Sunday, July 18, 2021

Tak buka Parlimen bising sudah buka pun masih bising, pembangkang nak apa?

agendadaily.com
18/7/2021

Parlimen Malaysia.

Permintaan pembangkang yang mendesak sidang Parlimen sudah ditunaikan, perlu tunggu beberapa hari sahaja lagi menjelang pintu pagar dibuka dan Ahli-Ahli Parlimen (MP) boleh masuk ke dalam Dewan Rakyat.

Namun, semakin hampir sidang 26 Julai setiap hari blok pembangkang, Pakatan Harapan meluahkan rasa tidak puas hati dengan mendakwa mereka tidak dibenarkan berbahas dan bertanya soalan, ia dakwaan yang menyimpang jauh sama sekali.

Jelas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis membuka seluas-luas pintu kepada blok pembangkang untuk berbahas dan bertanya soalan semasa sidang khas nanti.

Sepatutnya mereka bersedia dengan soalan-soalan yang ingin dikemukakan dan bukan setiap hari mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah cuba mencari kesalahan orang lain untuk tujuan politik, sekurang-kurangnya lontarkan cadangan yang bernas untuk membantu kerajaan ke arah usaha untuk keluar daripada krisis Covid-19 ini.

Dakwaan kononnya tidak diberikan peluang untuk berbahas sudah disangkal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pembangkang beria-ria mendakwa sidang khas ini hanya olok-olok.

Begitu lah sikap pembangkang, mencari setiap ruang dan peluang untuk menimbulkan syak wasangka buruk terhadap kerajaan. Dalam keadaan Parlimen sudah mahu dibuka, pelbagai helah dan tuduhan terhadap kerajaan dilontar semata-mata mencari modal politik.

Menurut Takiyuddin, tiga agenda utama akan dibincangkan semasa sidang khas nanti, ianya berhubung Proklamasi Darurat, isu berkait pilihan raya kecil (PRK) Gerik dan PRK Bogaya di Sabah serta penerangan menteri-menteri berkaitan dengan Darurat dan Covid-19.

Tiga agenda ini menjadi teras kepada sidang khas kali ini dan menurut Takiyuddin setiap MP boleh menggunakan ruang yang ada untuk bertanya dan berbahas.

Bagaimanapun, adakah blok pembangkang sudah bersedia dengan soalan mereka atau lebih sekadar mahu menjerit-jerit dalam Dewan Rakyat sahaja nanti? Bukan rakyat tidak nampak sikap MP sebelah sana, apabila setiap kali sesi perbahasan sebelum ini ada sahaja karenah menjengkelkan ditunjukkan mereka.

Lebih baik sekiranya semasa sidang khas ini berlangsung, semua MP berbahas sebagai seorang pemimpin yang matang dan berhujah dengan fakta bagi mencari jalan untuk membawa negara keluar daripada krisis ini.

Pembangkang sepatutnya menjadikan platform sidang khas ini untuk membuktikan mereka berwibawa untuk membantu rakyat, bukan hanya tahu bersorak di luar kerajaan gagal walhal di negeri sendiri yang ditadbir pembangkang juga gagal.

Sekarang bukan masa menunding jari pihak mana yang gagal, rakyat pun sudah muak dengan permainan ahli-ahli politik yang rakus kuasa dan bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri disamping membuat perjanjian belakang tabir dengan dahulunya musuh politik mereka hanya kerana tamak kuasa.

Rakyat tidak bodoh, ketika keadaan ekonomi tidak menentu seluruh dunia dan ramai kehidupan rakyat terjejas, tetapi masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan sentimen tersebut untuk memastikan matlamat peribadi mereka tercapai.

Begitu lah sempitnya pemikiran blok pembangkang, dikaca mata mereka hanya nampak matlamat peribadi. Jadi, tidak hairan lah apabila rakyat di sesetengah kawasan Parlimen merungut bantuan bakul makanan yang tidak diberikan kepada orang ramai walhal peruntukan RM300 ribu sudah disediakan.

Sampaikan terpaksa warganet membuat kempen berkongsi nombor telefon MP di kawasan supaya menghubungi terus wakil rakyat mereka sekiranya tidak mendapat bantuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak kurang hebatnya, ketika semua MP sedang sibuk mengagihkan bantuan bakul makanan tiba-tiba beliau boleh berkongsi sedang berkebun di rumah di Kuala Lumpur.

Kasihan pengundi Port Dickson yang setiap hari merindui cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan menjadi ikon sepanjang zaman dalam arena politiknya.

Mungkin kereta Jaguar perlu disimpan secara baik-baik, dikilat dan dibasuh dengan teliti, calon PM lah katakan.

ADUN antara ditahan masuk hutan simpan tanpa permit

bharian.com
Asrol Awang
bhnews@bh.com.my
 - Julai 18, 2021 @ 4:57pm

ADUN Teratai, Bryan Lai Wai Chong

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong antara 29 individu yang ditahan pagi tadi kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis tanpa permit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur itu ditahan JPNP dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis jam 8 pagi.

"Turut ditahan bersama kumpulan ini adalah ADUN Teratai yang beralamat di Bandar Mahkota Cheras, Selangor, manakala 11 pikap turut disita.

"Siasatan awal mendapati, kumpulan ini memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis sekitar jam 11 pagi semalam, tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan.

Katanya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing bagi keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan.

"Setakat ini, siasatan masih lagi diteruskan bersama PDRM," katanya.

I dah lepas… U belum. Betulkah ini kata-kata Ku Nan kepada Najib dan Zahid?

agendadaiky.com
18/7/2021

Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa pihak sejak semalam membuat pelbagai andaian berhubung pembebasan Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang diputuskan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu.

Dalam keputusan 2-1 panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman, mahkamah melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Selepas keluar dari mahkamah berkenaan Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan dikatakan sempat mengaminkan doa dibaca seorang pengikutnya, susulan keputusan itu.

Tular juga di media sosial gambar Ku Nan dan beberapa penyokongnya mengaminkan doa dibacakan.

Beberapa pihak kemudian mendakwa Ku Nan menghubungi bekas bossnya Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Agenda Daily yang turut dihubungi pembaca bertanyakan perkara itu bagaimanapun tidak dapat memastikan kebenarannya. Usaha menghubungi Ku Nan setakat ini bagaimanapun gagal, tetapi masih diteruskan.

Antara lain Ku Nan didakwa berkata kepada Najib dan Zahid bahawa gilirannya sudah lepas dan sekarang menunggu giliran kedua-duanya pula untuk diputuskan oleh mahkamah.

“I dah lepas, U belum”. Itu antara kata-kata yang didakwa dinyatakan Ku Nan kepada Najib dan Zahid. Bagaimanapun Agenda Daily tidak dapat memastikan kebenaran kata-kata itu.
Bendahari UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaminkan doa dibaca selepas Mahkamah Rayuan pada Jumaat (16 Julai 2021) membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah.

Najib kini sedang berdepan beberapa tuduhan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pengubahan wang haram.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Najib kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 18 Mei lalu Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selepas selesai mendengar hujah pembelaan Najib dan pendakwaan selama 15 hari.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. Bagaimanapun mahkamah tidak menetapkan bila keputusan rayuan itu akan dibuat.

Sementara Zahid pula sedang menunggu keputusan kesnya setelah Mahkamah Tinggi pada 2 Julai lalu menetapkan penghujahan 47 pertuduhan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkannya didengar selama enam hari bermula 5 Ogos ini, sebelum keputusan sama ada beliau dibebaskan atau diperintah membela diri.

Penghujahan lisan pada akhir kes pendakwaan itu dijadualkan didengar di mahkamah terbuka di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 5, 6, 9, 11, 13 dan 24 Ogos.

Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kes pada hari ke-53 perbicaraan selepas mengemukakan keterangan 99 saksi.

Kedua-duanya Najib dan Zahid juga kini berdepan beberapa pertuduhan lain di mahkamah membabitkan jutaan ringgit.

Layak atau tak Ismail Sabri jadi PM, Muhyiddin sudah layakkan, kata veteran Umno

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-July 18, 2021 10:00 AM

Seorang veteran Umno percaya jika Muhyiddin Yassin meletak jawatan, Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi perdana menteri dalam tempoh singkat, iaitu seminggu atau paling lama sehingga Parlimen bersidang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Keputusan Muhyiddin Yassin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan Presiden Bersatu itu bersedia menerima Umno mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika beliau perlu berundur dalam masa terdekat, kata bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak, Zaharin Yasin.

Bagaimanapun, beliau berpendapat “saat itu” akan menyaksikan beberapa rakan gabungan kerajaan PN, antaranya PAS, berasa tersinggung dan mempersoalkan tindakan Muhyiddin membelakangkan parti itu sebagai sekutu utama ketika ini.

“Apabila Muhyiddin melantik Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau sudah terima Naib Presiden Umno itu sebagai penggantinya.

“Soal layak atau tidak, pada dasarnya, Ismail sudah dilayakkan oleh Muhyiddin, jika Muhyiddin mahu kerajaan PN terus dapat sokongan Umno,” katanya dalam sesi sembang di laman Twitter bertajuk “Rakyat Gagal? Kerajaan Berjaya?” malam tadi.

Dalam sesi selama tiga jam bermula 9 malam itu, Zaharin berkata, tekanan dari dalam Bersatu dan rakan sekutunya, PAS membuatkan kerajaan PN yang dikemudi Umno pada masa depan akan goyah, kecuali ada usaha lain dibuat untuk mengekalkan Ismail sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Saya percaya jika Muhyiddin letak jawatan, Ismail Sabri boleh jadi perdana menteri dalam tempoh singkat, iaitu seminggu atau paling lama sehingga Parlimen bersidang.

“Sudah tentu orang Bersatu akan tarik diri atau PAS juga akan berundur dari gabungan itu kerana mereka berasa ada ‘bargaining power’ dan hak untuk menjawat jawatan timbalan perdana menteri,” katanya.

Justeru, landskap politik negara pada masa itu akan menyaksikan “aksi” lebih menarik dengan Azmin Ali dilantik sebagai timbalan perdana menteri sebagai usaha menurut percaturan dan kehendak Muhyiddin.

“Jadi pandai-pandailah Ismail Sabri kalau jadi PM untuk seimbangkan undi (sokongan) walaupun kita tahu Azmin tidak popular dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai menteri kanan, bukan timbalan perdana menteri seperti yang diramal banyak pihak, Zaharin berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu tidak mempunyai hierarki dalam Umno, malah secara peribadi, beliau tidak disenangi oleh rakan separti.

“Jadi soalnya sekarang, bagaimana kita nak nampak seorang (bakal) perdana menteri, jika dalam partinya sendiri pun beliau tak hormati institusi presiden, walaupun presiden itu adalah Pengerusi Barisan Nasional,” katanya.

Zaharin turut mendakwa Hishammuddin tidak popular dalam Umno kerana dianggap sebagai duri dalam daging.

Malah, katanya, Hishammuddin turut dianggap sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab kerana enggan bertanding dalam pemilihan Umno 2018 berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kononnya, beliau tak mahu bertanggungjawab atas kekalahan memalukan itu,” katanya.

Dakwanya lagi, ramai ahli Umno tahu gerakan Hishammuddin membawa pemimpin parti menyertai Bersatu, sekalipun beliau sendiri masih kekal dalam Umno.

“Ini saya dengar sendiri daripada mereka yang ditawar sertai Bersatu tetapi tidak mahu mengikut kehendaknya,” kata Zaharin.

Pada 7 Julai, Muhyiddin melantik Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, tambahan kepada portfolio Menteri Pertahanan yang masih dipegangnya.

Hishammuddin pula dilantik sebagai Menteri Kanan, mengetuai kluster keselamatan yang sebelum ini disandang Ismail.

Pelantikan itu diumumkan kurang beberapa jam sebelum mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi Umno yang membuat keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Terkini! Harga telur ayam naik

perakinsights.com
July 18, 2021 8:40 am


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan harga telur ayam meningkat kira-kira tiga peratus.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata berikutan itu, siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, pihak kementerian menerima laporan mengenai kenaikan harga bahan mentah itu, kelmarin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan kerana banyak ladang ternakan ayam ditutup berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, keadaan itu menyebabkan penawaran berkurangan manakala permintaan terhadap bahan berkenaan meningkat.

“Saya dimaklumkan bahawa telur ayam akan ada kenaikan harga kerana difahamkan banyak ladang ladang ayam ini, kini tidak beroperasi.

“Walaupun ada kenaikan, kita akan pantau kenaikan ini sebab dua tiga hari lalu, kita dapat mesej daripada sahabat mengatakan bahawa akan ada kenaikan harga.

“Malah, ia turut diakui pengeluar telur ayam bahawa ada kenaikan harga,” katanya kepada pemberita ketika melakukan pemeriksaan harga barangan di Tunas Manja Mall, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Aris Mamat.

Rosol berkata, pihaknya memahami situasi yang terpaksa ditanggung peniaga terbabit, namun tindakan tegas akan diambil jika harga dinaikkan tidak munasabah.

Katanya, sebagai contoh harga telur di pasar raya Tunas Manja Mall, dua hari lalu, bagi gred A ialah RM12 sepapan kini RM13.10, gred B RM10.80 (RM11.90) dan gred C RM10 (RM11.30).

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan barangan keperluan menjelang Aidiladha adalah mencukupi, kecuali tepung gandum bersubsidi.

Malah, katanya, pemantauan turut dijalankan di pasar raya dan premis dengan kekuatan 2,263 pengawai penguatkuasaan kementerian di seluruh negara.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/840279/telur-ayam-akan-naik-harga

Tukar kerajaan PN bukan lagi pilihan, jangan biar lebih ramai terkorban, kata Ahli Parlimen PKR

freemalaysiatoday.com

Nora Mahpar
-July 17, 2021 11:45 PM

Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani berkata, perubahan tidak boleh dilengahkan kerana semakin hari rakyat makin derita.

PETALING JAYA: Pertukaran tampuk kepemimpinan bukan lagi pilihan tetapi wajib dilakukan segera ketika rakyat sedang menderita dan sengsara, kata Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, jika pertukaran pentadbiran sedia ada terus dilengahkan, dikhuatiri makin ramai rakyat merana akibat hilang pekerjaan serta kes kematian akibat Covid-19 akan terus bertambah.

“Kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini bukan mandat rakyat, jadi kita perlu segera kembalikan mandat rakyat. Perubahan ini tidak boleh dilengahkan kerana semakin hari rakyat makin derita, hilang kerja dan yang terkorban juga semakin ramai.

“Syarikat antarabangsa juga memberi amaran tidak berupaya bertahan dalam sistem dan kerajaan pada hari ini. Ini perlu segera dilakukan berdasarkan kuasa-kuasa yang dibenarkan dalam Perlembagaan,” katanya dalam sesi sembang di laman Twitter bertajuk “Rakyat Gagal? Kerajaan Berjaya?”

Beliau berkata, kepemimpinan Muhyiddin Yassin jelas gagal mempersembahkan penyelesaian segera terhadap krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi negara, sebaliknya terus dalam “dunia” penafian.

“Jika kita nak tunggu pilihan raya umum baru nak tukar kerajaan, makin rosak negara, makin ramai rakyat kena Covid-19 dan ramai akan terkorban. PN jelas tidak berupaya menyegerakan penyelesaian.

“Sebab itu kita tidak ada pilihan, jika kita nak perkasakan sektor pekerjaan, bawa masuk pelaburan asing, kita kena tukar kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman yang turut senada dengan Abdullah berkata, pengganti Muhyiddin tidak boleh datang dari “sarang” yang sama kerana dikhuatiri kebobrokan yang wujud pada hari ini akan terus berlaku.

“Pengganti perdana menteri tidak boleh dari sarang yang sama, kalau datang dari kedudukan yang sama, sudah pasti keadaan yang sama juga akan berlaku.

“Ia mesti datang dari bentuk kepemimpinan baharu yang ada visi dan misi jelas yang boleh bawa negara keluar daripada masalah pandemik ini. Ini perlu disegerakan,” katanya.

Kementerian Kesihatan melaporkan 138 kes kematian, rekod harian tertinggi yang direkodkan sejak wabak itu dikesan di negara ini. Manakala, 12,528 kes harian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 905,851.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-