Tuesday, October 15, 2024

Adik Zahid serah borang sertai PAS kepada Hadi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-15 Oct 2024, 08:35 PM

Tidak dapat dipastikan sama ada Abdul Hakim Hamidi pernah menganggotai mana-mana parti termasuk Umno sebelum memohon menyertai PAS.
Abdul Hakim Hamidi menyerahkan borang pendaftaran keahlian kepada Hadi Awang di Pejabat Agung PAS Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Abdul Hakim Hamidi, adik kepada Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini memohon menyertai PAS yang borang keahliannya diserahkan kepada Presiden Hadi Awang.

Perkembangan itu diumumkan Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki yang juga Yang Dipertua PAS Bagan Datuk menerusi Facebook.

Semoga dengan kehadiran beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan pimpinan Umno yang cintakan perpaduan yang berlandaskan Islam, katanya.

Dalam video disertakan dalam hantaran itu menunjukkan borang keahlian PAS Hakim diterima oleh Hadi di Pejabat Agung PAS Pusat.

Tidak dapat dipastikan sama ada Hakim pernah menganggotai mana-mana parti termasuk Umno sebelum memohon menyertai PAS.

Masih sihat minum teh tarik, Mat Sentol kongsi rahsia panjang umur

bharian.com.my
Oleh ROSLAN ZAMAN
15/10/2024

Zaman atuk dan nenek kita mesti kenal siapa Mat Sentol. Seniman ini cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon sejak era 1950-an serta pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Seniman berumur 95 tahun itu kini menetap di Larkin, Johor. Beliau pernah juga pernah aktif menyumbangkan suaranya dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.

Semalam tular video artis veteran itu di kedai makan sambil ditemuramah oleh perakam video di tiktok Gigs_mall. Sambil dilihat air teh tarik di depan matanya, fizikal Mat Sentol masih sihat dan bertenaga.

“Pak Mat, orang tanya Pak Mat apa rahsia panjang umur?”

“Haaaa..itu yang tak boleh cakap.” , balas Mat Sentul sambil berjenaka ketawa.

“Rahsianya adalah Ketawa selalu”

Pada november tahun yang lepas, Bharian pernah melaporkan keadaan kesihatan Mat Sentol yang kurang baik.

Ketika ditanya tentang kewangan, anaknya yan bernama Roslee berkata, bapanya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500, manakala barangan keperluan kesihatan seperti susu formula, vitamin, lampin pakai buang dan sebagainya diperoleh daripada Baitulmal, katanya seperti dipetik Bharian.

“Setakat ini, bantuan yang diterima bapa saya daripada JKM dan Baitulmal sangat membantu kami. Malah, kalau ada kurang pun (kewangan) saya sendiri akan usaha cari untuk tambahan kerana rezeki Allah sangat luas.

“Walaupun keadaan saya ini boleh dikatakan ‘warga emas jaga warga emas’, saya okay dan rasa masih kuat lagi demi bapa saya. Sebagai anak, saya akan usaha memberi keselesaan kepadanya”, katanya seperti dilaporkan Bharian.

Kes GISBH: Hassan Karim, Takiyuddin tak setuju guna Sosma

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli

-15 Oct 2024, 05:22 PM

Ahli Parlimen PKR dan PAS senada berhubung penggunaan Sosma ke atas individu berkait kes GISBH.

Hassan Karim dan Takiyuddin Hassan mahu menteri menjelaskan penggunaan Sosma ke atas individu berkait kes GISBH.

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen PKR dan PAS senada apabila tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma ke atas individu berkait kes Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Di Dewan Rakyat hari ini, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mahu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan justifikasi Sosma digunakan ke atas individu terkait syarikat itu, yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hassan berkata negara mempunyai undang-undang lain untuk menangani dakwaan-dakwaan yang timbul, seperti akta berkaitan kanak-kanak, penderaan dan serangan seksual, pemburuhan, percukaian, dan agama.

Sosma adalah undang-undang berkaitan dengan ancaman kekerasan, keganasan, keselamatan negara. Soalnya adakah penyelewengan ajaran agama (dakwaan) GISBH ini termasuk kesalahan keselamatan? katanya, meminta penjelasan daripada menteri.

Pada 10 Okt lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan seramai 58 individu ditahan di bawah Sosma.

Sosma memperuntukkan langkah-langkah khas yang berkaitan dengan kesalahan terhadap negara untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, dan semua perkara yang berkaitan.

Undang-undang itu digubal di bawah peruntukan Perlembagaan yang menyediakan kuasa luas terhadap subversi, ancaman kepada ketenteraman awam, tindakan keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Antara lain, subseksyen 4(5) membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan bagi tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan, tanpa perintah mahkamah.

Atas dasar apa Sosma digunakan dalam penahanan suspek di bawah GISBH, kata Takiyuddin di Dewan Rakyat, selepas Hassan menuntut penjelasan.

Pada Feb tahun lepas, Saifuddin dilapor berkata Sosma adalah undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik, yang diperincikan jadual pertama undang-undang itu.

Katanya, polis masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-