Monday, December 12, 2022

UMNO hanya ‘melukut di tepi gantang’, bukan ‘king maker’ politik

agendaily.com
12/12/2022
Kerjasama UMNO dan DAP menyebabkan akat umbi keliru.

Seluruh pelosok negara di mana ada penyokong UMNO, sindrom ini sedang menyerang mereka. Kecelaruan minda bukan sahaja kepada lapisan pemimpin atasan malah turut merebak di peringkat bahagian dan cawangan, buntu memikirnya apa yang berlaku terhadap UMNO mutakhir ini.

Mereka masih keliru strategi dan hala tuju parti keramat orang Melayu ke mana hendak dibawa, tatkala belum pun reda kesedihan pemimpin kesayangan mereka mantan Perdana Menteri ke-6 dihumban ke penjara, ketika UMNO masih berkuasa dan Perdana Menterinya adalah daripada kalangan UMNO.

Selepas hilang kuasa pada PRU-14, buat pertama kali dalam sejarah kehebatan UMNO, mereka tersedia pulih daripada penderitaan 22 bulan berada di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kebetulan dipimpin juga bekas pemimpin agung mereka Tun Dr Mahathir Mohamad.

PAS musuh UMNO puluhan tahun menjadi penyelamat kepada UMNO apabila menghulurkan tangan Permuafakatan Ummah dan strategi penyatuan parti-parti teras orang Melayu yang dipimpin Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menjatuhkan kerajaan PH dengan penarikan diri Bersatu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keberadaan UMNO di zon pulih tidak lama, mereka cepat merasakan diri mereka gagah dan kuat. Mula menjadi jaguhan politik. Lupa segala penderitaan yang lalu. Tidak menjadikannya pengajaran akan tetapi menjadikan mereka sombong dan bongkak.

Yakin dengan perubahan rakyat yang diciptanya sendiri, PRN Melaka dan Johor dijadikan indikator untuk mendesak segera dibubarkan Parlimen dan dibuat pilihan raya segera kerana tersangat yakin yang mereka bukan sahaja boleh menang dengan bersendirian tanpa bantuan PAS dan lain-lain parti Melayu.

Bahkan ada unsur ugutan dari keputusan dalaman UMNO ketika itu sepertimana didedahkan oleh jurucakap mereka Lokman Nor Adam, andai tidak diusahakan segera pembubaran, Perdana Menteri ketika itu akan dipecat dari UMNO.

Memang kegilaan Presiden UMNO Zahid Hamidi waktu ini tiada batasan lagi. Yakin tersangat yakin, malah mendakwa mampu peroleh 2/3 kuasa Parlimen.

Sebaliknya yang berlaku UMNO kalah dengan teruk dalam sejarah, ketika mereka jatuh dan kehilangan kuasa PRU-14 mereka masih ada 54 kerusi Parlimen walaupun hilang beberapa negeri.

Namun ketika Presiden UMNO punyai keyakinan tinggi kemampuan UMNO hadapi PRU-15, UMNO merudum hanya tinggal 26 kerusi dan kehilangan negeri Perlis dan Pahang.

Pasca PRU-15, ahli-ahli UMNO dikejutkan dengan pendekatan Presiden UMNO, menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan PH sebagai rakan strategik mereka. Jangan ceritalah apa yang mereka tidak kata kepada PH dan ianya adalah musuh besar selain Perikatan Nasional.

Yang peliknya mereka berbangga dengan apa yang berlaku. Mereka kata mereka tidak kalah, sebab UMNO tetap menjadi kerajaan, di Pahang mereka boleh tubuh kerajaan pun dengan DAP dan juga di Pusat. Di mana kalahnya?

Bahkan mereka angkuh mengatakan UMNO adalah ‘king maker’ politik yang sangat berharga yang ada pada UMNO. Ini satu pengakuan yang dangkal dan jauh tersasar dari kefahaman makna king maker itu sendiri.

Umum faham dari kecil bilangannya seperti PAS sebelum ini hanya 18 kerusi, mampu menjadi king maker kepada kumpulan besar yang tidak cukup bilang. Bukan sebaliknya. Dari besar ke kecil itu orang panggil ‘melukut di tepi gantang’.

Adakah mereka dari kuat, punyai jumlah kerusi besar dalam tempoh 20 tahun terakhir, UMNO mempunyai 109 kerusi Parlimen atau dalam BN mereka punyai 198 kerusi Parlimen, hampir 100 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang mereka miliki. Ini kita akui memang mereka kuat.

PAS sepatutnya dakwa mereka kuat sekarang ini, berbanding UMNO, PAS parti pilihan baharu orang Melayu, itu sepatutnya kerana sejarah PRU-15 PAS memperolehi 43 kerusi berbanding 18 PRU-14. Sebaliknya UMNO merudum teruk .

Belum reda dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan UMNO dengan PH, berlaku pula pemecatan Annuar Musa dari UMNO sejurus PRU-15 kerusi Parlimen Padang Serai yang menyaksikan calon BN dipaksa menarik diri untuk memberi laluan kepada calon PH.

Menariknya kali ini seperti memang betul akar umbi UMNO sedang celaru dan dilema. Ada dakwaan mengatakan mereka boikot dan tidak keluar mengundi calon PH seperti diarahkan Presiden mereka. Mungkin mereka tidak boleh menerima apa yang Zahid ucapkan pada sesi kempen Padang Serai.

Presiden UMNO puji Anwar melangit, puji DAP dan rakan-rakan PH yang lain, ini tidak boleh diterima oleh akar umbi UMNO, selain mereka didakwa tidak keluar mengundi, sebahagian yang keluar tetap memberi undi kepada calon BN yang tertera pada kertas undi. Angka 2,983 yang diberi menjadi undi rosak kerana tidak dikira lagi.

Sebaliknya menjadi kecurigaan besar PH kerana sebelum ini mereka sudah menjadi penyandang Parlimen ini beberapa penggal, sepatutnya dengan sokongan undi dari BN mereka boleh menang dengan majoriti besar puluhan ribu dan boleh mencecah majoriti 50,000 undi.

Tapi sebaliknya. PN pula menang besar dengan majoriti 16,260 undi. Tidak keterlaluan penulis katakan sekali lagi, bahawa pengundi UMNO celaru, keliru dan tidak boleh menerima tindakan Presiden UMNO memuji-muji Anwar dan DAP.

Kerjasama BN-PH, UMNO DAP memang luar dari pemikiran mereka dan penyokong UMNO belum dapat mencerakin kerjasama songsang yang dibuat Presiden UMNO.

Ditambah pula kecelaruan ini apabila rakan BN, MCA dan MIC mendesak Zahid meletak jawatan Pengerusi BN dengan serta-merta. Begitu juga sebahagian ketua-ketua bahagian UMNO itu sendiri yang juga mendesak Zahid berundur.

Naraza Muda

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Harakah hari ini, 12 Disember 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-