Tuesday, August 29, 2023

PAS terbuka hidupkan kembali MN, pemimpin UMNO kata jangan buang masa

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
 - Ogos 29, 2023
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR: PAS masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO, yang kini memilih membentuk kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu masih mengambil sikap sedemikian memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.

"Gagasan penyatuan ummah MN (Muafakat Nasional) masih terbuka dan PAS bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) yakin ummah ini perlukan penyatuan dan muafakat," kata Tuan Ibrahim.

"Kita penuh yakin dalaman UMNO yang masih sayangkan gagasan ini dan demikian juga dalam PN," katanya dilaporkan FMT.

Reaksi Tuan Ibrahim itu hadir sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyatakan keperluan supaya semangat MN dihidupkan kembali khususnya membabitkan dua parti itu.

MN secara dasarnya mula terkubur selepas UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH.

Mengikut sejarahnya, MN secara rasmi dibentuk pada 14 September 2019, menerusi pemeteraian satu piagam ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, semangat yang dibawa dalam MN ini boleh dihidupkan kembali jika kedua-dua pihak boleh mengenepikan agenda peribadi, sebaliknya memfokuskan kepada penyatuan ummah.

"Kita mesti buang yang keruh, yang punya agenda peribadi sehingga mengetepikan agenda ini dan sanggup bersekongkol dengan DAP yang jelas ditentang sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula berkata, UMNO tidak seharusnya membuang masa dengan perkara yang sudah berlalu dan gagal, sebaliknya fokus untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Tidak perlu buang masa dengan perkara yang sudah dibuat tetapi gagal, lebih baik UMNO fokus Kerajaan Perpaduan. Sepatutnya PAS terlebih dahulu fokus memperkuatkan MN, tetapi tidak sampai setahun jagung PAS main dua lawang, …kerjasama dengan BERSATU yang memang mahu membunuh UMNO.

"Selagi PAS dengan sikap lamanya, konsep penyatuan ummah sukar dicapai melalui pendekatan parti politik. Mesti ada tikam belakang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-