Wednesday, August 28, 2024

Isu 3R: Pemuda PAS Terengganu buat laporan polis esok

harakahdaily.net
August 28, 2024
Dewan Pemuda PAS Terengganu bakal membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos 2024 berhubung isu pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal.

KUALA NERUS: Dewan Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos (Khamis) jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berhubung isu 3R (Raja, Agama dan Kaum)

Isu berkenaan menjadi tular apabila pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal dan menulis kapsyen, ‘Welcome to Afganu!’

Hal ini jelas berkait rapat dengan isu baru-baru ini bahawa Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tampil memohon maaf atas kesilapan menghantar atlet wanita beragama Islam ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Justeru, Pemuda PAS Kuala Nerus berkata, orang Islam tidak boleh membiarkan dan tidak boleh duduk diam begitu sahaja apa jua isu yang mempermainkan dan mempersendakan Islam.

“Semakin hari semakin menjadi-jadi golongan yang mempermainkan agama Islam kerana mereka merasakan mempunyai kabel yang besar untuk berselindung di sebalik akaun palsu.

“Kami berharap pihak polis membuat siasatan terperinci bersama agensi berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang sebenar menghina Islam ini,””katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelaku sekiranya tidak ditangani akan mengganggu keharmonian dalam negara dan akan menjadi lebih serius jika dibiarkan berterusan.

Terdahulu, Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan bahawa penyertaan atlet wanita Terengganu dalam acara terjun di SUKMA 2024 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.

Hishamuddin berkata, pada dasarnya, pihaknya tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebelum ini.

Malangnya, penyertaan atlet wanita tersebut berlaku tanpa pengetahuan atau kebenaran beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-