks Belia dan Sukan, di Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

Saturday, June 15, 2019

Haziq Aziz mahu ke Manila, kata pengarah JSJ Bukit Aman

Haziq Abdullah Abdul Aziz dijadual berlepas ke Manila, berdasarkan tiket penerbangannya, sebelum ditahan.
 — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 15 Jun — Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku sebagai individu dalam video lucah dengan mengaitkan seorang menteri Kabinet, dijadual berlepas ke Manila, berdasarkan tiket penerbangannya, sebelum ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Haziq Abdullah, 27, ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, petang semalam.

Huzir berkata Haziq Abdullah, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ditahan pada jam kira-kira 6 petang oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan polis.

“Haziq Abdullah disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menjual buku-buku berkaitan lucah dan sebagainya, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.


“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, membuat pengakuan bahawa dia adalah lelaki dalam aksi seks itu bersama seorang yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam video itu dan menyifatkan sebagai satu tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu juga menegaskan siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya. 

Bernama

Shamsul Iskandar jumpa polis hampir 5 jam

News | Diterbitkan Hari ini 8:51 pagi 


Timbalan Menteri Perusahaan Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin menghabiskan masa hampir lima jam memberi keterangan kepada polis mengenai siasatan kes video lucah membabitkan salah seorang setiausahanya.

Dalam satu kenyataan Shamsul Iskandar beliau memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira jam 7 petang semalam.

Katanya beliau dihubungi polis pada 13 Jun bagi membantu siasatan ke atas dakwaan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa terlibat dengan aksi seks sejenis.

Haziq ialah setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar. Dalam kenyataannya beberapa hari lalu Haziq mendakwa dia terlibat dalam hubungan cinta sejenis dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Kata Ketua Pemuda PKR Santubong itu kejadian tersebut berlaku pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Kata Shamsul Iskandar polis memberikan layanan baik dan tempat yang selesa sepanjang proses berkenaan.

"Segala penjelasan dan maklumat yang diperlukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia telahpun saya berikan," katanya.

Beliau yang juga ketua penerangan PKR mengajar orang ramai agar kembali memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih utama berbanding isu skandal seks berkenaan.

Polis siasat Haziq atas tuduhan seks luar tabii, edar bahan lucah

Hariz Mohd & Fairsal Asyraf
Diterbitkan Hari ini 12:15 pagi


Polis melakukan siasatan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku terlibat dalam skandal video lucah baru-baru ini di bawah beberapa peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, dua daripadanya membabitkan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan mengedarkan bahan lucah di bawah Seksyen 292 kanun yang sama.

Haziq juga disiasat di bawah Sekysen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah Keamanan.

Huzir berkata Haziq berada di terminal pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ditahan kira-kira jam 6 petang.

Katanya, berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadualkan berlepas ke Manila, Filipina.

Ketika dihubungi beliau berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada polis akan memohon tahanan reman terhadap Haziq esok.

[Berita penuh menyusul]

Friday, June 14, 2019

Video seks: Polis ambil keterangan timbalan menteri

Bernama
-June 14, 2019 10:30 PM


MELAKA: Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Shamsul memberi keterangan berhubung pembabitan setiausaha sulit kanannya yang kini digantung tugas, Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang turut dikaitkan dengan rakaman video itu.

“Pasukan Bukit Aman menghubungi pejabat saya semalam meminta supaya saya dapat menghadirkan diri ke balai polis untuk memberikan keterangan pada 6.30 petang ini dan membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh hari ini.

Shamsul Iskandar berkata kali terakhir beliau menghubungi Haziq pada Selasa iaitu selepas pulang dari Yangon, Myanmar atas urusan rasmi, dan sehari selepas itu beliau cuba menghubungi bekas setiausaha sulitnya itu menerusi khidmat aplikasi WhatsApp namun tiada sebarang respons.

Semalam, Haziq digantung tugas serta-merta kerana didakwa memburukkan imej dan reputasi kementerian.

Haziq ditahan di KLIA

Faisal Asyraf
Diterbitkan Hari ini 7:12 malam


Polis telah menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai individu dalam video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan bahawa Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan di mana ketua pemuda PKR Santubong itu ditahan atau menjelaskan penahanan tersebut dibuat berdasarkan seksyen apa.

"Kenyataan media akan dikeluarkan kemudian," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam video pengakuannya, Haziq juga mendakwa seorang lagi individu dalam video itu ialah Azmin dan rakaman itu dibuat tanpa kebenarannya di sebuah hotel di Sandakan, 11 Mei lalu.

Azmin menyifatkan dakwaan itu sebagai percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara itu peguam Haziq, Ramesh Kumar berkata beliau tidak tahu lokasi anak guamnya pada masa ini.

"Ketika kami sampai, orang KLIA (polis) berkata Bukit Aman sudah bawanya pergi. Apabila kami tanya siapa yang membawanya, mereka berkata ia hal berprofil tinggi dan tidak memberikan sebarang maklumat.

"Jadi saya telah meminta orang yang mengambil saya (untuk menjadi peguam Haziq) untuk membuat laporan polis berkenaan orang hilang kerana tiada maklumat," katanya kepada Malaysiakini.

Ramesh berkata beliau sedang dalam perjalanan ke Bukit Aman untuk memastikan sama ada Haziq ada di sana.

"Kami perlu tahu di mana dia akan direman esok," katanya lagi.

    Thursday, June 13, 2019

    Giliran Haziq pula buat laporan polis

    News | Diterbitkan Hari ini 5:05 petang


    Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz hari ini membuat laporan polis dengan niat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh "netizens, cybertroopers, (Adun Gombak Setia) Hilman Idham serta yang lain-lain."

    Beliau juga memetik kebimbangan terhadap keselamatannya sebagai alasannya.

    Menurut gambar laporan polis yang dihantar oleh Haziq di laman Facebook hari ini, laporan dibuat di balai polis Kelana Jaya. Pihak polis ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

    Haziq semalam mendakwa dirinya memang terlibat dalam aksi seks yang dirakamkan dalam sebuah video bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. Walau bagaimanapun, Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR menafikan dakwaan itu.

    Dalam laporan polisnya, Haziq mengulangi tuduhan dari kenyataan terdahulunya, bahawa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya.

    Katanya, Hilman memaksanya untuk menafikan bahawa diri dalam video yang tular itu dan memintanya untuk berbohong.

    Haziq juga mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.

    Hilman ketika ditemui hari ini mengakui berjumpa dengan Haziq di restoran itu, tetapi enggan mendedahkan butirannya. Beliau sekadar berkata perkara itu akan disiasat oleh pihak polis.

    Azmin semalam menyifatkan apa yang berlaku sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

    Beliau juga berkata Haziq yang juga adalah etiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama, Shamsul Iskandar Md Akin telah diperalatkan dalam penyebaran rakaman video semburit yang dikaitkan dengannya.

    Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menolak video berkenaan yang didakwanya sebagai palsu, dan berkata bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

    Sandakan bukan kali pertama - Haziq

    News | Diterbitkan Hari ini 11:57 tengahari 


    Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengulangi dakwaannya bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

    Hari ini, dia sekali lagi tampil di laman Facebook dan mendakwa rakaman video yang disebarkan sebelum ini bukan kali pertama mereka bersama.

    “Pertama kali di Grand Continental Kuching, tiga tahun lalu, kemudian di Pullman Kuching semasa Pemilihan Parti (PKR) pada Oktober tahun lalu.

    “Kami sekali lagi melakukannya di Hotel Grand Hyatt KL semasa tugasan kamu selaku Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini dan bulan lalu di Fourpoint Sandakan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Haziq berkata kekurangan sokongan yang diterimanya selepas membuat pengakuan semalam menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan agenda reformasi.

    “Saya dituduh mempunyai agenda politik oleh Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) selepas membuat pengakuan bersumpah,” katanya.

    Haziq turut mendakwa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya bagi mententeramkan dirinya yang begitu takut.

    “Dia paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

    “Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

    “Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” katanya.

    Haziq berkata beliau begitu kecewa dengan Azmin yang dipandang tingginya tetapi menyedari timbalan presiden PKR itu adalah “lelaki yang sakit” kerana tergamak merakamkan video aksi seks atas ranjang mereka.

    “Saya sedari kamu lelaki yang sakit kerana hanya kamu yang yang boleh merakamkan video-video itu sebagai koleksi peribadi selepas menjemput saya ke bilik hotel pada semua kejadian,” katanya.

    Haziq berkata dia bimbang lebih banyak video berkenaan akan disebarkan dengan Azmin boleh menafikannya dengan kelebihan sebagai seorang menteri tetapi masa depannya sudah berkahir.

    “Kamu juga mempunyai perdana menteri yang berikrar memberi sokongan penuh sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan.

    “Hanya kebenaran boleh membebaskan saya dan saya amat bimbang dengan keselamatan keluarga dan diri saya.,” katanya.

    Haziq juga berharap orang ramai dapat menilai diri sebenar Azmin yang didakwanya sering memanipulasi dan dikelilingi oleh konco-konconya, terutama Hilman; (Exco Pulau Pinang, Dr) Afif (Baharddin); (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Zuraida (Kamaruddin).

    Malaysiakini telah menghubungi ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan reaksi mereka.

    Semalam, Azmin menafikan bahawa dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.

    Mahathir juga menolak video berkenaan sebagai palsu, dan mendakwa bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

    ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-