Wednesday, August 7, 2024

'Gua Musang memang kubu kuat Umno, tapi...'

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 7, 2024 
PRK NENGGIRI | Bagi PN, kawasan parlimen Gua Musang memang diakui menjadi kubu kuat BN sejak dulu lagi namun ia tidak bermakna parti itu akan berdepan laluan mudah untuk merampas kembali kerusi Nenggiri.

Pengarah Operasi PN untuk PRK kali ini, Annuar Musa, percaya ada faktor tertentu yang membolehkan Mohd Rizwadi Ismail mengekalkan penguasaan mereka ke atas Nenggiri.

Untuk rekod Nenggiri merupakan satu daripada tiga kerusi DUN yang diletakkan di bawah kawasan parlimen Gua Musang.

Dua lagi DUN yang berkongsi kawasan parlimen sama ialah Paloh dan Galas.

"Kita (PN) mengakui Gua Musang merupakan kubu kuat Umno sejak dulu. Ini termasuklah kerusi DUN Nenggiri.

"Namun, sejarah menunjukkan ahli dan penyokong Umno di sini tidaklah fanatik terhadap Umno.

"Mereka pernah meninggalkan Umno dan menyokong parti Semangat 46 pada awal tahun 1990-an," katanya.

Tambah bekas Setiausaha Agung Umno itu lagi, apabila PRU ke-15 dilangsungkan - dan diikuti PRN Kelantan kira-kira setahun kemudian - keadaan yang sama ditunjukkan pengundi di kawasan itu.

Nak elak kesipuan

Kata Annuar, semasa pilihan raya itu pengundi Nenggiri tidak memilih Umno atau BN sebaliknya kekal bersama PN.

"Ini menjadi bukti bahawa rakyat Nenggiri mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi," katanya yang kini giat berkempen di Nenggiri.

Tambah Annuar, dia yakin pandangan diberikan bekas ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, bahawa tanpa pembabitan ketara DAP akan memberi kelebihan kepada BN adalah meleset.

Bekas ahli parlimen Ketereh itu juga mendakwa majoriti Melayu di negara menolak kerjasama politik di antara BN dan PH.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Khairy percaya PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini akan menyaksikan pertukaran kerusi antara parti kali pertama sejak PRU 2022.

Bekas pemimpin Umno itu mengaitkan situasi berkenaan dengan beberapa faktor, termasuk ketidakhadiran DAP berkempen di kerusi majoriti Melayu di negeri yang didominasi PAS itu.
Tengku Razaleigh bersama Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani
“Pengundi Nenggiri tidak akan melihatnya sebagai PH. Mereka tidak akan keliru,” kata Khairy.

Dia juga berpendapat jumlah pengundi Cina yang kecil menyebabka tiada keperluan untuk DAP turun berkempen memenangkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Sementara itu, Annuar juga mendakwa penolakan rakyat terhadap "Umdap" dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi cukup kuat di Nenggiri.

Dia juga berpendapat, sebenarnya bekas ahli parlimen Gua Musang selama berpuluh tahun, Tengku Razaleigh Hamzah, sedang diperalatkan oleh Umno.

Katanya, pengaruh ahli politik veteran terbabit - yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li - masih kuat di Gua Musang.

"Orang Melayu faham Ahmad Zahid hanya memperalatkan Ku Li untuk mengelak daripada kesipuan dan kekalahan.

"Ku Li pula tentu tidak lupa bagaimana Zahid dan troopers (pengikut upahan) dia menghina Ku Li semasa Ku Li bertanding jawatan Presiden Umno.

"Ku Li juga pasti tidak lupa bagaimana dia dipermainkan oleh Zahid ketika kononnya Ku Li ditawar jadi calon perdana menteri tetapi Zahid sebenarnya merancang untuk mengangkat Anwar Ibrahim," dakwanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-