Sunday, January 17, 2021

'Selepas disuntik, mereka bukannya kebal'

MyMetro

FOTO HIASAN

Malaysia akan terima vaksin Covid-19 penghujung Februari ini dan ia membabitkan tiga fasa pengagihan.

Fasa pertama untuk petugas barisan hadapan, kedua untuk kumpulan berisiko tinggi dan fasa terakhir bagi orang awam berumur 18 tahun ke atas.

Putuskan rantai penularan Covid-19 dan hidup kembali normal. Adakah ia semudah itu?

Ikuti wawancara Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia DATUK DR ZAINAL ARIFFIN OMAR dengan wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengulas isu ini.

Ada pihak mengatakan Malaysia lambat menerima bekalan vaksin berbanding negara rantau Asia Tenggara lain?

Ini kenyataan yang tidak betul. Di Asia Tenggara, hanya Singapura dan Indonesia saja yang baru mendapatkan bekalan dan negara ketiga adalah Malaysia.

Pertama, Indonesia mendapat bekalan awal kerana republik terbabit bersetuju untuk dijadikan negara kajian vaksin yang dibuat oleh China.

Secara logiknya, jika mereka sudah menjadi negara ujian, pastinya mereka akan mendapat bekalan dahulu.

Keduanya ialah Singapura. Singapura mempunyai dana kewangan yang besar dan mereka sudah membuat tempahan lebih awal untuk perbekalan vaksin dan ini membabitkan urus niaga.

Malaysia pula menjadi negara ketiga dan akan memperoleh vaksin Februari ini, saya fikir kita tidak lambat dan masih negara yang terawal.

Hidup kembali normal seperti sebelum era Covid-19 selepas disuntik vaksin?

Vaksin bukan 'tiket pelepasan' untuk pandemik Covid-19 sebaliknya ia sekadar membantu seseorang itu supaya tahap kritikal jangkitan itu berkurang.

Untuk kembali kepada kehidupan normal sebelum munculnya Covid-19 ini, saya kira kita perlukan 12 hingga 24 bulan sebelum kehidupan kita kembali kepada normal.

Ia memang memakan tempoh yang lama kerana selepas seseorang itu disuntik vaksin, mereka bukannya kebal daripada virus itu sebaliknya mengurangkan tahap kritikal jangkitan saja.

Memang ada kemungkinan mereka akan dijangkiti semula, tetapi tahap serius jangkitan itu akan menurun.

Golongan ini ada dua kelompok. Satu yang memang hardcore anti vaksin, golongan ini kita tidak perlu buang masa memberi penerangan kerana mereka sudah mempunyai konsep pemikiran yang menolak.

Satu lagi kumpulan, mereka tidak tolak sebaliknya mahu mendapatkan maklumat jelas berhubung vaksin seperti mungkin kesan sampingannya, keberkesanannya dan mungkin mencari vaksin yang dikatakan halal.

Kelompok ini kita label sebagai kumpulan atas pagar yang mahu maklumat menyeluruh sebelum menerima vaksin.

Cuma kita harap agensi berkaitan dapat mengambil tindakan terhadap golongan anti vaksin yang sengaja menyebarkan fitnah.

Jika mereka datang untuk bertanya, tiada masalah, tetapi yang mencetuskan panik adalah, mereka mereka-reka cerita serta memfitnah, ini perlu diambil tindakan.

Adakah keperluan kita mewujudkan makmal pembangunan vaksin sendiri?

Ya, perkara ini menjadi satu kelebihan jika kita ada.

Mungkin makmal ini bukan untuk Covid-19 saja kerana kita tidak tahu apa yang bakal mendatang kelak.

Jadi, jika kita ada makmal pembangunan sendiri, ia satu kelebihan dan kita boleh hasilkan vaksin mengikut kaedah yang kita rasa terbaik.

Namun, mempunyai makmal kajian pembangunan ini memerlukan dana yang besar. Ini kerana proses kajian itu sendiri menelan belanja besar, tetapi ia berbaloi untuk kepakaran tempatan.

Peratus paling selamat untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam pengagihan vaksin dalam kalangan rakyat?

Jika kita mampu memberi vaksin kepada 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia, itu sudah cukup baik dan sememangnya ia ada dalam program vaksin yang sedang dirancang oleh kerajaan serta agensi berkaitan.

Kita memang tidak akan dapat mencapai 100 peratus vaksin memandangkan kita perlu singkirkan beberapa kategori, antaranya penduduk negara berumur 18 tahun ke bawah, memang tidak akan diberi vaksin.

Kita juga bersandarkan kepada fakta Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa 70 peratus sudah memadai untuk memutuskan rantaian serta mengurangkan risiko jangkitan pandemik ini.

Jika kita boleh capai peratusan melebihi 80, ia sudah amat baik untuk negara serta penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 7:00 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-