Sunday, October 18, 2020

Tarik balik pertuduhan hakis kepercayaan rakyat

Oleh FAZLI RADZI
malaysiadateline.com
October 18, 2020 4:09 pm



Jika Peguam Negara (AG) memutuskan untuk menarik balik pertuduhan jenayah serius terhadap enam ahli Parlimen Umno, rakyat bakal mengecam keras kerajaan.

Peguam Mohamed Rafique Rashid Ali berkata, sebahagian kes itu kini berada dalam proses perbicaraan.

Menurutnya, masyarakat juga mengikuti kes berkenaan dan tahu tentang beberapa keterangan penting daripada saksi pendakwaan.

“Ia akan melahirkan defisit kepercayaan terhadap pemerintah sekiranya pertuduhan ditarik balik sebagai tukaran bagi sokongan politik,” dipetik FMT hari ini.

Reaksi beliau susulan kenyataan pengasas PKR, Syed Husin Ali yang percaya Anwar Ibrahim akan mematuhi keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk menolak kerjasama dengan ahli Parlimen Umno terbabit untuk membentuk kerajaan baru.

Dikatakan Anwar sebelum ini membuat perjanjian dengan Najib yang juga ahli Parlimen Pekan bagi mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Walhal, suami Rosmah Mansor itu berdepan tiga perbicaraan berkaitan pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram.

Dakwaan itu dihangatkan lagi dengan laporan bahawa Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga berdepan tuduhan rasuah, menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, Anwar pada 13 Oktober lalu menegaskan tiada perjanjian dibuat dengan mana-mana ahli Parlimen yang berdepan tuduhan jenayah sebagai tukaran bagi sokongan mereka.

Selain Najib dan Zahid, pemimpin Umno lain yang berdepan tuduhan jenayah adalah Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan; Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya); Abdul Azzez Rahim (Baling) dan Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-