Showing posts with label ABIM. Show all posts
Showing posts with label ABIM. Show all posts

Sunday, October 11, 2020

Bekas Presiden ABIM gesa penyokong Anwar solat hajat

Oleh FAZLI RADZI
October 11, 2020


Bekas Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Profesor Ustaz Dr Razali Nawawi menyeru rakyat Malaysia yang bersimpati dan menyokong perjuangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melakukan solat hajat, zikir dan munajat menjelang 13 Oktober ini.

Katanya, amalan itu bagi memohon ke hadrat Allah agar memudahkan Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokong beliau bagi mengambil alih Kerajaan Persekutuan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan-rakannya sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih untuk menyelesaikan kemelut politik negara yang sudah sampai ke tahap kritikal.

“Kita juga maklum bahawa Datuk Seri Anwar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada hari Selasa, 13 Oktober ini.

“Oleh itu, saya merayu dan mengajak rakan-rakan serta teman-teman yang bersimpati dengan perjuangan Datuk Seri Anwar untuk hadir menyertai majlis solat hajat, zikir dan munajat bagi merayu kepada Allah swt.

“Allah yang maha berkuasa membantu memudahkan segala usaha Datuk Seri Anwar dan rakan-rakannya dalam usaha mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut bekas Dekan Kuliyyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi, majlis khas akan diadakan di Anjung Rahmat, Sungai Merak, Kajang mulai solat Zohor esok dan berakhir pada Zohor hari Selasa.

Dalam masa sama, Dr Razali menasihatkan penyokong Anwar agar melakukan ibadah di kediaman masing-masing bagi yang tidak berkelapangan atau berjauhan.

“Saudara yang boleh hadir (di Anjung Rahmat) saya nasihatkan supaya puasa sunat pada hari Isnin.

“Manakala yang bersimpati dengan usaha yang baik ini, dapat juga ikut serta dengan berpuasa pada hari Isnin serta melaksanakan solat hajat, zikir dan munajat kepada Allah di tempat masing-masing,” kata Dr Razali lagi.

Anwar pada 8 Oktober lalu mendakwa mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Tuesday, November 27, 2018

Icerd modal Umno, PAS tarik sokongan Melayu, kata Abim

Haspaizi Zain
Diterbitkan 27 Nov 2018, 8:29 pagi


Umno dan PAS didakwa sengaja mempolitikkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) bagi meraih sokongan orang Melayu di negara ini.

Mengambil contoh peratusan undi yang diperoleh Umno dan PAS pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan dua parti dominan orang Melayu itu mengambil kesempatan terhadap isu Icerd.

Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata apatah lagi orang Melayu di negara ini agak pantang apabila disentuh soal Islam, raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) hanya meraih sekitar 25 peratus sokongan pengundi Melayu berbanding Umno dan PAS pada 9 Mei lalu.

"Jadi itulah modal yang ada pada mereka (Umno, PAS). Semua tahu orang Melayu apabila disentuh tentang raja-raja Melayu, Islam mereka akan marah.

"Isu ini digunakan untuk tarik lagi kira-kira 15 peratus sokongan pengundi Melayu (yang menyokong PH). Itulah isu dan realitinya," katanya pada forum ICERD: Ya atau Tidak di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur/Selangor di ibu negara, malam tadi.

Kerajaan sebelum ini merancang untuk meratifikasi Icerd, namun mendapat bantahan daripada orang Melayu yang mengadakan perhimpunan secara aman membabitkan Umno dan PAS bagi mendesak kerajaan menolak ratifikasi itu.

Gagal fahami naratif

Umno dan PAS merancang untuk mengadakan perhimpunan tolak Icerd secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 8 Dis depan.

Bagaimanapun kerajaan PH pada 23 Nov lalu mengesahkan untuk tidak meratifikasi Icerd melalui satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Keputusan kerajaan tidak menghalang perhimpunan itu daripada terus diadakan dengan alasan kerajaan dilihat masih bercita-cita untuk melaksanakan Icerd.

Dalam pada itu Muhammad Faisal berkata, kerajaan perlu menggubal satu akta baru yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum yang mempunyai "semangat Icerd".
Katanya akta itu penting bagi membiasakan rakyat Malaysia dengan Icerd.

“Walaupun kerajaan tidak meratifikasi Icerd, kerajaan mungkin boleh memasukkan beberapa elemen Icerd yang dirasakan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ke dalam akta baru itu,” jelasnya.

Forum dikendalikan Wan Ji Wan Hussin sebagai moderator itu turut disertai Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya; Pensyarah Undang-Undang, Dr Azmin Sharom dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zaid Kamaruddin.

Sementara itu, Latheefa kecewa dengan keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana membuat keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Latheefa menyifatkan kerajaan hari ini sebagai pengecut dan takut kepada ugutan pihak tertentu meskipun sudah memegang tampuk kuasa.

Lebih mengecewakan juga katanyaapabila wakil rakyat PH sendiri gagal memahami naratif Icerd.

"Dalam kalangan wakil rakyat PH sendiri perlu melihat kembali naratif Icerd dan jangan ulang naratif mereka yang kata Icerd itu jahat.

Zaid yang mewakili Ikram pula berkata, kerajaan perlu mendengar pandangan daripada kedua-dua belah pihak dalam isu Icerd.

Monday, July 23, 2018

Zawawi Mughni calon tepat di Sg Kandis

Zairudin Ashrafi | Diterbitkan 23 Jul 2018, 8:53 pagi 


ULASAN | Tidak sedikit cakap-cakap yang timbul selepas pengumuman nama Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selaku calon Parti KeADILan Rakyat (KEADILAN) bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, semalam.

Bukan calang-calang orang, Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Selangor ini hakikatnya merupakan Pengetua Maahad Tahfiz al-Fateh, Jalan Kebun. Pastinya, figura paling cocok meneruskan legasi kecemerlangan allahyarham Mat Shuhaimi Shafie, berasaskan kepada rekod pencapaian beliau selaku aktivis masyarakat yang tulen.

Baru berusia 48 tahun, suami kepada Ustazah Hazlina Abd Razak dan bapa kepada 5 orang ini sangat dikenali oleh penduduk sekitar Sungai Kandis, memandangkan beliau sendiri merupakan anak jati Sungai Kandis.

Beliau dan isteri sangat disegani oleh para penduduk kerana berlatarbelakangkan pegangan agama yang kuat dan banyak membantu orang ramai.

Beliau dan isterinya mengasas serta menggerakkan Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Darul Wardah, Seksyen 30, Shah Alam.

Tidak terkenal di tempat lain tidaklah terkesan sangat, asalkan di tempat mengundi beliau sangat dikenali, kerana dialah yang akan memberi khidmat kepada kawasan ini. Inilah individu yang di terima rata-rata masyarakat setempat, tidak kira parti lawan atau parti kawan.
Malahan, Jalan Mughni di Jalan Kebun diambil sempena nama Allahyarham bapanya, Tuan Haji Mughni Haji Abd Rahman - seorang imam dan penolong pendaftar nikah yang dihormati di Kampung Jalan Kebun.

Ibunya, Allahyarhamah Hajjah Pauziah Haji Husin berasal dari Kampung Sijangkang, Kuala Langat, juga anak kedua kepada Haji Husin Abas, pengasas Pondok Haji Husin Abbasiyyah, Sijangkang atau lebih dikenali sebagai Pondok Kiyai Kusen Sijangkang.

Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al-Azhar, Mesir dan Master Pendidikan di Universiti Malaya (UM) ini lahir dari lubuk kesengsaraan dan kepayahan rakyat. Ustaz Zawawi pernah berkhidmat selaku Ahli Mesyuarat Badan Dakwah, Majlis Agama Islam Selangor (2006 – 2012) dan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Keluarga Islam, MAIS (2009 – 2012).

Beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah dan institusi seperti Kolej Hafiz Klang, SAM Hishamuddin Sungai Bertih.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di beberapa IPT seperti Kolej Pusrawi dan Universiti Malaya disamping berceramah motivasi, kepimpinan, kuliah agama dipelbagai institusi seperti sekolah, masjid, jabatan, kolej dan sebagainya.

Aktivis sosial

Tidak hanya punya ketokohan dalam bidang agama, tetapi juga merupakan aktivis sosial yang tegar. Mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor ini juga pernah diamanahkan selaku Timbalan Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM (MPKA) dan Setiausaha Integrated Muslim Association Nework (IMAN).

Dalam usaha membangunkan generasi muda, beliau juga aktif menggerakkan aktiviti belia sehingga diberikan kepercayaan untuk menjadi Setiausaha Agung Majlis Belia Selangor (2006 – 2007) dan Ahli Majlis Perundingan Belia Negeri Selangor (2006 – 2007).

Beliau terlibat dalam Skuad Prihatin ABIM dan Global Peace Mission (GPM) yang melaksanakan misi bantuan bencana alam seperti banjir besar, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya. Melalui GPM beliau terlibat dalam usaha membantu rakyat Palestin dengan menganjurkan kempen kutipan dana dan kempen kesedaran di surau dan masjid kompleks beli belah dan lokasi-lokasi strategik.

Beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Firma Perunding Latihan BUDI Training & Management, di mana beliau terlibat memberikan motivasi, termasuk program-program kepimpinan yang dihadiri oleh para wakil rakyat.

Terkenal dengan sifat mesra serta merendah diri, Ustaz Zawawi mempunyai pengalaman luas dalam menangani isu gejala sosial di Selangor sejak tahun 20 tahun lalu dalam bidang pendidikan, badan pelajar, badan dakwah dan badan belia.

Di dalam parti, beliau aktif selaku Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat serta Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat. Fakta yang lebih menarik, beliau juga merupakan sahabat dan pembantu kepada Allahyarham YB Mat Shuhaimi Shafiei.

Pemilihan beliau adalah penting memandangkan kita memerlukan agamawan serta pemimpin yang celik soal keragaman dan kerencaman bangsa dan agama seperti di Malaysia, terutama di Selangor.

Pilihan raya, baik umum mahupun kecil – tidak hanya berlegar sama ada seseorang calon itu popular pada peringkat nasional atau pun tidak. Jauh lebih daripada itu, seseorang calon itu sewajarnya dikenali oleh penduduk setempat, selain mempunyai kemampuan juga kesungguhan untuk berkhidmat kepada rakyat yang diwakilinya.

Ustaz Zawawi mempunyai ciri-ciri seorang wakil rakyat yang komited serta berwibawa itu. Bila disebut nama Ustaz Zawawi, dialah imam, dialah jurunikah, dialah kaunselor dan pakar motivasi, dialah penceramah tersohor di kawasan tersebut.

Pemilihannya sebagai calon, pastinya adalah tepat sekali. Akhir kalam, pangkah KEADILAN untuk PRK DUN N.49, Sungai Kandis.

Wednesday, April 22, 2015

Salib: Nak jadi hero kononnya mereka wira bela agama

HARAKAHDAILY
Merujuk kepada insiden desakan segelintir penduduk Taman Medan, Petaling Jaya agar sebuah gereja menurunkan lambang salib. ABIM memandang berat perkara tersebut.

Pada 6 Febuari lalu di Sabah, polis menerima aduan dari ibu bapa yang mendakwa anak mereka ditukar agama kepada agama Islam tanpa kebenaran mereka.

Pada 27 Mac pula Setiausaha Agung SUPP merakamkan rasa gembira atas tindakan yang dikenakan terhadap guru yang menukar agama pelajar mereka kepada agama Islam.

Insiden-insiden seperti ini lahir dari pergelutan politik yang semakin sengit. Di mana ada pertelingkahan kaum atau agama, maka akan hadirlah pemimpin politik yang cuba menangguk di air keruh. Ada yang mahu menjadi hero kononnya merekalah wira dalam membela agama.

Kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan dan kebencian dihamburkan demi mensensasikan penglibatan kelompok yang berkepentingan ini.

Orang awam terus dijadikan mangsa perebutan kuasa antara kelompok politik ini. Akhirnya wujud satu keresahan yang membantutkan penyuburan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Adakah insiden terbaru ini merupakan babak-babak dalam plot cerita PRK bagi Parlimen Permatang Pauh dan Rompin? Atau sebagai taktik melarikan perhatian rakyat terhadap isu seperti GST dan sebagainya?

ABIM menuntut agar pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri bertindak segera meredakan keadaan. Ia selari dengan tuntutan al-Quran yang meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keharmonian negara ke atas pemerintah.

ABIM tidak mahu perkara yang sama berlaku berulang kali iaitu, Perdana Menteri antara individu terlambat memberikan respons sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam pelbagai bentuk di pelbagai media komunikasi.

ABIM menyarankan agar masyarakat muslim menghayati fitrah kerencaman kewujudan makhluk seperti yang terkandung dalam al-Quran (49:13) yang mengkehendaki kita saling berta’aruf dan begitu juga dalam surah Saba’ (34:24-26) yang memperjelas sikap yang sewajarnya diambil oleh muslim ketika bermuamalah dengan bukan muslim.

Begitu juga dengan Surah al-Kafirun yang menjelaskan pengiktirafan Islam terhadapan kewujudan kepelbagaian agama. Jangan kita mengambil sikap yang melampaui batas kerana ia boleh merosakkan citra Islam sendiri yang dikenali sebagai agama rahmat.

Tindakan yang kurang cermat ini memberikan kesan yang negatif terhadap dakwah islamiah di Malaysia. Ia menyukarkan sekali gus menyempitkan ruang dakwah hasil dari tindakan yang tidak berhemah ini. Ia juga boleh menimbulkan kekeliruan terhadap mesej islam itu sendiri. - HARAKAHDAILY

AMIDI BIN ABDUL MANAN
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-