Wednesday, August 7, 2024

Orang Melayu Nenggiri pun tolak ‘UmDAP’, PN tepis ramalan BN menang

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
07 Aug 2024, 07:12 PM

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa berkata rakyat DUN itu mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi seperti dibuktikan dalam PRU15 dan PRN lalu.
Annuar Musa mengakui pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah masih kuat namun penolakan rakyat terhadap Umno-DAP dan Presiden Zahid Hamidi juga kuat.

GUA MUSANG: Perikatan Nasional (PN) menolak ramalan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang Barisan Nasional (BN) berpeluang cerah merampas kerusi DUN Nenggiri pada PRK 17 Ogos ini.

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Annuar Musa, berkata biarpun kawasan itu pernah menjadi kubu kuat Umno namun penyokongnya tidak begitu fanatik, malah pernah meninggalkan parti untuk bersama Semangat 46 ketika awal 90-an.

“Dalam PRU15 dan PRN baru-baru ini, rakyat Nenggiri tidak memilih Umno-BN. Ini menjadi bukti bahawa mereka mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi.

“Pandangan Khairy di mana mereka tidak lagi keliru apabila mengundi BN bermaksud memberi laba politik kepada DAP, adalah meleset.

Orang Melayu seluruh negara, tidak terkecuali juga di DUN Nenggiri, majoritinya menolak kerjasama Umno dan DAP, katanya ditemui ketika berkempen di Nenggiri.

Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap menjangkakan peluang BN merampas kerusi Nenggiri daripada PN cerah, antaranya kerana pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri belia dan sukan berkata, langkah menugaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, yang juga Ahli Parlimen Orang Asli pertama, berkampung di kawasan Orang Asli untuk berkempen juga akan dapat meningkatkan sokongan komuniti itu terhadap calon BN.

Annuar mengakui pengaruh Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li di kawasan itu masih kuat namun penolakan rakyat terhadap ‘UmDAP’ dan Presiden Umno Zahid Hamidi juga kuat.

“Trend dan gelombang tolak ‘UmDAP’ dan Zahid tetap kuat. Pengaruh Ku Li tetap ada, namun orang Melayu faham Zahid hanya memperalatkan Ku Li untuk mengelak kekalahan.

Ku Li tentu tidak lupa bagaimana Zahid dan ‘troopersnya’ menghina Ku Li semasa beliau bertanding jawatan presiden Umno melawan Zahid dan Khairy. Beliau juga pasti tidak lupa bagaimana dipermainkan oleh Zahid ketika kononnya Ku Li ditawar jadi calon perdana menteri tetapi Zahid sebenarnya merancang untuk mengangkat Anwar Ibrahim, katanya.

Tengku Razaleigh adalah pengarah pilihan raya BN bagi PRK Nenggiri. Ramli merupakan Ahli Parlimen yang pertama daripada komuniti Orang Asli. Masyarakat itu membentuk 13% daripada pengundi Nenggiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-