Tuesday, October 11, 2022

Ramai akar umbi UMNO yakin Zahid bakal jadi PM

agendaily.com
11/10/2022
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri?

Selepas terjawab teka-teki berhubung pembubaran Parlimen, kini persoalan timbul sosok pemimpin UMNO siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri (PM) jika berjaya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Walaupun atas kertas UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM, bagaimanapun cakap-cakap dalam akar umbi lebih cenderung mempercayai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkelayakan untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Selepas berjaya memberi tekanan kepada Ismail Sabri membubarkan Parlimen, akar umbi melihat Zahid kini merupakan individu paling berkuasa kerana tandatangannya dalam menandatangani watikah pencalonan lebih laku berbanding Ismail Sabri yang hanya merupakan Naib Presiden parti itu.

Malah dalam kumpulan Whatsapp akar umbi UMNO juga sudah berlaku perbincangan hangat yang menyokong Zahid sebagai PM baharu ke-10 dan bukannya Ismail Sabri, ia menambah lagi spekulasi berkemungkinan Zahid lebih layak untuk mengemudi negara.

Menurut sumber, lebih banyak ahli UMNO di peringkat akar umbi yang melihat Zahid banyak membawa kejayaan kepada parti sehingga berjaya bangkit daripada sebuah parti yang tidak bermaya sehingga menjadi peneraju kuasa di Putrajaya.

Sumber juga memberitahu, karisma Zahid sebagai seorang Presiden juga melayakkannya untuk menjadi PM.

Apabila Ismail Sabri membubarkan Parlimen, secara tidak langsung kuasa yang dipegangnya beralih kepada Zahid selaku ketua parti dan ketua kerajaan dilihat tidak lagi mempunyai pengaruh yang kuat.

Malah, pemimpin UMNO yang sebelum ini dilihat cenderung menyokong Ismail Sabri sudah pastinya akan beralih sokongan mereka kepada Zahid jika mahu watikah pencalonan mereka ditandatangani.

Tidak mustahil pemimpin UMNO yang sebelum ini lantang mengkritik Zahid akan terpaksa mencium semula tangan Presiden demi mendapatkan watikah pencalonan, ia adalah sesuatu lumrah dalam UMNO yang tidak boleh dinafikan.

Faktor utama akar umbi mempercayai Zahid akan menjadi PM adalah disebabkan pengaruh dan auranya yang lebih tegas berbanding Ismail Sabri.

Jika episod seorang Menteri Besar yang pada mulanya menjadi ‘poster boy’ di Johor boleh bertukar kepada orang lain, jadi tidak mustahil ia boleh berulang pada PRU-15 nanti apabila seorang PM baharu lain pula bakal dilantik dan bukannya Ismail Sabri.

Jika mengikut hierarki parti, sepatutnya seorang Presiden parti yang akan diangkat untuk menjadi PM sekiranya berjaya memenangi pilihan raya dan bukannya Timbalan atau Naib Presiden.

Secara tradisi dalam penubuhan mana-mana kerajaan juga, seorang Presiden yang menerajui sesebuah parti yang akan menjadi calon PM bagi partinya dan bukan orang lain.

Langkah meletak Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ mungkin hanya sekadar mengaburi mata orang ramai tetapi realitinya Presiden UMNO itu sebenarnya adalah calon PM sebenar.

Bukankah sebelum ini bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Adam juga mengatakan secara jelas Zahid yang bakal menjadi PM selepas PRU-15 dan tidak membiarkannya berdepan pendakwaan di mahkamah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-