Showing posts with label IPIC. Show all posts
Showing posts with label IPIC. Show all posts

Wednesday, August 9, 2023

Najib mohon AG semak kes RM6.6 bilion IPIC

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 9, 2023
Bekas perdana menteri, Najib Razak minggu lalu menghantar surat representasi kepada Peguam Negara (AG) berhubung kes pecah amanah (CBT) terhadapanya melibatkan RM6.6 bilion yang dikaitkan dengan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada pasukan peguam Najib minggu lepas.

Mengikut undang-undang, surat representasi adalah satu kaedah untuk tertuduh meminta pendakwa raya menyemak semula kes jenayah terhadapnya, seperti melalui pengguguran pertuduhan atau untuk tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan.

Sebelum ini, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah juga telah menghantar representasi kepada AGC berhubung kes yang sama.

Berikutan itu hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula agar pihak pendakwa raya memaklumkan status terkini representasi kedua-dua tertuduh.

[Berita penuh menyusul]

Thursday, March 3, 2022

Pecah amanah RM6.6 bilion: Najib, Irwan gagal supaya dilepas tanpa bebas

freemalaysiatoday.com
Bernama
-March 3, 2022 3:48 PM

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Najib Razak dan Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi mereka.

Hakim Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.

“Tarikh perbicaraan selama 32 hari pada September 2021 sudah ditetapkan sebelum ini, namun telah dilapangkan atas permohonan pihak pendakwaan dan ia tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

“Permohonan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” katanya dan menetapkan 1 hingga 4 April 2023, 8-11 April dan sepanjang Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan baharu kes tersebut.

Najib, 68, dan Irwan, 63, memohon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu hari ini, semasa pengurusan kes berkenaan atas alasan mereka telah dituduh sejak 2018 namun masih belum dibicarakan sehingga kini.

Terdahulu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib berhujah walaupun selepas didakwa empat tahun lepas, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dan perbicaraan belum lagi bermula.

“Pada masa sama, kami memohon beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tetapi ia masih belum dilengkapkan. Oleh itu, kami pohon satu perintah lepas tanpa bebas diberikan kepada anak guam kami,” katanya.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata pihaknya tidak meragui proses mahkamah atau pihak pendakwaan, tetapi kes yang dihadapi anak guamnya masih lagi tergantung dan disebut sebanyak 14 kali di mahkamah sejak Oktober 2018.

“Kes ini telah tergantung kerana tiada kesesuaian tarikh bicara berikutan tertuduh pertama iaitu Datuk Seri Najib sedang dibicarakan di beberapa mahkamah berbeza, dan pihak kami mendapat makluman daripada peguam beliau, tarikh yang masih tersedia hanyalah pada tahun 2023.

“Sekiranya Yang Arif membenarkan permohonan ini (lepas tanpa bebas), pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula pendakwaan pada bila-bila masa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bagaimanapun membantah permohonan itu, atas alasan tidak adil bagi mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada peringkat ini (sebelum perbicaraan).

Beliau berkata pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes, di mana sudah tiga kali serahan dokumen dibuat mengikut Seksyen 51A dan mengikut peruntukan undang-undang, mereka boleh mengemukakan dokumen tambahan jika ada sebelum perbicaraan.

“Pendakwa raya mewakili 34 juta orang awam yang ingin melihat kes ini dibicarakan, bukan boleh dilepas tanpa dibebaskan begitu sahaja. Kami bersedia untuk membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

Pada 24 Okt 2018, Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Friday, May 24, 2019

Najib dedah soalan yang mahu ditanya pada Kit Siang

FMT Reporters
-May 24, 2019 4:47 PM


PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mendedahkan soalan-soalan yang mahu ditanyakan pada Lim Kit Siang selepas pemimpin DAP itu menarik diri daripada “debat kleptokrasi” dengan bekas perdana menteri itu.

Antara soalannya menyentuh wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank miliknya dan dikaitkan skandal 1MDB, dan keengganan kerajaan mendedahkan perjanjian penyelesaian International Petroleum Investment Company (IPIC) dan 1MDB.

Bekas perdana menteri itu meminta Lim mengakui RM2.6 bilion itu sudah dipulangkan, dan terdapat banyak bayaran kepadanya adalah dari Kementerian Kewangan Arab Saudi.

“Adakah Lim mengaku perjanjian penyelesaian IPIC dengan 1MDB ada klausa untuk IPIC membayar balik kepada 1MDB wang yang dikatakan hilang sebelum 30 Disember 2020,” tambahnya.

Najib juga meminta Lim menerangkan kenapa kerugian RM33.2 bilion yang ditanggung Bank Negara pada 1990-an dalam skandal tukaran mata wang asing tidak memufliskan negara, “walaupun satu aset atau satu ringgit tidak dapat dipulangkan”.

“Tetapi pinjaman RM31 bilion 1MDB pula boleh memufliskan negara walaupun ada perjanjian penyelesaian, ada aset-aset bernilai RM140 bilion dan RM40 bilion yang kini digelar PH sebagai aset terbaik negara,” tambahnya.

Antara lain yang ditanyakan mengenai kebenaran dakwaan pemimpin DAP, Tony Pua mengenai kos projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dikatakan hanya RM29 bilion.

“Sedangkan PH telah bersetuju dengan harga RM44 bilion. Itupun selepas jajaran telah ditukar, jumlah jarak dan stesen telah dikurangkan,” tambahnya, merujuk kepada angka baru selepas rundingan semula dengan pihak China.

Najib juga minta Lim menerangkan kenapa pasaran saham bawah pentadbiran PH digelar “paling corot”, dan kenapa data Bank Negara menunjukkan hutang negara meningkat “jauh lebih pantas” bawah pentadbiran PH dan mencapai RM785.4 bilion, berbanding RM686.8 bilion pada akhir 2017.

“Kenapa anak dia berbohong hutang sudah menurun,” tambahnya, merujuk kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Saya juga akan tanya kenapa Lim tidak rasa bersalah apabila kes kes rasuah anak dia yang sudah berlangsung dalam mahkamah digugurkan begitu sahaja,” katanya lagi, sambil mengingatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun terkejut dengan pengguguran itu.

“Dan saya akan tanya kenapa tidak ada kes rasuah terhadap pemimpin-pemimpin DAP sedangkan kertas siasatan SPRM tentang terowong yang terbongkar telahpun disahkan sebagai sahih oleh menteri di Dewan Rakyat.”

Lim semalam menarik diri daripada perdebatan dengan Najib, sehari selepas beliau menyahut cabaran bekas perdana menteri itu dengan syarat tajuknya perlu memfokuskan “kleptokrasi”.

Ahli politik veteran DAP itu mendakwa ramai rakyat menasihatkannya tidak meneruskan perdebatan itu kerana bimbang ia akan bertukar menjadi “konflik orang Melayu lawan Cina”.

Thursday, November 22, 2018

Tajuddin: Saya dah lama curiga pada 1MDB, Jho Low

M Fakhrull Halim
Diterbitkan 22 Nov 2018, 9:23 malam


Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengakui yang beliau telah lama menyimpan rasa curiga terhadap 1MDB sejak dua tahun lalu, lebih-lebih lagi terhadap Jho Low.

Katanya, beliau telah pun mendesak bekas perdana menteri Najib Razak supaya mengambil tindakan kepada pengurusan 1MDB dan juga lembaga pengarahnya setelah mendapati banyak transaksi 1MDB tidak mengikut peraturan.

“Saya masih ingat kata-kata saya ketika itu, kalau tunggu lama-lama nanti kita akan kehilangan kepercayaan di kalangan rakyat. Rakyat tak boleh tunggu, mereka mahu tindakan diambil.

“[...]Dia senyap (ketika itu). Jadi saya sebagai seorang anggota parti dan satu pasukan, peranan kita menyuarakan, memberi pendapat, menegur.

“[...] Malah ketika Arul Kanda cuba menjelaskan kepada ahli majlis tertinggi seolah-olah tidak ada apa-apa yang tak betul berlaku, saya persoalkan bayaran beratus juta yang dibuat kepada syarikat Aabar Investment yang dikatakan anak syarikat IPIC itu,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Imej Umno tercalar

Tambahnya lagi, bagi memulihkan imej Umno yang telah tercalar berikutan skandal itu, tindakan harus diambil kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Kita bukan sahaja mahu Umno bangkit semula, kita juga mesti tangkap dia (Jho Low). Pihak berkuasa dan kerajaan harus berusaha sehabis baik untuk mengesan dan membawa dia balik,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Najib telah menjelaskan tentang laporan media dengan judul “Jho Low menipu saya” atau “Kita telah ditipu oleh Jho Low” susulan salah satu soalan tentang 1MDB dalam temu bual dengan akhbar Sinar Harian.

BACA: Mungkin kita sudah ditipu oleh Jho Low, kata Najib

Katanya, pembaca mungkin mendapat persepsi yang salah apabila hanya membaca tajuk sahaja.

“Isu 1MDB memang kompleks tetapi mereka yang mengkaji ataupun berpengetahuan dengan lebih mendalam pasti faham bahawa setiap aliran wang dari 1MDB yang didakwa hilang ialah selepas wang itu dipindahkan kepada ataupun dijamin oleh pihak Aabar dan pemiliknya, IPIC.

“ [...] Mereka yang mengikuti perkembangan 1MDB juga tahu bahawa Jho Low didapati telah berpakat dengan pengurus atasan syarikat IPIC dan Abu Dhabi serta bank pelaburan Goldman Sachs untuk menyalurkan sebahagian dana yang telah dipindah oleh 1MDB kepada Aabar dan IPIC kemudiannya kepada beliau,” katanya lagi.

Justeru beliau menegaskan sesuatu jawapan itu perlu dibaca atau ditonton pada konteks keseluruhan dan bukan secara berpilih.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-