Wednesday, August 28, 2024

Jangan terjebak sikap dan agenda burukkan ulama

harakahdaily.net
August 28, 2024

JASIN: Tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang dan memburuk-burukkan para ulama sebenarnya adalah suatu gerakan yang dibuat demi menjaga kepentingan Barat dan Zionis.

Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, golongan itu akan menyerang mana-mana ulama yang cuba membangkitkan kesedaran secara jelas, tidak berlapik, sehingga mudah difahami oleh umat akan maksud dan tujuannya.

“Jadi kalau kita tengok dalam negara kita ni ulama yang paling dimusuhi dan dicerca oleh kumpulan yang memang dibentuk bagi memfitnah ulama dan membuat naratif yang negatif kepada ulama, iaitulah kalangan sebahagian netizen ini,” katanya.

Tuan Guru Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin itu berkata demikian sewaktu menyampaikan kuliah Maghrib mingguan di Balai Islam Seri Minyak, Merlimau, di sini malam kelmarin.

“Kita tengok Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, antara ulama-ulama yang paling utama menghadapi sasaran. Baru-baru ini Ustaz Azhar Idrus juga mula dihalakan serangan secara bertubi-tubi.

“Kerana apa? Kerana ulama-ulama ini dilihat sebagai kumpulan ulama yang mempunyai kemampuan ilmu membangkitkan keinsafan dan kesedaran rakyat untuk beristiqamah dengan Islam,” katanya.

Beliau sebelum itu membincangkan ayat 130 Surah Ali Imran mengulas mengenai keberanian Imam Sya’rawi dalam tafsirnya yang memuji As-Syahid As-Syeikh Sayyid Qutb RH.

Ini kerana tokoh itu dapat menghuraikan dengan tuntas persoalan riba yang tiba-tiba muncul di dalam ayat tersebut di tengah-tengah perbincangan mengenai perang Uhud.

“Saya menyebut tentang perkara ini, adalah sebagai suatu ingatan kepada kita, supaya kita tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan untuk menyerang peribadi As-Syeikh Sayyid Qutb.

“Kerana Sayyid Qutb ini diberikan tasawur, diberikan gambaran sebagai tokoh ekstremis yang melahirkan suatu gerakan yang ekstremis dalam dunia Islam melalui huraian-huraian ilmiahnya,” katanya.

Jelas beliau, persepsi itu hakikatnya adalah tuduhan Barat kepada As-Sheikh Syed Qutb RH di mana sedia dimaklumi bahawa orang Barat itu memang begitu marah dengan mana-mana ulama seperti itu.

Di mana katanya, mempunyai kemampuan dan pengaruh besar di dalam menghuraikan mengenai kewajipan menentang segala perkara yang berlawanan dengan Islam.

“Jadi ulama-ulama yang berjaya menghuraikan perlawanan dan percanggahan sesuatu ajaran, ideologi dan fahaman di zaman moden ini dengan Islam. Berlawan perkara itu dengan Islam.

“Dia (Sayyid Qutb) berjaya menghuraikanya dengan mengembalikan kepada nas Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka ulama itu dipandang sebagai ancaman kepada Barat.

“Kerana kemampuan dan kejayaan Sayyid Qutb dan mana-mana ulama seperti itu dilihat sebagai suatu perkara yang berjaya membangkitkan semangat perjuangan untuk mempertahankan Islam dan membebaskan tanah air umat Islam dari cengkaman penjajah,” katanya.

Kata beliau lagi, disebabkan perkara itu, Sayyid Qutb ini menghadapi berbagai-bagai fitnah yang mana fitnah-fitnah itu datang daripada naratif yang dibuat oleh Barat.

“Kita pun tahu Mesir ini bersebelahan dengan Israel yang menjajah Palestin. Maka naratif-naratif ini yang dibuat bertujuan untuk kepentingan Israel dan Zionis,” katanya.

Katanya lagi, para ulama yang mulia hatinya, mereka sekali-kali tidak akan terpedaya dengan permainan fitnah dibuat oleh musuh-musuh Islam.

Justeru ulama-ulama ini akan menonjolkan segala sisi kebaikan ulama yang difitnah supaya umat tidak melampau hingga terjebak hanya dengan fitnah naratif dibuat oleh Barat dan musuh-musuh Islam.

 – HARAKAHDAILY 28/8/2024

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-